Thursday, June 21, 2018

Tiada Fakta Yang Mutlak Dalam Sejarah

Semenjak dua menjak ini, kita dapati bahawa banyak fakta-fakta sejarah baru yang ditemui oleh para pengkaji. Apabila ditemui fakta baru ini, maka secara tidak langsung ia menafikan fakta sejarah yang sedia ada yang sudah sedia maklum diketahui oleh masyarakat sebelumnya.

Terbaru, Abdul Razzaq Lubis mengemukakan fakta terbaru iaitu Sutan Puasa yang membuka Kuala Lumpur dan bukannya Yap Ah Loy yang merupakan kapitan cina melalui bukunya iaitu ‘Sutan Puasa : The Founder of Kuala Lumpur’.
Ahmat Adam lagi mengejutkan masyarakat apabila mengejutkan masyarakat apabila mengeluarkan kenyataan Hang Tuah tidak wujud! Walhal Hang Tuah sebenarnya wujud jika menurut catatan sumber Turki dan Patani. Selain itu, Ahmat Adam juga mengemukakan fakta bahawa tahun kedatangan Islam ke Tanah Melayu juga lebih awal daripada yang tercatat pada Batu Bersurat Terengganu. 
Begitu juga dengan tulisan Mat Rofa Ismail yang menyatakan bahawa kedatangan Jepun ke Tanah Melayu adalah sebenarnya untuk mengusir pihak British dari Tanah Melayu kerana Jepun bekerjasama dengan Turki Uthmaniyah untuk mengusir pihak penjajah dari Tanah Melayu. 
Begitu juga dengan kenyataan Majlis Professor Negara mendakwa bahawa Tanah Melayu sebenarnya adalah tidak dijajah. Negeri-negeri yang dijajah adalah sebenarnya ialah Singapura, Pulau Pinang, dan Melaka. Malah, residen-residen British yang berkhidmat di Tanah Melayu juga pun mendapat kuasa daripada sultan melalui perjanjian. Dalam perjanjian yang dibuat ini, tiada terma yang menyebut bahawa Tanah Melayu ini adalah dijajah. Bagaimana dengan kandugan buku teks sejarah di sekolah menengah yang sekian lama menyatakan bahawa Tanah Melayu sebenarnya dijajah sejak tahun 1511 yakni sejak zaman penjajahan Portugis sehingga tahun 1957?
Dalam mengemukakan fakta sejarah, setiap pengkajinya mempunyai kaedah masing-masing dalam melakukan penyelidikan mereka. Apabila kaedah yang digunakan adalah berbeza, maka hasil kajian mereka dapati juga akan berbeza. Oleh itu, kita tidak boleh mengatakan fakta baru yang ditemui itu salah atau sebaliknya. 
Apabila seseorang pengkaji itu menggunakan kaedah A dalam melakukan satu kajian sejarah, maka hasil keputusannya pun adalah A. Jika seseorang itu menggunakan kaedah B dala membuat penyelidikan sejarahnya, maka hasil kajiannya adalah B. Mana mungkin dua penyelidik yang berbeza yang melakukan kajian sejarah yang berbeza boleh menghasilkan keputusan kajian yang sama. 
Itulah perkara yang saya ingin utarakan di sini. Sejarah itu adalah tidak bersifat mutlak – tidak semutlak ilmu sains mahupun matematik. Jika ilmu matematik satu tambah satu jawapannya ialah dua. Jawapan ini adalah mutlak sejak dahulu lagi sehinggalah sampai hari kiamat. In Sya Allah.
Dengan kata lain, ilmu sejarah adalah ilmu yang berkembang kerana banyak lagi kajian-kajian baru yang akan dibongkar oleh para penyelidik sejarah khususnya. Sudah tentu ia kan memberi satu wacana baru kepada masyarakat untuk berfikir. 
Wallhua'lam.

No comments: