Wednesday, July 31, 2013

Suasana Perang Sewaktu Khilafah Uthmaniah Menghadapi Perang Dunia Pertama (WW1)

Assalamualaikum w.b.t. dan Selamat Sejahtera
 
Perang Dunia Pertama (WW1) yang bermula merupakan perang terakhir yang disertai oleh Khilafah Uthmaniah sebelum ianya ditumbangkan secara rasmi pada 3 Mac 1924. Rakyat Terengganu di bawah pemerintahan Sultan Zainal Abidin III ketika itu mendoakan kejayaan Khilafah Uthmaniah untuk menolak kemaraan British untuk menjajah negeri Terengganu. Perang Dunia Pertama ini berlangsung selama 4 tahun iaitu dari 28 Julai 1914 sehingga 11 November 1918 yang menyaksikan kekalahan tentera Kuasa Pusat (Jerman, Khilafah Uthmaniah, Bulgaria dan Austria-Hungary) yang mempercepatkan proses kejatuhan Khilafah Uthmaniah.
  
 

Pengistiharan Perang Dunia Pertama oleh pihak Khilafah Uthmaniah
 
 
 
Tentera Khilafah Mara ke Barisan Hadapan Menghadapi Perang WW1
 
 
 
Tentera Khilafah Menanam Penduduk Muslim yang Terkorban Ketika Perang
 
 
 
Suasana di Istanbul Ketika Perang Sedang Berlangsung
 
 
 
Komander Jerman, August Von Mackensen Melakukan Pemeriksaan Tentera Laut Jerman - Goeben dan Breslau yang Digabungkan dengan Angkatan Laut Khilafah Uthmaniah

Tuesday, July 23, 2013

Sultan Abdul Hameed Khan II

Assalamualaikum w.b.t. dan Selamat Sejahtera.

Sabda Nabi Muhammad s.a.w. :

"Imam adalah laksana perisai yang dibelakangnya kamu berperang dan mendapat perlindungan." Hadis ini menunjukkan makna yang besar di mana dengan tertegaknya sistem pemerintahan berkhalifah itu sendiri syariat Islam akan ditegakkan dan umat Islam akan dilindungi. Sultan Abdul Hameed II merupakan Khalifah Islam yang ke-99 sejak pemerintahan Abu Bakar as-Siddiq dan juga Khalifah Islam yang terakhir yang mempunyai kuasa penuh ketika memegang tampuk pemerintahan. Selepas itu, muncul beberapa Sultan yang lemah mengambil tampuk pemerintahan sehingga sistem pemerintahan berkhalifah dimansuhkan secara rasmi pada 3 Mac 1924. Apa yang menyedihkan kisah Sultan Abdul Hameed II langsung tidak diceritakan di dalam sukatan matapelajaran sejarah di sekolah. Saya menyeru agar Kementerian Pelajaran menggubal semula sukatan pelajaran Sejarah khususnya di peringkat sekolah menengah supaya menerapkan mengenai sejarah kegemilangan Islam di zaman awal dunia moden iaitu pada awal 1900-an.
 
 
 
Gambar menunjukkan Sultan Abdul Hameed II diarak orang ramai pada tahun 1908 iaitu setahun sebelum baginda digulingkan pada tahun 1909.
 
 
 
Gagah perkasa : Sultan Abdul Hameed II di Istana Balmora, Scotland pada tahun 1867.
 
 
Dengan Gaya Tersendiri di Istana Balmora, Scotland pada tahun 1867.
 
 
 
Sultan Abdul Hameed II ketika di usia muda.
 
 
 
Di Singgahsana Baginda


Wednesday, July 10, 2013

Adakah Tentera Mesir Tali Barut Israel?

Assalamualaikum w.b.t. dan Selamat Sejahtera.

Kejatuhan Presiden Mesir Mohamed Morsi oleh pihak tentera menimbulkan kecaman antarabangsa dari semua negara. Bagaimana seorang Presiden yang dipilih secara sah melalui demokrasi digulingkan oleh tentera. Apabila disebut sahaja pergolakan di Timur Tengah, kita tidak dapat lari daripada konspirasi 2 negara iaitu Israel dan Amerika Syarikat.

Ini mengingatkan kita mengenai pemansuhan sistem pemerintahan khilafah Uthmaniah yang dihapuskan oleh Mustafa Kamal Attaturk. Sememangnya peranan tentera memang besar dalam menjatuhkan kerajaan dalam sejarah politik dunia moden pada hari ini.

Formulanya mudah sahaja iaitu rakyat Mesir yang anti-Morsi dari golongan sekular dan liberal Islam membuat onar dengan mengadakan demonstrasi di dataran Tahrir  untuk mendesak supaya Morsi meletak jawatan. Dalam masa yang sama, tentera yang dipimpin oleh Andel Fattah al-Sisi memberi tempoh 48 jam kepada Morsi untuk meletak jawatan. Namun, Morsi berkeras bahawa beliau akan mempertahankan jawatannya sehingga titisan darah terakhir. Akhirnya, tentera melucut jawatan Morsi sebagai Presiden Mesir.

Sukar untuk difahami mengapa pihak tentera pimpinan Andel Fattah al-Sisi bertindak menggulingkan Mesir sebaliknya tidak mengekang demonstrasi yang diadakan oleh puak anti-Morsi yang menyebabkan pertembungan antara anti-Morsi dan Ikhwanul Muslimin. Tentera seolah-olah menaguk di air keruh untuk menumbangkan Morsi dari demonstrasi yang dibuat.

Dapat dilihat bahawa kejatuhan Morsi sudah dirancang dari awal lagi seolah-olah ada pengarah filem yang merancang drama ini. Apa yang menarik drama ini mengikut skrip yang dirancang apabila Morsi akhirnya berjaya ditumbangkan.

Sekiranya dilihat susur galur politik Mesir sejak dijadikan republik pada tahun 1952, Presiden-presiden Mesir semuanya tunduk kepada barat. Dari Muhammad Naguib, Gamal Nassir yang merupakan agen CIA, Anwar Sadat yang tunduk kepada Amerika Syarikat semasa perang 1973 ketika Mesir hampir-hampir mencapai kemenangan apabila menentang Israel. Apatah lagi dengan Husni Mubarak yang memegang tampuk kuasa selama 30 tahun secara terang-terangan didokong oleh Amerika Syarikat dan Israel. Akhirnya, Hosni Mubarak dijatuhkan oleh rakyatnya sendiri. Berbeza dengan Morsi di mana beliau merupakan pemimpin yang bebas daripada tunduk kepada kuasa barat.

Morsi dilihat sebagai penyokong usaha pembebasan Palestin di mana beliau membuka pintu Gaza sebelah Mesir untuk memudahkan rakyat Palestin mendapatkan makanan. Sudah tentu tindakan ini tidak menyenangkan Israel dan kaum yahudi.

Terbaru tentera Mesir mengarahkan jentolak untuk merobohkan terowong Gaza Gate yang menghubungkan antara Gaza dan Mesir. Sememangnya tindakan ini dilihat sebagai pro-Israel untuk menyekat bekalan kepada penduduk Palestin. Selain itu, tentera Mesir juga menembak mati penyokong Mursi semasa menunaikan solat di masjid.

Apa yang pasti ialah terdapat tangan-tangan ghaib yang berjaya mencucuk jarum supaya Morsi dijatuhkan iaitu Amerika Syarikat. Sebelum ini Mubarak adalah orang Amerika yang berfungsi sebagai alat Amerika Syarikat untuk menyebarkan pengaruh politiknya di negara Timur Tengah tersebut. Amerika Syarikat berharap agar pengganti Mubarak merupakan orang yang pro-Amerika juga tetapi takdir meletakkan Morsi sebagai Presiden Mesir yang anti-Barat dan juga anti-Israel.

Urutan peristiwa yang berlaku jelas menunjukkan bahawa Amerika Syarikat dan Israel memainkan peranan untuk menjatuhkan Morsi. Apa yang lebih malang lagi ialah umat Islam yang menjadi mangsa keadaan ini di mana mereka berperang dan berbunuh-bunuhan antara satu sama lain apabila musuh Islam berjaya mencucuk jarum mereka. Sepatutnya mereka berdamai untuk menyelesaikan masalah dan bukannya main hentam keromo mengadakan protes terhadap Morsi bagi mereka yang liberal dan sekular.

Apakah nasib Mesir selepas ini? Sudah tentu politik di negara ini akan lebih bergelora lagi dalam masa terdekat.

Sekian, terima kasih.

Thursday, July 4, 2013

Kejatuhan Presiden Mesir Mohamed Morsi, 4 Julai 2013 – Satu Analisa

Kemaskini (21 Ogos 2013)

Artikel terbaru bekas Ketua Pengarang NST, Dato' A Kadir Jasin menyatakan bahawa gerakan Ikhwanul Muslimin mempunyai pengalaman politik tetapi lemah dalam pentadbiran dan pengurusan ekonomi. Natijahnya, ekonomi yang lemah kini menjadi kaku dan menyebabkan rakyat tawar hati dengan pentadbiran gerakan Islam tersebut. Kekacauan yang berlaku juga menyebabkan industri pelancongan yang menjadi sumber ekonomi utama Mesir lumpuh.

Artikel Asal

Assalamualaikum w.b.t. dan Selamat Sejahtera.

Hari ini 4 Julai 2013 – Khamis (Waktu Malaysia), Presiden Mesir iaitu Mohamed Morsi telah dijatuhkan oleh pihak tentera sejak kebangkitan rakyat bermula beberapa hari yang lalu. Tempoh pemerintahannya adalah boleh dikira genap setahun selepas mengangkat sumpah sebagai Presiden Mesir pada 30 Jun 2012 selepas kejatuhan rejim Husni Mubarak yang memerintah Mesir lebih daripada 30 tahun. Dimanakah silapnya kejatuhan Presiden ini yang merupakan ahli sayap gerakan Islam Ikhwanul Muslimin yang diharapkan membawa sinar baru dengan agenda Islam untuk memerintah Mesir?

Sememangnya terdapat 3 kuasa yang dapat menjatuhkan Kerajaan bagi sesebuah negara iaitu i. pelajar sepertimana yang berlaku di Indonesia yang menjatuhkan rejim Suharto ii. rakyat sepertimana yang berlaku di Mesir yang menjatuhkan rejim rejim Husni Mubarak dan iii. Tentera sepertimana yang berlaku di Pakistan di mana Nawaz Syarif dijatuhkan oleh pihak tentera. Pada kali ini, kes (iii) berlaku kepada Mohamed Morsi iaitu apabila beliau digulingkan oleh tentera walaupun beliau sebelum ini mengatakan beliau akan mempertahankan jawatan beliau yang dipilih melalui demokrasi.

Sudah tentu apa yang pasti kejatuhan Morsi pada kali ini sememangnya dimainkan oleh negara-negara barat khususnya Amerika Syarikat walaupun ia adalah sukar untuk dibuktikan melalui hitam dan putih. Sewajarnya umat Islam perlu berhati-hati dengan agenda Barat yang sentiasa meniupkan api permusuhan di kalangan umat Islam. Sememangnya musuh-musuh Islam ingin melihat kejatuhan Islam tetapi kita sebagai umat Islam janganlah tertipu dengan propaganda Barat. Begitulah juga yang berlaku di Mesir. Adalah lebih elok kita menganalisa dengan lebih terperinci sebab-sebab kejatuhan Morsi ini berbanding dengan menyalahkan Barat semata-mata.

Penyokong Mubarak Sendiri dalam Kerajaan Morsi

Pada Pertengahan tahun 2012 ketika Morsi diisytiharkan menang dan di awal kemenangannya, Ikhwanul Muslimin pernah ditempelak kerana masih mengekalkan sebahagian penyokong Mubarak dan kelompok liberal dalam mempengaruhi pentadbirannya, termasuk cadangan pindaan perlembagaan. Kumpulan liberal, sekular dan pembangkang berhaluan kiri melihat Morsi adalah seorang pemimpin yang gagal, kerana tidak mampu menyusun sebuah sistem pentadbiran yang cekap.

 
Tindakan yang Dilihat Pro-Amerika

Presiden Morsi juga telah menutup ratusan terowong yang menghubungkan Palestin dengan Mesir sewaktu serangan Sinai yang menjadi sumber kehidupan penduduk Gaza untuk mendapatkan bekalan makanan, ubat-ubatan dan lain-lain. Terowong tersebutlah yang selama ini membekalkan segala keperluan, dari makanan dan ubat-ubatan hinggalah kepada simen dan besi, yang merangkumi sehingga 75% barangan kepada 1.6 juta penduduk Gaza.

Air digunakan untuk menutup terowong dengan meningkatkan aras air dari salah satu telaga. “Mungkin sudah 150 atau 200 terowong telah ditutup sejak serangan Sinai. Ini semua berlaku di era pemerintahan Morsi,” dakwa Pegawai Keselamatan yang menjaga di Sinai.


Faktor Ekonomi

Mohamed Morsi yang memiliki ijazah sarjana dari Amerika Syarikat (AS) sedang berusaha mengatur semula Mesir dalam pelbagai bidang khususnya politik dan ekonomi. Namun, pembaharuan yang ingin dilaksanakan oleh beliau mempunyai halangannya tersendiri kerana beliau mewarisi negara daripada Hosni Mubarak yang ekonominya diselaputi 1,001 masalah akibat sikap tidak amanah para pemimpinnya terdahulu.

Jika pemimpinnya amanah betapa besar kekayaan yang dapat dikaut dari hasil Suez Canal atau Terusan Suez yang menghubungkan antara Laut Mediterranean dengan Laut Merah. Cukai dari terusan tersebut jika diuruskan dengan betul menjadi sumber yang amat besar untuk negara itu. Bahkan dikatakan mampu membiayai setiap warga Mesir.

Mesir juga ada gas tetapi Mubarak salurkannya kepada negara haram Israel. Israel membeli gas Mesir lebih murah dari rakyat Mesir sendiri. Sungai Nil yang subur tidak diusahakan secara bersungguh oleh Kerajaan Mesir, bahkan mereka masih mengimport makanan dari luar. Rakyat Mesir ramai yang hidup dalam kemiskinan. Dilaporkan lebih 42 peratus dari 81 juta lebih rakyat Mesir berada di bawah paras kemiskinan. Jutaan rakyat hidup tanpa rumah dan makan. Peranan Mubarak sebelum itu hanyalah menjaga kepentingan diri, kroni, Israel dan Amerika.

Gerakan Ikhwan Muslimin dan Parti Keadilan dan Kebebasan (FJP) pemerintah Mesir telah melancarkan kempen 'Bersama bangunkan Mesir' yang menawarkan perkhidmatan kesihatan percuma, memulihkan sekitar 2,000 buah sekolah dan mewujudkan pasar murah bagi mengurangkan beban rakyat berikutan kenaikan harga barang.

Malangnya, beliau gagal menguruskan ekonomi yang sebenarnya berpunca daripada sumber kewangan yang tidak mencukupi. Apabila gagal mendapat pinjaman, bantuan kewangan daripada dana pemegang tabung antarabangsa, ia telah membantut proses pemulihan ekonomi. Bantuan kewangan daripada tabung kewangan yang dikawal oleh Amerika Syarikat diperlukan bagi memulihkan negara itu yang musnah dalam rusuhan besar selama beberapa bulan terakhir semasa pentadbiran Mubarak. Kesannya, proses menjana kekayaan telah gagal, maka menyebabkan jumlah rakyat miskin semakin besar dan setiap hari dikatakan bertambah.                                           .

Tambahan pula pembangkang di Mesir memainkan isu ekonomi dengan  mendakwa tempoh enam bulan di bawah pemerintahan Morsi, ekonomi negara itu semakin buruk dan rakyat semakin menderita. Sesuatu yang amat malang bagi pemerintah Mesir apabila mereka terpaksa berhadapan dengan puak yang tidak sabar seumpama itu. Ini memberi modal kepada Barisan Penyelamat Kebangsaan (NSF) yang mendesak supaya revolusi kedua dilancarkan bagi memberi tekanan kepada kerajaan Morsi memenuhi tuntutan mereka dan menyelesaikan segala masalah yang dihadapi oleh Mesir. Sudah tentu ini tidak adil bagi Morsi yang baru mewarisi negaranya dalam keadaan kucar-kucar di bawah pemerintahan Husni Mubarak selama 30 tahun. 

Masalah ekonomi Mesir, sebagaimana masalah di dunia Islam lainnya, ialah, ia dikawal oleh sekumpulan kecil golongan elit (para Kapitalis). Apabila golongan elit mengawal ekonomi, mereka menggunakan kuasa mereka untuk mewujudkan monopoli dan menyekat kemasukan orang-orang baru dan syarikat-syarikat baru. Inilah hakikat keadaan ekonomi Mesir sejak tiga dekad berada di bawah Hosni Mubarak. Ikatan besar ekonomi dipegang oleh kerajaan dan pihak tentera – dianggarkan sebanyak 40%. Walaupun mereka melakukan liberalisasi ekonomi, mereka menswastakan pula sebahagian besar sektor ekonomi kepada kroni-kroni Mubarak dan anaknya, Jamal. Ahli-ahli perniagaan besar semuanya sangat rapat dengan rejim, seperti Ahmed Ezz (bidang besi dan keluli), keluarga Sawiris (bidang multimedia, minuman dan telekomunikasi) dan Mohammed Nosseir (bidang minuman dan telekomunikasi). Mereka bukan sahaja mendapat perlindungan daripada kerajaan, malah mendapat banyak kontrak kerajaan dan pinjaman bank dengan jumlah yang besar. Secara bersamaan, para Kapitalis raksasa ini dengan kekuatan ekonomi luar biasa yang mereka miliki, telah memberikan keuntungan yang tidak pernah putus kepada rejim dari dalam dan dalam masa yang sama menyekat peluang sebahagian besar rakyat untuk keluar dari kemiskinan. Sedangkan keluarga Mubarak berseronok dengan himpunan kekayaan mencecah sehingga $70 billion.

Meminta Bantuan IMF


Di peringkat domestik, Morsi boleh mendakwa bahawa pembangkang tidak memberikan masa yang cukup kepada kerajaannya untuk menyegerakan proses pembaharuan yang akan memulihkan ekonomi Mesir, mengembalikan undang-undang dan ketenteraman dan memperbaiki kehidupan rakyat Mesir selepas 6 bulan memerintah Mesir. Hakikatnya, reformasi ekonomi yang ingin dijalankan itu digubal di bawah naungan IMF yang menetapkan bahawa kerajaan Mesir perlu menyemak kembali agenda ekonominya untuk melayakkan dirinya mendapat pinjaman sebanyak $4.9 bilion.

 
Strategi Morsi untuk menyelesaikan masalah ekonomi ialah dengan mengambil pinjaman IMF sebanyak $4.9 billion! Perdana Menteri Mesir, HeshamQandil menggambarkan pinjaman yang kena dilangsaikan dalam masa 5 tahun dengan faedah (riba) sebanyak 1.1% itu sebagai “good deal for the country” (urusan yang baik untuk negara)! Walau bagaimanapun, beliau tidak dapat menyembunyikan kebenaran dan dalam kenyataan berikutnya nampak jelas pertentangannya di mana terdedahnya salah satu syarat yang dikenakan oleh IMF, yakni memaksa kerajaan Morsi untuk mengurangkan perbelanjaan yang terkait dengan menjaga hal ehwal rakyat Mesir. Hesham berkata, “Ia adalah satu program kerajaan Mesir, yang akan memotong (mengurangkan) perbelanjaan dan mengambil langkah-langkah perlu yang lain.”

Suatu yang maklum bahawa langkah-langkah lain yang dimaksudkan adalah menaikkan cukai, menaikkan harga barang-barang keperluan utama dan mengambil pinjaman selanjutnya dari institusi-institusi lain, yang kesemua ini akan membuat rakyat semakin menderita dan menambahkan lagi kesengsaraan mereka.Akhbar Financial Times telah mengesahkan langkah-langkah ini. Pada 22 Ogos 2012, akhbar itu menyebut, “IMF mahu Mesir menggariskan rancangan untuk mengurangkan defisit belanjawan dengan mengukuhkan cukai dan memotong belanja sektor awam yang mahal, termasuk subsidi bahan bakar dan subsidi makanan.Mesir juga perlu mendapatkan pinjaman daripada institusi kewangan yang lain sebagai sebahagian daripada terma pinjaman.”

Penutup

Dapat diperhatikan bahawa faktor utama kejatuhan utama Kerajaan pimpinan Morsi adalah disebabkan oleh faktor ekonomi apatah lagi ingin meminta bantuan IMF yang hakikatnya menjerut Mesir itu sendiri yang ditanggung oleh rakyatnya.

Apakah nasib Mesir selepas ini selepas kejatuhan Hosni Mubarak dan Mohamed Morsi? Adakah semakin baik atau semakin buruk? Baik kita renungi kata-kata Saidinia Ali r.a. iaitu :

“Sekiranya hari ini lebih baik daripada semalam maka berbahagilah orang itu. Sekiranya hari ini sama dengan hari semalam maka sia-sialah orang itu. Sekiranya hari ini lebih buruk daripada semalam maka celaka orang itu.”

Wallhua’lam.

http://wankamarul701.blogpsot.com

 
Rujukan.

1. www.drmaza.com
2. www.mykhilafah.com
3. www.utusan.com.my

Wednesday, July 3, 2013

Kerap Masuk Tandas Merupakan Punca Penyakit Was-was

Assalamualaikum w.b.t. dan Selamat Sejahtera.

Adakah anda sentiasa mengalami penyakit was-was? Was-was ini sebenarnya adalah penyakit syaitan dan ia menyusahkan hidup kita untuk melakukan ibadat wajib mahupun sunat dalam kehidupan seharian kita. Sebenarnya inilah salah satu cara syaitan untuk menggoda anak adam daripada melakukan ibadat.

Syaitan membisikkan kepada hati kita bahawa ibadat yang kita lakukan belum sempurna. Contohnya, selepas selesai mengambil wuduk terlintas dalam hati kita sama ada air yang dibasuh ke siku rata atau tidak. Lalu kita mengambil wuduk sekali lagi. Selepas itu, timbul pula perasaan lain sama ada kita sudah berniat atau tidak sebelum mengambil wuduk. Begitulah perasaan was-was yang berlaku terhadap diri kita sehingga kita mengambil wuduk berkali-kali lalu menyusahkan kita.

Apa yang berlaku sekiranya kita terus melayan perasaan was-was yang ditiup oleh syaitan ke dalam hati kita ini? Sudah tentu ia menyusahkan kita untuk melakukan ibadat sehinggakan lama-kelamaan sesuatu ibadat itu sukar atau susah untuk dilaksanakan dan akhirnya kita tidak lagi menunaikan lagi ibadat tersebut. Ini bermakna syaitan sudah berjaya menggoda dan menghasut kita. Syaitan tidak perlu menyamar untuk datang kepada kita seperti mana kisah orang-orang soleh seperti dahulu untuk menggoda kita.

Syaitan ini sebenarnya adalah keturunan iblis yang mana ia bersumpah untuk menggoda anak-anak Adam sehingga ke hari kiamat. Menurut Imam al-Qurtubi, iblis mempunyai zakar pada peha kanannya dan faraj pada peha kirinya. Setiap kali ia memasukkan zakarnya ke dalam farajnya, akan keluar 10 biji telur. Apabila telur-telur ini menetas, setiap biji telur akan mengeluarkan pula tujuh ekor syaitan.

Sebenarnya terdapat 16 spesies syaitan yang mempunyai tugas-tugas khasnya sendiri. Namun, syaitan-syaitan yang bertanggungjawab untuk meniupkan perasaan was-was ke dalam hati kita ialah :

i. WALAHAN, tugasnya menimbulkan rasa waswas dalam beribadat, khasnya ketika orang itu sedang mengambil wuduk.

ii. KHINZAB, tugasnya mengganggu orang yang beribadat, khasnya yang bersembahyang, dengan membuatkan manusia berasa waswas dengan amalan baik yang dilakukannya dan sentiasa cuba meruntuhkan keyakinan terhadap agama Islam yang dianutinya.

iii. LAQNIS, tugasnya mengganggu orang yang bersuci dan berwuduk sehingga jadi ragu dan tidak sempurna.

iv. KHANNAS, inilah syaitan yang menimbulkan waswas hati terhadap adanya ALLAH Taala, adanya perkara-perkara sam’iyat dan melalaikan hati manusia daripada mengingat Tuhannya sepanjang masa.

Mengapa boleh wujud perasaan was-was dalam hati kita?

Sebenarnya, perasaan was-was ini wujud disebabkan oleh seseorang yang kerap ke tandas. Ingatlah saudara semua bahawa tandas ini sebenarnya adalah tempat syaitan beranak-pinak. Oleh itu, kurangkan bilangan kita ke tandas untuk mengurangkan penyakit was-was ini. Apabila masuk ke tandas gunakan kaki kiri dan baca doa masuk tandas.

Apakah pengubat penyakit was-was?

Ubat penyakit was-was ini mudah sahaja iaitu kita jangan sesekali melawan atau melayan perasaan was-was tersebut. Apabila kita cuba melawan was-was ini bermakna kita sedang berlawan dengan syaitan. Sekiranya melawan syaitan, siapakah akan menang syaitan atau diri kita yang lemah ini? Sudah tentu syaitan yang menang. Oleh itu, tidak hairanlah apabila kita mengambil wuduk sekali dalam contoh kes di atas apabila was-was kerana sebenarnya kita sudah ‘kalah berperang’ dengan syaitan. Maka jangan sesekali kita melayan perasaan was-was ini. Biarkan sahaja.

Ada ulama’ mengatakan bahawa sekiranya kita mengikut perasaan was-was kita, kita sebenarnya mengikut syaitan dan apabila kita tidak melayan penyakit was-was ini kita sebenarnya mengikut Allah s.w.t. dan Rasul. Oleh itu, permudahkan ibadat kita dengan tidak melayan penyakit was-was ini.

Sebagai insan yang lemah kita sudah tentu inginkan ibadat yang sempurna dan mudah dilaksanakan. Oleh itu, penyelesaian perasaan was-was ini ialah jangan melayan perasaan ini. Wallhua’lam.

Sekian, terima kasih.

Monday, July 1, 2013

Perbezaan Antara Royalti dan Honorarium Hasil Penulisan

Assalamualaikum w.b.t. dan Selamat Sejahtera.

Tetamu Istimewa menulis, “Perkongsian yang menarik. Yang pastinya perlu berhati-hati dengan penggunaan istilah antara royalti dan honorarium. Ramai penulis yang kurang faham antara pembayaan melalui royalti dan honorarium.”

Artikel saya mengenai ‘Royalti Hasil Penulisan’ merupakan salah satu artikel yang terletak dalam ranking 10 yang menarik dalam blog ini sejak ia disiarkan pada 30 Mei 2012 yang lepas.

Sebenarnya, terdapat perbezaan antara royalti dan honorarium dalam penulisan.

Royalti adalah pendapatan penulis yang berasaskan kepada perkongsian keuntungan. Contohnya, sekiranya sesuatu buku masih terjual maka seseorang penulis akan menerima royalti hasil daripada jualan bukunya itu.

Harga sesebuah bagi buku adalah dijual sekitar RM10 hingga RM20 bagi novel sekitar 250 hingga 300 halaman. Pembayaran royalti adalah bergantung kepada perjanjian penerbitan. Ada penerbit yang menawarkan royalti sebanyak 7 peratus daripada harga buku. Ada yang menawarkan 10 peratus. Ada juga yang menawarkan RM20 bagi sebuah buku. Pulangannya adalah cukup lumayan. Jika cetakan pertama novel anda ialah 25,000 unit, dan anda mendapat sebanyak RM2 untuk setiap unit. Maka, anda mendapat royalti sebanyak RM50,000 jika buku anda laku kesemuanya. Ini tidak termasuk bagi cetakan pertama, kedua dan seterusnya. Jika anda mampu menyiapkan sebuah novel setiap tahun dan cetakan dua kali, dalam masa 10 tahun, anda akan menjadi jutawan.

Berikut merupakan contoh kadar royalti bagi penerbit PTS:

i.    7% daripada harga runcit buku (1 – 5,000 naskah yang terjual).
ii.   10% daripada harga runcit buku (5,001 – 10,000 naskah yang terjual).
iii.  11% daripada harga runcit buku (10,000 naskah ke atas yang terjual).

Contoh yang lain ialah Galeri Ilmu Sdn Bhd (GISB) menetapkan kadar royalti 10 peratus daripada harga runcit jualan, seperti yang tertera di kulit belakang buku. Bermakna, jika harga yang tertera adalahRM20, kadar royaltinya adalah RM2 bagi setiap unit buku yang terjual.

Manakala honorarium pula ialah saguhati yang dibayar sekali sahaja untuk sesuatu penulisan sama ada artikel, rencana, cerpen, puisi dan sebagainya.

Untuk cerpen, honorium akan dibayar sebanyak RM200 bagi majalah Dewan Sastera dan Pelita Bahasa. Untuk cerpen tema mudah sepeti Mingguan Wanita pula, anda akan dibayar sebanyak RM60. Bagi akhbar utama pula seperti Berita Minggu dan Mingguan Malaysia, bayarannya ialah RM150 sebuah. Begitu juga dengan majalah terbitan Utusan Karya Sdn. Bhd. iaitu majalah URTV yang menerima RM150 bagi setiap cerpen yang disiarkan.

Bagi rencana pula terdapat lebih kurang 250 majalah dan akhbar yang kebanyakannya menyiarkan rencana. Dari segi bayaran, puratanya anda akan mendapat sekitar RM200 – RM250 sebuah. Sekiranya anda dapat menyiapkan rencana satu rencana seminggu dan empat rencana sebulan, anda akan mendapat pendapatan sampingan sebanyak RM1,000 sebulan. Anda boleh menghantar rencana kepada majalah ternama seperti Dewan Bahasa, Dewan Budaya, Dewan Masyarakat, Dewan Sastera ataupun akhbar utama seperti Utusan Malaysia atau Berita Harian.

Surat pembaca juga boleh menjana pendapatan dari mana-mana surat yang tersiar. Dewan Sastera membayar RM80 untuk surat pembaca yang tersiar. Bayaran untuk Berita Bahasa dalam majalah Pelita Bahasa juga cukup lumayan, iaitu RM50 walaupun anda hanya menulis lima baris.

Manakala bayaran untuk sebuah puisi adalah antara RM20 sehingga RM150 untuk setiap buah. Misalnya, majalah terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka membayar RM100 untuk sebuah sajak yang tersiar. Akhbar Berita Minggu pula membayar RM20 sebuah. Begitu juga dengan Metro Ahad dengan bayaran RM20 bagi satu puisi yang tersiar. Majalah Dewan Siswa pula pernah membayar sebanyak RM25 dan RM30 sebuah.

Pendek kata, wang boleh dijana melalui penulisan. Ia bergantung kepada kehendak anda semua sama ada untuk mendapat duit sekali sahaja (honoranium) atau berkali-kali (royalti). Apa yang penting perbetulkan niat kita untuk menulis dan bukannya semata-mata kerana wang.

Sekian, terima kasih.

 

http://wankamarul701.blogspot.com


Rujukan
2. Nimoiz T Y, 2007. Menjadi Penulis Jutawan, TrueWealth Sdn Bhd.