Saturday, January 25, 2014

Peristiwa Natrah Membawa Kesepaduan Umat Melayu Islam di Tanah Melayu, Singapura, dan Indonesia.

Natrah dan Suaminya, Mansor Adabi

Adakah anda pernah mendengar nama Natrah?  Mungkin ya atau mungkin tidak. Peristiwa Natrah ini boleh dijadikan pengajaran untuk kita pada hari ini kerana isu ini membawa kesepaduan orang melayu Islam di Tanah Melayu, Singapura, dan Indonesia. Peristiwa Natrah ini sebenarnya berkisar mengenai seorang gadis Belanda berusia 13 tahun yang bernama Natrah yang dipelihara oleh seorang wanita melayu dari Terengganu iaitu Che Aminah Mohamad dan dikahwinkan dengan seorang pemuda melayu, Mansor Adabi.

Natrah dilahirkan di Tjimahi, Jawa, Indonesia dengan nama Bertha Hertogh atau Maria Huberdina Hertogh pada 24 Mac 1937. Bertha Hertogh diserahkan untuk dipelihara kepada Che Aminah Mohamad. Usia Natrah ketika itu 5 tahun. Ibunya Adeline dan neneknya Nor Louisenya menyerahkan Bertha dan Benny kepada Che Aminah tanpa pengetahuan bapanya Sarjan Adrianus Petrus Hertogh kerana telah ditawan tentera Jepun.

Bapa Natrah, Sarjan Hertogh dibebaskan selepas Hiroshima dan Nagasaki dibom dengan bom atom oleh Amerika. Dia balik ke Bandung, Jawa dan mencari anaknya Natrah. Adeline dan Hertogh balik ke Belanda tanpa menemui Natrah. Usaha mencari diteruskan melalui teman-teman dan pegawai kerajaan Inggeris dan Belanda pada tahun 1945. Pada September 1949, Natrah ditemui oleh Arthur Locke, Penasihat British di Terengganu sewaktu pertunjukan senaman di padang Sekolah Perempuan Melayu Chukai.

Seterusnya, isu ini timbul apabila ibu bapa Natrah yang menuntut di mahkamah supaya anak mereka dikembalikan kepada mereka melalui undang-undang sivil di Singapura pada tahun 1950. Keputusan mahkamah adalah memihak kepada ibu bapa Natrah supaya anak mereka diserahkan kepada mereka. Kesannya ialah ia memaksa Natrah bercerai dengan suaminya dan berpisah dengan keluarga angkatnya. Kes ini telah menimbulkan kontroversi hangat sehinggakan mencetuskan rusuhan besar di Singapura pada tahun yang sama.
Natrah Menunaikan Solat

Sebelum itu, pada 2 Disember 1950 ketua Hakim mengeluarkan perintah yang ketiga untuk didengar di mahkamah tentang kesahihan perkahwinan dan hak penjagaan Natrah. Mengikut undang-undang Belanda , seorang anak yang berusia 16 tahun ke bawah, bapanya berhak menentukan kehidupannya. Pendakwa berhujah sama ada Natrah berhak dikahwinkan dan terus menganut agama Islam ataupun tidak. Mahkamah memutuskan, selagi tidak mencapai umur 18 tahun ke atas, hanya penjaga yang berhak ke atasnya. Mahkamah tidak menyebut ibubapa tetapi penjaga. Tiba-tiba daripada isu agama bertukar bertukar kepada isu jagaan. Berlainan dengan Undang-Undang Syariah Islam, perempuan umur 13 tahun dibenarkan kahwin sebagaimana isteri Nabi Muhamad, Siti Aisyah.

Dalam kes Natrah ini, mahkamah mengakui Natrah secara rela tanpa dipaksa oleh sesiapa hendak meneruskan kehidupan sebagai seorang muslim. Mahkamah mengatakan pula, siapa yang boleh menafikan hak Natrah daripada didedahkan kepada agama Kristian? Bapanya lebih berhak ke atasnya.

Pada 12 Disember 1950, Hakim menjatuhi hukuman – Natrah mesti dikembalikan kepada ibu bapa kandungnya di Belanda. Bapanya diberi hak dalam menentukan agama anaknya. Natrah telah dihantar pulang ke Belanda, dan seterusnya dijadikan Katholik.

Pada 12 Disember 1950 juga rusuhan Natrah berlaku kerana masyarakat Islam di Singapura dan Tanah Melayu kecewa Natrah akan dimurtadkan. Rusuhan Natrah ini menyebabkan 18 orang terbunuh, 173 orang tercedera, 119 kenderaan musnah dan 73 kejadian pembakaran dan menyebabkan perisytiharan darurat selama dua hari dua malam. Ada protes orang Islam di Karachi, Pakistan yang bersimpati dengan Natrah.Dalam keadaan inilah Natrah diterbangkan kembali ke Belanda yang memisahkan selama-lamanya dengan suami dan ibu angkatnya Che Aminah.

Mungkin kita biasa mendengar bahawa perletakan jawatan Dato’ Onn Jaafar sebagai Presiden Umno adalah disebabkan oleh hasrat Dato’ Onn Jaafar yang ingin membuka keahlian Umno kepada orang bukan melayu. Sebenarnya, perletakan Dato’ Onn Jaafar adalah disebabkan oleh penentangan orang melayu Islam terhadap beliau berikutan peristiwa Natrah. Ketika peristiwa itu berlaku, Dato’ Onn menyeru orang-orang melayu supaya jangan mencampuri urusan Natrah kerana ia melibatkan peristiwa di Singapura. Ini menyebabkan kemarahan orang-orang melayu kepada Dato’ Onn sehingga membawa kepada perletakan jawatan sebagai Presiden Umno oleh Dato’ Onn.

Pengajaran daripada kisah ini ialah kita dapat melihat bahawa orang-orang melayu ketika itu bersatu padu mengenai peristiwa Natrah kerana ia menyentuh isu agama. Peristiwa ini berlaku pada tahun 1950 iaitu ketika Tanah Melayu masih lagi menjadi jajahan British dan orang melayu ketika itu masih belum mempunyai kuasa politik dalam mentadbir negara.

Kini setelah 60 tahun peristiwa Natrah itu berlaku, kita dapat melihat bahawa isu-isu agama menjadi perbalahan sesama kita sendiri semata-mata kerana kepentingan politik masing-masing. Lihat sahaja isu kalimah Allah, hudud, gejala murtad dan sebagainya semakin berleluasa. Seolah-olah isu ini dibiarkan begitu sahaja sehingga menyebabkan kecelaruan di kalangan umat Islam itu sendiri.

Mungkin ada baiknya jika British terus memerintah Tanah Melayu kerana sebelum merdeka orang-orang melayu bersatu-padu dalam isu agama mahupun bangsa bahkan tidak bergaduh sesama sendiri kerana kepentingan kuasa politik masing-masing. Wallhua’lam.

Sekian, terima kasih.


http://wankamarul701.blogspot.com

Sumber :
1. Zainuddin Maidin, 2013, Di Depan Api Di Belakang Duri Kisah Sejarah Utusan Melayu.
2. http://highlightarchive.blogspot.com

No comments: