Monday, January 6, 2014

Jangan Menciplak Sesuatu Tanpa Menyatakan Sumbernya

Assalamualaikum w.b.t. dan Selamat Sejahtera.



Blogger Hiburan Tiada Etika? - Pancaindera 5 Januari 2014

Hari ini hari Ahad. Apabila tiba sahaja hujung minggu pada hari Sabtu dan Ahad saya pasti akan membeli Utusan Malaysia dan Mingguan Malaysia. Tujuannnya hanya satu iaitu untuk mencari peluang kerjaya kosong. Kalau nak harapkan memohon secara atas talian seperti Jobstreet adalah sukar. Saya lebih suka memohon kerja di akhbar-akhbar utama kerana syarikat-syarikat atau agensi-agensi yang mengiklankan peluang-peluang kerja kosong di akhbar-akhbar utama adalah agensi-agensi yang 'tidak mengarut'. Dengan kata lain, agensi-agensi yang diiklankan biasanya adalah agensi-agensi kerajaan ataupun berkaitan dengan kerajaan.

Saya percaya memohon secara manual adalah lebih berkesan berbanding dengan memohon secara atas talian. Kita perlu menyediakan surat permohonan, resume, dan salinan-salinan sijil untuk memohon sesuatu pekerjaan secara manual. Sudah tentu pihak majikan sekurang-kurangnya akan memanggil temuduga sekiranya permohonan kita diterima awal dan memenuhi syarat untuk dipanggil temuduga. Risiko memohon pekerjaan yang disiarkan akhbar-akhbar utama ialah ia disiarkan kepada semua penduduk Malaysia. Oleh itu, tidak hairanlah sekiranya satu jawatan kosong dibuka di akhbar-akhbar utama maka 10 guni surat permohonan akan sampai di pintu masuk syarikat seperti organisasi saya. Pendek kata, persaingan adalah sengit. Oleh itu, sekiranya saya memohon sesuatu jawatan diiklankan dalam surat khabar, saya akan menghantar surat permohonan selewat-lewatnya sehari selepas iklan tersebut disiarkan. 

Saya membeli Mingguan Malaysia pada hari ini. Saya tertarik dengan suatu artikel dalam ruangan Pancaindera oleh Bicara Rasdan yang menegur para blogger yang tidak beretika khususnya menulis mengenai hiburan. Saya tidak suka mengenai hiburan dalam Mingguan Malaysia. Apa yang saya suka dalam Mingguan Malaysia adalah kritikan-kritikannya terhadap pembangkang khususnya oleh Awang Selamat. Tidak kurang juga dengan Siti Jarum yang mengkritik artis-artis tempatan dengan gayanya sendiri. Apa yang menjadi teguran artikel dalam Bicara Rasdan tersebut ialah sikap blogger yang suka menciplak bulat-bulat berita hiburan daripada suratkhabar dan juga majalah tanpa memetik sumber ataupun kredit daripada mana.

Suka saya menyebut di sini bahawa Mingguan Malaysia dahulu dikenali sebagai Utusan Zaman. Jika hari ini kita mendapati ruangan pojok Mingguan Malaysia ialah Bisik-bisik Awang Selamat, maka dahulu dalam akhbar mingguan Utusan Zaman dikenali sebagai Ada-ada Sahaja.

Artikel tersebut turut menyiarkan suatu blog yang menciplak artikel Pancaindera yang telah disiarkan. 


Blog yang Menciplak Artikel Pancaindera

Sememangnya untuk menulis kita memerlukan pembacaan. Sekiranya kita tidak membaca, masakan ada idea untuk menulis tidak kira sama ada blog dan sebagainya. Oleh itu, kita perlu menyatakan sumber yang kita ambil supaya sumber penulisan kita mempunyai kredibiliti sendiri melainkan kita sendiri yang mencari maklumat yang hendak ditulis selain menulis idea yang terlintas di fikiran kita. Oleh itu, berhati-hatilah dalam penulisan kita kerana penulisan kita melambangkan sikap,etika, dan akhlak kita.

Adakah kita berani mengambil risiko menciplak atau mencedok penulisan orang lain tanpa menyatakan sumber rujukan atau kredit kepada sumber tersebut? Bayangkan sekiranya ada orang mendapati penulisan kita sama dengan penulisan yang telah ditulis orang lain? Siapakah yang akan dipersalahkan? Apakah perasaan empunya tulisan asal tersebut sekiranya mendapati ada orang menciplak atau meniru karyanya tanpa pengetahuannya? Itu belum lagi mengambil kira tindakan saman yang boleh diambil khususnya penulisan dalam bidang penyelidikan akademik. Jika tidak mengambil tindakan saman sekalipun sudah tentu sikap menciplak ini tidak menggambarkan etika yang bagus bagi seseorang penulis. 

Oleh itu, berhati-hatilah apabila memetik sumber penulisan orang lain. Sekiranya kita memetik dan menyatakan sumber asal penulisan percayalah bahawa kedua-dua pihak akan mendapat manfaat. Pemilik sumber asal sudah tentu berasa dia dihargai manakala 'si pencedok' pula tidak akan menghadapi sebarang apa-apa risiko bahkan dia wajar dihormati kerana menyatakan sumber penulisan asal. 

Sekian, terima kasih.


http://wankamarul701.blogspot.com

4 comments:

Tetamu Istimewa said...

Assalamualaikum, singgah dan follow di sini. Jemput ke blog saya pula ya. Terima kasih.

Wan Kamarul said...

wsalam.. ok..tq

Lebah Kelulut said...

Sangat setuju dengan pendapat tuan. Saya mengambil inisiatif membina blog mengumpulkan maklumat tentang lebah kelulut.

Walaupun ada isu di situ, tetapi saya dengan jelas mengatakan saya tidak memiliki hak cipta dalam perbincangan itu.

Memang ada isu sebab si empunya komen marah marah. Tetapi saya niatkan hanya untuk berkongsi. Lagipun saya ada meletakkan pautan sumber.

Terpulang kepada empunya untuk memahami niat saya.

Wan Kamarul said...

Yer.. Ilmu berkembang apabila disebarkan. Apa salahnya mengembangkan ilmu yang telah ada dengan meletakkan sumber rujukan daripada mana.