Saturday, December 19, 2020

Barangsiapa Yang Mendisiplinkan Diri Dengan Agama, Maka Allah s.w.t. Akan Memberikan Kejayaan Kepadanya Yang Tidak Akan Dicapai Oleh Orang Lain.

Tertarik saya dengan kata-kata Ustaz Wadi Anuar Ayub, “Barangsiapa yang mendisiplinkan diri dengan agama, maka Allah s.w.t. akan memberikan kejayaan dan kecemerlangan kepadanya yang tidak akan  dicapai oleh orang lain.” Beliau memberikan contoh seorang pelajar Azali Azlan yang berjaya mendapat kejayaan dalam peperiksaan SPM dengan 20 A1 dan 1 A2 suatu ketika dahulu. Pelajar ini sentiasa mendirikan solat malam dan menjaga pemakanannya dengan mengambil susu, madu, dan kismis.

Teringat saya sewaktu berada di zaman persekolahan dahulu. Ayat al-Quran dalam Surah Muhammad ayat 7, “Wahai, orang-orang yang beriman! Jika kamu menolong (agama) Allah, nescaya Dia akan menolongmu dan meneguhkan kedudukanmu.” Ayat ini sungguh dan sangat popular di kalangan pelajar ketika itu bahkan ianya boleh diamalkan sekarang walaupun kita telah meninggalkan zaman persekolahan.

Ayat ini untuk mengaitkan tidak perlu kita untuk menelaah pelajaran sehingga lewat malam semata-mata untuk mengejar kecemerlangan keputusan peperiksaan. Apa yang lebih penting ketika itu ialah sibuk-sibukkan diri dengan agama nescaya Allah s.w.t. akan menolong kita dalam kehidupan kita apatah lagi dalam peperiksaan kita.

Teringat saya pada tahun 1999. Ketika itu saya berada di tingkatan 2 dan saya menegur seorang senior tingkatan 5 yang baru mendapat keputusan percubaan peperiksaan SPM dan dia hanya mendapat keputusan agregat 13 sahaja ketika itu. Apabila saya bersahaja bertanya kepada beliau mengapa result rendah sangat lantas dia menjawab, “Belajar 2 tahun tetapi masuk peperiksaan hanya 1 jam sahaja.”

Namun, selepas beberapa waktu berlalu dan selepas mendapat keputusan SPM yang sebenar, dia akhirnya mendapat result SPM dengan agregat 6! Hebat bukan? Saya perhatikan senior saya ini sentiasa melaungkan azan subuh pada setiap hari dan setiap pagi ketika itu. Bahkan dia selalu berdamping dengan al-Quran untuk menghafal ayat-ayat al-Quran. Nah, inilah kehebatan kita apabila mendisiplinkan diri kita dengan agama.

Ketika saya berada di sekolah SMKA Sheikh Abdul Malek, Kuala Terengganu (1998-2001) cerita yang tidak pernah lekang ialah ada pelajar yang mengaji al-Quran pada hari Jumaat selepas solat subuh sehingga tengah hari apabila waktu solat Jumaat menjelang tiba di surau. Manakala ketika saya berada di Kolej Islam Sultan Alam Shah, Klang (2001 – 2002) cerita yang meniti di bibir dari satu generasi ke generasi yang lain ialah surau di asrama ini tidak pernah lekang dari tiada orang selepas waktu Isyak sehingga waktu Subuh sebelum tahun 1995. Maknanya surau di sini dipenuhi dengan pelajar-pelajar yang mengimarahkan surau sepanjang malam.

Saya sendiri pun pernah mengalami perkara ini. Ketika berada sewaktu musim peperiksaan semester keempat di universiti, saya mengaji al-Quran selepas waktu subuh dan saya terlelap seketika. Ditakdirkan (atau mungkin direzekikan) saya bermimpi pensyarah Kalkulus Pembolehubah Kompleks saya memberitahu sebahagian soalan yang akan masuk dalam peperiksaan. Apa yang lebih menakjubkan ialah soalan-soalan yang diberitahu dalam mimpi saya itu akhirnya masuk dalam soalan peperiksaan sebenar! Hebat bukan?

Inilah kehebatan apabila kita mendisiplinkan diri kita dengan agama. Saya di sini hanya menyebutkannya secara praktikal sahaja dan secara teknikalnya terpulanglah kepada anda semua bagaimana untuk mendisiplinkan agama dalam kehidupan kita. Semoga kita diredhaiNya sentiasa. Insya Allah.

Wan Kamarul Ariffin Wan Ahmad (19/12/2020).

No comments: