Thursday, September 12, 2024

Ucapan ke atas Pengantin Baru


Sebenarnya kita dilarang untuk mengucap ucapan-ucapan berikut kepada pengantin baru;

"Semoga kekal ke anak cucu..."

"Semoga kekal ke syurga..."

"Semoga kekal ke jannah..."

Yang sebenarnya kita dianjurkan oleh Nabi Muhammmad untuk mengucapkan kepada pengantin baru ialah;

"Semoga Allah s.w.t. memberkati perkahwinan kamu berdua..."

Ini adalah kerana jodoh seseorang dengan pasangan mereka ialah ditentukan oleh Allah s.w.t. Mungkin satu-satu pasangan itu boleh bertahan sehingga 3 tahun jodohnya, mungkin 3 hari sahaja, dan sebagainya. Sesungguhnya Allah s.w.t. sahaja yang tahu berapa lama jodoh bagi satu-satu pasangan.

Sumber: Ustaz Azhar Idrus.

Wallhua'alam.

Thursday, September 5, 2024

Kad Kredit Terbaik di Malaysia yang Saya Guna Sekarang

Zaman sekarang sudah berubah. Jika dahulu, orang mengatakan bahawa orang yang menggunakan kad kredit adalah orang yang tidak pandai merancang atau mengawal kewangan, boros, kaki hutang, dan sebagainya. Akan tetapi, pada hari ini orang yang menggunakan kad kredit ialah orang yang mempunyai literasi kewangan. Mereka tahu bahawa kad kredit dijadikan sebagai alat untuk mencapai matlamat kewangan dan bukannya alat untuk menimbunkan hutang secara banyak tanpa had.

Baiklah, pada kali ini saya berhasrat untuk berkongsi kad kredit yang saya gunakan sekarang. Ada kelebihan dan kelemahan masing-masing. Untuk pengetahuan anda semua, terdapat 2 jenis rewards yang anda dapat jika kita menggunakan kad kredit. 

Pertamanya ialah rewards secara cashback atau secara pulangan tunai contohnya anda mengisi minyak sebanyak RM100 dan pengeluar kad kredit menawarkan cashback sebanyak 5% untuk setiap pengisian minyak petrol, jadi anda mendapat RM5 bagi setiap pengisian RM100 ini. Akan tetapi, ianya mempunyai had tertentu contohnya sehingga RM50 sebulan untuk mendapatkan caschback ini. RM50 sebulan ini dikenali sebagai capped. Pendek kata, jika setahun anda memanfaatkan kad kredit ini, anda telah mendapat tunai secara percuma sebanyak RM600 bagi setiap pembelian anda dalam tempoh setahun. Hebat bukan?

Keduanya ialah faedah mendapat pulangan melalui penggunaan kad kredit ialah secara poin di mana anda boleh tebus poin ini apabila mencapai sejumlah poin tertentu untuk menebus barangan lain. Jadi, anda perlu melihat dahulu setiap manfaat jika anda memohon mana-mana kad kredit. Setiap kad kredit adalah kelebihan masing-masing. Oleh sebab itu, tidak hairanlah orang menggunakan banyak kad kredit pada satu-satu masa seperti saya ini. Oleh itu, mari kita lakukan edisi siasat dengan setiap kad kredit yang saya gunakan sekarang;

a. Kad Kredit RHB Shell Visa (Cinta Pandang Pertama)


Kad kredit ini merupakan cinta pertama saya kerana kad ini merupakan kad kredit pertama yang mula-mula saya gunakan. Ketika ini, saya banyak melihat iklan kad kredit ini di stesen-stesen minyak Shell dengan pulangan 12%. Apabila saya memohon secara atas talian, bank RHB meluluskan permohonan saya ini maka bermulalah kehidupan saya menggunakan kad kredit. Akan tetapi, manfaat menggunakan kad kredit ini ialah ianya memberi pulangan secara tunai seperti dalam jadual berikut;


Jadual di atas menunjukkan pulangan cashback bagi setiap pembelian kad kredit RHB Shell Visa. Boleh diperhatikan bahawa untuk mendapat pulangan cashback secara maksimum berjumlah RM100 (RM50 untuk petrol Shell dan RM50 untuk 4 item barang dinyatakan) sebulan atau RM1,200 setahun, anda perlu berbelanja RM2,500 dan ke atas sebulan.

Namun, kad kredit ini mempunyai kelemahannya iaitu annual fees iaitu RM195 tahun. Bagi mengelak dikenakan caj kad kredit ini, anda perlu swipe kad kredit ini sebanyak sekurang-kurangnya 24 kali setahun. Tetapi tidak mengapa, anda boleh fokus satu-satu bulan sahaja untuk swipe menggunakan kad ini sebanyak 24 kali jika anda mempunyai banyak kad kredit jika anda ingin mengelakkan daripada dikenakan anual fees ini.


Satu lagi kelebihan menggunakan kad kredit ini ialah anda boleh mendapat pinjaman tunai atau CashXcess sehingga 36 bulan daripada 70 peratus had kredit anda. Namun, CashXcess ini mengenakan caj tetap kepada anda. Contohnya, jika anda ingin melangsaikan hutang baki CashXcess ini, ianya tidak mempunyai rebat dan caj penuh tetap perlu dibayar walaupun lebih awal daripada jadual yang sepatutnya

b. Kad Kredit Maybank Ikhwan Gold (Cinta Pandang Kedua)


Antara kelebihan kad kredit Maybank Ikhwan Gold ialah ianya ialah tiada caj tahunan yang dikenakan oleh bank tetapi hanya caj SST sahaja iaitu RM25 setahun sepertimana kad-kad kredit yang lain. Sebenarnya, saya mendapat kad kredit ini ketika membuat pinjaman untuk membeli kereta sewa pertama saya. Pendek kata, ini adalah cinta pandang kedua saya untuk kad kredit. 


Berbanding dengan kad-kad kredit yang lain, kelebihan utama kad kredit Mybank Ikhwan Gold ini ialah ianya memberi 2 ganjaran iaitu cashback dan poin sepertimana yang saya sebut di atas. Cashback diberikan untuk penggunaan pada hari Jumaat dan Sabtu sahaja sebanyak 5 peratus. Jadi, jika anda ingin betul-betul lenjan cashback ini, anda perlu betul-betul pastikan tangki minyak kereta anda hampir kosong untuk diisi minyaknya pada hari Jumaat atau Sabtu. Manakala untuk hari lain pula ialah anda hanya mendapat bentuk poin.

Kelebihan kad ini ialah ianya memberi ganjaran satu poin untuk setiap RM1 untuk institusi pendidikan. Sudah tentu saya sedang sambung belajar ini akan menggunakan kad kredit Maybank Ikhwan ini untuk membayar yuran setiap semester. Jadi, sebagai imbuhan, saya mendapat poin setiap sekali yuran semester dibayar. Jika 1 semester pun sudah RM3,000 – RM4,000, ha... cuba kira berapa poin kita sudah dapat dengan membayar yuran semester universiti ataupun kolej dengan menggunakan kad kredit ini? Pasti berbaloi-baloi, bukan? 

Bukan itu sahaja, bayar bil TNB, Unifi, bil telefon, boleh mendapat poin! Pemurah betul kad ini, benar bukan?

Secara kasarnya, barang-barang yang boleh ditebus dengan poin dalam katalog kad kredit Maybank ini adalah barang-barang fizikal dan poinnya ialah tiada tarikh luput. Kelemahan kad ini ialah ianya menyediakan 1 poin sahaja bagi setiap RM1 bagi setiap barangan yang dibenarkan pada hari kerja.


Contoh Barang-Barang boleh ditebus dengan poin kad kredit Maybank. Lebih kepada barang-barang fizikal.

c. Kad Kredit Sutera Platinum (Cinta Pandang Ketiga)

Kad Kredit ketiga iaitu kad kredit Sutera Platinum merupakan cinta pandang ketiga saya untuk semua kad kredit yang saya gunakan. Mengapa??? Kerana ianya menawarkan 8 x poin untuk setiap RM1 pembelian untuk barangan tertentu contohnya Shopee, restoran, e-wallet dan sebagainya seperti jadual berikut;


Saya tertarik untuk memohon menggunakan kad kredit Sutera Platinum HLB ini kerana ianya memberi 8x poin untuk setiap pembelian RM1 bagi Shopee dan dining outlets (Restoran). Mengapa? Kerana pada setiap minggu saya akan membeli mainan kepada anak-anak saya melalui Shopee. Sudah tentu ianya lebih berbaloi jika saya menggunakan kad kredit Sutera ini yang memberi 8x point berbanding dengan menggunakan kad kredit Maybank Ikhwan Gold yang memberikan 1x point sahaja. Sudah tentu ianya lagi berbaloi bukan?

Saya juga tertarik membeli menggunakan kad kredit Sutera Platinum ini kerana rewardsnya boleh ditebus dalam bentuk baucer-baucer seperti berikut yang disiarkan oleh kad kredit Hong Leong Bank; 


Penebusan rewards untuk mendapatkan baucer melalui kad kredit Sutera Platinum

Walau bagaimanapun, ada lagi barang-barang fizikal yang boleh ditebus dengan menggunakan kad kredit Sutera Platinum ini. Akan tetapi, kelemahan kad kredit Sutera Platinum ini ialah poin-poinnya mempunyai tarikh luput walaupun memberi ganjaran sehingga 8x poin untuk barang-barang terpilih dan terdapat annual fees yang tetap sebanyak RM120 setahun

d. Kad Kredit Simple UOB (Memenuhi hajat promoter bank)


Haaa... Kad kredit ini saya pohon kerana diperkenalkan oleh seorang promoter kad kredit UOB Bank. Kad kredit Simple Card ini tidak memberi apa-apa poin ataupun cashback sekiranya anda memiliki kad ini. Ianya akan memberi diskaun sebanyak 10% ke atas baki kini kad kredit yang masih ada dengan pembayaran minimum pada setiap bulan. Contohnya, jika anda mempunyai baki bayaran sebanyak RM5,000, dan anda hanya membuat pembayaran minimum sebanyak 5% iaitu sebanyak RM250, maka caj 1.5% daripada baki kad kredit anda adalah RM71.25. Maka anda mendapat diskaun 10% daripada caj RM71.25 iaitu sebanyak RM7.13 dan baki caj anda akan menjadi RM64.12 sahaja. Dengan kata lain, anda mendapat rebat ke atas caj ke atas kad kredit anda.

Kelebihan kad kredit UOB Simple ini ialah ianya menawarkan had kredit sehingga 6 bulan gaji! Memang padanlah dengan tawarannya kerana anda tidak ditawarkan dengan apa-apa rewards sama ada cashback ataupun poin walaupun membuat bayaran penuh baki kad kredit pada setiap bulan. Mungkin ini sesuai anda untuk membeli barang-barang yang sedikit tinggi daripada anda dengan matlamat ingin membayar baki pembelian dalam tempoh tertentu. Kad kredit ini akan dikenakan annual fees selepas 3 tahun digunakan.

e. Kad Kredit Public Bank Petron Visa Gold (Saja test market mohon kad kredit)


Kad kredit Public Bank Petron Visa Gold ini saya saja-saja mohon atas talian dan ditakdirkan kad ini sampai ke alamat pejabat saya tanpa seorang pun kakitangan bank yang menghubungi saya untuk membuat pengesahan sama ada saya betul-betul membuat permohonan kad kredit ini ataupun tidak.

Saya saja memohon kad kredit ini kerana ianya memberi rewards dalam bentuk cashback untuk minyak Petron sahaja. Kad ini tiada annual fees dan oleh sebab itu saya suka-suka sahaja untuk memohon kad ini. Kelebihan kad ini ialah ianya memberi cashback sehingga 5% daripada pengisian petrol Petron tanpa sebarang pembelian minimum dengan had cashback adalah sebanyak RM50 sebulan. Dengan ini, anda perlu mengisi sekurang-kurangnya RM1,000 sebulan untuk mendapat cashback maksimum RM50 sebulan (RM1,000 x 5%).

Ini bergantung kepada strategi anda. Sekiranya anda mengisi minyak dalam RM200 sahaja sebulan dengan menggunakan kad kredit, sudah tentu kad PBB Petron ini memberi anda hanya cashback sehingga 2% sahaja atau RM4 sahaja. Berbanding jika anda menggunakan kad kredit Ikhwan Gold, ianya memberi cashback sebanyak 5% tanpa pengisian minyak minimum untuk pengisian pada hari Jumaat dan Sabtu. Jika anda mengisi minyak RM200 sekalipun dalam tempoh satu bulan, anda masih boleh mendapat cashback 5% ataupun RM10 berbanding kad kredit PBB Petron ini. Tambahan pula, kad kredit Ikhwan Gold ini adalah terpakai kepada semua stesen minyak untuk mendapat cashback ini sehingga RM50 sebulan.

Alamak, terasa silaplah pula pergi mohon dan menggunakan kad kredit PBB Petron ini. Hehehe...

Dengan kad kredit Maybank Ikhwan Gold, anda boleh mendapat cashback dengan pengisian minyak mana-mana stesen petrol pada hari Jumaat dan Sabtu sehingga RM50 sebulan.

Apapun pilihan di tangan anda dalam strategi menggunakan kad kredit. Anda lebih tahu di mana anda di mana anda berbelanja pada setiap bulan untuk memaksiumkan rewards yang diberikan oleh pengeluar kad-kad kredit kepada anda. Sambil membeli sambil mendapat rewards – itulah kelebihan menggunakan kad kredit.

Wallhua’lam.

https://wankamarul701.blogspot.com