Tuesday, October 28, 2014

Menghantar Sampel Buku ke Perpustakaan Negara Malaysia (PNM)


Alhamdullilah, saya sudah menghantar sampel buku kepada Perpustakaan Negara Malaysia (PNM). 5 sampel buku dikehendaki diberi kepada PNM setelah kita mendapat nombor ISBN daripada pihak mereka setelah buku kita siap dicetak. Nombor ISBN ini penting sebagai hak cipta karya buku kita. Apa yang lebih penting, tiada orang yang boleh mencetak rompak karya buku kita kerana sudah dilindungi oleh nombor ISBN ini. Jika anda gagal menghantar 5 sampel buku bagi setiap ISBN dipohon, anda akan didenda sebanyak RM3,000. 

Saya sengaja memberi sampel buku kepada PNM by hand kerana secara mencari pengalaman pergi ke Perpustakaan Negara. Pernah lalu sahaja depan Jalan Tun Razak ini dan melihat pemandangan dari luar sahaja perpustakaan ini. Sekali-sekala apa salahnya merasa pengalaman masuk ke dalam PNM ini apatah lagi pergi pula ke bahagian ISBN. Anda pula bagaimana? Bila pula ingin mendapatkan nombor ISBN untuk menerbitkan sendiri buku anda?

Monday, October 27, 2014

Untuk Menjadi Kaya, Wang Perlu Berputar Secara Ghaib dan Bukannya Diperam


Di dalam falsafah ekonomi Islam, wang itu perlu berputar dalam negara dan ia tidak boleh disimpan. Analoginya mudah sahaja. Kerajaan mewujudkan skim-skim perumahan untuk rakyat. Maka wujudnya permintaan terhadap bahan-bahan untuk membuat rumah seperti simen, batu-bata, kayu, dan sebagainya untuk membina rumah. Kemudian, rakyat pula akan membuat pembiayaan perumahan daripada pihak bank untuk membeli rumah. Ini secara tidak langsung akan merancakkan pertumbuhan ekonomi sesebuah negara. Jika kerajaan tidak membuat apa-apa, maka pergerakan wang ini tidak berlaku dalam sesebuah negara dan ini menyebabkan pertumbuhan ekonomi negara akan terbantut.

Ini adalah falsafah yang dipegang oleh Dr. Mahathir dalam memacu ekonomi negara untuk meletakkan ianya kedudukan yang lebih tinggi. Falsafah beliau ialah apabila wang berada dalam suatu pihak sahaja dan tidak bergerak maka ia tidak akan menjana kekayaan. Oleh itu, apabila kerajaan berbelanja bermakna kerajaan sebenarnya membuat pelaburan untuk rakyat dengan mewujudkan permintaan dan penawaran dalam negara. Si A membeli daripada Si B. Kemudian, Si B membeli daripada Si C. Akhirnya, ketiga-tiga pihak ini akan dapat membuat keuntungan daripada pembelian ini dan cukai akan dikenakan untuk dibayar kepada Kerajaan. Kerajaan yang mendapat hasil cukai ini akan mengembalikan semula kepada rakyat dalam bentuk pembangunan infrastruktur, kenaikan gaji atau pencen, dan sebagainya. Dengan ini, wujudnya pertumbuhan ekonomi dalam negara.

Saya ingin cuma membawa anda semua mengenai perkara ini dalam konteks pengurusan kewangan peribadi kita. Mungkin anda berkata bahawa kita perlu berbelanja untuk meningkatkan kekayaan kita dan bukannya menyimpan wang simpanan kita apatah lagi kadar inflasi akan menghakis nilai wang simpanan kita dengan berbelanja memiliki pakaian mewah, kenderaan mewah, dan sebagainya untuk menggalakkan pertumbuhan ekonomi dalam negara kita. Sudah tentu tindakan kita ini akan memufliskan wang kita apatah lagi sanggup berhutang setinggi gunung untuk memiliki barangan yang luar batas kemampuan sendiri. Ini akan memusnahkan kewangan kita secara total.

Apa yang saya ingin nyatakan di sini ialah kita jangan lupa mengenai tuntutan agama dengan apa yang kita perolehi hasil daripada bekerja ataupun berniaga. Islam mewajibkan kita untuk membayar zakat dan menggalakkan kita untuk bersedekah. Daripada pendapatan kita yang diterima pada setiap bulan, jangan lupa ada bahagian untuk orang yang wajib menerima sebahagian daripada pendapatan kita sebanyak 2.5 peratus. Ini termasuk juga wang simpanan sama ada dalam ASNB, Tabung Haji ataupun simpanan-simpanan lain yang wajib dikeluarkan zakat apabila cukup haul dan nisabnya. Ini menunjukkan bahawa wang simpanan kita pun perlu berputar! Pun begitu, kita juga dianjurkan bersedekah.

Ini bermakna kita perlu memastikan bahawa wang kita berputar secara ‘ghaib’ untuk mendapatkan manfaat kekayaan yang lebih besar untuk diri kita sendiri. Suka saya menyatakan perkara ini bahawa saya akan terbaca catatan sebuah blog mengenai seorang hamba Allah s.w.t. yang banyak bersedekah sehinggakan pendapatannya mencecah RM600 ribu sebulan! Alangkah hebatnya kuasa sedekah ini.

Jika dalam prinsip menambah wang simpanan, Brian Tracy memperkenalkan Prinsip Sendal Baji iaitu menyimpan 50 peratus kenaikan gaji tahunan ke dalam tabung simpanan. Jika kenaikan gaji tahunan kita ialah sebanyak RM200 setahun, maka kita perlu menyimpan RM100 setiap bulan. Ini dilakukan tahun demi tahun. Akhirnya, simpanan kita akan mencecah 6 angka!

Bagaimana sekiranya aplikasi prinsip dalam bersedekah? Jika wang simpanan, kita perlu mempertingkatkan tahun demi tahun mengikut kenaikan gaji tahunan kita. Jika bersedekah, kita perlu mempertingkatkan dari ke bulan demi bulan ataupun hari demi hari mengikut keupayaan anda. Jangan bimbang sekiranya berasa wang tidak cukup. Cubalah. Anda berasa duit anda pasti akan cukup jika berniat untuk mempertingkatkan jumlah sedekah hari demi hari ataupun bulan demi bulan. Nescaya niat atau matlamat anda pasti tercapai untuk mempertingkatkan jumlah sedekah dari semasa ke semasa.

Ini adalah strategi untuk mempertingkatkan kekayaan melalui strategi wang berputar secara ghaib kerana balasannya adalah 700 peratus daripada hasil kita laburkan. Tidak percaya? Cubalah!

http://wankamarul701.blogspot.com

Friday, October 24, 2014

Ledakan Ilmu Usul Fiqh : Kecelaruan atau Kurang Pemahaman Ummah?


Anjing dan babi – Inilah perkara yang amat sensitif bagi umat Islam khususnya orang-orang melayu yang tinggal di Malaysia. Kita tentu pernah mendengar orang-orang Islam minum arak tetapi kita tidak pernah mendengar orang makan anjing ataupun babi. Ini adalah kerana kedua-dua perkara ini adalah HARAM.

Malangnya, isu anjing dan babi sering dimainkan oleh orang bukan Islam di negara ini. Mungkin sengaja ingin bermain dengan sensitiviti umat Islam di negara ini. Kita sebagai orang Islam sudah tentu marah apabila kedua-dua perkara ini dipermainkan contohnya ada unsur babi dalam makanan sejak sekian lama.

Isu terbaru pula yang timbul ialah program ‘I Want Touch A Dog’. Apakah hukum memegang anjing? Hukumnya mudah sahaja iaitu harus apabila kita memegang anjing apabila tangan kita dalam keadaan kering dan haram hukumnya memegang anjing apabila tangan kita dalam keadaan basah. Saya bukannya menyokong program tersebut tetapi mengajak anda semua menilainya dari sudut fekah.

Begitu juga dengan babi. Adakah hukum kita memegang babi? Sudah tentu apabila kita mengikut mazhab Shafie, kita wajib menyamak anggota badan kita yang terkena kulit babi. Berlainan pula dengan mazhab Hanafi, Hambali, dan Maliki di mana ketiga-tiga mazhab ini membenarkan kulit babi disentuh bahkan pakaian daripada kulit babi boleh dijadikan pakaian dalam solat. Ini adalah kerana dalam al-Quran hanya melarang daging babi dimakan dan tidak pula melarang menyentuh babi.

Apabila saya menceritakan perkara ini kepada rakan saya, beliau mengatakan bahawa saya mengikut ajaran sesat dan tidak mengikut ahli sunnah. Saya menerangkan kepadanya semula kita semua ahli sunnah bahkan mazhab Hanafi, Hambali, dan Maliki pun ahli sunnah cuma pandangan mazhab-mazhab ini adalah berbeza dalam sesuatu perkara. Cuma kita tidak belajar sejak bangku sekolah mengenai perkara-perkara ini dan hanya belajar perkara asas sahaja. Apabila disebut babi – semua haram.

Begitu juga dengan babi. Babi adalah haram untuk dimakan. Akan tetapi, menurut mazhab Hanafi, daging babi yang melalui proses transformasi (istihalah) kepada bentuk lain adalah boleh dimakan.

Kita perlu faham generasi-generasi imam-imam mazhab ini adalah terdiri daripada golongan tabiin (hidup sezaman bersama Sahabat) dan tabi’-tabiin (hidup sezaman dengan tabiin). Mereka ini semuanya hidup pada kurun 5-6 Masihi. Isu-isu yang timbul pada hari telah dibincangkan oleh imam-imam mujtahid ini selepas lebih 1,000 tahun mereka meninggal dunia. Malangnya, kita sebagai umat Islam kurang pemahaman dengan apa yang telah disebut oleh imam-imam ini terdahulu Ini menyebabkan kita mudah sensitif terhadap sesuatu perkara apabila ianya timbul.

Contoh yang lain ialah para ulama’ telah membincangkan bahagian muka yang manakah untuk mengambil wuduk sekiranya seseorang itu mempunyai 2 kepala sejak lebih 1,000 tahun yang lalu. Jawapannya ialah wajah yang menghadap kiblat yang perlu disapu air sembahyang. Perkara ini memang berlaku di Russia apabila pada tahun 1970-an lahirnya bayi yang mempunyai 2 kepala.

Sebenarnya para ulama’ telah membincangkan isu-isu mengenai sesuatu perkara dari sudut fekah sejak dahulu lagi. Malangnya kita sebagai umat Islam tidak memahami mengenai sesuatu perkara dari sudut fekah dan menganggap semua yang berlaku ini mencelarukan masyarakat di negara ini.

http://wankamarul701.blogspot.com

Tuesday, October 14, 2014

Apabila Bilangan Rumah Sudah Mencecah Angka79 Buah...


 
Ramai Lagi Mempunyai Hartanah yang Lebih Banyak dari Faizul Ridzuan


“Faizul Ridzuan yang sudah ada 23 buah rumah pada usia 30 tahun sudah kecoh satu Malaysia. Inikan pula ada 79 buah rumah.”
Itulah yang diucapkan oleh saya kepada bos saya apabila beliau menceritakan rakannya sudah mempunyai 79 buah rumah tetapi beliau pula tidak mengenal siapa Faizul Ridzuan. Saya kenal dia pun selepas membaca bukunya iaitu WTF 23 Properties by 30. Rupa-rupanya masih ramai di luar sana yang kaya-raya tetapi masih diam-diam tidak menceritakan harta kekayaan mereka kepada orang ramai. Saya percaya masih ramai di luar sana yang masih diam-diam mengumpulkan harta kekayaan mereka dan tidak menghebohkan harta kekayaan mereka kepada umum.
Apa yang melucukan saya ialah ada juga orang yang baru sahaja mempunyai 2 buah rumah sahaja pun sudah boleh masuk akhbar utama mahupun televisyen dan memberi ceramah di sana sini di seluruh negara.
Jika difikirkan kembali, banyak lagi cara-cara untuk mengembangkan kekayaan kita. Sebenarnya, ia bergantung kepada bakat dan minat kita. Ada orang yang mempunyai idealisme yang tinggi untuk mengangkat martabat agama dan bangsa melalui syarikat-syarikat bumiputera. Malangnya, apa yang terangkat bukanlah nama Islam ataupun melayu tetapi perutnya yang terangkat  ke hadapan. Sebenarnya, kita perlu mempunyai keupayaan dan kebolehan yang tinggi jika kita ingin menjayakan idea ataupun cita-cita kita. Jika tidak, kita akan ditertawakan jika kita gagal melaksanakan cita-cita kita.
Baiklah, saya bukannya berhajat untuk mengajak anda semua menyertai hartanah tetapi untuk mengajak diri saya dan anda semua membuat perancangan dalam membina kekayaan kita. Sudah tentu perjalanan seribu langkah adalah bermula dengan satu langkah pertama. Manakan tidak boleh memiliki 79 buah hartanah dalam sekelip mata. Ia sudah tentu mempunyai rumah pertama dahulu sebelum melangkah membina aset hartanah seterusnya.
Sebenarnya, setiap manusia yang dilahirkan di dunia ini dianugerahkan oleh Tuhan bakatnya yang tersendiri untuk mencari rezeki di bumi ini. Inilah falsafah yang digunakan oleh organisasi saya dalam membantu masyarakat bumiputera melalui kegiatan ekonomi kerana percaya bahawa setiap daripada mereka ini mempunyai keupayaan untuk menjana pendapatan mereka dengan memberi suntikan modal pembiayaan.
Apakah bakat anda yang terbenam sebenarnya? Kita sering dimomok sejak kecil bahawa kita perlu belajar sejak bangku sekolah kemudian masuk menara gading dan seterusnya bekerja dengan kerajaan. Justeru itu, kita gagal untuk membangunkan potensi yang ada pada diri kita.

Oleh itu, kita perlu mengenalpasti potensi yang ada pada diri kita. Seterusnya, mengasah dan menajamkan potensi tersebut. Potensi tersebut perlu digunakan secara optimum bagi menjana pendapatan tanpa had kepada kita.

Sunday, October 12, 2014

Hukum Korban untuk Orang Meninggal Dunia : Perbezaan Antara Mazhab Shafie dengan Hambali dan Hanafi

Sememangnya Islam menggalakkan umatnya untuk melakukan korban pada Hari Raya Aidil Adha. Akan tetapi, ada juga sesetengah orang yang ingin melakukan korban untuk orang yang telah meninggal dunia khususnya bagi untuk ibu bapa mereka.
 
Mengikut mazhab Shafie, tiada korban untuk orang yang telah meninggal dunia. Namun begitu, kita boleh berniat untuk menyedekahkan pahala untuk korban kita kepada orang yang telah meninggal dunia khususnya kepada orang tua kita yang telah meninggal dunia.
Jika kita ingin juga menamakan orang yang telah meninggal dunia untuk membuat korban, kita perlu bertaqlid kepada mazhab imam Hambali dan Hanafi kerana 2 mazhab ini membenarkan korban untuk orang yang telah meninggal dunia.
Wallhua’lam.

http://wankamarul701.blogspot.com

Friday, October 3, 2014

Harga Minyak Terus Naik tetapi Rahmat Allah s.w.t. Tidak Pernah Berkurang


Semalam, kita dikejutkan lagi dengan kenaikan harga minyak RON95 dan diesel sebanyak 20 sen seliter. Kali terakhir minyak dinaikkan ialah selepas PRU-13 iaitu pada pertengahan tahun lepas (2013). Saya menjangkakan minyak akan naik selepas PRU-14 nanti yakni pada tahun 2018. Namun begitu, telahan saya meleset sama sekali ternyata minyak naik dalam masa kurang daripada tempoh 2 tahun. Kenaikan harga minyak pada kali ini disebabkan oleh kenaikan harga minyak dunia.

Harga minyak RON95 naik daripada RM2.10 seliter kepada RM2.30 seliter. Ini bermakna kadar inflasi pula makin meningkat sebanyak 9.5 peratus. Justeru itu, kita perlu mencari balik wang 20 sen yang hilang bagi setiap liter harga minyak ini jika kita ingin mengekalkan gaya hidup kita yang sedia ada. Jika kita tidak mahu mencari atau menggantikan balik setiap 20 sen yang hilang ini, maka simpanan kita akan semakin berkurang. Ataupun dengan cara yang lain ialah memotong perbelanjaan yang tidak penting atau bahasa lebih mudah kita mengubah gaya hidup kita.
Inilah hakikat ekonomi di Malaysia hatta dunia sekalipun. Sumber bahan api semakin lama semakin menyusut manakala jumlah rakyat semakin bertambah berkadar terus dengan pergerakan masa ke hadapan. Mungkinkah sumber bahan api ini akan dapat menampung jumlah rakyat Malaysia yang semakin bertambah ini? Apabila sumber (minyak) terhad dan penawaran (rakyat) adalah semakin bertambah, maka harga sumber (minyak) tersebut akan semakin naik.
Rakyat Malaysia pada Februari 2014 adalah berjumlah 30 juta orang. Akan tetapi, mengikut Kajian Separuh Penggal Malaysia Keempat (KSPRM4) menunjukkan bahawa rancangan ini menerima matlamat untuk mencapai 70 juta orang penduduk pada tahun 2100 di mana setiap keluarga mempunyai lima orang anak untuk mencapai hasrat ini. Ini bermakna peningkatan sebanyak 40 juta penduduk atau 133 peratus dalam tempoh 86 tahun akan datang dengan puratanya ialah 465,116 orang atau 1.55 peratus setahun.
Bagaimanakah keadaannya Malaysia pada tahun 2100 nanti dengan sumber bahan api adalah kekal dengan yang sedia ada seperti hari ini? Jika purata kenaikan harga minyak adalah sebanyak 20 sen seliter setiap tahun seperti yang berlaku pada tahun 2013 dan 2014, maka ini bermakna harga minyak akan naik sebanyak RM17.20 seliter pada tahun 2100 nanti. Ditambah pula dengan harga minyak seliter hari ini ialah RM2.30 seliter, ini bermakna harga minyak akan menjadi RM19.50 seliter pada tahun 2100! Jika isian penuh kereta saya pada hari ini ialah sebanyak 38 liter, maka saya perlu membayar RM741 untuk mengisi full tank pada tahun 2100 nanti!
Anda mungkin mengatakan saya mengatakan sesuatu yang tidak masuk akal. Akan tetapi, apa yang terjadi pada hari ini boleh dijadikan sebagai ukuran asas pada masa hadapan.
Adakah ini bermakna Tuhan itu tidak adil jika kita memikirkan keadaan ini terus terjadi? Sebenarnya, inilah hakikat ekonomi kapitalis dan inflasi. Harga barang akan terus naik dari semasa ke semasa dan tidak akan turun. Pendek kata, mahu tidak mahu kos hidup tetap juga akan naik. Tuhan itu sebenarnya adil tetapi sistem manusia yakni sistem kapitalis ini sebenarnya yang silap. Yang menenggelamkan manusia dalam 1,001 keresahan dari semasa ke semasa.
Kita sudah tentu tidak dapat mengubah ekonomi dunia pada hari ini. Walaupun harga barang semakin naik tetapi anda jangan lupa bahawa peluang untuk membuat duit pada hari ini adalah sangat mudah. Pada hari ini, duduk di rumah sahaja sekali pun boleh menjadi jutawan. Saya ambil sebuah laman web pengiklanan tuisyen yang mengenakan caj sebanyak RM30 bagi sesiapa yang ingin mengiklankan khidmat tuisyen kepada pelajar-pelajar di laman webnya. Saya melihat sudah ada seramai 40,000 orang yang mendaftar dengan laman web tersebut. Bayangkan jumlah bayaran dikutip oleh pemilik laman web tersebut. Secara mudahnya dia sudah mendapat RM1.2 juta! Alangkah mudahnya membuat duit pada hari ini. Jika harga minyak naik 3 kali setahun sekalipun, saya percaya tuan punya laman web ini tidak akan mengalami apa-apa masalah kewangan.
Dunia pada hari ini adalah semakin kompleks dan canggih. Untuk membuat wang adalah amat mudah sekali. Tidak seperti era 1970-an mahupun 1990-an, Facebook, Blog, dan WhatsApp belum ada seperti hari ini untuk seseorang itu membuat duit dari rumah. Di negara-negara Barat sekalipun, untuk membeli kereta pun boleh dibuat secara online cuma di Malaysia pembelian secara online cara sebegini hanya terbatas untuk pakaian sahaja. Untuk membeli polisi insurans ataupun pinjaman bank sahaja sekalipun boleh dibuat melalui telefon.

Pendek kata, untuk membuat wang pada hari ini adalah amat mudah sekali walaupun harga-harga barang terus naik. Jika dahulu walapun harga barang-barang adalah murah, peluang membuat wang adalah terhad. Timbal terbaliknya adalah sama sahaja. Hakikatnya ialah walaupun harga minyak terus naik, tetapi rahmat Allah s.w.t. tidak pernah berkurang.
Wallhua’lam.

Wednesday, October 1, 2014

Teringin Juga Nak Membuat Home Library di Rumah

 
Jenis klasik yang mewah


 
Jenis klasik ada sofa
 
 
 
Alih-alih pun nak Style klasik juga
 
 
 
Kalau meja tulis kat tengah ok juga
 
 
 
Sampai satu tahap kena cari tangga nak ambil buku