Thursday, July 24, 2014

Tulisan Jawi Pada Ang Pow Raya Bank Islam 2014

 
Saya menerima ang pow raya Bank Islam 2014 semalam. Padi pagi ini, ada rakan saya yang bertanyakan apakah tulisan jawi yang tertera pada ang pow raya Bank Islam itu. Punyalah cari susah nak faham tulisan khat tersebut last-last dapat juga faham tulisan tersebut. Tulisan jawi tersebut ialah :
 
MENGOPTIMUMKAN PELUANG

Hehehehe....


Perbezaan Zakat Fitrah dan Zakat Umum

Terdapat perbezaan antara zakat fitrah dan zakat umum yang lain seperti zakat pendapatan, pertanian, dan lain-lain. Seperti yang telah kita sedia maklum, zakat fitrah merupakan zakat yang wajib ditunaikan pada bulan Ramadhan. Jika seseorang itu berpuasa tetapi tidak menunaikan zakat fitrah, maka sia-sialah ibadat puasanya.
 
Pertamanya, perbezaan zakat fitrah dengan zakat umum ialah zakat fitrah adalah khusus untuk orang-orang fakir dan miskin yakni orang yang tidak mempunyai keperluan yang cukup untuk menampung keperluan hariannya. Umpamanya, keperluan harian mereka ialah RM20 sehari tetapi mereka hanya termampu untuk memperolehi hanya RM15 sehari. Oleh itu, mereka layak untuk mendapat zakat fitrah.

Zakat fitrah ini berbeza dengan zakat umum kerana zakat fitrah ini hanya khusus golongan fakir miskin manakala zakat umum pula untuk golongan 8 asnaf yang telah disebutkan dalam al-Quran iaitu orang-orang fakir, miskin, amil zakat, muallaf, untuk memerdekakan hamba, orang-orang berhutang, orang-orang fi sabilillah, dan ibnu sabil.

Selain itu, zakat fitrah lebih afdal dibayar atau diberi terus kepada golongan fakir dan miskin berbanding dibayar melalui amil. Zakat fitrah juga boleh dibayar melalui wakil. Contohnya, ada rakan anda yang ingin bertemu golongan fakir miskin, anda boleh mewakilkan atau mengirimkan zakat fitrah anda kepada rakan anda untuk diberi kepada golongan tersebut, Manakala zakat umum yang lain selain zakat fitrah tidak boleh dibayar melalui wakil dan perlu dibayar kepada amil yang telah dilantik oleh kerajaan.

Selain itu, di pada hari raya Aidilfitri kita juga digalakkan memakai baju yang berwarna-warni selain dari warna putih kerana baju berwarna putih adalah sunat untuk dipakai pada hari Jumaat. Bahkan Nabi Muhammad s.a.w. sendiri mempunyai baju yang khusus untuk dipakai pada hari raya Aidilfitri.

Berbeza dengan hari raya Aidiladha, di mana kita disunatkan terlebih dahulu untuk menjamah makanan sebelum menunaikan solat hari raya Aidilfitri. Manakala hari raya Aidiladha kita disunatkan untuk menjamah makanan selepas menunaikan solat sunat hari raya.

Sudah semestinya kita dituntut untuk bermaaf-maafan antara satu sama lain pada hari raya. Dalam bermaaf-maafan ini sebenarnya terdapat perbezaan antara mazhab Syafie dan Maliki. Dalam mazhab Syafie, kita dikehendaki menyebut satu per satu kesalahan apa yang kita lakukan kesalahan terhadap seseorang apabila kita memohon maaf daripadanya. Manakala dalam mazhab Maliki memadai sahaja kita memohon maaf secara umum kepada seseorang tanpa menyebut setiap kesalahan apa yang kita lakukan terhadap seseorang.

Inilah keindahan ilmu fekah di mana ia mempunyai kelainan sendiri terhadap sesuatu isu. Apa yang penting ialah kita perlu belajar ilmu ini kerana ia menjadi amalan kita terhadap sesuatu ibadat. Alangkah ruginya kita tidak mengetahui ilmu ini jika membuat sesuatu amalan tetapi tidak tahu ilmu amalan tersebut dari sudut fekah. Wallhua'lam.


 

Sunday, July 20, 2014

Kekuatan Roh dalam Pengurusan Kewangan


Harga barang terus naik dari semasa ke semasa tetapi gaji bulanan hanya naik dari tahun ke tahun. Dengan kata lain, kuasa membeli terbatas dan ini bermakna kadar inflasi naik. Ketenangan hidup pula hilang resah kerana memikirkan wang sentiasa yang tidak pernah cukup khususnya apabila kita tinggal di tengah-tengah kota metropolitan Kuala Lumpur. Oleh itu, pentingnya kekuatan roh dalam pengurusan kewangan kita supaya kita dapat memelihara hubungan dengan Rabb yang memberi rezeki kepada kita. Antara amalan-amalan untuk mendapatkan ketenangan hidup yang semakin mencabar saban hari adalah seperti berikut :

1. Mengamalkan Solat Dhuha

Selain solat 5 waktu, kita dianjurkan untuk mengamalkan solat dhuha pada setiap hari. Oleh itu, wajibkan diri kita untuk melaksanakan solat dhuha pada setiap hari. Dengan ini, kita perlu melaksanakan solat 6 waktu setiap hari. Ini menurut hadis qudsi yang berbunyi :

“Wahai anak Adam, jangan sesekali engkau malas mengerjakan empat rakaat pada waktu permulaan siang (Solat dhuha), nanti pasti Aku cukupkan keperluanmu pada petang harinya.” Riwayat al-Hakim dan at-Thabrani

Sebenarnya solat dhuha boleh dilakukan sehingga 8 rakaat. Jika anda belum mengamalkan solat dhuha setiap hari, lakukan 2 rakaat dahulu pada setiap hari untuk tahun pertama.Kemudian, pada tahun kedua tingkatkan kepada 4 rakaat setiap hari dan begitulah sehinggalah tahun ke-4, kita boleh mengamalkan 8 rakaat solat dhuha pada setiap hari.

Saya hanya mengambil analogi harga minyak yang dinaikkan secara berperingkat-peringkat yang dilaksanakan oleh Kerajaan supaya ia tidak membebankan pengguna. Bagaimana jika harga minyak dinaikkan 100 peratus dalam masa sebulan? Sudah tentu ia membebankan rakyat dan menimbulkan kemarahan mereka. Ada baiknya harga minyak dinaikkan secara berkala supaya ia tidak membebankan orang ramai.

Begitulah dengan solat dhuha, lakukan secara berperingkat-peringkat. Sudah tentu dengan mengamalkan solat dhuha 8 rakaat lebih baik daripada 2 rakaat lebih baik dan lebih mendatangkan kemurahan rezeki kepada kita.

2. Bersedekah pada Setiap Hari

Bersedekah pada setiap hari boleh mendatangkan kemurahan rezeki kepada kita terutamanya apabila menjelang waktu subuh. Anda boleh mengamalkannya dengan bersedekah RM1 sehari apabila menunaikan solat subuh berjemaah di masjid pada setiap hari. Sabda Nabi Muhammad s.a.w. :

Setiap pagi, semasa terbit matahari ada dua malaikat menyeru kepada manusia di bumi. Yang satu menyeru, “ Ya Tuhanku, kurniakanlah ganti kepada orang yang membelanjakan hartanya kerana Allah s.w.t. Yang satu lagi menyeru, “Musnahkanlah orang yang menahan hartanya (bakhil).”

Selain itu, Surah al-Baqarah juga menyebut mengenai fadilat bersedekah :

“Perumpamaan (nafkah yang dikeluarkan oleh) orang-orang yang menafkahkan hartanya di jalan Allah adalah serupa dengan sebutir benih yang menumbuhkan tujuh butir, pada tiap-tiap butir seratus biji. Allah melipatgandakan (ganjaran) bagi siapa yang Dia kehendaki . Dan Allah maha luas (kurnia-Nya) lagi maha mengetahui.”

Oleh itu, carilah ruang dan peluang untuk bersedekah pada setiap hari. Nescaya, Allah s.w.t. kurniakan rezeki kepada kita dari arah yang tidak disangka-sangka.

3. Beristighfar pada setiap hari

Di dalam Surah Hud ayat 52 juga terdapat perintah Allah s.w.t. supaya kita beristighfar untuk memohon supaya diturunkan hujan dan diberi kekuatan iaitu :

Dan (dia berkata): "Hai kaumku, mohonlah ampun kepada Tuhanmu lalu bertaubatlah kepada-Nya, niscaya Dia menurunkan hujan yang sangat deras atasmu, dan Dia akan menambahkan kekuatan kepada kekuatanmu, dan janganlah kamu berpaling dengan berbuat dosa.”

Sebenarnya, apa yang menghalang rezeki datang kepada kita adalah dosa yang disebabkan oleh tangan-tangan kita sendiri. Rasulullah s.a.w bersabda :

”Sesungguhnya seseorang hamba boleh tertahan rezekinya kerana dosa yang dilakukannya.”  Riwayat Ahmad, Ibnu Hibban, dan Ibnu Majah

Oleh itu, marilah kita beristighfar untuk memohon keampunan kepada Allah s.w.t. pada setiap hari. Diriwayatkan bahawa sahabat nabi iaitu Abu Hurairah r.a. berzikir sebanyak 12,000 (dua belas ribu) kali sehari pada setiap hari. Subhanallah, alangkah hebatnya Sahabat nabi ini. Bagaimana pula dengan kita? Seharusnya janganlah kita langsung tidak beristighfar pada setiap hari yang berlalu.
 

4. Solat Awal Waktu dan Berjemaah

Firman Allah s.w.t. :

“Perintahkanlah keluargamu bersolat dan bersabarlah dalam mengerjakan solat. Kami tidak meminta rezeki daripada kamu. Sesungguhnya Kami yang memberi rezeki kepada kamu. Dan balasan baik bagi orang-orang yang bertaqwa.” Surah Thoha : 132

Saya juga kadang-kadang teringat kepada pengalaman saya ketika tinggal di asrama sewaktu di universiti tahun pertama ketika membaca ayat ini. Semasa tahun pertama (selama 2 semester), pelajar-pelajar tahun pertama diwajibkan tinggal di asrama yang disediakan.

Bilik saya di tingkat 4 manakala surau di tingkat 2. Oleh kerana surau amat dekat, saya memang menunaikan solat berjemaah khususnya Subuh, Maghrib, dan Isyak di tingkat 2 apatah lagi hanya turun dan naik tangga sahaja untuk berulang-alik antara bilik dan surau.

Hendak dijadikan cerita, pinjaman PTPTN yang mula-mulanya yang saya terima pada tahun pertama hanyalah separuh kerana saya tidak layak untuk mendapat pinjaman penuh. Kemudian saya membuat rayuan untuk mendapat pinjaman penuh. Ditakdirkan semasa semester ketiga, saya mendapat tunggakan pinjaman PTPTN sebanyak RM6,000! Saya mendapat rezeki yang tidak disangka-sangka! Jika renungi ayat Surat Thoha ini, mungkin disebabkan saya sentiasa menunaikan solat berjemaah ketika tinggal di asrama suatu ketika dahulu. Kini selepas 10 tahun berlalu, saya sudah melangsaikan semua hutang PTPTN saya. Alhamdullilah.

Setakat ini sahaja dahulu tip-tip yang perlu diamalkan oleh kita semua untuk membina kekuatan roh supaya dimurahkan rezeki. Apa yang saya sebutkan mungkin amalan-amalan utama sahaja dan tidak menyentuh amalan-amalan lain. Semoga kita berlumba-lumba untuk membuat kebaikan. Insya-Allah.


http://wankamarul701.blogspot.com

Thursday, July 17, 2014

Pemikiran Orang Melayu Semenanjung Pasca PRU-2008 Sama Seperti Orang Melayu Singapura 1950-an

Tidak dinafikan faktor geografi dan pengaruh pentadbiran sesuatu Kerajaan sama ada penjajah ataupun Kerajaan yang diperintah sendiri oleh orang Melayu mempengaruhi pemikiran orang Melayu yang tinggal di Tanah Melayu. Selain itu, peperangan di seluruh dunia yang berlaku pada abad awal ke-20 seperti Perang Balkan serta Perang Dunia Pertama yang melibatkan Kerajaan Turki Uthmaniyah turut mempengaruhi pemikiran orang Melayu ketika itu. Ini adalah kerana perang ini melibatkan maruah umat Islam di seluruh dunia termasuk umat Islam di Tanah Melayu.

Pada kali ini, saya ingin membawa anda semua mengenai cara pemikiran orang melayu pada tahun 1950-an di Singapura dan pasca PRU-2008 di Semenanjung Tanah Melayu. Ini adalah kerana kita dapat melihat reaksi orang melayu ke sesuatu yang mungkin menelan masa berdekad-dekad untuk mengubah paradigma pemikiran orang melayu. 

Apa yang saya cuba bawa ialah pemikiran orang melayu di Singapura yang menerima konsep pelbagai kaum pada tahun 1950-an. Contoh yang saya ingin bawakan ialah sikap pemimpin-pemimpin Utusan Melayu yang telah menubuhkan Utusan Melayu pada tahun 1939. Selepas 10 tahun ditubuhkan, pemimpin Utusan Melayu lebih condong kepada sosialisme, antifeudalisme, dan menerima konsep pelbagai kaum. Proses ini sebenarnya berlaku amat cepat iaitu dalam tempoh 10 tahun sahaja. 

Ini adalah disebabkan oleh pendukung-pendukung Utusan Melayu ketika itu yang terdedah kepada suasana metropolitan Singapura dengan masyarakat Cina yang lebih besar dan interaksi dengan manusia asing yang sering datang ke pulau ini. Selain itu, pendukung-pendukung Utusan ini juga mempunyai latar belakang pendidikan Inggeris yang menyebabkan mereka bersikap lebih terbuka dengan politik antarabangsa seperti Perang Dunia Kedua.

Sesungguhnya faktor geografi Singapura merupakan faktor utama yang mempengaruhi perkembangan pemikiran dan daya intelek orang melayu di sana. Di Singapura, berlakunya pemusatan daya intelek di kalangan orang-orang melayu disebabkan oleh suasana yang kondusif yang secara tidak langsung merancakkan lagi perkembangan idea untuk menjalankan aktiviti-aktiviti yang menolong mengangkat martabat masyarat melayu sewaktu era pemerintahan kolonial British. 

Berlainan dengan orang-orang Melayu yang tinggal di Semenanjung yang tidak menerima konsep kepelbagaian kaum sehinggalah Pilihanraya Umum pada tahun 2008. Ini dapat dilihat melalui undi yang ditunjukkan melalui Pilihanraya Umum bermula tahun 1955 sehinggalah sebelum tahun 2008. Undi orang-orang melayu sebelum itu iaitu sebelum tahun 2008 hanya tertumpu kepada Barisan Nasional (BN) kerana sekiranya BN menang, bermakna orang melayu yang memerintah kerana Parti Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO) merupakan tulang belakang  BN. 

Namun begitu, dogma ini berakhir pada tahun 2008 apabila orang-orang Melayu mengundi calon-calon DAP yang sinonim dengan parti cina kerana menentang kepimpinan Kerajaan ketika itu. Sesungguhnya sikap yang ditunjukkan oleh orang melayu ketika ini melepasi sempadan agama dan kaum apabila mereka mengundi calon-calon bukan melayu dan dengan kata lain ketika ini menunjukkan ianya adalah lebih 'Malaysian'. Dapat dilihat di sini bahawa orang-orang melayu telah menerima konsep kepelbagaian kaum apabila menyokong DAP bahkan ada calon-calon DAP yang terdiri daripada bangsa melayu menang bertanding di kawasan melayu dalam PRU tahun 2013.

Contohnya, calon melayu dari Parti DAP memenangi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan juga parlimen seperti Tengku Zulpuri Shah Raja Puji (DUN Mentakab), Datuk Mohd Ariff Sabri Abdul Aziz (Parlimen Raub), dan Zairil Khir Johari (Parlimen Bukit Bendera) yang masing-masing semuanya dapat menewaskan calon-calon cina dari Barisan Nasional (BN) pada PRU-13. 

Sebenarnya, keadaan ini bukanlah sesuatu yang pelik jika untuk dibandingkan dengan keadaan orang-orang melayu yang menyertai politik di Singapura pada suatu ketika dahulu. Contohnya, Samad Ismail yang merupakan seorang intelek melayu dan juga wartawan Utusan Melayu mempunyai pengaruh yang kuat di kalangan kaum cina Singapura dan kesatuan-kesatuan Sekerja di Singapura yang didokong oleh orang-orang komunis telah diperlukan oleh Lee Kuan Yew bagi menubuhkan parti People's Action Party (PAP) yang merupakan parti induk Democratic Action Party (DAP)  di Malaysia pada hari ini pada tahun 1959.

Di sini, kita dapat melihat bahawa orang-orang melayu Singapura boleh bekerjasama dengan orang-orang cina dalam satu parti sejak tahun 1950-an lagi manakala orang-orang melayu semenanjung boleh bekerjasama dengan bangsa cina bermula tahun 2013. Dapat dibuat penilaian di sini orang melayu Singapura telah bergerak ke hadapan dalam kerjasama politik dengan bangsa lain sejak 50 tahun dahulu. Ini bermakna mereka telah bergerak 50 tahun ke hadapan berbanding dengan orang-orang melayu Semenanjung dalam kerjasama politik dengan bangsa lain.

Melayu Singapura Tidak Perlukan Tongkat

Jika kita melihat pendukung-pendukung Utusan Melayu yang bertunjangkan kepada ras melayu dalam memperjuangkan akhbar mereka pada tahun 1939, pemikiran mereka boleh berubah dalam masa yang singkat iaitu dalam masa 10 tahun sahaja kerana faktor geografi Singapura terbuka kepada bangsa asing yang tinggal di Singapura. Selain itu, mereka juga terdedah untuk berinteraksi dengan masyarakat Cina di Singapura. Ini menunjukkan bahawa pemikiran orang melayu untuk menerima konsep kepelbagaian kaum di Singapura berlaku dengan cepat.

Berlainan dengan masyarakat melayu Semenanjung yang tidak menerima konsep kepelbagaian kaum dari tahun 1955 (Piliharaya Pertama Tanah Melayu) sehinggalah tahun 2008 (PRU-2008). Tempoh ini sudah tentu memakan masa yang lama untuk masyarakat melayu menerima konsep kepelbagaian kaum iaitu selama 50 tahun! Berbanding orang melayu Singapura yang telah menerima konsep kepelbagaian kaum sejak tahun 1950-an lagi.

Adakah orang-orang melayu memang bersedia dengan konsep kepelbagaian kaum pada hari ini? Bersedia untuk berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah dengan bangsa-bangsa lain dari setiap lapangan seperti ekonomi, pendidikan, dan sebagainya jika mereka betul-betul bersedia untuk menerima konsep kepelbagaian kaum?

Jika kita melihat sejarah Dasar Ekonomi Baru (DEB) yang ditubuhkan pada awal 1970-an, ia adalah manifestasi sebagai usaha untuk memperbaiki kedudukan bangsa melayu yang ketinggalan dalam ekonomi akibat daripada peristiwa rusuhan kaum yang meletus pada 13 Mei 1969. Secara kasarnya, dasar ini memperuntukkan dengan memberi hak-hak keistimewaan tertentu kepada kepada orang-orang melayu supaya mereka tidak ketinggalan jauh ke belakang berbanding bangsa-bangsa lain khususnya dalam bidang ekonomi dan pendidikan.

Berbanding dengan orang-orang melayu di Singapura pada awal abad ke-20, tiada peruntukan undang-undang atau keistimewaan yang diberikan kepada mereka untuk membantu diri mereka untuk berjaya dalam bidang yang diceburi. Ini dapat dilihat melalui kebangkita tokoh-tokoh melayu di Singapura pada tahun 1920-an seperti Yusof Ishak, Mohd. Eunos Abdullah, dan sebagainya.

Yusof Ishak yang merupakan pengasas Utusan Melayu telah dilantik oleh Lee Kuan Yew sebagai Yang Dipertuan Singapura dan Presiden Singapura yang pertama selepas merdeka kerana mempunyai sifat kualiti dan jati diri yang tinggi pada dirinya. Beliau  memahami sifat dan kualiti yang perlu ada pada orang melayu ketika itu yang ingin hidup di kota kosmopolitan Singapura ketika itu. 

Begitu juga dengan Mohd Eunos Abdullah yang mempunyai semangat keusahawan yang tinggi telah dilantik sebagai Ketua Pengawas Pelabuhan Singapura dan Ketua Pengawas Pelabuhan Kecil Muar pada tahun 1894. Kemudian, pada tahun 1907, beliau dilantik oleh William Makepeace, pemilik akhbar Free Press sebagai pengarang edisi melayu akhbar itu yang dinamakan sebagai Utusan Melayu. Harus diingatkan di sini bahawa Utusan Melayu ini bukanlah Utusan Melayu yang ditubuhkan pada tahun 1939 yang dimodali sepenuhnya oleh orang-orang melayu. Selain itu, Eunos juga dilantik sebagai Jaksa Pendamai dan dilantik sebagai orang melayu pertama sebagai anggota Majlis Undangan Negeri-negeri Selat 

Selain itu, Mohd. Eunos juga bersama Dr. Abdul Samad yang merupakan doktor melayu pertama bersama Tengku Abdul Kadir dari Istana Kampung Gelam telah menubuhkan Malay Institute untuk menyediakan tempat tinggal dan bantuan-bantuan lain kepada orang-orang melayu yang berhijrah ke Singapura. 

Golongan intelek melayu Singapura pada waktu tersebut bukannya hanya terhad kepada 2 orang tokoh ini sahaja malah ada yang terlibat dalam bidang-bidang lain seperti dalam bidang sosialis dan nasionalis di Universiti Singapura seperti Ahmad Mustaffa, Dr. Ungku Omar, dan Abdullah Majid. Apa yang boleh dibanggakan usaha tokoh-tokoh ini ialah mereka berjaya meyakinkan orang bukan melayu untuk menerima Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dalam konteks Malaya merdeka.

Dapat dilihat di sini bahawa orang-orang melayu di Singapura telah jauh bergerak ke hadapan dalam apa-apa bidang yang diterokai sejak tahun 1920-an berbanding dengan orang-orang melayu Semenanjung ketika itu. Seolah-olah jika dilihat timbal terbalik dengan apa yang berlaku sekarang, sikap orang-orang melayu Singapura telah mahu lebih 100 tahun ke hadapan berbanding dengan orang-orang melayu Semenanjung sekarang. Mereka tidak memerlukan apa perlindungan undang-undang, hak keistimewaan, apatah kuota-kuota tertentu untuk maju dalam apa jua bidang yang diterokai. 

Mungkin orang-orang melayu perlu banyak bergaul dan berinteraksi dengan bangsa-bangsa lain jika ingin maju ke hadapan supaya berlakunya proses asimilasi iaitu pertembungan dan penyerapan nilai-nilai budaya antara bangsa melayu dan bangsa-bangsa lain. Ini merupakan salah satu cara untuk memajukan bangsa melayu tanpa mereka perlu berharap mana-mana tongkat yang disediakan oleh Kerajaan untuk meningkatkan kualiti dan sifat mereka untuk bersaing dengan bangsa-bangsa lain.

Wallahua'lam. 


http://wankamarul701.blogspot.com


Rujukan

1. Zainuddin Maidin. 2013. Di Depan Api Di Belakang Duri : Kisah Sejarah Utusan Melayu. Kuala Lumpur : Utusan Publications & Distributors Sdn Bhd. 

2. Zainuddin Maidin. "Runtuhnya Melayu Singapura". Mingguan Malaysia. Ahad, 7 November 2010.

Thursday, July 10, 2014

Diri Kita Umpama Kereta Buruk

 
 
 
Diri kita umpama kereta buruk. Yang semakin hari semakin banyak wang yang diperlukan untuk menampung 'penyelenggaraan' diri kita disebabkan datangnya pelbagai penyakit - gout, kencing manis, batu karang, dan sebagainya. Natijahnya, banyak wang diperlukan untuk merawat penyakit-penyakit yang datang menyerang ini. Wang simpanan habis digunakan untuk merawat penyakit ini. Tidak perlu dihairankan sekiranya ada orang terpaksa membuat pinjaman peribadi bagi menampung pembedahan untuk merawat penyakit yang datang. Inilah hakikat kehidupan apabila hari kematian sudah datang.
 
Ketika ini pentingnya perlindungan takaful kesihatan kita. Mungkin pada masa muda lagi, kita tidak mempedulikan skim perlindungan ini. Apabila usia meningkat dan datangnya penyakit, baru kita sedari peri pentingnya perlindungan takaful ini. Takaful inilah yang akan menanggung kos 'penyelenggaraan' diri kita kelak. Jumlah perlindungan takaful bergantung kepada jumlah kita ambil pada masa sekarang. Jika sudah terkena penyakit, hendak membayar RM1,000 sebulan tiada syarikat takaful yang sanggup menerima kita.

Pada saat inilah kegunaan perlindungan takaful yang diambil selama ini. Kos rawatan penyakit yang akan timbul pada masa akan datang dipindahkan kepada perlindungan takaful. Ini dapat menyelamatkan wang anda yang dikumpul selama ini daripada digunakan semata-mata untuk merawat penyakit anda. Sudah tentu langkah ini dapat menyelamatkan wang anda sehingga puluhan ribu ringgit.
 
Ingatlah anda semua bahawa kesihatan lebih penting daripada wang ringgit. Dengan kesihatan yang baik sahaja kita dapat menikmati kehidupan kita. Jika saya memberikan anda 18 orang miss world kepada anda sekalipun, ianya tidak bermakna jika anda sakit. Lihat sahaja mendiang Steve Job, walaupun poket tebal disebabkan duit masuk bertali arus sebagai CEO Apple, hidupnya tidak lama kerana diserang penyakit kanser.
 
Memang benar bahawa kita mungkin akan diseran penyakit suatu hari nanti. Namun, ia bergantung kepada kita memanjangkan tempoh kesihatan kita supaya tidak diserang penyakit pada masa akan datang. Caranya mudah sahaja - amalkan gaya hidup sihat mulai sekarang. Wallhua'lam.
 
Sekian, terima kasih.
 
 
http://wankamarul701.blogspot.com

Wednesday, July 9, 2014

Adakah Golongan Bumiputera Lebih Cenderung Menyimpan Tabung Haji Berbanding ASB?

 
 
Golongan bumiputera khususnya orang-orang melayu bukannya golongan peniaga. Oleh itu, mereka lebih menumpukan kepada amanah-amanah saham yang disediakan oleh pihak kerajaan untuk meningkatkan pendapatan dan ekuiti mereka dalam ekonomi Negara. Pada kali ini, saya ingin memfokuskan kepada penyertaan golongan bumiputera dalam Tabung Haji (TH) dan Amanah Saham Bumiputera (ASB) kerana tahap penyertaan golongan bumiputera ini adalah berbeza.
 
Jika kita melihat kepada Amanah Saham Bumiputera (ASB), didapati bahawa tidak sampai 50 peratus golongan bumiputera menyertai skim ini dengan puratanya adalah menyimpan kurang daripada RM700. Berbanding dengan Tabung Haji (TH) yang saya petik gambar rajah di atas daripada laman web rasmi Tabung Haji didapati bahawa bilangan pendeposit adalah seramai 8.3 juta orang dengan jumlah simpanan adalah sebanyak RM45.7 billion. Manakala purata seorang pendeposit adalah sebanyak RM5,503 seorang.
 
Adakah Disebabkan kerana ASB Difatwakan Haram?
 
Dapat dilihat bahawa purata simpanan TH lebih tinggi berbanding ASB iaitu sebanyak RM5,503 berbanding kurang RM700. Adakah ini disebabkan oleh fatwa sesetengah negeri yang mengatakan bahawa pelaburan dalam produk ASNB adalah haram?
 
Saya pernah mendengar kuliah Maghrib yang disampaikan oleh seorang guru. Beliau menceritakan bahawa pada tahun 1980-an, Kerajaan mewajibkan semua guru-guru Bumiputera mendaftar dan melabur dalam ASNB. Malangnya, beliau hanya mendaftar sahaja akaun ASB sebanyak RM10 kerana hanya untuk lepas syarat. Kemudian, beliau tidak lagi mencarum akaun ASNB tersebut. Ini adalah kerana dana ASNB disimpan di bank konvensional yang mengamalkan riba'.

Terpulanglah kepada pegangan masing-masing sama ada untuk memegang fatwa harus atau haram dalam pelaburan ASNB. Jika berpegang pelaburan ASNB adalah haram kerana dananya disimpan di bank konvensional, adakah rumah, kereta, kad kredit, dan sebagainya kita adalah betul-betul bebas daripada riba'?
 
Jika purata simpanan ASB setiap individu adalah kurang daripada RM700, ini bermakna bahawa simpanan golongan bumiputera adalah masih rendah. Adakah kita kurang wang atau kurang kesedaran? Walaupun ASB 2 ditubuhkan, namun ia sebenarnya adalah untuk golongan bumiputera kelas menengah yang telah mempunyai simpanan yang maksimum dalam ASB 1.
 
Ironinya, ia terpulang kepada sikap golongan bumiputera khususnya orang melayu sendiri untuk memperbaiki taraf sosiekonomi mereka. Tongkatnya telah diberi oleh Kerajaan kepada kita. Hakikatnya, ia terpulang kepada kita sendiri untuk menggunakan tongkat tersebut dengan sebaik-baiknya untuk memberi manfaat kepada kita semua.
 
Sekian, terima kasih.
 
 

ASB dan AHB : ASB Lagi Untung

http://wankamarul701.blogpsot.com
 
 
Kemaskini : 16 Mac 2015

Ada yang mengatakan bahawa pelaburan AHB lebih untung daripada ASB kerana AHB sudah menolak pengiraan zakat namun ASB masih belum menolak pengiraan zakat sebanyak 2.5%. Saya tidak bersetuju dengan hujah ini kerana seolah-olah pandangan ini ingin mengatakan bahawa pembayaran zakat itu mengurangkan harta kita. Bukankah zakat itu menyuburkan harta kita walaupun kita perlu membayar zakat sebahagian daripada pendapatan kita? Lainlah hujah yang mengatakan AHB lebih untung daripada ASB jika AHB sudah mengira potongan cukai (contoh sahaja) manakala dividen ASB masih belum mengira potongan cukai. Oleh itu, pengiraan zakat tidak diambil kira oleh saya untuk membandingkan bonus @ pendapatan ASB dan AHB. Wallhua'lam.


Artikel Asal :

Dalam pemerkasaan ekonomi bumiputera selari dengan liberalsasi ekonomi, pihak Kerajaan telah menyediakan pelbagai peluang kepada golongan bumiputera dalam meningkatkan taraf sosioekonomi mereka. Yang terbaru sekali ialah Kerajaan melancarkan Amanah Hartanah Bumiputera (AHB) dan Amanah Saham Bumiputera 2 (ASB 2) untuk golongan bumiputera.
 
Dividen untuk kedua-dua pelaburan ini boleh dikatakan sama sahaja. Yang membezakannya ialah AHB membayar dividen sebanyak 2 kali setahun manakala ASB pula ialah sekali setahun.
 
Saya cuba menganalisa antara ASB dan AHB ini. Saya dapati bahawa ASB lagi menguntungkan berbanding AHB. Ini adalah kerana dividen yang diperolehi melalui AHB tidak dikreditkan sebagai pokok dan dividennya diberi secara berasingan. Berbanding dengan ASB, dividen setiap tahun akan dikreditkan sebagai pokok. Dengan kata lain, anda tidak dapat menjana pelaburan faedah kompaun dalam pelaburan AHB.
 
 
http://wankamarul701.blogspot.com
 
Contohnya begini. Anda melabur ASB sebanyak RM1,000 pada tahun pertama. Jika dividen ialah sebanyak 7% iaitu sebanyak RM70, akaun simpanan pelaburan anda tahun ke-2 menjadi RM1,070.
 
Berbanding dengan AHB di mana jika anda memperolehi dividen 7% iaitu RM70 dengan jumlah pelaburan RM1,000, maka simpanan akaun pelaburan anda untuk tahun ke-2 juga ialah tetap RM1,000.
 
Apa akan terjadi sekiranya anda tidak mengusik kedua-dua akaun tersebut untuk tempoh 10 tahun? Secara mudahnya, akaun pelaburan ASB anda akan menjadi RM1,838.46! Manakala akaun AHB anda tetap tinggal RM1,000 kerana dividen tidak dikreditkan sebagai pokok untuk pelaburan tahun berikutnya.
 
Selain itu, pelaburan AHB ini juga boleh dikatakan agak leceh berbanding ASB. Antaranya ialah permulaan pelaburan ialah sebanyak RM500, pengeluaran minima RM500, baki minima RM500, dan pelaburan tambahan adalah sebanyak RM100. Selain itu, AHB tiada buku akaunnya sendiri seperti ASB.
 
Ada baiknya jika anda melabur dalam AHB sekiranya ia boleh memberi pulangan dividen sebanyak 20 peratus setahun jika ini syarat-syarat yang ditetapkan oleh AHB. Ini sahaja pandangan saya pada kali ini untuk pelaburan AHB dan ASB.
 
Sekian, terima kasih.
 
 

Thursday, July 3, 2014

Alangkah Seronoknya Hidup Ini Apabila Mendapat Bonus Setiap Bulan...



Sebagai pekerja makan gaji, kita tentu sentiasa mengharapkan durian runtuh pada musim-musim tertentu khususnya apabila menyambut hari raya Aidilfitri ataupun pada akhir tahun. Ia bergantung kepada organisasi tempat kita bekerja sama ada kerajaan ataupun swasta. Ada yang memberi setengah bulan,  satu bulan, dua bulan bahkan ada yang memberi 12 bulan kepada kakitangannya. Syarikat yang boleh memberi bonus 'kaw-kaw' kepada kakitangannya ada dua iaitu bank dan syarikat minyak. Mana tidaknya saban tahun keuntungan yang dijana adalah berbilion-bilion ringgit. Mana nak dibelanjakan keuntungan wang tersebut melainkan memberi bonus yang berganda kepada kakitangannnya.
 
Adakah kita mengharapkan bonus majikan kita semata-mata yang hanya bagi sekali atau dua kali sahaja setahun dengan sejumlah tertentu? Kemudian, tidak tahu ke manakah hasil bonus yang diperolehi itu dibelanjakan. Begitulah roda kehidupan pekerja makan gaji. Setelah habis duit bonus dibelanjakan, kita tunggu pula tahun berikutnya supaya bonus diberi lagi. Kitaran ini akan terus berlaku sehinggalah kita mencapai umur persaraan kelak.

Sebelum kita melangkah lebih jauh, berapakah peratus peruntukan bonus yang perlu disimpan dan digunakan untuk kita? Kita perlu tahu bahawa rezeki yang baik adalah rezeki yang memberi manfaat kepada kita. Sekiranya duit bonus tersebut langsung tidak digunakan ataupun diusik kerana disimpan di dalam bank, ini bermakna duit bonus tersebut bukanlah rezeki kita walaupun ianya adalah milik kita kerana kita langsung tidak menggunakannya. Dengan kata lain, ia masih belum memberi manfaat kepada kita.

Begitu juga bagaimana sekiranya kita membelanjakan semua bonus tersebut? Sudah tentu ini juga adalah tidak bijak kerana kita tiada wang simpanan untuk menghadapi kecemasan pada bila-bila masa kelak. Apabila kita membelanjakan semua duit bonus kita - kita dikenali sebagai pemboros kerana tidak beringat pada masa hadapan.

Oleh itu, jumlah simpanan yang ideal bagi saya untuk membelanjakan wang bonus kita adalah paling tinggi ialah 50 peratus daripada jumlah bonus yang diterima. 50 peratus lagi adalah untuk disimpan. Di sini, kita boleh membelanjakan wang kita untuk mendapatkan apa-apa yang dihajati selama ini dan boleh menyimpan wang kita untuk kegunaan masa hadapan.
 
Bagaimana sekiranya kita pula mencipta sendiri bonus kita dan mendapat bonus tersebut pada setiap bulan? Hidup tentu akan sentiasa berasa senang dan lapang pada setiap masa dek kerana wang sentiasa masuk dalam akaun kita pada setiap bulan. Apatah lagi kos hidup adalah semakin meningkat saban tahun dengan kenaikan pendapatan tahunan adalah tidak selari dengan kenaikan kos kehidupan kita pada hari ini.
 
Banyak pelaburan-pelaburan di luar sana yang memberi kita peluang untuk menjana pendapatan pasif. Saya mengambil contoh tarikh pemberian dividen oleh Amanah Nasional Berhad (ASNB) kepada pelabur-pelaburnya :
 
1. Amanah Saham Nasional (ASN) : 31 Disember
2. Amanah Saham Nasional 2 (ASN 2) : 30 Jun
3. Amanah Saham Nasional 3 Imbang : 30 November
4. Amanah Saham Gemilang (ASG) : 31 Mac
5. Amanah Saham Bumiputera (ASB) : 31 Disember
6. Amanah Saham Bumiputera 2 (ASB 2) : 31 Mac
7. Amanah Saham Wawasan 2020 (ASW 2020) : 31 Ogos
8. Amanah Saham Malaysia (ASM) : 31 Mac
9. Amanah Saham Didik (ASD) : 30 Jun
10. Amanah Saham 1Malaysia (AS1M) : 30 September

Daripada 10 produk ASNB di atas, kita dapati bahawa pembayaran dividen ASNB adalah dibayar sekurang-kurang dalam tempoh 3 bulan sekali - 31 Mac, 30 Jun, 31 Ogos,  30 September, 30 November, dan 31 Disember. Bagaimana sekiranya kita 'membolot' dengan melabur dalam semua saham ASNB ini? Sudah tentu ia memberi pulangan yang lumayan kepada kita bukan?
 
Selain itu, sesetengah organisasi tempat kita bekerja pun mempunyai pertubuhan Koperasi tersendiri yang memberi pulangan dividen yang tinggi pada setiap tahun. Apa yang menarik ialah pulangan dividen koperasi adalah sehingga 40 peratus setahun. Kita juga tidak dapat lari daripada dividen Tabung Haji (TH) yang diberi kepada pelabur-pelaburnya setiap tahun.

Baiklah, anda tentu tertanya-tanya bagaimana mendapatkan modal pelaburan bagi melabur dalam instrument-instrument pelaburan ini.  Saya akan cuba berikan beberapa cadangan kepada anda seperti berikut :

1. Teknik Berani Mati

Sudah tentu teknik berani mati ialah dengan membuat pinjaman bank semaksimum mungkin. Berapakah kelayakan had potongan gaji anda? Jika had maksimum pinjaman peribadi ialah RM200,000, buat sahaja pinjaman peribadi sebanyak RM200,000 dan kemudian melabur sahaja dalam ASB. Tup tup awal Januari setiap tahun, anda mendapat imbuhan dividen sebanyak RM16,000. Dengan memperolehi dividen RM16,000 anda jangan pula wang tersebut untuk berfoya-foya kerana anda mesti ingat bahawa anda sebenarnya memperolehi wang tersebut dengan berhutang.

2. Teknik Main Selamat

Ini adalah taktik main selamat dalam pelaburan. Anda tidak perlu pening kepala untuk membuat pinjaman bank untuk melabur. Cukuplah sekadar berjumpa dengan Bahagian Sumber Manusia organisasi anda dan isi borang buat potongan gaji setiap bulan. Gaji adalah naik dari tahun ke tahun dan gunakan kenaikan ini untuk menambah caruman ASNB anda. Anda akan mendapati simpanan anda akan berganda dalam mana-mana akaun ASNB atau pelaburan-pelaburan yang lain kerana inilah kuasa faedah kompaun. Wang anda digandakan melalui kadar faedah kompaun ini.

3. Teknik Bijak Pandai

Jika sebelum ini anda membuat simpanan di akaun-akaun pelaburan dengan duit gaji anda sahaja setiap bulan, apa kata jika anda membuat pelaburan dengan duit pelaburan pula? Ya, pelaburan atas pelaburan. Anda membuat pelaburan secara atas angin sahaja. Mudah sahaja, anda cari tempat pelaburan tertinggi sahaja dahulu dan kemudian melabur di tempat pelaburan tersebut. Setelah dividen diperolehi, anda gunakan dividen tersebut untuk membuat pelaburan di tempat-tempat lain pula. Ini akan menyebabkan poket anda menjadi tebal tanpa anda sedari saban tahun.

Setakat ini sahaja dahulu tip-tip yang boleh dikongsi bersama dengan anda. Semoga ia dapat memberikan manfaat kepada anda semua. Jika anda belum melabur lagi, mula la sekarang. Jangan cuba memberi alasan kepada diri sendiri kerana banyak hutang dan komitmen-komitmen lain yang perlu dibayar pada setiap bulan. Baik bermula lewat daripada tidak bermula langsung. Benar bukan?
 
Sekian, terima kasih.