Semua orang maklum bahawa kemasukan kaum India secara beramai-ramai giat dilaksanakan ketika zaman kolonial British di Tanah Melayu. Kemasukan kaum India ini adalah dibawa masuk melalui suatu sistem yang dikenali sebagai 'indenture'.
Melalui sistem ini, kaum India yang dibawa masuk ke Tanah Melayu harus bekerja dengan seseorang majikan di sebuah ladang. Mereka harus bekerja secara kontrak dengan tempoh tertentu antara 2 hingga 3 tahun dengan seseorang majikan bagi menebus kos pengangkutan mereka untuk dibawa masuk ke Tanah Melayu. Namun begitu, mereka masih menerima upah apabila bekerja di ladang-ladang dengan jumlah yang kecil.
Berlainan dengan orang-orang Jawa yang dibawa masuk ke Tanah Melayu. Terdapat 2 sistem bagi orang-orang Jawa ini untuk dibawa masuk iaitu sistem Syeikhul Haji dan hamba penebusan. Melalui sistem Syeikhul Haji, orang-orang Jawa ini terlebih dahulu akan dihantar ke Mekah untuk menunaikan haji yang akan dibayar oleh seorang majikan. Sekembalinya mereka pulang, mereka perlu bekerja di Tanah Melayu dengan tempoh tertentu bagi menebus semula kos pembayaran menunaikan haji ini. Manakala sistem hamba penebusan ialah seseorang yang tidak mampu membayar hutang dan perlu bekerja di Tanah Melayu sehingga tempoh tertentu sehinggalah hutangnya habis dilunaskan.
Berbalik kepada kaum India yang dibawa masuk ke Tanah Melayu ini. Apabila mereka dibawa masuk bekerja diladang-ladang di Tanah Melayu, kemudahan mereka di ladang-ladang ini dilengkapi 3 keperluan utama yang dikenali sebagai 3T iaitu Temple (Kuil), Toddy (Todi), dan Tamil School (Sekolah Tamil).
Apabila negara ini mula berkembang untuk maju dan pesat, secara tidak langsung ini menyebabkan ladang-ladang ini dibuka untuk tujuan pembangunan dan menghapuskan keperluan-keperluan asas kaum India ini. Maka sebab itu, timbul masalah sosial di kalangan masyarakat kaum India apabila mereka berpindah atau dipindahkan ke tempat lain apabila mereka tidak mendapat 3 keperluan asas masyarakat mereka ini. Oleh sebab itu, tidak hairanlah bahawa walaupun jumlah penduduk India di negara ini adalah sekitar 2 juta orang, maka peratus masalah sosial di kalangan kaum ini adalah paling tinggi di dalam negara ini
Pembangunan negara dalam sesebuah masyarakat majmuk haruslah melihat keperluan nilai budaya bagi sesuatu masyarakat bagi mengelak berlakunya masalah sosial dan masalah-masalah lain di belakang hari.
Wallhua'lam.
No comments:
Post a Comment