Tuesday, March 4, 2014

Bagaimana Saya Menghabiskan Bacaan Sesebuah Buku?


Mengikut kajian yang pernah dibuat di Amerika Syarikat, kebanyakan orang hanya membaca 10 peratus sahaja kandungan daripada sesebuah buku. Saya juga mendapati ramai rakan-rakan saya yang tidak menghabiskan bacaan sesebuah buku yang diperolehi oleh mereka sama ada dibeli ataupun dipinjam. Pendek kata, anda telah membazir wang anda sekiranya anda membeli buku tetapi tidak membelinya.

Sudah semestinya kita akan menjadi ghairah apabila terjumpa buku terbaru yang tersusun rapi di kedai-kedai buku sama ada di Popular, MPH, dan sebagainya. Rasa-rasanya ingin membeli semua buku yang terdapat di sesebuah kedai buku. Benar sabda Nabi Muhammad s.a.w. iaitu :

“2 perkara yang tidak akan kenyang apabila dituntut iaitu harta dan ilmu.”

Baiklah, saya akan berkongsikan bagaimana saya menghabiskan bacaan sesebuah buku. Jika saya membeli sesebuah buku, saya akan membacanya daripada kulit depan sehingga kulit belakang. Ini juga bermakna saya akan membaca glosari di bahagian belakang buku. Saya tidak mahu membazirkan setiap sen wang saya kerana setiap sen wang saya adalah bernilai apabila membeli sesuatu. Berikut adalah tip yang boleh dikongsi bersama bagaimana saya membaca sesebuah buku :

1. Membaca 10 muka surat sehari

Ini adalah perkara asas yang dilakukan oleh saya apabila membaca sesebuah buku. Setiap hari saya akan membaca sebuah buku sebanyak 10 muka surat sehari – tidak kira sama ada sibuk ataupun tidak. Tidak kira sama ada hari bekerja ataupun hari hujung minggu saya tetap akan membaca 10 muka surat sehari. Terbaru saya baru selesai membaca buku Zainuddin Maidin iaitu Di Belakang Api, Di Depan Duri : Kisah Sejarah Utusan Melayu yang mempunyai muka surat sebanyak 512 muka. Ini bermakna saya mengambil masa selama 51 hari untuk menghabiskan membaca buku ini.



Saya akan membaca buku mengikut disiplin dan tidak membaca mengikut mood. Bayangkan sekiranya kita membaca sesebuah buku dengan mengikut mood. Hari ini kita membaca 40 muka surat sekiranya rajin. Esok pula membaca 10 muka surat sekiranya malas. Seterusnya lusa pula langsung tidak membaca buku kerana terlalu malas. Oleh sebab itu saya membaca sesebuah buku 10 muka surat sehari supaya terus maintain sehingga selesai membaca sesebuah buku tidak kira sama ada diri kita ini rajin ataupun malas. Prinsip yang saya gunakan dalam kes ini ialah :

“Amalan yang dilakukan secara sedikit tetapi berterusan disukai oleh Allah s.w.t. berbanding dengan amalan yang dilakukan secara banyak tetapi tidak berterusan.” Maksud hadis

2. Sibuk bukannya alasan utama

Ramai yang mengatakan bahawa mereka tidak dapat membaca buku kerana terlalu sibuk. Hendak buat kerja. Hendak menjaga anak. Hendak menjaga suami dan sebagainya. Oleh itu, saya mencadangkan anda supaya kita membaca buku 10 muka surat sahaja sehari kerana ia akan mengambil tempoh masa yang sekejap sahaja dalam sehari untuk membaca buku.

Orang yang berjaya ialah orang yang mentaati masa. Jika kita tengok tokoh-tokoh yang berjaya, mereka berjaya kerana mentaati masa. Tun Daim sewaktu menemui kebuntuan dalam perniagaan garamnya berjumpa Robert Kuok untuk meminta nasihat beliau. Robert Kuok meletakkan jam di atas meja dan memberikan masa sebanyak 1/2 jam kepada Daim untuk berbincang mengenai masalah perniagaan beliau. Setelah masa berlalu, Robert Kuok memberitahu Daim bahawa masa perbincangan telah tamat dan beliau terpaksa melayan tetamu lain yang sedang menunggu sehingga Daim mengatakan bahawa, “Saya tidak pernah berjumpa dengan seorang yang baik as suave as Robert Kuok.”

Dr. Mahathir juga sewaktu dalam penerbangan yang jauh, beliau selalunya bersekang mata merentasi zon masa dengan mentelaah buku notanya, menulis ucapan, kertas kerja, artikel untuk surat khabar dan majalah.

Begitu juga mendiang Steven Jobs yang merupakan pemilik syarikat Apple. Sewaktu beliau naik dari tingkat bawah untuk ke tingkat 40 di dalam lif, beliau masih sempat membuat mesyuarat bersama pelanggannya di dalam lif melalui presentation Power Point yang telah diringkaskan. Inilah contoh tokoh-tokoh yang menghargai masa mereka.

Oleh itu, kita juga perlu menghargai masa kita dalam sehari dan memperuntukkan membaca hanya 10 muka surat sehari. Rasanya masih banyak masa terluang untuk kita membaca. Jika kita memberi alasan tiada masa itu tidak dapat diterima kerana setiap manusia di muka bumi ini tidak kira sama ada rakyat biasa ataupun raja, mereka tetap mempunyai masa 24 jam sehari. Tidak lebih ataupun kurang walaupun seminit.

3. Paksa Diri Sendiri

Tiada orang dapat memaksa diri kita sendiri untuk membaca melainkan diri sendiri sahaja. Mahu tidak mahu kita perlu disiplinkan untuk membaca. Sepertimana yang disebut sebelum ini iaitu kita perlu membaca hanya 10 mukasurat sehari. Pegang prinsip ini mengikut kata-kata imam al-Ghazali :

“Amalan yang dilakukan secara berterusan akan menimbulkan keikhlasan di hati.”

Dengan memaksa diri kita sendiri, kita akan memaksa diri kita tidak kira sama ada diri kita letih ataupun tidak dan sebagainya. Pendek kata, kita akan berusaha untuk membaca 10 muka sehari untuk sebuah buku.

4. Setiap Sesuatu Ada Awal dan Akhirnya

Kita perlu meyakini bahawa buku yang telah dibeli akan tetap habis dibaca walaupun cepat ataupun lambat kerana salah satu tanda kewujudan Tuhan ialah setiap sesuatu ada awal dan akhirnya. Kita hanya perlu kekalkan sahaja membaca 10 muka surat sehari dan kita tetap akan habis membaca buku tersebut pada suatu hari nanti. Insya-Allah.

Sekian, terima kasih.


http://wankamarul701.blogspot.com

1 comment:

Doraemon said...

Nampaknya hobi Tuan ini memang kuat membaca...