Wednesday, January 17, 2024

Menilai Semula Perang Hamas – Israel Selepas 100 Hari

Bak kata Saidina Ali, “Kebatilan yang terancang dapat menghapuskan kebenaran yang tidak terancang.”

Jika kita melihat situasi Perang Hamas – Israel selepas 100 hari setelah meletusnya perang ini pada 7 Oktober 2023, Israel dilihat lebih tersusun dalam gerakan dan strateginya dalam usaha untuk menghapuskan Hamas dan merampas tanah Gaza daripada rakyat Palestin sehari demi sehari. 

Saya masih tertanya-tanya adakah Hamas sebenarnya mempunyai 50,000 orang pejuangnya yang dikatakan masih disimpan walhal jumlah rakyat Palestin yang terbunuh sekian hari meningkat sehingga 24,000 orang sejak peperangan ini meletus pada 7 Oktober 2023 lepas. 

Tidak keterlaluan saya katakan jika cara Hamas ini ialah ibarat lempar batu, sembunyi tangan. Apabila pejuang Hamas melancarkan roket mereka sebanyak 5,000 unit ke atas Israel, Israel pula membalas dengan beratus-ratus kali ganda daripada serangan yang dilancarkan oleh Hamas. Malangnya, apabila Israel membalas serangan, para pejuang Hamas berlindung di dalam terowong bawah tanah manakala yang menjadi sasaran Israel ialah rakyat awam itu sendiri sehingga mereka syahid terkorban. 

Saya bukan ingin memperkecilkan keupayaan Hamas, tetapi melihat senjata yang digunakan oleh Hamas hanyalah RPG dan roket-roketnya sahaja yang kecil berbanding dengan ketenteraan Israel yang boleh menjatuhkan bertan-tan bom ke atas penduduk Palestin akibat tindak balas ke atas Hamas. Kejayaan Hamas setakat ini ialah membuat serangan hendap ke atas tentera Israel yang cuba memasuki Gaza melalui tanah dan menghancurkan kereta-kereta kebal Israel yang dinamakan Merkava antara kereta kebal 5 terbaik di dunia. 

Jika kita melihat peta di atas yang merupakan peta Gaza yang mempunyai 5 daerah utama. Sebelum perang meletus, North Gaza mempunyai penduduk seramai 450,000 orang penduduk, manakala Gaza City yang merupakan bandar utama wilayah Gaza mempunyai 500,000 orang penduduk.

Selepas pengeboman Israel, kurang 20 peratus penduduk Palestin yang tinggal di 2 daerah ini (Gaza Utara dan Gaza City). Penduduk yang tinggal di North Gaza dan Gaza City terpaksa berundur ke daerah Deir el-Balah (400,000 orang penduduk), Khan Yunis (600,000 orang penduduk), dan daerah Rafah (400,000 orang penduduk).

Sehingga kini, Rafah terpaksa menerima perlarian Palestin dari sebelah utara sehingga terdapat 1 juta lebih rakyat Palestin yang berada di sini. Keadaan ini sudah tentu membuatkan Rafah berada dalam keadaan yang sangat kelam-kabut. Perkara ini disebabkan Israel berjaya membunuh penduduk Palestin antara 6,000 – 7,000 orang di kem Jabaliya di North Gaza. 



Jumlah penduduk North Gaza yang berundur ialah seramai 380,000 – 400,000 orang manakala jumlah penduduk Gaza City yang berundur ialah seramai 500,000 orang ke Deir el-Balah. Apabila kem perlarian di Maghazi (Deir el-Balah) dibom secara besar-besaran, para perlarian ini terpaksa lari berlindung ke Rafah.

Strategi Israel pada ini ialah untuk memastikan perlarian Palestin dari North Gaza, Gaza City, dan Deir el-Balah berundur ke daerah Khan Yunis dan Rafah yang juga berhampiran dengan Mesir. Apabila perlarian-perlarian telah lari dari North Gaza, Gaza City, dan Deir el-Balah, pihak Israel akan membina tembok antara sempadan Deir el-Balah dan Khan Yunis dan ingin memastikan semua perlarian ini tidak dapat kembali ke daerah-daerah asal mereka.

Benjamin Nentanyahu dalam kenyataan terbarunya mengatakan dia ingin menyita ketiga-tiga daerah ini dan sudah tentu penduduk Palestin yang telah lari tidak dapat kembali ke kampung halaman mereka.

Keadaan ini menyebabkan keadaan di Rafah begitu ramai penduduk sehinggakan jumlahnya adalah antara 1.5 – 1.6 juta orang walhal bilangan penduduk di Rafah adalah seramai 400,000 orang sahaja sebelum perang. Tambahan pula ia berdekatan dengan Mesir di mana bantuan kemanusiaan berada di sini.

Strategi Israel sebenarnya ialah untuk memastikan Mesir membuka pintu sempadannya untuk menerima perlarian Palestin yang sekarang ini begitu bersesak-sesak di 2 daerah sekarang ini iaitu di Khan Yunis dan Rafah. Kemungkinan Israel akan mengebom kedua-dua daerah ini apabila telah berjaya menawan dan menyita 3 daerah lain iaitu North Gaza, Gaza City, dan Deir el-Balah. Keadaan ini sudah tentu menekan Mesir untuk menerima perlarian Palestin. Jalan-jalan perundingan yang tidak memihak kepada Israel menyebabkan Israel akan meneruskan misi mereka untuk terus mengebom penduduk Palestin.

Walau bagaimanapun, Perdana Menteri Mesir dan Raja Jordan tidak ingin membuka pintu sempadannya kepada para perlarian ini. Membuka pintu sempadan kepada perlarian ini bermakna merestui Israel untuk menghalau penduduk Palestin dari tanah air mereka di mana Nakbah 2 akan bermula walaupun Israel sedia menghulurkan RM42 bilion kepada Mesir untuk menempatkan semua perlarian Palestin di Sinai.

Keadaan ini semakin runcing sekarang di mana jika dahulu 1 bom boleh membunuh 6 orang Palestin dan sekarang 1 bom boleh membunuh 60 orang Palestin pada satu-satu sama lain kerana mereka tinggal bersesak-sesak antara satu sama lain kerana 2.3 juta penduduk wilayah Gaza sebelum ini tinggal di 5 daerah kini tinggal di 2 daerah sahaja iaitu di Khan Yunis dan Rafah.

Jika 100 hari terakhir ini menyaksikan 24,000 orang penduduk Palestin syahid ataupun terkorban atau dengan puratanya 240 orang terkorban sehari, adalah tidak mustahil Israel akan memperhebatkan serangan ke atas penduduk Palestin 100 hari akan datang.

Mungkinkah Mesir akan menerima perlarian penduduk Palestin ini. Dalam masa yang sama, di manakah Hamas untuk membela penduduk Palestin dan tanah air umat Islam?

Wallhua’lam.


https://wankamarul701.blogspot.com

No comments: