Monday, April 22, 2013

Apabila Lim Kit Siang Ketakutan, Tun Dr. Mahathir Pula Disalahkan

Kemaskini :

Datuk Ghani Othman kalah kepada Lim Kit Siang dengan majoriti 14,762 undi di mana Datuk Ghani Othman memperolehi 39,522 undi dan Lim Kit Siang memperolehi 54,284 undi.

Cabaran penasihat Parti Dap iaitu Lim Kit Siang yang ingin menguji staminanya sekaligus ingin menguburkan pengaruh MCA di Johor dengan bertanding di kubu Umno di parlimen Gelang Patah disambut dengan penamaan bekas Menteri Besar Johor iaitu Datuk Ghani Othman untuk menentangnya di parlimen yang sama.

Pada awalnya, media-media pembangkang memainkan isu ini dengan mengatakan bahawa pemimpin-pemimpin atasan Umno ingin mematikan karier politik Ghani Othman dengan meletaknya bertanding menentang Lim Kit Siang. Bagi saya, pembangkang hanya melihat sudut yang lain iaitu melihat isu ini secara negatif. Adakah pemimpin-pemimpin Umno ingin menamatkan karier Ghani Othman di mana Johor pada tahun 2008 adalah tidak terkena tempias tsunami politik di mana cuma hanya satu sahaja kerusi parlimen Johor yang terlepas kepada pembangkang? Sudah tentu panglima-panglima Umno yang berjasa kepada parti tidak akan dikorbankan begitu sahaja. Saya pasti puak-puak pembangkang sebenarnya bimbang pertandingan sengit yang akan berlaku di parlimen Gelang Patah. Datuk Ghani Othman juga dalam satu kenyataan menyatakan bahawa beliau gembira tidak lagi dilantik sebagai Menteri Besar lagi. Sudah tentu ini kerana beliau telah menjadi Menteri Besar selama 4 tahun berturut-turut dan kini tiba masanya beliau berkhidmat pula di parlimen. Jika kita melihat Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Dato’ Sri Najib masing-masing pernah menjadi Menteri Besar di neger masing-masing.

Lain pula dengan kenyataan Lim Kit Siang bahawa penamaan Datuk Ghani Othman adalah sebagai membantu proksi Tun Dr. Mahathir untuk menamatkan karier politik beliau. Jika difikir balik kenyataan ini, adakah Tun Dr. Mahathir yang menentukan sama ada karier politik Lim Kit Siang untuk hidup ataupun mati. Sudah tentu ini tidak benar sama sekali. Apa yang menentukan karier politik seseorang ahli politik itu ialah pengundi-pengundi atau pemilih-pemilih semasa pilihanraya umum nanti. Sekiranya kita melihat bekas Presiden MIC iaitu Dato’ Seri Samy Vellu, beliau ditolak oleh pengundi-pengundi Sungai Siput pada pilihanraya umum tahun 2008. Kenapa beliau ditolak? Sudah tentu kerana beliau gagal memberi khidmat terbaik untuk kawasan parlimennya berbanding lawannya. Sekiranya kita melihat parlimen Gelang Patah, apakah khidmat yang diberikan oleh Lim Kit Siang? Lim Kit Siang yang sebelum ini merupakan ahli parlimen Ipoh Timur tiba-tiba terbang ke kubu Umno untuk menumbangkan pengaruh MCA di sana. Adakah pengundi-pengundi di sana akan memilih beliau walaupun di sana majoriti cina? Jika pengundi-pengundi Gelang Patah tidak memilih beliau, sudah tentu bukan disebabkan oleh Tun Dr. Mahathir tetapi disebabkan oleh sikap sembrono beliau untuk bertanding di sana secara membabi-buta.

Lim Kit Siang juga sepatutnya menanti segala kemungkinan apa yang akan berlaku di sana memandangkan beliau dicalonkan terlebih dahulu di kerusi parlimen Gelang Patah sebelum Datuk Ghani Othman dicalonkan di sana. Oleh itu, beliau perlu bersiap-siaga menghadapi segala kemungkinan yang akan dihadapi daripada parti lawan dan bukannya menuduh Datuk Ghani Othman itu sebagai proksi Tun Dr. Mahathir. Sekiranya beliau (Datuk Ghani Othman) proksi Mahathir sekalipun, mengapa beliau takut untuk menentang Datuk Ghani Othman secara sama satu? Tambahan pula, ada cadangan oleh Tun Dr. Mahathir untuk pilihanraya umum pada kali ini tidak dipilih seperti Dato’ Ibrahim Ali yang tidak terpilih sebagai calon Barisan Nasional (BN) di Pasir Mas bahkan Khairy Jamaluddin (KJ) yang tidak disukai oleh Tun Dr. Mahathir sekalipun dicalonkan untuk bertanding di Rembau bagi pihak BN.

Pendek kata, Lim Kit Siang sekarang berada dalam kebimbangan kerana beliau sendiri akan ditentang oleh pemimpin utama negeri Johor iaitu Datuk Ghani Othman yang telah bersemadi sebagai Menteri Besar Johor di hati rakyat negeri Johor selama 4 penggal berturut-turut. Sebenarnya Tun Dr. Mahathir tidak menguburkan karier politik beliau tetapi beliau sendiri yang menggali kubur politiknya di parlimen Gelang Patah.

Sekian, terima kasih.

http://wankamarul701.blogspot.com

Tuesday, April 16, 2013

Cuit-cuit : Husam Musa Sahaja Menempah Kekalahan di Putrajaya

Kemaskini :
 
Husam Musa kalah kepada Tengku Adnan iaitu dengan majoriti sebanyak 5,541 undi iaitu dengan Husam Musa memperolehi 4,402 undi dan Tengku Adnan Mansor memperolehi 9,943 undi.
 
Banyak kejutan-kejutan yang dibuat oleh pembangkang dengan penamaan calon-calon mereka. Ini adalah kerana penamaan adalah dibuat di kubu-kubu kuat Umno. Apa yang paling melucukan saya ialah penamaan Husam Musa sebagai calon menentang Tengku Adnan atau Ku Nan di parlimen di Putrajaya. Dalam satu kenyataan, Ku Nan menyatakan bahawa Husam Musa akan kehilangan 2/3 undian di Putrajaya kerana beliau sudah lama berkhidmat di parlimen itu. Saya juga berasa sungguh lucu dengan penamaan ini. Seolah-olah buah duku ingin ‘membelasah’ buah durian. Saya berharap Husam Musa ‘menang besar’ dalam PRU-13 nanti.

Sekian, terima kasih. 

Apabila Buku Bertemu dengan Ruas : Lim Kit Siang VS Ghani Othman


Kemaskini :

Datuk Ghani Othman kalah kepada Lim Kit Siang dengan majoriti 14,762 undi di mana Datuk Ghani Othman memperolehi 39,522 undi dan Lim Kit Siang memperolehi 54,284 undi.

Assalmualaikum w.b.t. dan Salam Sejahtera.
 
Saya terkejut apabila melayari internet sambil membuat kerja pagi dalam pukul 10.00 pagi tadi apabila ada laman web berita yang menyatakan bekas Menteri Besar Johor, Datuk Ghani Othman akan menentang Lim Kit Siang di Parlimen Gelang Patah. Ibarat peribahasa apabila buku bertemu dengan ruas. Sudah tentu ini menjadi persaingan sengit antara Kerajaan dan Pembangkang atau lebih tepat lagi ialah perlawanan antara Umno dan Dap. Saya sengaja meletakkan tajuk “Lim Kit Siang VS Ghani Othman” kerana Lim Kit Siang dicalonkan dahulu di Gelang Patah manakala Ghani Othman baru dicalonkan pada hari ini.

Mampukah Lim Kit Siang Menerobos Negeri Johor?

Johor sebelum ini sudah sinonim dengan kubu kuat Umno. Sudah tentu kemaraan pembangkang di Negeri Johor dengan menampilkan pemimpin-pemimpin utama mereka seperti Lim Kit Siang seolah-olah ingin menamatkan riwayat Umno di Johor dan ingin memberitahu rakyat bahawa Umno kini sudah lemah. Namun, cabaran pembangkang ini disahut dengan penamaan Datuk Ghani Othman bertanding menentang Lim Kit Siang di parlimen Gelang Patah.

Tahniah diucapkan kepada Umno dengan menamakan pemimpin utama menentang penasihat DAP itu. Sekurang-kurangnya Umno dapat juga ‘mengajar’ lawan mereka awal-awal lagi supaya tidak ‘membuat kacau’ di kawasan mereka lebih-lebih lagi kubu kuat mereka dan juga tidak memberi laluan mudah kepada lawan mereka dengan menampilkan calon-calon yang tidak berapa dikenali. Sekiranya Umno berbuat demikian, seolah-olah Umno telah mengaku kalah kepada Dap awal-awal lagi dan memberitahu kepada rakyat bahawa peluangnya untuk memenangi menentang penasihat Dap itu adalah tipis. Sekurang-kurangnya Umno telah memenangi ‘peperangan moral’ pada peringkat ini.

Sekiranya dilihat statistik  di Parlimen Gelang Patah, ia terdiri daripada 78,676 pemilih. Daripada jumlah ini, pemilih daripada kaum cina adalah terbesar iaitu 54 peratus, diikuti dengan pemilih bangsa melayu (33 peratus) dan india (12 peratus). Sekiranya ingin memenangi parlimen ini, salah satu calon perlu mendapatkan undi popular sebanyak 39,339 undi iaitu 50.001 peratus daripada jumlah pemilih (50 peratus adalah 39,338 undi). Apakah strategi yang digunakan oleh kedua-dua calon? Adakah Lim Kit Siang yakin 54 peratus daripada pemilih cina akan memihak kepadanya? Adakah Datuk Ghani Othman yakin boleh memenangi undi yang besar daripada pengundi cina di samping pengundi melayu dan india?

Ghani Othman sebelum ini menyatakan bahawa beliau bertekad untuk mempertahankan semua 26 kerusi parlimen di Johor. Ini memang menguji stamina dan keupayaan beliau apabila pembangkang cuba ingin ‘menceroboh’ kubu beliau. Jika dilihat PRU-12 pada tahun 2008, kerusi parlimen Gelang Patah dimenangi oleh calon MCA iaitu Tan Ah Eng dengan majoriti 8,851 menentang calon dari PKR iaitu Dr. Zaliha Mustafa. Ini menunjukkan bahawa pengundi-pengundi cina masih setia kepada BN di Johor walaupun dapat menyaksikan peralihan sokongan cina di negeri-negeri lain kepada pembangkang pada tahun yang sama.

Johor sebelum ini menyaksikan kehilangan 2 kerusi parlimen kepada pembangkang iaitu Kluang pada tahun 1978 dan Bakri pada tahun 2008. Jika dilihat pada tahun 2008 sekalipun, Johor hanya kehilangan 1 kerusi sahaja walhal tsunami politik berlaku ketika itu di mana BN kehilangan 5 buah negeri ketika itu. Mungkin BN masih boleh mengekalkan sokongan rakyat kepada mereka buat masa ini di Johor termasuk di Gelang Patah kerana mood tengah baik buat masa ini walaupun ada ramalan yang mengatakan Johor akan kehilangan beberapa kerusi Dun dan Parlimen pada PRU akan datang.

Terdapat 2 keadaan yang terjadi apabila salah satu pihak kalah. Sekiranya Lim Kit Siang kalah pada kali ini, ini akan membawa kepada :

1.    Riwayat Lim Kit Siang dalam arena politik akan berakhir apabila sudah dimalukan di
     ‘kampung orang'.
2.   Pembangkang tidak akan berani memasuki kawasan kubu Umno yakni Johor pada
      pilihan raya umum akan datang.
3.  Dap dimalukan di seluruh Malaysia kerana pemimpin utama mereka kalah kepada calon
     Umno apatah lagi penasihat mereka sengaja menguji kekuatan di kubu kuat Umno.
4.   Umno masih mempunyai sokongan daripada pengundi-pengundi cina khususnya di
     Johor.
5.  Datuk Ghani Othman akan dilantik ke kabinet dengan memegang portfolio Kementerian
     berpengaruh seperti Menteri Kewangan atau Menteri Kewangan II, Menteri   
      Keselamatan Dalam Negeri, Menteri Pertahanan, dan sebagainya.

Manakala sekiranya Datuk Ghani Othman kalah, ini membawa kepada :

1.     Status quo Umno sebagai imej parti pemerintah sudah mula pudar.
2.     Pengaruh Umno sudah mula pudar kerana kubu kuat mereka sudah pun ditembusi.
3.     Maruah orang melayu secara tidak langsungnya jatuh kerana menyaksikan kekalahan   
      parti Umno kepada sebuah parti cina di negerinya sendiri.
4.     Datuk Ghani Othman sebagai pemimpin utama gagal mempertahankan negerinya.
5.    Orang cina sudah menolak kepimpinan Umno kerana Ghani Othman sudah lama     
      menjadi Menteri Besar Johor.

Walauapapun terjadi, kita perlu menunggu dan melihat keputusan PRU-13 nanti. Semoga Allah s.w.t. memberi kemenangan kepada Datuk Ghani Othman menentang Lim Kit Siang. Wallahua’lam.

Sekian, terima kasih.

http://wankamarul701.blogspot.com

Saturday, April 13, 2013

Ekuiti Kaum Melayu, Cina dan India.


Secara keseluruhannya, ekuiti kaum melayu, cina dan india telah meningkat daripada tahun 1970 sehingga tahun 2008.

Pemilikan ekuiti bumiputera dalam sektor korporat telah meningkat kepada 21.9% berbanding tahun 1970 iaitu sebanyak 2.4%. Selain itu, nilai pegangan juga meingkat kepada RM127.4 bilion daripada RM125.6 juta dalam tempoh yang sama.

Pemilikan cina adalah bertambah sebanyak 7.7% iaitu pemilikan sebanyak 34.9% pada tahun 2008 berbanding 27.2% pada tahun 1970. Nilai pegangan pula adalah meningkat kepada RM203.09 bilion daripada RM1.45 bilion dalam tempoh yang sama.

Manakala pemilikan ekuiti kaum india adalah mengalami peningkatan iaitu 1.6% pada tahun 2008 berbanding tahun 1970 iaitu 1.1%. Nilai pegangan adalah meningkat kepada RM9.56 bilion RM55.9 juta dalam tempoh yang sama.

Sumber :
Pertanyaan Dewan Rakyat, Puan Teo Nie Ching (Serdang) kepada Perdana Menteri.


http://wankamarul701.blogspot.com

3 Perkataan Melayu Asli


Assalamulaikum w.b.t. dan Salam Sejahtera.

Sebenarnya  bahasa melayu merupakan bahawa yang banyak menerima daripada pengaruh bahasa-bahasa lain khususnya bahasa arab di mana ia telah dimelayukan. Tanah melayu sebenarnya terletak antara timur dan barat di mana ia menjadi tempat persinggahan kapal-kapal dagang suatu ketika dahulu. Ptolemy iaitu ahli geografi Mesir telah melawat tanah melayu pada abad ke-2 dan beliau menggelar tanah melayu “Golden Chersonese” yang bermaksud Semenanjung Emas. Menurut Dewan Bahasa dan Pustaka sebenarnya terdapat 3 perkataan sahaja perkataan melayu asli. Perkataan – perkataan tersebut ialah : 

1. Paku 
2. Padi
3. Babi

Sekian, terima kasih.

http://wankamarul701.blogspot.com

Ulama-ulama Kerajaan Perlu Berani Menegur Kesilapan Pemerintah Negara


Assalamualaikum w.b.t. dan Salam Sejahtera.

Semoga anda semua berada dalam keadaan sihat sejahtera selalu dan sentiasa dirahmati Allah s.w.t. Pada kali ini saya ingin berbicara mengenai ulama-ulama yang berada di dalam Kerajaan. Sudah tentu di negara Malaysia yang mengamalkan demokrasi pada hari ini, akan wujud 2 golongan iaitu pihak kerajaan dan pembangkang di mana masing-masing menggunakan pelbagai taktik kotor bagi menjatuhkan lawan masing-masing. Cerita terbaru menjelang PRU-13 ini adalah cerita video seks oleh seorang pemimpin daripada Parti PAS. Ini sudah tentu mendukacitakan kita kerana menggambarkan betapa teruknya masyarakat kita pada hari ini.

Isu video seks di Malaysia bermula pada tahun 2011 lagi apabila ia membabitkan pemimpin daripada parti pembangkang iaitu serentak dengan pembubaran DUN Negeri Sarawak bagi menghadapi Pilihanraya Negeri (PRN) bagi negeri tersebut. Pemimpin-pemimpin Pas menempelak ulama’-ulama’ kerajaan kerana mendiamkan diri mengenai isu tersebut. Sesungguhnya usaha-usaha pemimpin Pas ini merupakan usaha yang baik bagi menegur ulama-ulama kerajaan yang berdiam diri mengenai isu ini supaya kemungkaran video seks ini tidak berleluasa di dalam masyarakat kerana ia merupakan fitnah yang besar dan mengaibkan seseorang.

Apa yang lebih buruk lagi, penerbit-penerbit drama video seks tersebut sanggup bersumpah dengan al-Quran apatah lagi di dalam masjid. Inilah yang dikatakan tanda-tanda kecil hari kiamat iaitu banyak sumpah palsu dan pembohongan. Perkara ini sudah pun berlaku secara terang-terangan pada hari ini.

Kee Thuan Chye dalam bukunya No More Bullshit, We’re All Malaysians, beliau bertanyakan apa sudah jadi dengan Malaysia yang agama rasminya adalah Islam. Adakah kita ingin menunjukkan kepada dunia bahawa Malaysia adalah tempat pementasan drama video seks? Kita sebagai orang Islam sudah tentu patut malu dengan orang bukan Islam kerana perkara-perkara buruk ini datangnya daripada orang Islam itu sendiri. Oleh itu, ulama-ulama perlu lantang menegur pemimpin-pemimpin parti pemerintah supaya mengambil tindakan terhadap sesiapa sahaja yang membuat perkara buruk ini.

Ulama-ulama kerajaan hari ini perlu mencontohi bekas Mufti Selangor iaitu Allahyarham Dato’ Ishak Baharom yang dipecat pada akhir Oktober 1997 rentetan daripada isu pertandingan ratu cantik dan penangkapan 3 gadis melayu Islam pada 13 Jun 1997 di Hotel Holiday Villa, Subang Jaya, Selangor. Allahyarham dengan tegas menyatakan bahawa pertandingan ratu cantik itu adalah haram. Ulama seperti ini patut dicontohi oleh ulama-ulama lain khususnya yang berada dalam kerajaan.

Selain itu, banyak lagi kemungkaran-kemungkaran yang terus berlaku dan suara-suara ulama tidak didengari bagi mencegah kemungkaran ini seperti program realiti TV, tayangan filem tahyul dan sebagainya. Oleh itu, tidak hairanlah apabila bala Allah s.w.t. datang seperti kenaikan harga-harga barang yang mana menyusahkan kita semua. Ini mungkin hanya peringatan kecil daripada Allah s.w.t. Apabila disebut bala, semua orang akan terkena tempiasnya tidak kira sama orang yang membuat maksiat ataupun tidak seperti kenaikan harga-harga barang di mana semua orang akan terkena tempiasnya.

Jika kita melihat keagungan Khilafah Uthamaniah yang memayungi umat Islam lebih daripada 600 tahun berakhir disebabkan oleh ulama-ulamanya sendiri yang menjadi pengampu-pengampu Khalifah dinasti-dinasti terakhir dan tidak berani menegur pemerintah yang membuat maksiat. Akhirnya, ulama-ulama yang menjadi pegawai-pegawai kerajaan ini hanya dibenarkan menjaga masjid-masjid dan gajinya hanyalah bergantung kepada sedekah orang ramai setelah sistem pemerintahan berkhalifah dimansuhkan pada 1924.

Pendek kata, ulama-ulama pada hari ini perlu berani memainkan peranannya dengan lebih aktif bagi mencegah kemungkaran daripada berlaku dengan menegur pemerintah negara. Ini adalah benar seperti mana kata-kata Imam al-Ghazali iaitu, “ Rosak rakyat adalah kerana rosak pemimpin. Rosak pemimpin adalah kerana rosak ulama. Rosak ulama adalah kerana cintakan dunia.” Wallahua’lam.

Sekian, terima kasih.

http://wankamarul701.blogspot.com

Saturday, April 6, 2013

Cuit-cuit Lim Guan Eng : Jumaat - Penghulu Segala Hari


Assalamualaikum w.b.t. dan Salam Sejahtera.

Parlimen telah dibubarkan pada 3 April 2013 iaitu pada hari Rabu bertepatan dengan ulang tahun ke-4 pentadbiran Perdana Malaysia, Datuk Seri Najib  Tun Razak. Akan tetapi, suatu cerita lawak dikeluarkan oleh Ketua Menteri Pulau Pinang iaitu Lim Guan Eng yang mengisytiharkan bahawa pembubaran dun bagi Negeri Pulau Pinang dibuat pada 5 April 2013 iaitu pada hari Jumaat. Menurut beliau, hari Jumaat dipilih kerana ia merupakan penghulu segala hari.

Betulkah hari Jumaat dipilih kerana ia merupakan penghulu segala hari? Jika kita membaca laporan www.roketkini.com iaitu lidah rasmi web DAP berbahasa Malaysia pada 3 April 2013 menyatakan bahawa Dewan Undangan Negeri (DUN) bagi negeri-negeri Pakatan Rakyat termasuk Pulau Pinang akan membubarkan Dun masing-masing pada 3 dan 4 April 2013. Namun akhirnya ia dibubarkan pada 5 April 2013. Tarikh itu dipilih kerana ia jatuh pada hari Jumaat kerana hari tersebut merupakan penghulu segala hari.

Penyokong-penyokong Pas sudah tentu gembira kerana kenyataan Lim Guan Eng kerana ia menunjukkan bahawa pemimpin Dap sudah berjaya ditarbiah oleh Pas dan sudah mengenal Islam. Saya berharap anda semua tidak tertipu kerana orang-orang melayu sebenarnya suka apabila dipuja apabila orang-orang cina mengikut budaya dan agama mereka. Mujur Lim Guan Eng tidak memakai serban dan jubah apabila membuat kenyataan tersebut bersama pemimpin Pas.

Bagi saya ia hanyalah sekadar untuk meraih undi dan sokongan orang melayu sahaja. Bagi hari Khamis tidak dipilih kerana ia jatuh pada 4 April 2013 atau 4/4/2013. Ia dibaca mati/mati/2013. Umum mengetahui bahawa orang-orang cina takut kepada nombor 4 kerana ia membawa nasib malang kepada mereka. Oleh itu, pembubaran Dun dibuat pada 5 April 2013 iaitu pada hari Jumaat. Itu sahaja persepsi saya.

Sekian, terima kasih.


http://wankamarul701.blogspot.com