Monday, June 6, 2022

Khemah Besar Itu Bagus, Tetapi Jangan Diangkut Sampahnya Sekali Dalam Khemah Ini!


Selepas Kerajaan Pakatan Harapan runtuh pada tahun 2018, parti-parti dalam Pakatan Harapan berantakan sesama sendiri. Pakatan Harapan kian lesu di mata rakyat. Kehadiran mereka dalam arena politik tanah air tidak lagi sehebat sebelum PRU-14. Rakyat seolah-olah tidak lagi percaya kepada pimpinan parti PH ini yang disertai oleh Parti PKR, DAP, dan Amanah. 

Bak kata Raja Formula iaitu Rafizi Ramli yang mengatakan bahawa PH sekarang sudah menjadi sayur kepada Umno. Kehadiran Rafizi Ramli dalam arena politik pada kali ini yang baru sahaja memenangi jawatan Timbalan Presiden PKR diharap dapat memberi nafas baru kepada PKR khususnya dan PH amnya. Tetapi, apa yang ingin dibawa Rafizi Ramli melalui konsep ‘Ayuh Malaysia’? Apakah ayuh mengundi PH? Apakah ayuh menyokong Anwar Ibrahim untuk menjadi PM? Atau apakah ayuh menolak Umno? Jawapan segala-segala bagi persoalan ini terletak kepada Raja Formula ini.

Rakyat kini percaya kepada dasar-dasar Barisan Nasional (BN) yang diketuai oleh big brother Umno khususnya kontrak sosial yang diasaskan sejak mula-mula Tanah Melayu mencapai kemerdekaan yang merangka dan membentuk hubungan sosial yang pelbagai kaum di negara ini. Kini, semua orang boleh menilai bahawa pentadbiran kerajaan PH adalah cacamarba. Isu-isu agama dan kaum dimainkan dengan begitu sengit dan seluas-luasnya dalam media sosial pasca PRU-14.

Dalam keadaan PH berantakan sekarang manakala Umno dan Barisan Nasional sedang menguatkan kedudukan masing-masing, desas-desus mula berkumandang bahawa PRU-15 akan diadakan dalam masa terdekat. Ketika ini, setiap parti-parti politik mula mencari kawan dalam menghadapi PRU-15 ini.

Salah satu cara untuk menjatuhkan Umno dan Barisan Nasional ialah memastikan pertembungan dua penjuru sahaja bagi mana-mana kerusi Parlimen atau Dewan Undangan Negeri (DUN) bagi menghalang kemenangan parti Melayu terbesar ini. Oleh itu, konsep khemah besar muncul di kalangan pemimpin-pemimpin PH yang desperado dengan kebangkitan semula Umno. Khemah besar diwujudkan bagi mengelakkan pertandingan yang bukan sahaja tiga penjuru malah mungkin sehingga tujuh penjuru bagi sesuatu kawasan Parlimen ataupun DUN yang secara tidak langsung akan memberi kelebihan kepada Umno-BN untuk menang jika perpecahan undi berlaku.

Terdahulu, Raja Putar Alam atau Raja Spin kerana suka bercakap berbelit-belit hari ini lain esok lain iaitu Tun Dr. Mahathir Mohamad bersetuju dengan konsep khemah besar tetapi tanpa Anwar Ibrahim dan Muhyiddin Yassin. Siapakah Raja Spin untuk tidak bersetuju dengan sesiapa yang beliau tidak suka bagi membentuk khemah besar? Bukankah beliau yang menjadi punca kejatuhan PH pada tahun 2020 yang menyebabkan parti-parti ini berantakan sesama sendiri? Saya fikir Parti Pejuang yang diasaskan oleh Tun Dr. Mahathir ini tidak akan ke mana lebih-lebih lagi pasca PRU-15 nanti.

Aura Tun Dr. Mahathir kini semakin lama semakin kelam. Kata-katanya kini tidak lagi didengari malah dipekaki oleh orang awam. Kenyataan-kenyataan yang dikeluarkan oleh beliau sejak akhir-akhir ini tidak lebih daripada sekadar lawak jenaka yang berkala jika pun ia bercakap mengenai politik semasa.

Jika dilihat statistik kedudukan bilangan kerusi parlimen parti-parti komponen PH sehingga hari ini ialah DAP mempunyai bilangan kerusi yang terbanyak iaitu sebanyak 42 kerusi, PKR mempunyai 36 kerusi, dan Amanah mempunyai 11 kerusi dengan jumlah keseluruhan bilangan kerusi parlimen PH ialah sebanyak 89 kerusi parlimen. Pakatan ini memerlukan hanya 23 kerusi parlimen sahaja jika ingin membentuk Kerajaan Persekutuan pada PRU-15 dengan syarat boleh mengekalkan kemenangan sedia ada bagi kerusi-kerusi yang ada sekarang. Tetapi, ini sukar untuk mengekalkan kemenangan kerusi sedia ada kerana mungkin ada kerusi yang dimenangi dengan majoriti yang tipis.

Sedar atau tidak sedar Parti DAP yang dikuasai oleh kaum Cina merupakan parti tunggal yang mempunyai kerusi parlimen yang terbanyak iaitu sebanyak 42 kerusi berbanding Umno yang mempunyai kerusi parlimen sebanyak 38 buah kerusi dan PAS sebanyak 17 buah kerusi. Jika kita perasan, pimpinan Parti DAP jarang membuat kenyataan mengenai politik khususnya mengenai parti-parti lain tetapi dalam diam parti ini merupakan parti tunggal yang mempunyai kerusi yang terbanyak di parlimen. Dalam diam parti ini sebenarnya masih berbisa.

Baiklah, jika PH ingin menguasai parlimen, Pakatan ini memerlukan 23 buah kerusi parlimen lagi. Di manakah kerusi parlimen yang ingin dicari atau dikorek oleh Pakatan ini untuk PRU akan datang. Sudah tentu Pakatan ini perlu mencari rakan-rakan politik yang mempunyai pengaruh yang besar ataupun sudah mempunyai nama dalam politik.

Apakah pilihan ada selain daripada Bersatu dan PAS bagi membentuk satu kolaborasi yang utuh bagi menghadapi Barisan Nasional dalam PRU-15 akan datang? Adakah Parti Muda yang baru setahun jagung ingin dijadikan regu untuk menghadapi PRU akan datang? Adakah Pakatan ingin mencari parti-parti pribumi di Sabah sebagai sekutunya walaupun Shafie Apdal menolak konsep khemah besar bersama PH ini?

Akan tetapi, dalam memburu kerusi parlimen ini, PH tidak perlulah mengambil segala sampah sarap bagi menawan semula Putrajaya yakni mengambil katak-katak politik sebagai regu mereka. Apa gunanya hari ini mengangkat sumpah menjadi Perdana Menteri tetapi esok terpaksa melepaskan jawatan Perdana Menteri sepertimana yang berlaku kepada Muhyiddin Yassin.

Benar kata-kata  seorang janda iaitu Nurul Izzah Anwar iaitu PH perlu sekurang-kurangnya untuk kalah PRU dalam dua pusingan lagi untuk memenangi semula Putrajaya bagi meraih sokongan rakyat. Nurul Izzah juga mengakui bahawa kegagalan PH untuk menunaikan manifesto menyebabkan pakatan keramat ini ditolak oleh rakyat. Ada kalanya kita perlu bermaruah untuk menerima kekalahan bagi membina semula kekuatan baru untuk bangkit semula.

Apapun, sebagai rakyat yang membaca Malaysiakini untuk mengetahui perkembangan politik tanah air, ini terserah kepada pimpinan PH bagi menghadapi PRU-15 akan datang. Sudah tentu lawan sebenar mereka ialah Umno-BN yang ingin kembali berkuasa. Biarlah takdir yang menentukan sama ada PH boleh memenangi PRU-15 ataupun tidak.

Wallhua’lam.

https://wankamarul701.blogspot.com

No comments: