Wednesday, April 6, 2011

Hutang: Perlu atau Sekadar Memenuhi Nafsu?


Ilmu menjaga engkau dan engkau pula menjaga harta-Saidina Ali...


Bank Islam telah membuat promosi di tempat saya bekerja bermula semalam selama 3 hari. Antara promosi produk yang dibuat oleh oleh pihak bank tersebut ialah kad debit serbaguna dan pinjaman peribadi dengan kadar faedahnya adalah 3.25% setahun. Suka saya ingin sebut di sini mengenai pinjaman peribadi yang sekarang ini digilai ramai. Ada antara kita yang sanggup berhutang sehingga sampai 'maximum loan' dengan pihak bank sama ada ingin memenuhi keperluan ataupun nafsu. Sebelum kita berhutang, kita perlu mengetahui apakah ia perlu ataupun tidak perlu. Terdapat 2 jenis hutang yang perlu kita ketahui:

i. Hutang yang Tidak Baik

Hutang yang membuatkan kita semakin miskin. Hutang yang tidak baik ini ialah pinjaman peribadi, kad kredit dan skim ansuran mudah. Ramai di luar sana yang terperangkap dengan hutang-hutang ini kerana kurang disiplin dalam mengawal perbelanjaan mereka. Pada mulanya mereka menyangkakan bahawa 'saya pengguna yang bijak' namun apa yang berlaku rupanya ialah 'saya pengguna yang dipijak' kerana terperangkap dengan skim-skim hutang ini.

ii. Hutang yang Baik

Hutang yang baik adalah hutang yang membuatkan kita semakin kaya berbanding dengan ansuran tahunan kita bayar. Saya sebutkan di sini adalah ansuran tahunan kerana setiap pelaburan simpanan tetap memberi dividen tahunan kepada pelaburnya dan bukan secara bulanan. Cuba kita hitungkan ansuran bulanan pinjaman yang kita bayar berbanding dengan dividen yang diterima setiap tahun. Sekiranya keuntungan yang diperolehi maka itu adalah pelaburan yang baik.





Hutang? Fikirkan dahulu sebelum mengambilnya...


Oleh itu, dapat kita fahami di atas bahawa pinjaman peribadi boleh menjadi hutang yang baik atau yang kurang baik. Ini terpulang kepada kita semua untuk menjadikan diri kita merana dengan membuat hutang untuk memenuhi nafsu kita atau menjadikan diri kita bahagia dengan membuat pelaburan dengan pinjaman diperolehi. Berbahagialah orang yang berjaya menundukkan nafsu mereka.

.

Milan Doshi, trainer kewangan menyatakan bahawa anda tidak perlu takut untuk berhutang bagi membuat pelaburan. Cuba perhatikan di sekeling kita, orang yang berhutang RM100 ribu ringgit akan lebih kaya berbanding dengan orang berhutang RM10 ribu ringgit. Begitu juga orang yang behutang RM1 juta ringgit akan lebih kaya berbanding dengan orang yang berhutang RM100 ribu ringgit. Oleh itu, jangan takut berhutang menurut beliau. Noktah.
.
Itu terpulang kepada kita semua. Bagi saya sendiri kita tidak perlu berhutang untuk menambah kekayaan kita. Sekiranya, kita pandai mengawal wang kita, kita boleh menjadi kaya sama ada secara cepat atau lambat. Apa yang penting ialah pendapatan kita adalah diberkati. Apa gunanya sekiranya gaji RM8,000 sebulan tetapi hanya tinggal RM12.50 selepas tolak ansuran hutang. Perkara ini memang terjadi sepertimana yang diceritakan kepada saya.
.
Oleh itu, kita perlu membuat perancangan sama ada jangka panjang atau pendek dalam membuat hutang ini. Fikirkan sama ada hutang yang ingin dibuat memberi kebaikan atau keburukan kepada kita. Hutang ibarat kencing manis, sekiranya terluka sedikit habis terus merebak. Wallahua'lam.

Sumber

1. Milan Doshi, Bagaimana Anda Boleh Menjadi Jutawan Melalui Pelaburan Hartanah dan Pasaran Saham

2. Shamsuddin Kadir, Hidup Tenang Walaupun Berhutang

No comments: