Friday, March 28, 2014

Surah Nuh Menunjukkan Cara Kita Menghadapi Kemarau dan Dimurahkan Rezeki



Assalamualaikum w.b.t. dan Selamat Sejahtera.

Saya mula menghafal Surah Nuh ketika saya belajar di Tingkatan 2. Memang sewaktu di sekolah dahulu setiap pelajar diwajibkan untuk menghafal surah-surah tertentu mengikut tingkatan masing-masing. Surah Nuh adalah surah yang menceritakan kisah Nabi Nuh yang mengajak kaumnya supaya mengEsakan Allah s.w.t. selama 950 tahun.

Saya hanya menghafal surah tersebut sekadar menghafal sehinggalah saya mendengar kuliah di masjid baru-baru ini mengenai petunjuk yang terdapat di dalam Surah Nuh apabila kita menghadapi musim kemarau. Selain itu, surah ini juga mengajar untuk dimurahkan rezeki olehNya. Ini disebutkan dalam Surah Nuh dalam ayat 10-12 yang berbunyi seperti berikut :

“Maka aku katakan kepada mereka: Mohonlah keampunan kepada Rab (Tuhan)mu, sesungguhnya Dia (Allah) adalah al-Ghafar (Maha Pengampun).”

 “Nescaya Dia (Allah) akan mengirimkan hujan kepada kamu dengan lebat.” 

“Dan membanyakkan harta dan anak-anak kamu, dan mengadakan untuk kamu kebun-kebun dan mengadakan untuk kamu sungai-sungai.”


Pengajaran daripada ayat-ayat ini ialah surah ini menyeru kita supaya kita sentiasa beristighfar atau sentiasa memohon keampunan kepada Allah s.w.t. supaya hujan diturunkan apabila menghadapi musim kemarau dan dimurahkan rezeki oleh-Nya.

Oleh itu, kita perlulah memperbanyakkan istighfar untuk memohon keampunan Allah s.w.t. supaya sentiasa dimurahkan rezeki olehNya.


Banyak hadis yang dianjurkan cara kita untuk memohon keampunan Allah s.w.t. Salah satunya ialah kita perlu beristighfar sekurang-kurangnya 70 kali sehari kerana Nabi Muhammad s.a.w. sendiri beristighfar 70 kali sehari walaupun baginda sendiri adalah maksum yakni bebas daripada melakukan sebarang dosa. Selain itu, cara lain yang dianjurkan untuk beristigfar ialah dengan mendirikan solat tasbih kerana dosa-dosa kita akan diampunkan oleh Allah s.w.t. Semoga ayat-ayat dari Surah Nuh  serta Hud ini dapat dijadikan pengajaran dan amalan kita untuk kita amalkan sentiasa. Mudah-mudahan.

Wallahua'lam.



2 comments:

Aimi Athifah said...

Salam :) info y bermanfaat :) terima kasih ^_^

Wan Kamarul Ariffin said...

Sama-sama