Wednesday, January 29, 2014

Krisis di Selangor Membuktikan Bahawa PKR Gagal Menangani Krisis Dalaman Parti


Jika era 1990-an dahulu, langsung tidak terlintas di hati saya bahawa pembangkang dapat menawan Selangor. Selangor merupakan negeri terkaya di Malaysia. Apabila disebut negeri-negeri yang kaya sudah tentu ianya merupakan kubu kuat UMNO. Manakala negeri-negeri yang ‘miskin’ dari segi ekonominya secara mudahnya dapat ditawan oleh pembangkang yakni Pas.

Masa berlalu. Zaman pun berlalu. Tahun 2008 merupakan tahun keramat yang amat pahit buat Umno kerana buat pertama kalinya selepas tahun 1969 Umno kehilangan 2/3 majoriti parlimen sekaligus kehilangan 5 negeri termasuk Selangor. Namun apabila masuk penggal kedua mentadbir negeri-negeri ini didapati bahawa bibit-bibit perpecahan mula berlaku dalam pakatan pembangkang pada kali ini. Ini baru mentadbir negeri sudah berlaku huru-hara dalam mentadbir negeri yang kaya. Ini belum lagi mentadbir sebuah negara dalam masyarakat majmuk.

Seburuk-buruk Umno dengan rasuah sekalipun tidak pernah lagi dalam sejarah Umno menukar Menteri Besarnya apabila berlaku krisis dalaman parti. Berlainan pula dengan PKR, walaupun penuh dengan retorik-retorik kononnya pentadbiran bersih dan cekap namun masalah timbul melalui sudut yang lain iaitu perbalahan sesama ahli di dalam parti yang sama. Mujurlah pertelingkahan tidak berlaku antara PKR dan DAP.

Nasib Khalid Ibrahim yang Tidak Menentu

Tiba-tiba sahaja tanpa angin dan ribut ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kajang meletak jawatan. Ini terlebih dahulu diikuti dengan berita berlaku pertelingkahan antara Khalid Ibrahim dan Azmin Ali. Desas-desus mengatakan bahawa apa yang sebenarnya berlaku ialah Khalid Ibrahim mentadbir Selangor seperti mentadbir syarikat. Beliau tidak mengutamakan kroni-kroni dalam pemberian projek yang menjadi survival kepada mereka di dalam politik untuk terus bernafas pada masa hadapan. Masakan boleh bergiat dalam politik sekiranya seseorang itu tidak mempunyai wang dengan mendapatkan melalui projek-projek kerajaan negeri. Ini yang menimbulkan perasaan tidak puas hati kepada Khalid Ibrahim. Sejauh mana kebenaran ini tidak dapat dipastikan.

Sememangnya Anwar Ibrahim merupakan perantara yang terbaik apabila berlakunya krisis dalam parti. Contoh yang mudah ialah Anwar Ibrahim dapat menyatukan Pas dan Dap untuk semeja walaupun kedua-dua parti ini mempunyai ideologi yang bertentangan antara satu sama lain. Namun dalam krisis Pkr pada kali ini Anwar dikatakan ingin menjadi MB Selangor untuk menyelesaikan krisis dalaman Pkr. Dengan kata lain Khalid Ibrahim disingkirkan menjadi MB Selangor untuk diberikan kepada Anwar Ibrahim.

Jika dilihat dari satu sudut, pakatan pembangkang sebenarnya hanya mengharapkan Anwar Ibrahim dalam menyelesaikan krisis dalaman pembangkang yang wujud. Katakan Anwar sudah tiada dalam Pakatan. Apakah yang akan terjadi kepada Pas dan Dap? Oleh itu, mengharapkan Anwar semata-mata dalam menangani krisis yang timbul adalah tidak baik bagi jangka panjang kerana krisis ataupun masalah yang timbul dalam Pakatan akan memberi kelebihan kepada BN untuk dijadikan modal politik sekiranya sesuatu isu tidak ditangani dengan baik.

Jika Anwar Ibrahim menang dalam PRK Kajang nanti dan seterusnya diangkat menjadi Menteri Besar sudah tentu lawan Anwar ialah Mohd. Najib selaku Pengerusi Perhubungan Umno Selangor. Sudah tentu lawan Najib adalah bukan sembarangan orang untuk merampas Selangor semula dalam PRU akan datang. Laluan BN untuk merampas Selangor semakin sukar dengan adanya Anwar Ibrahim. Apatah dengan keadaan sedia ada pun BN sudah berada dalam keadaan hidup segan mati tak mahu.

Timbul juga persoalan di fikiran adakah Anwar Ibrahim boleh menjadi MB Selangor sekiranya menang PRK Kajang sekalipun nanti? Bagaimana sekiranya Sultan Selangor inginkan Khalid Ibrahim sahaja kekal menjadi MB Selangor? Sudah tentu usaha ini hanya sia-sia sahaja. Tambahan pula Anwar Ibrahim bukan anak negeri Selangor. Elok kita tunggu sahaja episod seterusnya dalam sandiriwara PKR ini.

Mangsa politik dalam yang paling boleh dikasihankan ialah MB Selangor iaitu Khalid Ibrahim sendiri. Adakah beliau sanggup melepaskan jawatan MB Selangor? Bagaimana pula dengan team-team Khalid apabila bos mereka dipecat daripada menjadi MB? Adakah team-team ini akan mensabotajkan parti PKR dari dalam? Sekiranya ini berlaku ini akan memberikan nafas baru kepada BN untuk merampas Selangor dalam PRU akan datang.

Pendek kata, isu ini adalah menarik untuk kita ikuti selepas munculnya isu kangkung Mohd. Najib. Politik Malaysia ini memang mempunyai keunikan tersendiri. Mula-mula kenaikan harga barang. Timbul pula isu kalimah Allah. Kemudian isu kangkung Mohd. Najib. Selepas itu, isu MB Selangor yang mungkin akan ditukarkan. Unik bukan? Tak gitu?

Wassalam.

http://wankamarul701.blogspot.com

Saturday, January 25, 2014

Peristiwa Natrah Membawa Kesepaduan Umat Melayu Islam di Tanah Melayu, Singapura, dan Indonesia.

Natrah dan Suaminya, Mansor Adabi

Adakah anda pernah mendengar nama Natrah?  Mungkin ya atau mungkin tidak. Peristiwa Natrah ini boleh dijadikan pengajaran untuk kita pada hari ini kerana isu ini membawa kesepaduan orang melayu Islam di Tanah Melayu, Singapura, dan Indonesia. Peristiwa Natrah ini sebenarnya berkisar mengenai seorang gadis Belanda berusia 13 tahun yang bernama Natrah yang dipelihara oleh seorang wanita melayu dari Terengganu iaitu Che Aminah Mohamad dan dikahwinkan dengan seorang pemuda melayu, Mansor Adabi.

Natrah dilahirkan di Tjimahi, Jawa, Indonesia dengan nama Bertha Hertogh atau Maria Huberdina Hertogh pada 24 Mac 1937. Bertha Hertogh diserahkan untuk dipelihara kepada Che Aminah Mohamad. Usia Natrah ketika itu 5 tahun. Ibunya Adeline dan neneknya Nor Louisenya menyerahkan Bertha dan Benny kepada Che Aminah tanpa pengetahuan bapanya Sarjan Adrianus Petrus Hertogh kerana telah ditawan tentera Jepun.

Bapa Natrah, Sarjan Hertogh dibebaskan selepas Hiroshima dan Nagasaki dibom dengan bom atom oleh Amerika. Dia balik ke Bandung, Jawa dan mencari anaknya Natrah. Adeline dan Hertogh balik ke Belanda tanpa menemui Natrah. Usaha mencari diteruskan melalui teman-teman dan pegawai kerajaan Inggeris dan Belanda pada tahun 1945. Pada September 1949, Natrah ditemui oleh Arthur Locke, Penasihat British di Terengganu sewaktu pertunjukan senaman di padang Sekolah Perempuan Melayu Chukai.

Seterusnya, isu ini timbul apabila ibu bapa Natrah yang menuntut di mahkamah supaya anak mereka dikembalikan kepada mereka melalui undang-undang sivil di Singapura pada tahun 1950. Keputusan mahkamah adalah memihak kepada ibu bapa Natrah supaya anak mereka diserahkan kepada mereka. Kesannya ialah ia memaksa Natrah bercerai dengan suaminya dan berpisah dengan keluarga angkatnya. Kes ini telah menimbulkan kontroversi hangat sehinggakan mencetuskan rusuhan besar di Singapura pada tahun yang sama.
Natrah Menunaikan Solat

Sebelum itu, pada 2 Disember 1950 ketua Hakim mengeluarkan perintah yang ketiga untuk didengar di mahkamah tentang kesahihan perkahwinan dan hak penjagaan Natrah. Mengikut undang-undang Belanda , seorang anak yang berusia 16 tahun ke bawah, bapanya berhak menentukan kehidupannya. Pendakwa berhujah sama ada Natrah berhak dikahwinkan dan terus menganut agama Islam ataupun tidak. Mahkamah memutuskan, selagi tidak mencapai umur 18 tahun ke atas, hanya penjaga yang berhak ke atasnya. Mahkamah tidak menyebut ibubapa tetapi penjaga. Tiba-tiba daripada isu agama bertukar bertukar kepada isu jagaan. Berlainan dengan Undang-Undang Syariah Islam, perempuan umur 13 tahun dibenarkan kahwin sebagaimana isteri Nabi Muhamad, Siti Aisyah.

Dalam kes Natrah ini, mahkamah mengakui Natrah secara rela tanpa dipaksa oleh sesiapa hendak meneruskan kehidupan sebagai seorang muslim. Mahkamah mengatakan pula, siapa yang boleh menafikan hak Natrah daripada didedahkan kepada agama Kristian? Bapanya lebih berhak ke atasnya.

Pada 12 Disember 1950, Hakim menjatuhi hukuman – Natrah mesti dikembalikan kepada ibu bapa kandungnya di Belanda. Bapanya diberi hak dalam menentukan agama anaknya. Natrah telah dihantar pulang ke Belanda, dan seterusnya dijadikan Katholik.

Pada 12 Disember 1950 juga rusuhan Natrah berlaku kerana masyarakat Islam di Singapura dan Tanah Melayu kecewa Natrah akan dimurtadkan. Rusuhan Natrah ini menyebabkan 18 orang terbunuh, 173 orang tercedera, 119 kenderaan musnah dan 73 kejadian pembakaran dan menyebabkan perisytiharan darurat selama dua hari dua malam. Ada protes orang Islam di Karachi, Pakistan yang bersimpati dengan Natrah.Dalam keadaan inilah Natrah diterbangkan kembali ke Belanda yang memisahkan selama-lamanya dengan suami dan ibu angkatnya Che Aminah.

Mungkin kita biasa mendengar bahawa perletakan jawatan Dato’ Onn Jaafar sebagai Presiden Umno adalah disebabkan oleh hasrat Dato’ Onn Jaafar yang ingin membuka keahlian Umno kepada orang bukan melayu. Sebenarnya, perletakan Dato’ Onn Jaafar adalah disebabkan oleh penentangan orang melayu Islam terhadap beliau berikutan peristiwa Natrah. Ketika peristiwa itu berlaku, Dato’ Onn menyeru orang-orang melayu supaya jangan mencampuri urusan Natrah kerana ia melibatkan peristiwa di Singapura. Ini menyebabkan kemarahan orang-orang melayu kepada Dato’ Onn sehingga membawa kepada perletakan jawatan sebagai Presiden Umno oleh Dato’ Onn.

Pengajaran daripada kisah ini ialah kita dapat melihat bahawa orang-orang melayu ketika itu bersatu padu mengenai peristiwa Natrah kerana ia menyentuh isu agama. Peristiwa ini berlaku pada tahun 1950 iaitu ketika Tanah Melayu masih lagi menjadi jajahan British dan orang melayu ketika itu masih belum mempunyai kuasa politik dalam mentadbir negara.

Kini setelah 60 tahun peristiwa Natrah itu berlaku, kita dapat melihat bahawa isu-isu agama menjadi perbalahan sesama kita sendiri semata-mata kerana kepentingan politik masing-masing. Lihat sahaja isu kalimah Allah, hudud, gejala murtad dan sebagainya semakin berleluasa. Seolah-olah isu ini dibiarkan begitu sahaja sehingga menyebabkan kecelaruan di kalangan umat Islam itu sendiri.

Mungkin ada baiknya jika British terus memerintah Tanah Melayu kerana sebelum merdeka orang-orang melayu bersatu-padu dalam isu agama mahupun bangsa bahkan tidak bergaduh sesama sendiri kerana kepentingan kuasa politik masing-masing. Wallhua’lam.

Sekian, terima kasih.


http://wankamarul701.blogspot.com

Sumber :
1. Zainuddin Maidin, 2013, Di Depan Api Di Belakang Duri Kisah Sejarah Utusan Melayu.
2. http://highlightarchive.blogspot.com

Thursday, January 23, 2014

Rumah Zaman Khilafah Uthmaniah - Setiap Pintu Rumah Ada Dua Pengetuk


Rumah Tradisional Zaman Uthmaniah di Safranbolu - Gambar : Wikipedia

Ketika era Kerajaan Khilafah Utsmaniah, setiap pintu rumah disediakan dua pengetuk, salah satunya kecil dan yang lain besar. Ketika pintu diketuk oleh pengetuk kecil, maka dapat diketahui yang mengetuk iyu adalah seorang perempuan, maka yang keluar untuk membuka pintu adalah si Isteri pemilik rumah. Sedangkan ketika pintu diketuk oleh pengetuk besar, maka dapat diketahui yang mengetuk adalah seorang lelaki, maka suamilah yang berhak untuk membuka pintu. 

Ketika pemilik rumah sakit, maka diletakkan di depan rumahnya bunga mawar merah sebagai tanda kepada pejalan kaki dan orang-orang yang lalu-lalang bahawa di rumah tersebut ada yang sedang sakit, sehingga mereka tidak menimbulkan suasana bergaduh atau meninggikan suara di depan rumahnya. 

Sumber : http://detikislam.blogspot.com

Tuesday, January 14, 2014

Hubungan Khilafah dan Alam Melayu : Sejarah yang Disembunyikan...

Assalamualaikum w.b.t. dan Selamat Sejahtera.

Mesti suspenkan apabila tengok tajuk di atas. 'Hubungan Khilafah dan Alam Melayu : Sejarah yang Disembunyikan.' Sudah tentu anda semua ingat mesti saya hendak menulis mengenai hubungan khilafah khususnya Khilafah Uthmaniyah dengan alam melayu. Banyak tulisan-tulisan di internet yang menulis hubungan dua hala ini antara Khilafah Uthmaniyah dengan alam melayu. Malangnya, tulisan-tulisan di internet ini tidak dibukukan secara rasmi untuk menjadi bacaan umum. 

Dapatkan Buku ini di Pasaran...

Oleh itu, suka saya mempromosikan buku yang membincangkan secara rasmi hubungan Khilafah Uthmaniyah yang ditulis oleh Saim Kayadibi iaitu seorang pensyarah UIA. Bukunya bertajuk 'Ottoman Connections to the Malay World' membincangkan secara khusus hubungan dua hala ini. Buku ini sebenarnya kompilasi 7 jurnal mengenai hubungan Uthmaniyah dan Alam Melayu. Antara tajuk-tajuknya ialah 'The Religious - Intelectual Network : The Arrival of Islam in the Archipelago', 'Baba Davud : A Turkish Scholar in Aceh', dan lain-lain lagi. 

Dalam buku teks Sejarah Peradaban Dunia sekalipun tiada yang menerangkan hubungan istimewa antara Khilafah Uthmaniyah dan alam melayu. Sebenarnya, semasa portugis menyerang Melaka pada tahun 1511, pihak Khilafah Uthmaniyah telah menghantar 3 kapal perang untuk membantu Kesultanan Melayu Melaka menentang pihak Portugis tetapi gagal. Selepas itu, kesultanan Melayu Aceh muncul sebagai kuasa besar di Selat Melaka setelah kejatuhan Kesultanan Melayu Melaka. Namun begitu, kita perlu ingat bahawa Kerajaan Aceh ini mendapat perlindungan daripada pihak Uthmaniyah di Istanbul dalam usaha menjadi kuasa melayu terunggul di Selat Melaka. 

Jata Negara Uthmaniyah yang Terdapat di Masjid Lama Thiland Membuktikan Wujudnya Hubungan Uthmaniyah dan Alam Melayu. Sumber : Sejarah Negara Kedah

Untuk menambah lagi pengetahuan dan pemahaman kita mengenai hubungan klasik yang pernah wujud ini dapatkan buku ini di Kinokuniya dengan harga RM39.00 di rak bernombor D14-02.

Sekian, terima kasih.

http://wankamarul701.blogspot.com

Sunday, January 12, 2014

Belajar dengan Menggunakan Youtube

Assalamualaikum w.b.t. dan Selamat Sejahtera.

Zaman ini adalah zaman teknologi. Jika hendak ke luar negara sekalipun adalah dalam masa beberapa saat sahaja dengan menggunakan jari sahaja. Benar kata pepatah maklumat sekarang berada di hujung jari. Taip apa sahaja maka akan keluar maklumat yang dkehendaki. Apa yang saya ingin kongsikan di sini adalah faedah untuk belajar menggunakan Youtube. Jika kita menaip sahaja subjek ingin dipelajari, maka bertimbun-timbunlah tajuk yang akan keluar dari seluruh negara di lama Youtube ini. Kadang-kadang keluar juga tajuk yang memberi penerangan dalam bahasa Sepanyol. Apa yang pasti majoriti pengajaran boleh didapati dalam bahasa inggeris. Saya sekarang menggunakan Youtube untuk mempelajari tajuk tesis saya yang untuk tajuk Artificial Neural Networks. Saya memilih untuk mempelajari daripada pensyarah di India yang bernama Prof. P. Dasgupta dari IIT Kharagpur.

Apa yang menarik ialah penerangannya adalah satu demi satu langkah. Belajar melalui mod penyelidikan memerlukan kita membaca lebih. Walaupun nampak senang tetapi ia sebenarnya adalah susah. Dalam agama sekalipun, kita perlulah mempunyai guru untuk belajar. Jika tidak kita akan tersasar akibar daripada belajar berseorangan. Ibarat belajar dengan syaitan. Maaf cakaplah saya tidak pasti sama ada betul atau tidak sekiranya kita belajar berseorangan ibarat kita belajar dengan syaitan. Oleh itu, jadikan Youtube sebagai alat panduan untuk kita memahami sesuatu perkara ataupun subjek. 


Penerangan yang Jelas dari Prof. P. Dasgupta

Apa yang menarik lagi ialah saya boleh reverse video ini sekiranya saya masih keliru atau tidak faham apa yang diajarkan oleh beliau. Selain itu, saya juga boleh menyalin nota-nota yang diajarkan oleh beliau. Seolah-olah saya berada dalam kelas walaupun saya berada di rumah sekarang. Menarik bukan?

Nota yang Boleh Disalin daripada Pengajaran oleh Prof. P. Dasgupta

Selain itu, saya boleh belajar daripada sumber link yang lain yang lebih colourful untuk menambahkan pemahaman saya mengenai topik ini. Sudah tentu belajar dengan melihat satu video sahaja tidak cukup untuk menambah kefahaman kita mengenai sesuatu. 

Persembahan yang Lebih Menarik untuk Belajar

Oleh itu, gunakan kemudahan Youtube ini dengan sebaik-baiknya. Teknologi ini boleh ibarat pisau. Jika kita gunakannya dengan betul, ia boleh memberi manfaat kepada kita. Jika kita salahgunakannya, alamat ia boleh menjadi fitnah dalam masyarakat kita.

Sekian, terima kasih.


http://wankamarul701.blogspot.com

Tuesday, January 7, 2014

Kenapa Kerajaan BN Sukar Digulingkan?

Assalamualaikum w.b.t. dan Selamat Sejahtera.

Hari ini 8 Januari 2014. Genap seminggu kita menyambut tahun baru 2014. Kerajaan Barisan Nasional (BN) masih memerintah Kerajaan. Hasrat untuk menggulingkan kerajaan dengan mengadakan demonstrasi jalanan pada malam sambutan tahun baru 2014 boleh dikatakan gagal di Dataran Merdeka. Yang turun protes hanyalah pencacai-pencacai murahan jalanan sekitar 10,000 orang. Rakyat Malaysia berjumlah 28 juta orang. Ini bermakna 0.04 peratus sahaja rakyat Malaysia menyertai demonstrasi murahan. Ini bermakna rakyat Malaysia tidak suka kepada demonstrasi jalanan dan sekaligus menolak usaha untuk menggulingkan kerajaan. Tup tup apabila masuk hari Isnin semua orang kena masuk kerja. Jika tidak, alamaknya boleh dibuang kerja kalau tidak datang kerja 2 hari berturut-turut. Kalau tidak sanggup dibuang kerja, lupakan sahaja usaha ingin gulingkan kerajaan kerana usaha untuk menggulingkan kerajaan memerlukan komitmen yang tinggi seperti berdemonstrasi di jalanan selama berbulan-bulan sehingga kerajaaan yang sedia ada turun dari takhta kuasa mereka.

Oleh kerana demonstrasi untuk menggulingkan kerajaan tidak berjaya, maka demonstrasi tersebut dianggap protes terhadap kerajaan terhadap kenaikan harga barang-barang. Pihak pembangkang mendakwa itu hanya putar belit media kerajaan untuk memberi salah faham mengenai demonstrasi murahan tersebut. Sejak bila malam sambutan tahun baru dalam sejarah Malaysia bertukar menjadi sambutan protes kenaikan harga barang? Mengikut teori ekonomi, penawaran meningkat apabila permintaan meningkat. Oleh itu, sekiranya kita inginkan harga barang-barang keperluan turun kita perlu memboikot barang tersebut dan bukannya mengadakan demonstrasi. 


Aduhai, depan Sogo pun boleh sembahyang. - Gambar Malaysiakini

Mengapa Kerajaan Barisan Nasional (BN) sukar digulingkan? Berikut adalah sebab-sebab yang boleh saya berikan :

1. Sikap Orang Melayu Sendiri yang Lemah-lembut

Salah satu faktor utama Kerajaan BN digulingkan ialah sikap orang melayu sendiri yang lemah-lembut dan boleh bertolak-ansur dengan orang lain. Mereka hanya bergantung kepada pru untuk jatuhkan kerajaan. Jika cara ini digunakan, maknanya hanya 5 tahun sekali ada peluang untuk menjatuhkan kerajaan. Begitu juga dengan pembangkang, mereka tidak akan menggulingkan kerajaan cara kekerasan melalui demonstrasi. Mereka tetap mengatakan bahawa mereka akan menggunakan ruang demokrasi sedia ada. Alamatnya, sampai bila-bila Kerajaan BN tidak akan tumbang. Itupun belum lagi disebut manipulasi pilihanraya oleh BN sehingga menimbulkan perhimpunan murahan Bersih sehingga 3 versi. Mujurlah saya tidak pernah menyertai mana-mana perhimpunan haram ini. Bagi saya orang menyertai perhimpunan haram ini adalah mentaliti kelas ketiga.

Sikap lemah-lembut orang melayu terserlah sejak Tanah Melayu kemerdekaan lagi. Orang melayu tidak memberontak dan berperang untuk menghalau penjajah British keluar dari Tanah Melayu tetapi melalui rundingan. Tidak hairanlah orang mengatakan bahawa kemerdekaan orang melayu ini separuh masak. Kemerdekaan Tanah Melayu diberi di atas dulang emas melalui rundingan dengan pihak penjajah.

Lihat sahaja apabila orang melayu menentang Malayan Union ketika zaman penjajahan British. Orang melayu tidak mengangkat senjata dan mengisytiharkan perang bagi menentang British untuk menggagalkan Malayan Union tetapi orang melayu mengadakan demonstrasi besar-besaran sehinggakan British tunduk kepada kemahuan orang melayu supaya rancangan Malayan Union tidak dilaksanakan. 

Berlainan dengan kemerdekaan Indonesia, mereka berperang habis-habisan menghalau Belanda keluar dari negara mereka. Mereka bermandi darah dan keringat menghalau penjajah keluar dari Tanah mereka. Sikap revolusi ini terus mempengaruhi rakyat Indonesia bagi untuk menggulingkan Suharto pada tahun 1998 oleh mahasiswa.

Sekiranya orang melayu terus bersikap lemah-lembut, sampai bila-bila pun Kerajaan BN akan memerintah. Slogan untuk menukar ataupun menggulingkan kerajaan hanyalah mengikut musim atau mood sahaja yang hanya tinggal kenangan sahaja.

2. Sistem Politik Bipartisan Masih Diamalkan

Sistem politik Malaysia mengamalkan politik bipartisan (kedua belah pihak) di mana wujudnya parti pembangkang dan kerajaan. Orang yang bercita-cita tinggi untuk menggulingkan kerajaan adalah datangnya dari pihak pembangkang. Mereka kemaruk kuasa supaya rakyat membenci kerajaan. Idealisme mereka ditiup melalui akhbar-akhbar murahan mereka.

Oleh kerana usaha untuk menggulingkan kerajaan datangnya dari sebelah pihak sahaja. Maka ada sebelah pihak lagi yang menyokong kerajaan. Mereka ini adalah golongan rakyat biasa yang menyokong BN. Oleh itu, adalah sukar untuk menggulingkan kerajaan melainkan kedua-dua pihak bersatu-padu menggulingkan kerajaan BN.

Lihat sahajalah yang turun protes pada malam 31 Disember 2013. Jumlahnya hanya 10,000 orang itupun sebelah pembangkang sahaja. Sedihnya hanya seciput sahaja yang menyertai perhimpunan murahan ini. 

Jika kita ingin betul-betul menggulingkan kerajaan. Kita perlu menggembleng tenaga seluruh rakyat Malaysia berjumlah 28 juta orang ini untuk menggulingkan kerajaan. Dengan ini, barulah Kerajaan BN yang dikatakan zalim itu dapat dilumpuhkan daripada memerintah. Lihat sahaja Mesir. Rakyat mereka bersatu-padu untuk menggulingkan kerajaan Hosni Mubarak. Sekiranya rakyat masih terbahagi kepada dua puak - penyokong kerajaan dan pembangkang - selagi itu kerajaan yang sedia ada masih kekal.

3. Politik Kaum Masih Diamalkan di Malaysia

Parti-parti yang berasaskan kaum khususnya kaum terbesar iaitu melayu, cina, dan india masing-masing UMNO, MCA , dan MIC yang ditubuhkan sejak sebelum kemerdekaan lagi. Bezanya ialah apabila rakyat mula menyokong parti-parti pembangkang maka orang melihat parti Dap yang didominasi kaum cina ingin menguasai politik Malaysia. Maka orang melayu yang takut kuasa politik mereka terhakis. Oleh yang demikian, mereka beralih semula kepada BN kerana takut hilang kuasa politik.

Sekiranya orang melayu bersedia untuk menerima kaum lain khususnya orang cina untuk menjadi Perdana Menteri itu tandanya politik berasaskan kaum sudah tidak diterima di Malaysia. Tetapi buat masa sekarang untuk meninggalkan BN 100 peratus khususnya UMNO adalah sukar buat orang melayu melainkan mereka yang dahulu duduk dalam UMNO dan telah menjadi kaya kemudian menyertai parti-parti pembangkang. 

4. Tiada Parti yang Boleh Menggantikan UMNO

Selemah-lemah UMNO sekarang tiada lagi yang dilihat dapat menggantikan UMNO khususnya PAS dan PKR untuk orang melayu. Ini adalah kerana PAS dan PKR dilihat tunduk kepada DAP dalam Pakatan Rakyat. Tambahan pula walaupun pewakilan orang-orang melayu dalam Pakatan adalah ramai namun mereka tidak dapat menyelesaikan masalah ketidakseimbangan antara kaum. Walaupun unsur-unsur rasuah kurang wujud dalam pentadbiran negeri-negeri Pakatan. Bagi mereka tidak mengapa sekiranya pentadbiran cekap dan bersih walaupun tidak dapat menyelesaikan masalah kaum. Namun begitu, sekiranya ekonomi masih dikuasai oleh orang-orang cina dan jurang ketidaksamaan tersebut dibiarkan bertambah dan melebar ini sudah tentu akan menimbulkan perasaan tidak puas kaum lain yang tertinggal dalam lapangan ekonomi. Keadaan ini boleh menimbulkan masalah ketegangan kaum untuk tempoh jangka masa panjang walaupun kita tidak dapat lagi masalah ini berlaku dalam negeri-negeri pemerintahan Pakatan. 

Tambahan pula pengaruh istana masih kuat untuk memberi sokongan kepada UMNO buat masa sekarang. Contohnya isu rampasan kuasa yang berlaku di Perak pada tahun 2009 oleh BN daripada Pakatan di mana istana memihak kepada BN walaupun PR memenangi negeri tersebut pada awalnya selepas PRU-12. Selain itu, pihak istana juga mempunyai pengaruh besar dalam pemilihan Menteri-menteri Besar setiap negeri.

Sekiranya pihak pembangkang cuba melawan pihak istana, maka mereka dianggap sebagai penderhaka dan secara tidak langsung memberi modal politik kepada UMNO untuk menyerang pihak pembangkang. Mahu tidak mahu pihak pembangkang perlu menuruti keputusan pihak istana. 

5. Ekonomi Malaysia Masih Berada Keadaan Baik

Ekonomi Malaysia masih berada dalam keadaan baik walaupun kos barang-barang adalah naik. Ini kerana penduduk Malaysia masih mempunyai pekerjaan sebagai punca utama rezeki mereka. Berbanding di Mesir, penduduk tiada pekerjaan untuk dijadikan sebagai punca pendapatan mereka. Oleh itu, mereka boleh membuat demonstrasi secara besar-besaran untuk menggulingkan kerajaan. Jika di Malaysia, demonstrasi hanya dilakukan pada hujung minggu seperti Bersih, Hari Kebangkitan Rakyat, dan sebagainya. Jika setakat pada hujung minggu, sampai bila-bila pun kerajaan tidak akan berjaya digulingkan. Pusing macamana sekalipun kerajaan BN tetap sukar digulingkan.

Bak kata Datuk A Kadir Jasin, "Walhasil balik asal itu pasal tak jadi. Walhasil cari pasal itu pasal tak menjadi."

Setakat ini sahaja dahulu analisa saya mengenai sebab-sebab kenapa kerajaan BN sukar digulingkan. Saya cadangkan bahawa pihak pembangkang cukup sekadar menjadi cermin kepada BN dalam pentadbiran kerajaan dan tidak perlu untuk mentadbir kerajaan pusat kerana ini akan memberi modal kepada kaum cina untuk menjadi Perdana Menteri atau Timbalan Perdana Menteri Malaysia.

Sekian, terima kasih.



http://wankamarul701.blogspot.com

Monday, January 6, 2014

Jangan Menciplak Sesuatu Tanpa Menyatakan Sumbernya

Assalamualaikum w.b.t. dan Selamat Sejahtera.



Blogger Hiburan Tiada Etika? - Pancaindera 5 Januari 2014

Hari ini hari Ahad. Apabila tiba sahaja hujung minggu pada hari Sabtu dan Ahad saya pasti akan membeli Utusan Malaysia dan Mingguan Malaysia. Tujuannnya hanya satu iaitu untuk mencari peluang kerjaya kosong. Kalau nak harapkan memohon secara atas talian seperti Jobstreet adalah sukar. Saya lebih suka memohon kerja di akhbar-akhbar utama kerana syarikat-syarikat atau agensi-agensi yang mengiklankan peluang-peluang kerja kosong di akhbar-akhbar utama adalah agensi-agensi yang 'tidak mengarut'. Dengan kata lain, agensi-agensi yang diiklankan biasanya adalah agensi-agensi kerajaan ataupun berkaitan dengan kerajaan.

Saya percaya memohon secara manual adalah lebih berkesan berbanding dengan memohon secara atas talian. Kita perlu menyediakan surat permohonan, resume, dan salinan-salinan sijil untuk memohon sesuatu pekerjaan secara manual. Sudah tentu pihak majikan sekurang-kurangnya akan memanggil temuduga sekiranya permohonan kita diterima awal dan memenuhi syarat untuk dipanggil temuduga. Risiko memohon pekerjaan yang disiarkan akhbar-akhbar utama ialah ia disiarkan kepada semua penduduk Malaysia. Oleh itu, tidak hairanlah sekiranya satu jawatan kosong dibuka di akhbar-akhbar utama maka 10 guni surat permohonan akan sampai di pintu masuk syarikat seperti organisasi saya. Pendek kata, persaingan adalah sengit. Oleh itu, sekiranya saya memohon sesuatu jawatan diiklankan dalam surat khabar, saya akan menghantar surat permohonan selewat-lewatnya sehari selepas iklan tersebut disiarkan. 

Saya membeli Mingguan Malaysia pada hari ini. Saya tertarik dengan suatu artikel dalam ruangan Pancaindera oleh Bicara Rasdan yang menegur para blogger yang tidak beretika khususnya menulis mengenai hiburan. Saya tidak suka mengenai hiburan dalam Mingguan Malaysia. Apa yang saya suka dalam Mingguan Malaysia adalah kritikan-kritikannya terhadap pembangkang khususnya oleh Awang Selamat. Tidak kurang juga dengan Siti Jarum yang mengkritik artis-artis tempatan dengan gayanya sendiri. Apa yang menjadi teguran artikel dalam Bicara Rasdan tersebut ialah sikap blogger yang suka menciplak bulat-bulat berita hiburan daripada suratkhabar dan juga majalah tanpa memetik sumber ataupun kredit daripada mana.

Suka saya menyebut di sini bahawa Mingguan Malaysia dahulu dikenali sebagai Utusan Zaman. Jika hari ini kita mendapati ruangan pojok Mingguan Malaysia ialah Bisik-bisik Awang Selamat, maka dahulu dalam akhbar mingguan Utusan Zaman dikenali sebagai Ada-ada Sahaja.

Artikel tersebut turut menyiarkan suatu blog yang menciplak artikel Pancaindera yang telah disiarkan. 


Blog yang Menciplak Artikel Pancaindera

Sememangnya untuk menulis kita memerlukan pembacaan. Sekiranya kita tidak membaca, masakan ada idea untuk menulis tidak kira sama ada blog dan sebagainya. Oleh itu, kita perlu menyatakan sumber yang kita ambil supaya sumber penulisan kita mempunyai kredibiliti sendiri melainkan kita sendiri yang mencari maklumat yang hendak ditulis selain menulis idea yang terlintas di fikiran kita. Oleh itu, berhati-hatilah dalam penulisan kita kerana penulisan kita melambangkan sikap,etika, dan akhlak kita.

Adakah kita berani mengambil risiko menciplak atau mencedok penulisan orang lain tanpa menyatakan sumber rujukan atau kredit kepada sumber tersebut? Bayangkan sekiranya ada orang mendapati penulisan kita sama dengan penulisan yang telah ditulis orang lain? Siapakah yang akan dipersalahkan? Apakah perasaan empunya tulisan asal tersebut sekiranya mendapati ada orang menciplak atau meniru karyanya tanpa pengetahuannya? Itu belum lagi mengambil kira tindakan saman yang boleh diambil khususnya penulisan dalam bidang penyelidikan akademik. Jika tidak mengambil tindakan saman sekalipun sudah tentu sikap menciplak ini tidak menggambarkan etika yang bagus bagi seseorang penulis. 

Oleh itu, berhati-hatilah apabila memetik sumber penulisan orang lain. Sekiranya kita memetik dan menyatakan sumber asal penulisan percayalah bahawa kedua-dua pihak akan mendapat manfaat. Pemilik sumber asal sudah tentu berasa dia dihargai manakala 'si pencedok' pula tidak akan menghadapi sebarang apa-apa risiko bahkan dia wajar dihormati kerana menyatakan sumber penulisan asal. 

Sekian, terima kasih.


http://wankamarul701.blogspot.com