Tanggal 25 Mei
2022 (Rabu) merupakan tarikh yang mungkin sukar dilupakan dalam hidup saya
kerana ibu saya atau Ummi telah meninggalkan kami 8 beradik buat
selama-lamanya. Kini, saya tidak lagi berayah mahupun beribu. Ayah telah
meninggal dunia pada 3 Mei 2003 ketika saya berumur 18 tahun dan adik bongsu
berumur 3 tahun. Ketika itu, kami mempunyai 9 orang adik-beradik. Manakala adik
saya yang kelima (saya anak sulong) telah meninggal dunia pada tahun 2016.
Bermula tahun 2003 bermulalah kami sekeluarga hidup tanpa ayah. Ummi saya tetap tabah bekerja sebagai jururawat membesarkan kami sembilan beradik. Sebagai jururawat, ummi bekerja mengikut shif – pagi (7.00 pagi – 2.00 petang), petang (2.00 petang – 9.00 malam), dan malam (9.00 malam – 7.00 pagi). Ummi menghadapi kesukaran apabila dijadualkan untuk bekerja shif malam kerana ketika itu adik-adik saya masih kecil dan belajar. Memang sukar untuk tinggalkan adik-beradik yang masih bersekolah pada waktu malam. Oleh itu, Ummi meminta tolong mana-mana sepupu kami untuk menjaga adik-adik apabila bekerja waktu shif malam apabila saya tiada di rumah yang ketika itu sedang masih belajar di universiti. Semoga Allah s.w.t. membalas jasa kalian.
Ketika berada di matrikulasi di Kolej Mara Kulim, bermulalah liku-liku kehidupan saya selepas pemergian ayah pada tahun 2003. Saya tidak boleh lagi bermewah-mewah seperti dulu ketika ayah ada. Ketika berada di asrama sekolah dari Tingkatan 1 hingga Tingkatan 5, saya kadang-kadang berbelanja sesuka hati sahaja. Fikiran saya ketika itu mudah sahaja, kalau tiada duit, minta sahaja dengan ayah untuk berbelanja. Habis cerita.
Ketika di matrikulasi inilah saya mula menghargai kesusahan saya. Makan di asrama pada waktu malam adalah pada waktu petang iaitu dari jam 6.00 petang – 7.00 malam. Selepas waktu itu, para pelajar boleh makan di cafe pada waktu malam dengan duit poket sendiri. Ketika inilah saya mula ikat perut saya. Apabila orang makan di cafe pada waktu malam, saya hanya membeli roti Gardenia perisa jagung 2 unit sahaja dengan harga RM0.50 satu (Pada hari ini roti Gardenia ini dijual dengan harga RM0.90 satu) sebagai alas perut sehingga pada keesokan harinya. Saya tidak boleh minta duit lebih daripada Ummi kerana pendapatan Ummi adalah terhad dan adik-beradik lain juga memerlukan belanja masing-masing. Pada zaman inilah saya menghargai setiap sen yang saya ada untuk berbelanja walaupun kadang-kadang terbabas juga untuk berbelanja pada hari ini.
Saya masih teringat lagi ketika waktu kecil. Ketika itu rumah lama. Rumah sekarang adalah rumah yang dibina pada awal 1990-an di atas tapak rumah lama. Ada atap rumah bocor ketika itu. Pada malam hari ketika Ummi pulang dari kerja pada waktu malam, hujan lebat ketika itu. Terpaksa menadah air hujan yang bocor dengan baldi dan besen. Bukan ada apa-apa bagi bahagian ini. Sekadar bercerita. Memori lama ketika masih kecil.
Sepanjang hidup saya sehingga Ummi menghembuskan nafas terakhir, saya tidak pernah Ummi menyebut perkataan-perkataan yang negatif seperti orang kebiasaan umpama bodoh, menatang (loghat Terengganu), dan sebagainya. Saya juga tidak pernah melihat Ummi mengambil atau menolak barang dengan kaki. Semoga Allah s.w.t. merahmati Ummi.
Teringat saya ketika darjah 1 pada tahun 1992. Waktu itu jamuan raya kelas 1 Kuning diadakan dan semua pelajar-pelajar kelas perlu membawa kuih raya masing-masing. Ini zaman 1990-an. Istilah ‘potluck’ masih tiada lagi ketika itu. Saya membawa kuih raya berperisa cengkih buatan tangan Ummi. Saya fikir kuih raya ini tidak habis kerana kuih ini rasanya bukanlah sedap sangat tetapi biasa-biasa sahaja. Apabila saya membawa pulang bekas kuih raya ini, dengan izin Allah s.w.t., kuih raya berperisa cengkih ini habis kesemuanya. Dalam hati berdetik, “Best juga kuih raya ini agaknya sampai habis dimakan oleh kawan-kawan...”
Ummi sering bercerita. Masa saya berumur 5 tahun, pada kebiasaannya van yang berulang-alik untuk hantar dari rumah ke tadika pada setiap hari. Pada suatu ketika, van rosak dan jip terpaksa digunakan untuk mengangkut budak-budak. Ketika jip datang rumah, saya mengamuk tidak mahu ke sekolah kerana jip yang ambil dan bukannya van. Akhirnya, saya tidak sekolah pada hari tersebut. Saya masih ingat insiden ini sebenarnya sehingga pada hari ini. Kadang-kadang saya buat lupa kerana malu pada diri sendiri apabila Ummi bercerita. Hahaha...
Keredhaan Allah s.w.t. terletak pada keredhaan ibu bapa. Saya masih ingat ketika berada di Tingkatan 4 pada tahun 2001. Ketika itu, saya menerima untuk menyambung pengajian saya di Kolej Islam Sultan Alam Shah, Klang (KISAS) selepas Peperiksaan Menengah Rendah (PMR). Kiranya KISAS ini sekolah elit juga ketika itu (dan mungkin juga sekarang). Saya pada mulanya ditawarkan aliran agama di sekolah ini tetapi menukar ke aliran sains. Maklumlah, aliran sains ketika itu lebih glamour pada zaman budak-budak.
Walaupun didesak berkali-kali oleh Ummi sebelum itu agar mengambil aliran agama, saya berkeras (ataupun berdegil) untuk mengambil aliran sains. Dengan takdir Allah s.w.t., saya sebenarnya tidak pernah mendapat gred A dalam subjek Fizik, Kimia, dan Biologi dari mula-mula ujian pertama Tingkatan 4 sehinggalah keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). Ini mungkin kerana tiada keberkatan apabila melawan kata-kata Ummi agar tidak mengambil aliran sains walaupun saya ini menelaah pelajaran sehingga ke lewat malam. Keputusan SPM saya hanyalah 5A 6B di mana ‘B’ itu termasuklah semua subjek sains. Saya fikir, “Kalau aku ambil aliran agama dahulu agaknya boleh skor 9 – 10 A dalam peperiksaan SPM dulu.” Apa boleh buat sekarang. Benda yang lepas, usah dikenang lagi.
“Pakar matematik...Pakar matematik...Pakar matematik...” Itulah gelaran yang diberikan kepada saya apabila memasuki alam pekerjaan walaupun saya ini bukanlah pandai sangat dalam bidang matematik walaupun nampak pandai. Tidak kurang juga ada boss yang menepuk belakang saya sambil berkata, “Bukan calang-calang Melayu ni pandai matematik.” Bukan apa, masyarakat melihat matematik sebagai suatu bidang yang sukar dikuasai.
Sebenarnya, ketika memohon pengajian di IPTA selepas tamat matrikulasi pada tahun 2004, Ummi meminta saya supaya belajar sahaja di Kolej Universiti Sains Teknologi Malaysia (KUSTEM) ataupun dikenali sebagai Universiti Malaysia Terengganu (UMT) pada hari ini. Ketika itu, para lepasasan matrikulasi kebiasaannya akan memilih universiti-universiti awam yang premier seperti Universiti Malaya (UM), Universiti Sains Malaysia (USM), Universiti Teknologi Malaysia (UTM), dan sebagainya untuk menyambung pelajaran bagi peringkat ijazah pertama manakala kolej-kolej universiti ketika itu (sekitar tahun 2003-2004) dianggap sebagai universiti lelong iaitu tempat pelajar-pelajar matrikulasi yang tidak mendapat pointer yang tinggi.
Ketika mengisi borang permohonan UPU secara online ketika itu, para pemohon hanya boleh mengubah borang permohonan sebanyak 3 kali sahaja. Entah bagaimana, sewaktu saya membuat pilihan permohonan universiti (terdapat 8 buah pilihan universiti untuk permohonan IPTA) bagi kali kedua saya klik pada borang permohonan dengan pilihan pertama universiti ketika ialah KUSTEM dengan program Ijazah Sarjana Muda Sains (Matematik Komputasi) dan berhasrat untuk mengubahnya semula. Kemudian, saya tersilap klik permohonan kali ke-3 itu sama permohonan kali ke-2 dengan pilihan pertama adalah KUSTEM dengan kursus yang sama! Oleh itu, permohonan secara online tidak boleh dipinda lagi.
Apabila memasuki KUSTEM, rakan-rakan saya cuba memujuk saya dengan mengatakan mungkin rezeki kau dekat sini. Saya redha sahaja. Ummi menyarankan supaya saya untuk belajar di KUSTEM yang terletak di Mengabang Telipot, Kuala Terengganu supaya mudah berulang-alik dari Dungun pada hujung minggu kerana ayah sudah meninggal dunia. Dan jika saya ada di rumah pada hujung minggu di rumah, mudah urusan Ummi dan adik-adik yang lain untuk ke mana-mana.
Itulah aktiviti saya secara mingguan iaitu berulang-alik dari Kuala Terengganu – Dungun pada setiap minggu. Pada semester pertama saya berulang-alik dengan menaiki bas. Pada semester kedua sehingga habis semester keenam, saya berulang-alik dengan menaiki motorsikal. Awal-awal berasa letih dan susah juga kerana berulang-alik naik motorsikal. Alah tegal, biar biasa. Lama-kelamaan saya sudah biasa berulang-alik selepas itu. Apabila baru sahaja memasuki alam pekerjaan dan tinggal di rumah sewa, rakan-rakan serumah saya pernah tegur saya, “Badan nama tough.” “Badan demo ada shape.” “Badan mu katang.” Saya menceritakan bahawa saya selalu ulang-alik naik motor dahulu dan tambahan pula saya memasuki Tae Kwon Do. Mungkin aktiviti-aktiviti ini yang membentuk tubuh badan saya dahulu.
Terdetik juga di waktu itu, Universiti Malaysia Terengganu disebut UMT. Dalam hati saya, namanya dekat-dekat dengan nama UM (Universiti Malaya) apabila singkatan dua huruf pertama adalah sama. Saya pun tidak sangka berjaya mendapat Ijazah Sarjana saya di Universiti Malaya (UM) selepas 12 tahun menamatkan pengajian saya ijazah pertama saya di UMT.
Mungkin ujian yang hebat dilalui sewaktu ingin mendapatkan ijazah pertama saya ialah ketika menjalankan latihan praktikal di UiTM Dungun. Walaupun hati saya berat ketika itu untuk menjalankan latihan praktikal di KWSP ketika itu selepas membuat istiqarah, Ummi meminta saya menjalankan latihan praktikal di UiTM Dungun. Saya mengikut sahaja arahan Ummi. Mudah untuk Ummi dan yang lain untuk ke mana-mana apabila saya tinggal di rumah. Malangnya, saya sentiasa dimarahi dan dimaki hamun ketika menjalankan praktikal di sini selama 3 bulan. Semua kakitangan di sini boleh dikatakan hanya tahu ingin menghentam saya dan mencari salah saya sahaja. Selepas habis praktikal di sini, saya membawa diri sahaja dan tidak lagi datang ke sini. Biarlah mereka dengan muka-muka mereka.
Pernah suatu ketika saya bersembang dengan Ummi selepas tiba di kampung dari Sungai Buloh sehingga 4 pagi. Saya juga pernah balik secara tiba-tiba pada awal tahun ini iaitu pada 1 Januari 2022 dan hanya memaklumkan kepada adik saya untuk pulang ke rumah. Apabila saya tiba, adik saya memberitahu kepada Ummi, “Ummi, Kamarul balik...” Adik saya memang hendak membuat surprise kepada Ummi dengan kepulangan saya. Ummi pun terkejut dengan kepulangan saya.
Sebagai manusia, kita seharusnya akur dengan kehendakNya. Ditakdirkan Ummi jatuh sakit seminggu sebelum bulan puasa pada tahun ini. Paru-paru Ummi menjadi lemah kerana Ummi diserang Covid-19 sebelum itu. Ummi dimasukkan Hospital Setiu kerana hospital ini mempunyai tong oksigen yang besar bagi pesakit yang memerlukan oksigen. Ummi dibenarkan untuk keluar wad selepas itu dan saya berharap agar Ummi sihat seperti sedia kala.
Walaupun Ummi dibenarkan keluar dari wad selepas itu, Ummi hanya duduk di dalam bilik sahaja di rumah dan terpaksa memakai tong oksigen yang disewa dari farmasi. Saya berharap Ummi benar-benar boleh sembuh selepas ini. Ketika balik raya pada tahun ini, saya hanya berborak dengan Ummi dalam bilik sahaja kerana Ummi perlu memakai tong oksigen. Ummi hanya terpaksa duduk di atas katil sahaja melainkan untuk ke bilik air.
Ditakdirkan Ummi sekali lagi terpaksa masuk wad kerana jika dahulu paru-paru lemah dan kini jantung pula lemah. Ummi dimasukkan wad pada 23 Mei 2022 (Isnin). Adik saya meminta saya pulang ke Dungun pada hari Rabu memandangkan sepanjang hari Selasa badan Ummi sudah banyak tidak bergerak. Saya bergerak pulang ke Dungun pada pagi Rabu (25 Mei 2022). Saya sudah berasa tidak sedap hati. Sewaktu singgah di RNR Temerloh untuk menunaikan solat Zohor, saya terbayang wajah Ummi sudah meninggal dunia ketika melihat tadahan air di tangan. Hati saya sudah tidak tenteram dan tidak lalu makan ketika itu.
Ketika meneruskan perjalanan saya dan ketika berada di Kijal, saya dihubungi oleh adik saya dan mengatakan hospital menyuruh membawa pulang Ummi ke rumah untuk berjumpa dengan anak dan menantu. Dengan kata lain, Ummi sudah tiada harapan untuk hidup. Kuasa Allah s.w.t. mengatasi segala-galanya. Adik saya menghubungi saya sekali lagi ketika saya berada di Paka dan menyatakan Ummi sudah tiada. Allahuakbar!
Apabila saya tiba di rumah, ambulans masih ada. Apabila saya naik ke atas rumah kelihatan mayat Ummi terbujur kaku di atas katil. Adik-adik saya masih menangis merapati pemergian Ummi buat selama-lamanya. Saya menerima ketentuan ini seadanya. Semoga Allah s.w.t. mengampuni dosa-dosa Ummi dan mempermudahkan urusan Ummi di alam sana.
Saya masih teringat dengan kata-kata arwah saya yang masih terngiang-ngiang di telinga sehingga ke hari ini dengan mengatakan, “Kamarul bukan pandai sangat nak masuk Kolej Islam. Kamarul dengar kata-kata Ummi je...”
Wallhua’lam.
Dari anakmu
yang serba kekurangan,
Wan Kamarul
Ariffin bin Wan Ahmad,
Tiara
Sendayan, Labu,
31 Mei 2022.
1.04 a.m.
No comments:
Post a Comment