Wednesday, November 21, 2012

Boikot Perniagaan Yahudi Semata-mata: Adakah ia Merupakan Suatu Tindakan Praktikal?

Abdul Rahman bin Auf berjaya memecahkan monopoli perniagaan bangsa Yahudi sewaktu hijrah Nabi Muhammad s.aw. dari Mekah ke Madinah. Tun Daim Zainuddin berjaya memecahkan monopoli perniagaan bangsa Cina dalam bidang hartanah melalui Syarikat Malurinya. Sebenarnya, sekiranya kena cara dan strategi kita apabila bertindak ianya akan membuahkan hasil dalam memartabatkan diri kita. Kita perlulah bertindak dengan strategi yang betul dan bukannya dengan cara ‘berjudi’ apabila ingin berusaha untuk mencapai kejayaan. Pada kali ini saya ingin menceritakan kisah-kisah Sahabat dalam membolot ekonomi daripada orang Yahudi untuk diberikan kepada orang Islam. Ternyata prinsip-prinsip yang diamalkan oleh para Sahabat memang praktikal untuk dilaksanakan dan kita sahaja yang tidak menyedarinya.
 
 
Saya terpanggil untuk menulis entri pada kali ini kerana ramai orang sangat yang sibuk memboikot barangan Yahudi di dalam laman sosial Facebook terutamanya produk makanan segera iaitu McDonald’s. Apa yang melucukan saya ialah mengapa kita tidak memboikot Facebook itu sendiri kerana Facebook itu sendiri pun merupakan ciptaan orang Yahudi bahkan pendapatan daripada Facebook itu sendiri adalah lebih tinggi daripada McDonald’s itu sendiri. Apa yang lebih teruk lagi ialah komputer itu sendiri pun ialah ciptaan orang Yahudi seperti Dell, Intel dan sebagainya.

Sekiranya kita hendak memboikot, mengapa kita tidak memboikot secara menyeluruh ataupun secara total? Bukankah cara itu yang paling berkesan? Kita tidak dapat untuk berbuat demikian kerana barangan keluaran Yahudi itu sendiri pun merupakan barang keperluan utama kita pada hari ini. Saya sebenarnya bukanlah ini memperlekehkan orang yang ingin memboikot barangan Yahudi. Apa yang ingin saya utarakan ialah adakah memboikot itu merupakan tindakan yang praktikal dan berkesan? Cuba kita mengimbas kembali ketika hijrah Nabi Muhammad s.a.w. bersama-sama dengan Sahabat baginda sewaktu ke Kota Madinah di mana orang Yahudi masih menguasai ekonomi di bumi Madinah.

Keadaan masyarakat Yahudi di Madinah ketika itu adalah sedikit berbanding masyarakat Madinah yang lainnya. Mereka terdiri daripada 3 kabilah sahaja dimana mereka seringkali berbalah sesama kabilah mereka .Namun begitu, dengan hanya bilangan yang sedikit itu, mereka masih menguasai ekonomi Madinah. Sumber-sumber air yang terdapat di daerah `Awali (Wadi Mudzainib), Wadi Mahzur dan Wadi Buth­han juga dikuasai oleh orang-orang Yahudi. Mereka juga menguasai perdagangan dan tanah.

Terdapat sebuah pasar di Madinah yang dinamakan pasar Qainuqa' iaitu dikuasai oleh Yahudi qabilah Qainuqa' di mana ia dianggap jantung ekonomi Madinah. Sebelum ini, terdapat bangsa arab iaitu kaum Aus dan Kharaj yang berniaga di pasar ini tetapi tidak bertahan lama. Selepas hijrah Nabi Muhammad s.a.w. ke Madinah, terdapat Sahabat-sahabat dari kaum Muhajirin yang berniaga di pasar ini iaitu Abdul Rahman bin Auf, Zubair bin Awwam, Abu Bakar as-Siddiq dan Uthman bin Affan. Bagaimana perniagaan orang Yahudi akhirnya membawa mereka rugi teruk dalam perniagaan? Abdul Rahman bin Auf pergi berjumpa setiap ketua-ketua kabilah agar menjual terus tanaman kepadanya setelah diminta oleh Rasullullah kerana sebelum ini mereka terpaksa membeli daripada Kaum Yahudi dengan harga yang tinggi kerana kaum Yahudi mengamalkan riba’. Selepas itu, Bani Aus dan Kharaj tidak lagi membeli dengan orang-orang Yahudi tetapi hanya membeli dengan orang-orang Islam sahaja. Kesannya, pasar yang dikuasai oleh Bani Qainuna’ menjadi lengang dan terdirinya pasar belian kaum Aus dan Kharaj.

Apabila Yahudi merancang untuk menutup perigi-perigi bagi menyusahkan orang Islam, maka Nabi Muhammad s.a.w. mengarahkan Saidina Uthman bin Affan berjumpa dengan Arfak iaitu seorang Yahudi yang memiliki 2 buah perigi. Pada mulanya, Saidina Uthman ingin membeli telaga tersebut tetapi hanya dibenarkan membuat perjanjian untuk menyewa yang mahal dengan 12,000 dirham dengan syarat ia dibenarkan mengambil air dari perigi tersebut selang sehari. Seterusnya, Saidina Uthman mengarahkan orang Islam supaya mengambil air dengan banyak supaya ia boleh disimpan untuk kegunaan esok hari dengan percuma berbanding dengan Yahudi tersebut di mana ia perlu dibayar apabila ingin mengambil air tersebut. Arfak berasa amat marah dengan tindakan Saidina Uthman tersebut lalu dia ingin membatalkan perjanjian tersebut. Malangnya, duit sebanyak 12,000 dirham tersebut telah habis digunakan. Lalu Yahudi tersebut menjual periginya dengan harga 35,000 dirham kepada Saidina Uthman dan akhirnya perigi tersebut diwakafkan untuk kegunaan orang ramai.

Daripada kisah ini dapat kita perhatikan bahawa orang Islam di zaman Nabi Muhammad s.a.w. tidaklah memboikot perniagaan Yahudi semata-mata kerana ia merupakan keperluan asas yang diperlukan oleh orang ketika itu. Adakah kaum Aus dan Kharaj memboikot Pasar Qainuqa’ yang Yahudi walaupun sering ditindas dengan harga yang tinggi kerana wujudnya unsur riba’ dalam jual beli? Tidak sama sekali. Sekiranya orang Islam memboikot perniagaan tersebut, di manakah mereka boleh membeli keperluan mereka? Akan tetapi, peranan tersebut dimainkan oleh Abdul Rahman bin Auf serta Sahabat-sahabat  apabila mereka bertindak sebagai supplier atau pembekal tanaman kepada kaum Aus dan Kharaj. Kesannya, perniagaan Yahudi jatuh bangkrap setelah peranan mereka diambil alih oleh Sahabat-sahabat.

Begitu juga dengan perigi yang menjadi keperluan orang Islam ketika itu apabila ia mula ditutup bagi menyusahkan orang Islam oleh orang-orang Yahudi. Rundingan yang dimainkan oleh Saidina Uthman bin Affan amat penting kerana ia berjaya memindah milik perigi tersebut dari pemilik seorang Yahudi kepada orang Islam keseluruhannya melalui wakaf. Adakah kita tidak boleh memindah milik syarikat-syarikat kepunyaan orang Yahudi kepada orang Islam? Ini tidak mustahil kerana Syarikat Guthrie yang merupakan syarikat perdagangan pertama Asia Tenggara dan mempelopori perladangan getah dan kelapa sawit negara ini yang dimiliki oleh bekas penjajah British berjaya diambil-alih oleh Pemodalan Nasional Berhad (PNB) melalui serangan waktu subuh atau Dawn Raid di mana beberapa pihak yang mewakili PNB membeli saham Guthrie secara besar-besaran sebaik sahaja Bursa Saham London dibuka pada waktu pagi. Ini tidak mustahil dilakukan ke atas syarikat-syarikat gergasi utama Yahudi di dunia dengan mengambil-alihnya melalui pembelian saham.

Apa yang hendak saya katakan di sini adalah kita sebagai orang Islam perlulah mempunyai produk kita sendiri bagi menggantikan produk Yahudi yang menjadi keperluan utama kita ataupun ada usaha mengambil-alih syarikat pengeluar produk tersebut melalui kaedah yang betul. Kita tidak boleh sekadar lantang memboikot barangan tersebut walhal kita juga menjadi pengguna barangan tersebut. Ibarat ayam jantan gah berkokok tetapi ekornya dipenuhi najis.


http://wankamarul701.blogspot.com

4 comments:

fadzillah said...

great sharing

Anonymous said...

a small thing is better than nothing

wankamarul701 said...

Ya setuju. Masih ramai orang main Facebook dan menghisap rokok Mboro

Anonymous said...

Penah baca kisah burung kecil yang memadamkan api yang besar?