Tuesday, October 14, 2014

Apabila Bilangan Rumah Sudah Mencecah Angka79 Buah...


 
Ramai Lagi Mempunyai Hartanah yang Lebih Banyak dari Faizul Ridzuan


“Faizul Ridzuan yang sudah ada 23 buah rumah pada usia 30 tahun sudah kecoh satu Malaysia. Inikan pula ada 79 buah rumah.”
Itulah yang diucapkan oleh saya kepada bos saya apabila beliau menceritakan rakannya sudah mempunyai 79 buah rumah tetapi beliau pula tidak mengenal siapa Faizul Ridzuan. Saya kenal dia pun selepas membaca bukunya iaitu WTF 23 Properties by 30. Rupa-rupanya masih ramai di luar sana yang kaya-raya tetapi masih diam-diam tidak menceritakan harta kekayaan mereka kepada orang ramai. Saya percaya masih ramai di luar sana yang masih diam-diam mengumpulkan harta kekayaan mereka dan tidak menghebohkan harta kekayaan mereka kepada umum.
Apa yang melucukan saya ialah ada juga orang yang baru sahaja mempunyai 2 buah rumah sahaja pun sudah boleh masuk akhbar utama mahupun televisyen dan memberi ceramah di sana sini di seluruh negara.
Jika difikirkan kembali, banyak lagi cara-cara untuk mengembangkan kekayaan kita. Sebenarnya, ia bergantung kepada bakat dan minat kita. Ada orang yang mempunyai idealisme yang tinggi untuk mengangkat martabat agama dan bangsa melalui syarikat-syarikat bumiputera. Malangnya, apa yang terangkat bukanlah nama Islam ataupun melayu tetapi perutnya yang terangkat  ke hadapan. Sebenarnya, kita perlu mempunyai keupayaan dan kebolehan yang tinggi jika kita ingin menjayakan idea ataupun cita-cita kita. Jika tidak, kita akan ditertawakan jika kita gagal melaksanakan cita-cita kita.
Baiklah, saya bukannya berhajat untuk mengajak anda semua menyertai hartanah tetapi untuk mengajak diri saya dan anda semua membuat perancangan dalam membina kekayaan kita. Sudah tentu perjalanan seribu langkah adalah bermula dengan satu langkah pertama. Manakan tidak boleh memiliki 79 buah hartanah dalam sekelip mata. Ia sudah tentu mempunyai rumah pertama dahulu sebelum melangkah membina aset hartanah seterusnya.
Sebenarnya, setiap manusia yang dilahirkan di dunia ini dianugerahkan oleh Tuhan bakatnya yang tersendiri untuk mencari rezeki di bumi ini. Inilah falsafah yang digunakan oleh organisasi saya dalam membantu masyarakat bumiputera melalui kegiatan ekonomi kerana percaya bahawa setiap daripada mereka ini mempunyai keupayaan untuk menjana pendapatan mereka dengan memberi suntikan modal pembiayaan.
Apakah bakat anda yang terbenam sebenarnya? Kita sering dimomok sejak kecil bahawa kita perlu belajar sejak bangku sekolah kemudian masuk menara gading dan seterusnya bekerja dengan kerajaan. Justeru itu, kita gagal untuk membangunkan potensi yang ada pada diri kita.

Oleh itu, kita perlu mengenalpasti potensi yang ada pada diri kita. Seterusnya, mengasah dan menajamkan potensi tersebut. Potensi tersebut perlu digunakan secara optimum bagi menjana pendapatan tanpa had kepada kita.

No comments: