Walaupun debat antara Najib dan Anwar sudah hampir seminggu melabuhkan tirainya, namun ia masih hangat untuk perkatakan dan diperbincangkan. Debat ini dilihat sebagai terlalu formal dan mungkin tidaklah boleh dikatakan sebagai debat perdana. Mungkin kerana untuk menjaga keharmonian, kesusilaan, dan tatatertib suasana debat ini kepada penonton-penonton di rumah. Apatah lagi debat pada kali ini membawa dua tokoh figura yang terhebat iaitu antara bekas Perdana Menteri, Mohd. Najib dan Ketua Pembangkang, Anwar Ibrahim.
Peraturan-peraturan dalam dewan tempat debat ini diadakan bolehlah dikatakan terlalu ketat di mana para penonton tidak boleh untuk bertepuk tangan apatah lagi untuk bersorak-sorak untuk menjaga ketenteraman dewan. Oleh itu, ia tidaklah sehebat debat antara Khairy Jamaludin dan Rafizi suatu ketika dahulu yang membawa isu PTPTN yang masing-masing meriah dengan sorak-horey antara penyokong kerajaan dan penyokong pembangkang sehingga terpaksa ditenangkan oleh moderator ketika itu.
Jika dilihat dari segi pakaian kedua-dua pemimpin ini, tampaknya Mohd. Najib memakai pakaian lebih kemas dengan berkot biru. Seolah-olah membawa gaya masih menjadi seorang Perdana Menteri dan tiada apa-apa tuduhan di mahkamah. Berlainan dengan Anwar Ibrahim yang berpakaian agak selekeh. Mungkin ini gaya yang dipilih oleh Anwar Ibrahim supaya kelihatan lebih santai.
Saya pun masih tertanya-tanya sehingga sekarang. Pada mulanya, perang media sosial antara Mohd. Najib dan Rafizi bermula apabila mereka saling bertelingkah mengenai Sapura Energy Berhad (SEB) yang membawa kepada mereka untuk berdebat. Kemudian, Najib mencabar boss Rafizi iaitu Anwar Ibrahim untuk berdebat sekali. Dengan kata lain, debat ini adalah dua lawan satu tetapi akhirnya debat ini berlangsung satu lawan satu iaitu antara Mohd. Najib dan Anwar Ibrahim.
Dari segi hujah antara kedua-dua tokoh figura politik ini, boleh dikatakan tiada apa yang baharu yang dibawa oleh kedua-dua pemimpin ini. Walaupun Mohd. Najib dikatakan lebih bersedia dalam acara debat ini berbanding Anwar Ibrahim dengan menyebut segala kejayaan-kejayaannnya sewaktu menjadi Perdana Menteri selama 9 tahun. Namun, apa yang dihujahkan oleh Mohd. Najib sepanjang debat ini sebenarnya sudah disebut berulang-kali dalam media sosial Facebooknya di samping mengulangulang kelemahan pentadbiran Kerajaan PH selama 22 bulan. Begitu juga dengan Anwar Ibrahim yang hanya menyebut penyelewengan dalam urus tadbir SEB – modal pembangkang untuk menyerang kerajaan dari dulu sampai sekarang – rasuah, rasuah, dan rasuah. Anwar Ibrahim gagal mengutarakan idea untuk membina ekonomi yang mapan bagi negara masa hadapan.
Oleh itu, tiada apa yang baru dalam debat perdana pada kali ini. Mungkin sebagai laba politik untuk menunjukkan keberanian masing-masing yang mewakili parti masing-masing iaitu Umno dan Keadilan yang masih terhuyung-hayang bagi meraih sokongan politik untuk menghadapi PRU-15.
Mungkin pada masa hadapan, penganjur-penganjur boleh menonjolkan tokoh-tokoh pemimpin politik muda yang masih mendaki dalam arena politik untuk berdebat. Buah-buah fikiran atau idea mereka boleh ditonjolkan kepada masyarakat umum setidak-tidaknya untuk membina negara pada masa hadapan.
Wallhua’lam.
https://wankamarul701.blogspot.com
No comments:
Post a Comment