Saturday, September 30, 2017

Hanya Negeri-Negeri Selat Sahaja Dijajah oleh British

Kenyataan Majlis Professor Negara bahawa negara Malaysia adalah tidak pernah dijajah pernah menggemparkan negara suatu ketika dahulu. Telahan masyarakat dibuat dengan menyatakan bahawa jika Malaysia tidak pernah dijajah suatu ketika dahulu, mengapa kita perlu menyambut hari kemerdekaan pada setiap tahun?

Tun Dr. Mahathir apabila ditanya mengenai persoalan ini, beliau menjawab, “Memang benar Tanah Melayu tidak pernah dijajah tetapi Residen British bertindak lebih daripada seorang penasihat sultan.”

Menarik juga apabila mengikuti kelas Sejarah Malaysia pada hari ini di mana pensyarah saya menyatakan bahawa Malaysia ini tidak pernah dijajah?

Mengapa beliau berkata sedemikian?

Ini kerana residen-residen British yang mendapat kuasa daripada sultan-sultan Tanah Melayu untuk memerintah di setiap negeri Tanah Melayu. Apabila Residen ingin membuat sesuatu perkara atau dasar, mereka perlu mendapatkan tandatangan sultan terlebih dahulu.

Begitu juga dalam Majlis Mesyuarat Negeri di mana Sultan menduduki tangga teratas dalam hierarki majlis mesyuarat ini.

 Jika Tanah Melayu dijajah, maka sistem kesultanan sudah seratus peratus sudah dihapuskan dari mana-mana negeri Tanah Melayu. Oleh itu, negeri-negeri yang betul-betul dijajah ialah Melaka, Singapura, dan Pulau Pinang atau lebih dikenali sebagai Negeri-Negeri Selat di mana negeri-negeri ini langsung tiada institusi kesultanan dan diperintah secara langsung oleh pihak British.

Wallhua’lam.

Friday, September 29, 2017

Cuit-cuit : Mesin Basuh

Semua orang kecoh dengan kemarahan Sultan Johor terhadap pengusaha dobi di Muar yang membenarkan hanya orang-orang Islam sahaja menggunakan perkhidmatan dobinya atas alasan untuk menjaga kesucian. Ini bukan Negara Taliban menurut baginda dan bertentangan dengan konsep bangsa Johor (Saya tidak dipanggil bangsa Terengganu walaupun berasal dari Terengganu).

Menurut Dr. Maza, tindakan ini sebenarnya bertentangan dengan Islam kerana Islam tidaklah menyempitkan umatnya untuk berbuat sesuatu mungkin duit pun perlu diasingkan antara orang Islam dan bukan Islam kerana bimbang duit tersebut sudah terkena najis berat. Berlainan pula dengan PPIM yang menyatakan bahawa tindakan pengusaha dobi tersebut adalah perkara biasa.

Saya secara peribadi sewaktu tinggal di asrama sewaktu belajar di university dahulu tidak menggunakan mesin basuh coin yang disediakan kerana asrama tersebut turut dihuni oleh orang-orang bukan Islam yang turut menggunakan mesin basuh tersebut. Bukan apa, bimbang dari sudut kesucian pakaian jika menggunakan mesin masuh tersebut. Ini secara peribadi sahaja.

Berlainan dengan najis orang-orang bukan Islam yang makan benda-benda yang diharamkan di mana najis yang keluar dari dubur atau qubur mereka tidak dikira sebagai najis berat.

Wallhua'lam.

Sunday, September 17, 2017

Syahidnya Hamzah Abdul Mutalib


Di dalam sejarah Islam, Perang Badar merupakan perang pertama dalam lembaran sejarah Islam di mana perang ini dimenangi oleh umat Islam.
Manakala Perang Dunia Pertama merupakan jihad terakhir umat Islam sebelum institusi khilafah dibubarkan secara rasminya pada tahun 1924 oleh Mustafa Kamal Ataturk. Perkara ini diceritakan di dalam buku penulis yang bertajuk ‘Peperangan Terakhir Uthmaniyah : Runtuhnya Sebuah Institusi & Tinggalannya di Alam Melayu'.
Dalam Perang Badar ini, tentera musyrikin mempunyai tiga orang pahlawannya iaitu Utbah bin Rabiah, al-Walid (Anak Utbah), dan Syaibah (Saudara Utbah).
Utbah ialah datuk Muawiyah bin Abu Sufyan di sebelah ibunya dan juga merupakan ayah kepada ibunya iaitu Hindun.
Di pihak Muslimin, tiga pahlawan utama dalam Perang Badar ialah Hamzah bin Abdul Mutalib, Ali bin Abu Talib, dan Ubaidah bin al-Harith. Ketiga-tiga pahlawan Islam ini mempunyai pertalian keluarga dengan Nabi Muhammad s.a.w.
Dalam Perang Badar, Ali menewaskan al-Walid, Hamzah menewaskan Utbah, dan Syaibah juga turut tumpas kepada ketiga-tiga pahlawan Islam ini. Ubaidah luka dan akhirnya syahid dalam Perang Badar ini. Walaubagaimanapun, umat Islam memenangi Perang Badar ini.
Dalam Perang Uhud pula, sebagaimana kita sedia maklum, umat Islam tewas kepada tentera musyrikin. Malah Hamzah juga turut syahid dalam perang ini.  Orang yang membunuh Hamzah ialah Wahsyi iaitu seorang hamba milik Jubair bin Muta’im yang cekap memanah.
Kerana berjayanya Wahsyi membunuh Hamzah, dia diberi kebebasan dan upah. Tidak kurang daripada itu, Hindun binti Utbah turut menghadiahkan kalung mutiara kepada Wahsyi kerana telah membunuh Hamzah yang telah membunuh ayahnya sewaktu Perang Badar dahulu.
Bukan setakat itu sahaja dendam Hindun kepada Hamzah, mayat Hamzah dikelar-kelar oleh Hindun bahkan juga dipotong perutnya dan dikeluarkan hatinya untuk dimakan. Oleh sebab itu, Muawiyah digelar sebagai ‘anak orang makan jantung’.
Namun, selepas itu, Wahsyi yang membunuh Hamzah bin Abdul Mutalib itu kemudian memeluk agama Islam dan bertanggungjawab membunuh Musailamah al-Kazzab iaitu orang yang mendakwa sebagai nabi untuk menyaingi Nabi Muhammad s.a.w.
Wallahu’alam.