Wednesday, September 28, 2011

Maksud Keberdikarian Kewangan dan Kebebasan Kewangan.

Assalamualaikum w.b.t. dan Salam Sejahtera,

Warga kerja organisasi saya mungkin mengetahui apa itu makna keberdikarian cawangan (OSS) iaitu untuk menentukan sama ada pendapatan cawangan boleh menampung perbelanjaan cawangan ataupun tidak. Apa yang penting lagi, OSS ini penting bagi seseorang untuk mendapatkan bonus indeks Prestasi Utama (KPI) setiap tahun. Baiklah, apa itu maksud Berdikari dari Segi Kewangan dan Bebas dari Segi Kewangan?

Rancang wang anda dari sekarang...

i. Berdikari Dari Segi Kewangan
Jumlah bersih pendapatan pasif anda boleh menampung Perbelanjaan Saraan anda. Ini bermakna pendapatan pasif anda adalah boleh menampung perbelanjaan anda setiap bulan sama ada untuk makan minum, hutang-hutang anda dan perbelanjaan lain. Anda tidak perlu bekerja lagi dah boleh berhenti sekiranya anda mahu. Contohnya, komitmen anda adalah RM3,000 sebulan dan RM36,000 setahun. Maka, anda perlu mencari pelaburan yang boleh menjana pendapatan lebih RM36,000 setahun untuk diri anda. Sekiranya pelaburan membawa pulangan 15% setahun, maka anda memerlukan simpanan sebanyak RM240,000 dalam akaun pelaburan anda.

ii. Bebas dari Segi Kewangan
Pada peringkat ini, anda tidak lagi mempunyai sebarang kebimbangan mengenai wang. Anda boleh melakukan apa sahaja yang anda mahu, dengan sesiapa sahaja dan bila-bila masa sahaja. Wang tidak lagi menjadi kebimbangan anda. Anda perlu mencapai peringkat Berdikari Dari Segi Kewangan terlebih dahulu sebelum mencapai tahap ini. Pendek kata, anda telah mencapai tahap sifar hutang iaitu semua hutang telah anda selesaikan.

Apa yang penting, kita perlu pandai merancang dalam urusan kewangan kita. Kita yang menentukan apa yang kita mahu untuk masa 10 tahun, 20 tahun atau 30 tahun akan datang. Mungkin sesiapa yang baru berusia 20-40 tahun sekarang masih boleh belum mencapai kedua-dua tahap itu sekarang. Apa yang boleh kita lakukan sekarang adalah bekerja untuk mendapatkan wang untuk dilaburkan dalam pelaburan tertentu. Semoga hasrat untuk mencapai tahap bebas dari segi kewangan akan tercapai oleh kita semua.

Sekian, terima kasih.

Sumber.
1. Milan Doshi, 2004, Bagaimana Anda Boleh Menjadi Jutawan melalui Pelaburan Hartanah dan Pelaburan Saham, Achievers Resource Centre Sdn Bhd.

Saturday, September 24, 2011

CIri-ciri Usahawan di Malaysia Mengikut Bangsa


Diam-diam Daim melahirkan ikon usahawan melayu bertaraf dunia...

1. Saya masih ingat lagi ketika belajar darjah 6 tahun 1997, saya sering mendengar nama-nama besar ahli perniagaan melayu seperti Tan Sri Halim Saad yang tersenarai sebagai orang ke-7 terkaya di Malaysia, Tan Sri Yahya Ahmad (Allahyarham) dan sebagainya. Mereka semuanya merupakan anak didik Daim Zainuddin yang dianugerahkan projek pengswastaan kerajaan pada akhir tahun 1980-an supaya matlamat DEB tercapai pada penghujung tahun 1990. Rancangan Daim ketika itu adalah amat mudah iaitu melahirkan sekelompok usahawan melayu yang kompetitif yang bukan sahaja mengatasi jutawan cina tetapi juga dunia.

2. Usahawan-usahawan gergasi melayu ini dilahirkan melalui struktur ekonomi payung di mana mereka dinaungi oleh pihak kerajaan melalui anugerah projek pengswastaan. Siapa tidak kenal nama-nama besar usahawan melayu era 1990-an seperti Tan Sri Tajuddin Ramli (MAS), Tan Sri Halim Saad (Renong), Tan Sri Yahya Ahmad (DRB-Hicom), Tan Sri Wan Azmi Wan Hamzah (Land & General), Tan Sri Azman Hashim (Arab Malaysian Group), dan Tan Sri Rashid Hussain (RHB).Usahawan-usahawan ini dahulu bukan sahaja pakar dalam industri masing-masing tetapi mampu untuk bersaing di peringkat antarabangsa (Utusan Malaysia). 

3. Krisis ekonomi 1997/98 yang berlaku membawa penangan kepada anak didik Daim di mana harga saham syarikat masing-masing adalah jatuh secara drastik. Memang mereka tidak mendapat bantuan daripada bank-bank ketika itu dan kerajaan terpaksa menyelamatkan syarikat-syarikat melalui proses bail-out.Akhirnya, nama-nama besar tokoh usahawan hanya menjadi lagenda sahaja pada masa sekarang.

Kedudukan Robert Kuok orang terkaya di Malaysia terus sukar digugat...

4. Berlainan pula dengan usahawan cina, kaum mereka lebih cenderung kepada sistem ekonomi piramid. Dalam sistem ini, seseorang usahawan cina yang telah berjaya akan menggalakkan usahawan muda menceburkan diri dalam bidang perniagaan dengan memberi mereka pinjaman modal, latihan atau galakan besesuaian. Ini termasuklah pemberian kredit barangan niaga yang lebih panjang tempohnya, harga barang yang lebih murah dan pertolongan ketika menghadapi masalah kewangan. Dengan cara ini, lebih banyak usahawan dilahirkan. Para usahawan muda ini pula menolong usahawan mentor ini mengedarkan produk keluaran mereka atau menjadi pembeli setia kepada usahawan mentor itu (Rizuan Rahman 2011).

5. Melalui sistem ini, jika berlaku kegawatan ekonomi, usahawan-mentor yang duduk di tangga teratas piramid telah mempunyai jaringan pasaran tersendiri yang boleh menampung keluaran kilang atau membeli barang dari gudang borongnya (Rizuan Rahman 2011). Apa yang lebih penting lagi, pembeli-pembeli setia barangan keluaran mereka ialah terdiri daripada orang-orang melayu.Oleh itu, mereka tidak akan mengalami masalah walau apapun terjadi.

6. Oleh itu, kerajaan perlu membina rangka ekonomi yang kukuh untuk melahirkan usahawan-usahawan melayu yang berkualiti dan tidak boleh menggunakan struktur ekonomi bebas yang mengharapkan persaingan bebas untuk meningkat sendiri. Kita perlu faham sekarang bahawa ekonomi negara ini terus dicengkam oleh kaum cina dan orang melayu perlu membina mekanisme tersendiri untuk menguasai ekonomi negara sendiri.

Sekian, terima kasih.

Rujukan.

1. Rizuan Rahman, 2011, Berubah Untuk Malaysia Baru.
2. Feriz Omar, Melayu Pasca Liberalisasi Ekonomi, 2009, Utusan Malaysia.


Sunday, September 18, 2011

Tidak Pandai Bahasa Inggeris Bukan Halangan Untuk Berjaya

Mendiang Lim Goh Tong.

Tidak pandai bahasa inggeris bukan halangan untuk berjaya. Saya percaya ramai di luar di sana yang tidak pandai berbahasa inggeris. Langkah kerajaan melaksanakan PPSMI adalah untuk membantu orang melayu untuk menguasai bahasa inggeris supaya mereka tidak terkontang-kanting untuk mempelajari bahasa inggeris apabila mereka  sudah melangkah ke menara gading. Namun, hasrat itu dikuburkan begitu sahaja apabila ditentang oleh pelbagai pihak.

Saya tertarik dengan kisah Lim Goh Tong , pengasas Genting Berhad yang tidak tahu berbahasa inggeris. Ia masalah besar bagi sebahagian orang. Namun begitu, bagi Lim Goh Tong, ia merupakan masalah kecil sahaja. Semasa mendiang  memulakan perniagaan Genting, umur beliau sudah mencecah 50 tahun. Ya, satu usia di mana orang memikirkan mengenai persaraan dan juga kematian. Malah, ada taukeh yang menasihati adik rakan saya supaya memulakan perniagaan pada usia 35 tahun supaya belajar terlebih dahulu selok belok membaiki kereta dia hanya menumpukan kepada wiring kereta sahaja.

Beliau sanggup menanggung segala risiko, semua wang yang ada, maruah dan juga kesihatannnya demi mengejar impiannya. Kira-kira 30 tahun kemudian, dia berjaya dari semua segi. Jika anda fikir 50 tahun adalah terlalu tua untuk mengambil risiko, usianya masih belum habis lagi. Apabila beliau memutuskan untuk menceburi bidang perlancongan perkapalan, beliau seudah berusia 75 tahun. Kira-kira 10 tahun kemudian, pada tahun 2003, Star Cruise telah muncul sebagai sebuah syarikat perkapalan perlancongan ketiga terbesar di dunia dan mendahului yang di rantau pasifik.

Secara mudahnya, jangan cari 1001 alasan untuk anda berjaya. Fahami masalah di sekeliling anda. Fokus dan selesaikan masalah anda itu untuk anda berusaha sehingga berjaya. Bak kata Tun Daim Zainuddin,"Masalah tidak dapat dielak. Apabila anda cuba mengelak daripada masalah, ia akan datang jua.Oleh itu, cuba selesaikan masalah anda."

Terima kasih.

Thursday, September 15, 2011

Ilmu dari Pengalaman Lebih Bernilai

Assalamualaikum w.b.t. dan Salam Sejahtera,


Tuntutlah ilmu sehingga ke liang lahad.

Apabila bertemu dengan orang yang baru dikenali, saya suka bersembang dengan seseorang sehinggakan saya memperolehi ilmu yang baru daripadanya. Saya lebih suka memperolehi ilmu daripada pengalaman dan bukannya daripada buku kerana ilmu daripada pengalaman seseorang adalah amat berharga. 

Dalam 2 hari yang lepas, saya bertemu dengan seseorang. Saya tertarik dengan kata-katanya yang mengatakan dalam membuat kerja ini, ia bergantung kepada niat. Sekiranya kita bekerja kerana inginkan pendapatan semata-mata, maka kita akan mendapat pendapatan sahaja. Manakala sekiranya bekerja kerana ingin membuat kerja dan memperolehi pendapatan, maka kita akan mendapat kedua-duanya. Insya-Allah.

Saya masih ingat ketika pada tahun 2009. Saya bertemu dengan seorang agen pemasaran dari syarikat kosmetik. Dia menyatakan dalam menjalankan perniagaan, apabila kita menghadapi masalah yang besar dan rumit, kita perlu bertahan seketika dan jangan mudah berputus asa. Inilah perbezaan sikap orang melayu dan cina dalam menjalankan perniagaan. Orang melayu mudah berputus asa apabila menghadapi masalah manakala orang cina sebaliknya. Apabila kita bertahan apabila mengahadapi suatu masalah yang besar, kita akan akan boleh pergi lebih jauh lagi daripada keadaan biasa dan akan berjaya.

Rakan sepejabat saya pernah bercerita mengenai pelabur hartanah yang berjaya. Rakan saya menyatakan bahawa apabila kita melakukan sesuatu, kita perlu mempunyai strategi supaya usaha kita dikembangkan sehingga berjaya. Contohnya, apabila kita ingin sambung belajar, berapakah tempoh masa yang kita peruntukkan untuk habiskan? Berapa kos pengajian yang kita peruntukkan? Saya selalu berjumpa orang yang mengatakan dia ingin sambung belajar, kawannya ingin sambung belajar, isterinya ingin sambung belajar, tapi tidak sambung belajar pun. Ini kerana kita lebih suka berkata-kata daripada bertindak kerana tiada strategi tersendiri untuk berjaya.

Mudah-mudahan ilmu yang disampaikan ini boleh memberi manfaat kepada kita semua. Saya percaya banyak lagi di luar sana yang boleh kita pelajari untuk membaiki diri kita. Banyakkan dengan orang yang bijak pandai. Seperti hadis Nabi Muhammad s.a.w. " Bandingan teman soleh dan teman yang jahat itu adalah sepertiorang yang menjual minyak wangi dan seorang tukang besi. Berkawan dengan penjual minyak wangi, sama ada dia memberi minyak wangi, atau engkau membelinya, maka engkau mendapat baunya yang enak.Seorang tukang besi mungkin menyebabkan bajumu terbakar atau engkau mendapat baunya yang hapak." Riwayat Bukhari dan Muslim.

Dari:
Wan Kamarul Ariffin bin Wan Ahmad

Thursday, September 1, 2011

Benarkah Kadar Kemiskinan di Malaysia adalah 3.8%?

Assalamualaikum w.b.t. dan Salam Sejahtera.

1. Semoga tuan dan puan sihat walaifiat sentiasa dilimpahi dikurniakan dengan kelimpahan rezeki yang mendadak setiap waktu. Semoga hari yang dilalui pada hari yang akan datang akan lebih baik daripada hari-hari sebelumnya. Bak kata Saidina Ali Abi Talib, "Sekiranya hari ini lebih baik daripada semalam, maka berbahagialah orang it.Sekiranya hari ini adalah sama dengan hari semalam, maka sia-sialah orang itu. Sekiranya hari ini lebih buruk daripada semalam, maka celakalah orang itu." Semoga kita sentiasa termasuk daripada golongan orang yang berbahagia selalu.

Usaha membasmi kemiskinan perlu dipertingkatkan...

2. Baiklah, pada kali ini saya ingin membincangkan mengenai kadar kemiskinan di Malaysia. Saya tertarik dengan tulisan buku karangan Rizuan Rahman yang bertajuk Berubah Untuk Malaysia Baru. Saya amat tertarik dengan hujah beliau yang menyatakan bahawa ukuran kadar kemiskinan di Malaysia adalah mengguna pakai ukuran sewaktu Malaysia masih belum membangun. Ukuran kemiskinan iaitu had pendapatan isi rumah (keluarga)- Purata Garis Kemiskinan (PGK) iaitu RM661 di Semenanjung Malaysia, RM765 di Sarawak dan RM888 di Sabah adalah tidak boleh diguna pakai.

3. Pengiraan menggunapakai PGK ini dipertikaikan oleh Dr. Denison Jayasooria yang merupakan Presiden Yayasan Strategik Sosial dan juga Pesuruhjaya Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam). Menurut beliau, ukuran kemiskinan yang wajar dan telus adalah menggunakan ukuran yang digunakan oleh negara maju iaitu purata pendapatan isi rumah dibahagi dengan dua. Contohnya, purata pendapatan rakyat Malaysia adalah RM3,686 dan ini bermakna garis kemiskinan sebenar ialah RM1,843. Ia juga perlu mengambil kira keperluan peti sejuk, televisyen, dan lain-lain serta bukan keperluan asas sahaja. Ini bermakna kadar kemiskinan di Malaysia ialah 30%! (Malaysiakini, 17 Jun 2008).

4. Sekiranya kita menggunakan pakai garis kemiskinan yang dilakukan oleh Majlis Agama Negeri pula, ukurannya ialah pendapatan keluarga di bawah RM1,000 dikira miskin dan layak menerima bantuan zakat. Ini bermakna terdapat 100,000 keluarga tergolong dalam miskin tegar dengan anggota keluarga ialah 600,000 orang; dan 600,000 keluarga dalam kategori miskin dengan anggota keluarga 3.5-4.5 juta orang. Ini menunjukkan kadar kemiskinan di Malaysia ialah sekitar 13 - 17 peratus jika menggunakan ukutan Majlis Agama Negeri.

5. Menurut sumber Rancangan Malaysia ke-8 (RMK-8), 25% keluarga di Malaysia mempunyai pendapatan kurang daripada RM1,000 dan hampir 60% keluarga di Malaysia mempunyai pendapatan bulanan keluarga kurang daripada RM2,000.

6. Daripada maklumat di atas, dapat kita fahami kadar kemiskinan di Malaysia adalah masih tinggi. Semoga informasi ini dapat menambah pengetahuan status kemiskinan di tanah air kita yang tercinta ini.

Sekian, terima kasih.

Sumber:
1. Rizuan bin Abdul Rahman, 2011, Berubah Untuk Malaysia, Media Bistari.