Apa
sebenarnya yang berlaku di Mahkamah Persekutuan hari ini?
Mahkamah
Persekutuan telah memutuskan bahawa kesalahan jenayah liwat (seks di luar
tabii) yang terkandung di dalam Seksyen 28 Enakmen Jenayah Syariah (Selangor)
1995 (EJS 1995) adalah tidak sah dan bercanggah dengan Perlembagaan
Persekutuan.
Apa
asal-usul kes ini?
Pemohon, Iki
Putra bin Mubarrak telah didakwa di Mahkamah Syariah pada 21 Ogos 2019 atas
kesalahan meliwat yang dilakukannya di Bangi.
Tidak berpuas hati
dengan pertuduhan ini, Iki Putra telah mencabar peruntukan Seksyen 28 EJS 1995
dengan mendakwa negeri/Mahkamah Syariah tidak mempunyai bidang kuasa untuk
menggubal/membicarakan jenayah liwat.
Benarkah dakwaan
negeri dan Mahkamah Syariah tiada bidang kuasa ke atas jenayah liwat?
Kita perlu kembali
kepada peruntukan Perlembagaan Persekutuan. Siapa yang ada bidang kuasa
terhadap apa.
Secara umumnya,
undang-undang jenayah merupakan bidang kuasa kerajaan persekutuan di bawah
Senarai Persekutuan (Federal List). Di bawah Senarai Negeri (State List),
Perlembagaan Persekutuan telah memperuntukkan secara spesifik satu senarai
panjang (tetapi terhad) mengenai bidang kuasa negeri dan Mahkamah Syariah dalam
kesalahan jenayah, iaitu "...pewujudan dan penghukuman kesalahan yang
dilakukan oleh orang yang menganut agama Islam terhadap perintah agama itu,
kecuali berkenaan dengan perkara yang termasuk dalam senarai
persekutuan..."
Kata kunci penting
di sini ialah kesalahan penganut Islam terhadap perintah agama atau dalam
bahasa Inggerisnya creation and punishment of offences by persons professing
the religion of Islam against precepts of Islam.
Tun Abdul Hamid
Mohamad ketika menjadi Ketua Hakim Negara di dalam kes Sulaiman Takrib lawan
Kerajaan Negeri Terengganu pada tahun 2008 telah merumuskan satu formula
mengenai bidang kuasa jenayah Syariah seperti berikut:
(i) kesalahan itu
mestilah terpakai terhadap penganut agama Islam sahaja;
(ii) kesalahan itu
mestilah bercanggah dengan perintah agama (against the precepts of Islam);
(iii) kesalahan itu
tidak termasuk di bawah bidang kuasa Senarai Persekutuan; dan
(iv) kesalahan itu
mengikut bidang kuasa jenayah yang ditetapkan di bawah Akta Mahkamah Syariah
(Bidang Kuasa Jenayah) 1965 atau lebih dikenali sebagai Akta 355 (hukuman tidak
melebihi tiga tahun penjara, denda RM5,000 dan enam sebatan).
Ketua Hakim Negara,
Tun Tengku Maimun Tuan Mat hari ini turut menggunapakai formula di atas dan
memutuskan kesalahan jenayah liwat di bawah EJS 1995 memenuhi ciri-ciri butiran
(i), (ii) dan (iv) tetapi tidak memenuhi syarat butiran (iii).
Mahkamah
Persekutuan bersetuju bahawa negeri dan Mahkamah Syariah tidak mempunyai bidang
kuasa terhadap jenayah liwat kerana kesalahan liwat telah termaktub di dalam
Kanun Keseksaan, antaranya di bawah Seksyen 377A.
Hakim Besar Malaya,
Tan Sri Azahar Mohamed turut memutuskan bahawa bidang kuasa jenayah Syariah
yang dimiliki oleh negeri dan Mahkamah Syariah ialah bersifat 'residual', iaitu
apa yang tidak diambil oleh kerajaan persekutuan/Mahkamah Sivil, bakinya akan
diambil oleh negeri/Mahkamah Syariah.
Ini merupakan
peruntukan Perlembagaan Persekutuan sendiri seperti mana yang terkandung di
dalam Senarai Negeri. Memandangkan kerajaan persekutuan telah mengambil jenayah
liwat dan diletakkan di bawah Kanun Keseksaan, negeri/Mahkamah Syariah tidak
ada kuasa lanjut untuk mendakwa/membicarakan jenayah liwat.
Hakim Besar Malaya
juga bersetuju bahawa dengan adanya dua jenayah berbeza di dua mahkamah
berbeza, ini akan membawa kepada ketidakadilan yang nyata kerana penganut
Muslim yang meliwat boleh didakwa di Mahkamah Syariah yang memperuntukkan
hukuman yang lebih ringan, sedangkan orang bukan Islam yang meliwat pula perlu
didakwa di Mahkamah Sivil yang memperuntukkan hukuman yang lebih berat. Ini
bercanggah dengan Artikel 8(2) Perlembagaan Persekutuan yang melarang
diskriminasi disebabkan agama.
Adakah keputusan
seumpama ini pernah berlaku sebelum ini?
Ada, tetapi
terbalik. Pada tahun 1988 Mahkamah Agung di dalam kes Mamat Daud telah
memutuskan bahawa Seksyen 298A Kanun Keseksaan adalah tidak sah dan bercanggah
dengan Perlembagaan Persekutuan kerana parlimen/kerajaan persekutuan telah
melanggar bidang kuasa negeri dalam menggubal undang-undang berkenaan dengan
pelanggaran terhadap ajaran Islam yang jatuh di bawah bidang kuasa negeri.
Di dalam kes
tersebut, tertuduh didakwa di bawah Seksyen 298A Kanun Keseksaan kerana
terlibat dengan insiden sembahyang dua imam yang menggugat keharmonian
masyarakat.
Mahkamah Agung
dengan majoriti 3:2 memutuskan bahawa kerajaan persekutuan melalui parlimen
tidak mempunyai kuasa menggubal undang-undang yang melibatkan keharmonian agama
Islam kerana itu merupakan bidang kuasa negeri.
Disebabkan itu
Seksyen 298A Kanun Keseksaan tidak terpakai untuk negeri-negeri dan hanya sah
digunapakai di Wilayah-Wilayah Persekutuan sahaja sehingga ke hari ini.
Dah boleh meliwat
ke lepas ni?
Kesalahan meliwat
tetap merupakan satu jenayah di bawah Seksyen 377D Kanun Keseksaan dan variasi
seksyen-seksyen lain yang berkaitan dengannya.
Apa selepas ini?
Kesemua peruntukan
kesalahan jenayah liwat di bawah enakmen jenayah Syariah negeri-negeri tidak
sah. Namun bukan semua negeri mempunyai peruntukan untuk kesalahan liwat di
dalam enakmen jenayah Syariah.
Contohnya, enakmen
jenayah Syariah negeri Perak dan Pahang tidak ada kesalahan liwat. Ini pun
boleh dikira satu diskriminasi juga. Ada negeri seperti Selangor dan Wilayah
Persekutuan, liwat ialah jenayah Syariah.
Tetapi di Perak dan
Pahang, bukan jenayah Syariah. Bolehkah satu maksiat menjadi satu kesalahan di
satu negeri tetapi tidak menjadi satu kesalahan di negeri lain?
Selama ini juga
penulis belum pernah mendengar jenayah liwat yang didakwa di Mahkamah Syariah
(mungkin ada, tetapi kita sendiri tidak pernah tahu melainkan kes terpencil dan
tidak mendapat liputan media).
Tindakan Pendakwa Syarie
Selangor yang memulakan pendakwaan kes ini di Mahkamah Syariah pun dikira ajak
janggal kerana kes ini boleh diadukan terus ke pihak polis untuk siasatan
jenayah di bawah Seksyen 377D Kanun Keseksaan.
Apakah sudah ada
siasatan rasmi yang dilakukan oleh pihak polis? Kita tidak tahu apa yang
berlaku di dalam kes ini. Jika benar-benar siasatan pihak berkuasa mendapati
terdapat asas di dalam perlakuan jenayah liwat, maka platform terbaik untuk
menyelesaikan kes ini ialah pendakwaan di mahkamah Sesyen, seperti yang berlaku
di dalam kes-kes lain sebelum ini.
Kerajaan negeri
perlu menyemak semula satu-persatu peruntukan jenayah Syariah di dalam
enakmen/ordinan jenayah Syariah masing-masing untuk memastikan kesalahan-kesalahan
jenayah Syariah ini memenuhi formula kes Sulaiman Takrib dan disahkan oleh kes
Iki Putra hari ini.
Tetapi secara
praktikalnya, tidak ada apa-apa pun perubahan yang berlaku kerana pendakwaan di
Mahkamah Syariah untuk jenayah liwat pun tidak ada, kecuali kes Iki Putra ini.
Negeri-negeri yang
terbabit pun tidak ada keperluan segera untuk meminda enakmen jenayah Syariah
negeri bagi membuang peruntukan jenayah liwat.
Mungkin ada yang
bertanya, bagaimana peruntukan kesalahan liwat ini boleh masuk ke dalam enakmen
jenayah Syariah negeri-negeri sedari awal? Untuk berlaku adil, ini merupakan
budi bicara negeri masing-masing yang merasakan mereka mungkin mempunyai bidang
kuasa (dan tidak ada keputusan mahkamah yang menyatakan mereka tidak ada bidang
kuasa).
Namun ada negeri
yang memilih untuk tidak menjadikan kesalahan liwat sebagai satu jenayah di
dalam enakmen jenayah Syariah memandangkan kesalahan itu telah ada di dalam
Kanun Keseksaan, malahnya hukumannya juga lebih berat.
Polemik ini sering
diulas sejak tahun 1998 lagi ekoran kes Sukma Darmawan namun memandangkan tidak
ada pihak yang didakwa di Mahkamah Syariah kerana meliwat dan mencabar
peruntukan tersebut di Mahkamah Persekutuan, maka peruntukan kesalahan liwat di
dalam enakmen jenayah Syariah negeri-negeri tidak dapat diuji.
Namun penantian
selama lebih 20 tahun berakhir hari ini apabila Mahkamah Persekutuan telah
memberikan kata putus.
Kesimpulan
Dengan majoriti 9 -
0 Mahkamah Persekutuan hari ini telah mengambil keputusan yang konsisten dengan
kes Sulaiman Takrib berdasarkan empat formula yang ditentukan oleh Tun Abdul
Hamid Mohamad sebelum ini.
Tidak ada apa-apa
yang telah 'tergadai' atau 'tergugat' di dalam isu ini. Sesetengah komen yang
bersifat terlalu 'far-reaching' dan bersalut sentimen tidak perlulah diambil
kira.
Sumber: Malaysiakini.
MOHAMED HADI A H merupakan lulusan undang-undang sivil dan syariah dari
universiti yang terletak di Sungai Pusu, Gombak merupakan pemegang PhD.
Ulasan:
Daripada
artikel ini dapat difahami bahawa isu seks luar tabii adalah di luar bidang kuasa
Mahkamah Syariah dan ianya terletak di bawah Mahkamah Persekutuan. Hukuman yang
paling tinggi yang boleh dikenakan oleh mahkmah syariah ialah 365 (Hukuman tidak
melebihi tiga tahun penjara, denda RM5,000 dan enam sebatan) berbanding hukuman
Mahkamah Persekutuan di mana hukumannya lebih berat.
Kes ini
juga pernah berlaku kepada Anwar Ibrahim apabila beliau ingin memulakan
prosiding qazaf ke atas Tan Sri Muhammad Shafee kerana didakwa memfitnah beliau
berhubung kes liwatnya pada tahun 2017 dan Mahkamah Rayuan Syariah mengekalkan
keputusan Mahkamah Tinggi Syariah menolak permohonan prosiding beliau.
Ini kerana tuduhan
meliwat tidak terpakai dalam kes qazaf itu mengikut Seksyen 36 Enakmen Jenayah
Syariah Selangor 1995 kerana peruntukan itu hanya terhad kepada kes pertuduhan
zina.
Ini
menunjukkan realiti pada hari ini bahawa kuasa Mahkamah Persekutuan adalah
lebih tinggi daripada kuasa Mahkamah Syariah di mana Mahkamah Syariah hanya
boleh mengambil tindakan kepada kes-kes yang tiada peruntukan dalam Mahkamah Persekutuan
sahaja.
Saya pun
masih tertanya-tanya apakah status perjuangan Parti PAS untuk meminda RUU Akta
355 iaitu untuk menaikkan had hukuman Mahkamah Syariah sedangkan PAS sekarang
telah berada di dalam Kerajaan Persekutuan sekarang?
Wallahua’lam.