Assalamualaikum w.b.t. dan Selamat
Sejahtera.
Apa yang saya ingin membincangkan pada
kali ini ialah bagaimana kita ingin membentuk keyakinan di dalam diri kita.
Saya sebenarnya terjumpa buku yang bertajuk “Self-Confidence Brilliant
Self Confidence: How to Challenge Your Fears and Go for Anything You Want in
Life” oleh McClement Mike sewaktu pergi melawat buku Popular di IOI Mall
suatu ketika dahulu. Oleh kerana rasa ingin membina keyakinan diri yang lebih
tinggi untuk peningkatan kerjaya saya terus membeli buku tersebut dengan harga
sekitar RM60.00.
Buku yang Membantu Meningkatkan Kualiti Diri
Apa
yang menarik perhatian saya mengenai buku tersebut ialah penulis menerangkan
bahawa apabila kita ingin membuat sesuatu, maka kita perlu mengingat kembali
apa kejayaan yang telah kita capai pada masa lampau. Pendek kata, kita perlu
mengingat kembali bagaimana kita boleh mencapai kejayaan yang lalu. Apa yang
telah kita lakukan untuk mencapai kejayaan yang lalu? Sudah tentu anda sendiri
tahu apa yang telah anda lakukan untuk mencapai kejayaan-kejayaan yang lepas.
Menurut
McClement Mike lagi, persekitaran kita amat mempengaruhi diri kita dalam
membentuk keyakinan diri dalam diri kita. Lihat sahaja semasa diri kita sewaktu
kecil, kita bebas sahaja untuk melakukan sesuatu kerana tiada sesuatu yang
menghalang diri kita. Akan tetapi, apabila dewasa akan berfikir mengenai 1,001
perkara apabila kita ingin melakukan sesuatu.
Menurut
beliau lagi, tanda seseorang tidak mempunyai keyakinan diri ialah seseorang itu
tidak akan berani untuk mempertahankan yang benar ataupun menegur perkara yang
salah. Dalam erti kata lain, kita juga perlu ‘berdebat’ dalam sesuatu kes
ataupun isu. Akan tetapi, bukan isu-isu yang remeh-temeh yang menimbulkan
pergaduhan yang sia-sia antara kita.
Saya
bagi contoh mudah bagi diri saya. Bagaimana saya ingin mencari kerjaya lain
untuk diri sendiri? Oleh itu, saya perlu mengingat kembali bagaimana saya boleh
mendapat kerja sekarang? Caranya amat mudah. Ketika dahulu pada tahun 2008 saya
setiap hari saya akan membeli akhbar-akhbar utama setiap hari untuk mencari
kerja kosong. Kesannya saya dapat kerja tersebut di organisasi tempat saya
berada sekarang. Sekiranya saya ingin mencari kerja lain pada tahun ini, saya
perlu melakukan perkara yang sama setiap hari.
Oh,
mengapa saya tidak menyedari dari dulu lagi? Jika tidak, saya mungkin sudah
berada di tempat kerja yang ke-3 sekarang. Mengapakah saya tidak terfikir
perkara ini sejak dulu lagi untuk melakukan perkara yang sama?
Sekiranya kita inginkan dunia maka
wajib ke atas diri kita ilmu, sekiranya kita inginkan akhirat maka wajiblah ke
atas diri kita ilmu. Sekiranya kita inginkan kedua-duanya maka wajib ke atas
diri kita ilmu. Itulah maksud hadis yang sudah tentu biasa kita dengar mengenai
kepentingan menuntut ilmu. Benar kata-kata sabda Nabi ini dalam konteks
kehidupan kita pada hari ini.
Anda boleh dapatkan buku ini bagi
membina keyakinan diri dalam diri anda untuk mencapai kejayaan atau apa yang
anda kehendaki. Wallhua’lam.
Sekian, terima kasih.