Sunday, February 26, 2012

Elakkan Masalah Apabila Berhutang.


"Sesiapa mengambil harta orang lain (berhutang) dan berniat akan membayarnya, maka Allah akan luluskan niatnya itu. Tetapi sesiapa mengambil dengan niat akan membinasakannya dengan tidak membayarnya maka Allah akan membinasakan dia."
Sahih Bukhari.


Keratan akhbar Berita Harian 24 Julai 2010
Pada hari ini, mustahil kita dapat hidup bebas daripada hutang melainkan kita masih menjadi tanggungan orang tua kita ataupun sudah menggunakan simpanan KWSP bagi melunaskan semua hutang-hutang kita. Mustahil kita dapat memiliki kereta ataupun rumah secara tunai melainkan kita merupakan ahli perniagaan yang berjaya. Ada bidalan mengatakan hutang ibarat kencing manis, sekiranya terluka sedikit habis terus merebak. Baiklah, masalah-masalah yang perlu dielakkan apabila berhutang adalah:

1. Terlibat dalam Hutang Riba'.
Berhutang itu harus. Namun pastikan kita tidak mengambil produk hutang yang mengandungi unsur riba'. Hutang riba' menyebabkan kita tidak tahu berapa jumlah hutang kita sebenarnya kerana hutang riba' menambah jumlah hutang sedia ada. Hutang riba' yang paling terkenal ialah kad kredit iaitu 18% setahun di mana faedah yang dikenakan adalah berdasarkan kepada baki kini semasa.

2. Berhutang bagi membeli liabiliti.
'Biar papa asal bergaya'. Inilah yang menjadi lumrah bagi sesetengah orang ramai bagi membeli sesuatu seperti kereta, perabot dan sebagainya semata-mata untuk bergaya. Hutang-hutang jenis ini perlu dielakkan kerana kita perlu bekerja keras dari bulan ke bulan bagi membayar hutang. Hutang yang tidak baik membuatkan kantung bank kita tidak berisi manakala hutang yang baik menambah kecairan wang kita dari tahun ke tahun melalui pelaburan.

3. Berhutang bagi Melabur di Tempat Berisiko Tinggi 
Sesetengah orang sanggup berhutang untuk melabur di tempat berisiko tinggi. Anda boleh berhutang bagi melabur pelaburan yang boleh dikatakan tidak mempunyai risiko seperti ASNB, Koperasi organisasi anda, dan sebagainya. Sebenarnya, di dalam dunia ini tiada jalan pintas untuk berjaya. Anda perlu bergerak langkah demi langkah. Tangga demi tangga untuk mencapai sesuatu. Sedangkan pesawah padi pun perlu menunggu 6 bulan bagi menunggu hasil tuaiannya. 

Pada hari ini, begitu ramai orang begitu ghairah membuat pelaburan emas kerana begitu percaya harganya akan naik dari semasa ke semasa.  tinggi pulangan sesuatu pelaburan, semakin tinggi risikonya. Adakah anda masih ingat tragedi 'Daim Bersin, BSKL Demam?' pada tahun 1993? Ketika itu harga saham mencapai paras tertinggi sejak ia dibuka. Ketika itu, ramai orang melayu berlumba-lumba membeli saham tersebut sehingga habis wang simpanan mereka. Malang sekali, harga saham selepas itu jatuh mendadak. Akibatnya, orang melayu kehilangan rumah, kereta dan sebagainya dalam sekelip mata. Apa yang perlu ikhtibar daripada peristiwa ini ialah 'tiada jalan pintas untuk kaya' di dalam dunia ini melainkan di syurga yang kekal abadi.

4. Tidak mencatat Hutang
Berapakah hutang pada masa sekarang? Sekiranya anda dapat menjawab kurang daripada 10 saat, tahniah anda sebenarnya pandai mengurus wang dan hutang anda. Sekiranya kita tidak tahu jumlah wang kita sekarang, kita sebenarnya berada keadaan di dalam terumbang-ambing di mana kita boleh dipengaruhi produk-produk pinjaman kewangan di luar sana yang ingin mengambil kesempatan ke atas kita.

Apa yang lebih penting, kita perlu mengetahui siapa penghutang dan pemiutang kita. Ini dapat mengelakkan kita daripada masalah di kemudian hari iaitu hutang-hutang kita yang belum dilunaskan selepas kita meninggal dunia. Hal ini dapat memudahkan urusan waris kita jika terdapat hal berbangkit di kemudian hari. Apa yang lebih penting, janganlah sesekali kita mewasiatkan hutang-piutang kita kepada waris kita untuk membayar hutang kita apabila kita sudah tidak mampu untuk membayar hutang.


5. Tidak mahu membayar Hutang
Inilah sifat yang ditegah oleh Islam walhal hukum berhutang sebenarnya harus dan hukum membayarnya adalah wajib. Ini adalah selari dengan hadis nabi iaitu:

"Roh seseorang mukmin itu tergantung yakni dihalang daripada tempat yang mulia dengan sebab hutangnya sehinggalah hutangnya itu dijelaskan." 
Riwayat Imam at-Tirmizi, Ahmad dan Ibni Hibban

Terdapat juga penghutang yang mengambil kesempatan ke atas seseorang supaya menjadi penjaminnya walaupun teman rapatnya sendiri. Natijahnya, kawan yang dianggap sahabat dunia akhirat melarikan diri  sebaik sahaja sudah mendapat pinjaman bank. Bank akan mencari penjamin tersebut apabila peminjam tidak dapat dikesan. Akhirnya, penjamin terpaksa membayar hutang sahabatnya supaya namanya tidak disenaraihitamkan. Peristiwa ini memang sentiasa berlaku di kalangan kita.

6. Hutang Tidak Terkawal
Ramai orang suka membuat hutang. Janganlah anda berasa 'besar' apabila anda ditawarkan pinjaman sehingga RM200,000 oleh pihak bank walhal anda sebenarnya sekadar 'coolie' di pejabat. Hakikatnya, institusi kewangan memang amat gembira apabila anda membuat pinjaman dengan mereka kerana mereka mendapat keuntungan dan pekerjanya mendapat komisyen dengan jumlah tertentu. Contohnya, sebuah bank konvensional di Malaysia menawarkan komisyen kepada pekerjanya sebanyak 5% sebulan di mana setiap pekerja bahagian jualan perlu mengeluarkan sekurang-kurangnya RM1,000,000 (RM1 juta) sebulan. Berapakah komisyen yang diperolehi? Sudah tentu mereka akan mendapat RM50,000 (RM50 ribu) sebulan bagi pinjaman yang dikeluarkan.

Oleh itu, usahlah mengambil pinjaman maksimum yang ditawarkan oleh pihak bank kerana mereka tidak tahu komitmen diri anda sebenarnya setiap bulan dan mereka hanya tahu membuat keuntungan. Anda yang perlu tentukan sendiri. Anda harus ingat, pihak bank sebenarnya menabur janji-janji manis supaya anda mengambil pinjaman mereka. Tetapi apabila sampai masa bayar, BAYAR. Atau anda boleh jumpa dengan mereka di mahkamah sekiranya tidak mampu membayar hutang. Jangan biarkan diri anda 'sesak nafas' disebabkan oleh hutang anda.

Kesimpulannya, kita perlu pandai dalam menguruskan wang kita. Wang kita bukanlah matlamat tetapi adalah  alat untuk mencapai matlamat. Jangan biarkan diri kita dibelit hutang di sekeliling pinggang. Kelak jiwa merana. Berfikirlah sebelum membuat hutang. Sepertimana hadis Nabi Muhammad s.a.w.:

"Berhati-hatilah kamu dalam berhutang kerana hutang itu mendatangkan kerisauan di malam hari dan kehinaan di waktu siang."
Riwayat al-Baihaqi


2 comments:

Anonymous said...

"mutholl ghina zulmin"penangguhan sengaja drp membayar hutang oleh org yg berkemampuan adalah satu kezaliman-riwayat Al Bukhari no 2167, 2/799

wankamarul701 said...

Ahlan wasahlan wa marhaban bikum..