Friday, October 28, 2011

Solat Dhuha: Solat Penarik Rezeki


Sultan Muhammad al-Fateh telah memanggil semua bala tenteranya apabila baginda ingin memilih imam Masjid Agia Sophia setelah berjaya menakluki Kota Konstatinaple daripada tentera Rom. Beliau bertanya soalan dan meminta agar semua duduk sekiranya pernah meninggalkan solat yang ditanya. Soalan pertama yang ditanya," Siapakah yang tidak pernah meninggalkan Solat Fardhu sejak baligh?" Didapati tiada seorang pun duduk kerana tidak pernah meninggalkan Solat Fardu. Seterusnya baginda bertanya," Siapakah tidak pernah meninggalkan Solat Rawatib sejak baligh?" Didapati separuh daripada tenteranya duduk. Dan soalah terakhir yang ditanya, "Siapakah yang tidak pernah meninggalkan solat tahajjud sejak baligh?" Didapati Baginda sahaja yang berdiri dan kesemua tenteranya duduk. Inilah sebaik-baik pemimpin yang digelar oleh Nabi Muhammad S.A.W iaitu:

"Sebaik-baik penakluk dan tentera penakluk ialah mereka yang dapat membuka Kota Konstatinaple"


Gereja Agia Sofia yang dijadikan Masjid oleh al-Fateh.

Itulah sikap sebaik-baik pemimpin yang disebut-sebut oleh Nabi Muhammad S.A.W. Saya yakin jika ditanya soalan pertama kepada kita semua pada zaman sekarang, saya pasti semua di antara kita akan duduk. Namun begitu, saya bukanlah ingin melontarkan soalan Sultan Muhammad al-Fateh kepada anda semua kerana saya bukanlah manusia sehebat beliau. Saya juga bukan pemuja al-Fateh sehingga 'perasan' menjadi seperti al-Fateh. Perkara yang ingin saya lontarkan di sini adalah sikap Sultan itu sendiri yang mewajibkan amalan Solat Sunat Rawatib dan Solat Tahajud ke atas diri kita sendiri. Apa yang saya ingin sebut di sini ialah amalan solat sunat lain yang perlu kita amalkan. Solat sunat yang maksudkan ini ialah Solat Dhuha. Wajibkan diri kita untuk melaksanakan solat tersebut setiap hari dan setiap pagi kerana solat ini solat yang dapat memperluaskan pintu rezeki kita semua.

Bagaimanakah Solat ini dapat memperluaskan pintu rezeki kita?

Rezeki di alam ini adalah ibarat 'isyarat pemancar'. Andaikan kita mempunyai telefon bimbit. Cuba bayangkan sekiranya telefon bimbit itu semakin jauh dari pemancar tersebut. Ya, isyarat telefon bimbit tersebut akan menjadi semakin lemah sekiranya ia semakin jauh daripada pemancar tersebut bukan? Sekiranya kita inginkan isyarat yang kuat untuk telefon bimbit kita, kita hendaklah semakin dekat dengan isyarat pemancar tersebut. Begitulah perumpamaan antara seorang Hamba dan Penciptanya. Jika ia semakin dekat dengan Penciptanya, maka semakin dipermudahkan rezeki untuknya. Antara cara untuk mendekatkan antara dan Penciptanya adalah melalui Solat Dhuha.

Antara fadhilat dan kekuatan spiritual Solat Dhuha adalah seperti berikut:
a. Dapat menghindarkan diri daripada kemiskinan.
b. Dapat mengubah kesusahan menjadi kesenangan dalam mencari rezeki.
c. Allah membina istana di syurga
d. Allah menghapuskan segala dosa
e. Allah mencukupkan segala keperluan
f. Allah memberikan pintu khusus untuk masuk syurga


Doa Solat Dhuha

Usahawan-usahawan Islam yang sejati tidak akan meninggalkan Solat Dhuha ini kerana ia adalah pintu rezeki. Contohnya Faiza Bawumi yang merupakan pemilik Syarikat Faiza yang terkenal dengan beras Faiza sering melaksanakan Solat Dhuha, Solat Tahajud dan membaca Surah al-Waqiah dalam menjalani kehidupan beliau untuk mendapat keberkatan dan kemurahan rezeki. Malah, beliau bercita-cita untuk menjadi pembayar zakat terbesar di negara ini!

Rakan saya pernah menceritakan kepada saya mengenai emak saudaranya yang sekarang ini sudah bersara dan tidak lagi bekerja dan sentiasa mengamalkan Solat Dhuha setiap hari. Beliau menceritakan emak saudaranya itu tidak pernah putus rezeki dalam menjalani kehidupan beliau setiap hari. Bagitulah mustajabnya solat Dhuha sekiranya kita lakukan secara berterusan setiap hari.

Anda bagaimana? Jika sudah mengamalkan Solat Dhuha setiap hari sekarang, teruskan amalan anda itu. Sekiranya belum, bermualalah sekarang. Semoga kita sentiasa dimurahkan rezeki oleh-Nya.Insya-Allah.

Sekian, terima kasih.

Rujukan
1. Magnet Rezeki Dengan Solat Dhuha,Muhammad Mokhtar,2009, PTS Millenia.
2. Kuasa Kepemimpinan al-Fateh, Muhammad Syaari Abdul Rahman, 2011, PTS Millenia.
3. http://bliblah.com/tag/beras-faiza/

Tuesday, October 25, 2011

Bersederhana Dalam Kehidupan

Assalamualaikum w.b.t. dan Salam Sejahtera.

Sekarang ini saya sedang mengikuti Bengkel Perundingan Bajet 2012 organisasi saya. Tempat bengkel pada kali ini amat menarik iaitu di Nilai Springs Hotel Resort. Saya amat berterima kasih kepada organisasi saya kerana menyediakan tempat yang terbaik untuk mengadakan bengkel untuk kami semua pada kali ini.

Apa yang menariknya di sini ialah saya amat tertarik dengan juadah yang disediakan dari makan pagi sehinggalah makan malam. Semuanya adalah enak-enak yang disediakan untuk penghuni hotel. Malahan semua hotel akan menyediakan makanan seperti itu. Saya mula terfikir, jika juadah tidak habis, mungkin ia dibuang begitu sahaja. Memang begitulah dalam proses penyediaan makanan, jika makanan tidak habis, ia akan dibuang dengan begitu sahaja selepas tempoh tertentu.

Saya teringat pula dengan kisah hidup Tun Daim Zainuddin yang amat sederhana dalam kehidupan beliau. Sekiranya beliau akan menerima rombongan tetamu yang datang dari luar, beliau akan menghantar menu kepada rombongan tersebut terlebih dahulu bagi memilih makanan yang ingin dimakan. Beliau berbuat demikian bagi mencegah pembaziran sekiranya makanan yang dihidang tidak dimakan oleh tetamunya.

Selain itu, sewaktu beliau menguruskan Paremba, Tun Daim ada menerima rombongan Bob Morton dari Singapura. Apa yang disediakan oleh Tun untuk rombongan tersebut? Ya, Tun hanya menyediakan BUBUR sahaja untuk rombongan tersebut untuk makan. Itulah sikap sederhana yang ditunjukkan oleh Daim Zainuddin dalam urusan kehidupan beliau. Beliau tidak suka bermewah-mewahan walaupun beliau telah bergelar jutawan. Bak kata Tan Sri Tajuddin Ramli," Seringkali kejayaan membuat orang lupa daratan tetapi Tun tetap makan rojak di tepi jalan."

Kederhanaan Daim dapat dilihat semasa mengurus Perbendaharaan Negara


Cuba lihat perbelanjaan kita dan barangan yang kita dalam menjalani kehidupan seharian:
Adakah pakaian kita dibeli dengan jenama yang mahal-mahal yang diluar kemampuan kita?

Apakah perabot di rumah kita dibeli dengan menggunakan talian hayat kita yakni pinjaman mudah atau kad kredit?

Apakah kita sering membeli pakaian setiap kali mendapat wang gaji sedangkan pakaian lama di dalam almari masih boleh dipakai?

Apakah kita sering menukar handphone apabila model baru keluar di pasaran sedangkan handphone lama masih boleh diguna pakai?

Apakah kita sanggup membeli barang-barang idaman kita sedangkan hutang-hutang dan bil-bil masih belum dibayar?

Sekiranya anda sekarang seorang kaki hutang, ubah gaya hidup anda sekarang. Apa yang lebih penting ialah amalkan kehidupan sederhana dalam berbelanja dan hidup dalam batas kemampuan kita. Usahlah bergaya dengan rakan-rakan ataupun dengan saudara-mara dengan menunjuk-nunjuk barangan berjenama anda walaupun hutang anda di sekeliling pinggang. Takziah diucapkan kepada anda sekiranya anda tergolong dalam golongan 'biar papa asal bergaya'.

Sekian, terima kasih.

Sunday, October 23, 2011

Adab Komunikasi Non-Verbal

HARAP MAKLUM, PASTIKAN PINTU INI SENTIASA DITUTUP!!!!!!

Ini adalah contoh ayat yang saya pernah lihat di pintu utama ruang legar pejabat yang meminta semua orang memastikan pintu yang digunakan sentiasa ditutup. Isu yang saya ingin lontarkan di sini ialah wajarkah kita menggunakan ayat di atas untuk memastikan sebuah pintu sentiasa ditutup? Wajarkah kita menggunakan tanda seruan seperti ayat di atas untuk memastikan sebuah pintu sentiasa ditutup? Adakah ia tidak kelihatan kasar dengan menulis ayat sedemikian rupa?

Jika kita mengikut etika dalam perniagaan, meletakkan notis ini kepada pelanggan merupakan sikap kurang sopan. Seseorang peniaga dianggap lupa siapa pelanggan dan apa definisi pelanggan. Seseorang peniaga seperti ini menganggap pelanggan adalah budak hingusan yang perlu diajar. Sepatutnya ia perlu ditulis dalam bahasa yang lebih sopan seperti berikut:

PASTIKAN PINTU INI SENTIASA DITUTUP,
TERIMA KASIH.

Jika ditulis seperti ayat di atas, seseorang akan merasa diri mereka dihargai dan dihormati serta mereka akan mudah untuk memberi kerjasama untuk memastikan sebuah pintu ditutup. Kita tidak perlu berkasar bahasa dengan meletak ayat kasar untuk memberi arahan kepada orang ramai. Jika tidak, orang akan menggambarkan kita sebagai mudah marah atau mudah naik angin. Apa yang lebih penting ialah 'Budi Bahasa Budaya Kita'. InsyaAllah.

Sekian, terima kasih.

Friday, October 14, 2011

Madah Wan Kamarul: Bola



"Sampai sekarang aku tidak faham mengapa orang sanggup berkumpul di stadium dan bersorak-sorak melihat sebiji bola ditendang ke sana ke mari..." Wan Kamarul

Wednesday, October 12, 2011

Makanan Minda dan Makanan Roh.

Assalamualaikum w.b.t. dan Salam Sejahtera.

Semoga Tuan dan Puan berada dalam keadaan sihat walaifiat dan dikurniakan rezeki yang tidak disangka-sangka setiap waktu. Semoga hari yang dilalui pada hari ini adalah lebih baik daripada semalam. Bak kata Saidina Ali, " Jika hari ini lebih baik daripada semalam, maka berbahagialah orang itu. Sekiranya hari ini adalah sama dengan hari semalam, maka sia-sialah orang itu dan sekiranya hari ini lebih buruk daripada semalam, maka celakah orang itu." Semoga kita sentiasa tergolong dalam kumpulan pertama. Mudah-mudahan.

Baiklah, pada kali ini saya membincangkan mengenai makanan yang perlu dijaga dalam kehidupan kita. Kita seringkali memberi makan kepada badan fizikal kita dengan makan nasi setiap hari. Namun adakah kita memberi makanan kepada minda kita dan roh kita?

"Dua perkara yang tidak akan kenyang apabila dituntut iaitu dunia dan ilmu." Maksud Hadis.

Firman Allah s.w.t. dalam Surah al-A'laq, " Bacalah dengan nama Tuhan yang menciptakanmu." Melalui surah ini, dapat kita fahami bahawa Islam menekankan dalam usaha menuntut ilmu. Ilmu adalah penting dalam kehidupan kita kerana ilmu yang menjaga kita. Tanpa ilmu bagaimana seseorang manusia boleh menjalani kehidupan dengan bahagia di atas dunia ini? Namun begitu, ramai di kalangan kita yang mengambil ayat "Bacalah" sahaja dengan meninggalkan ayat ke-2 iaitu "Dengan nama Tuhan yang menciptamu." Sekiranya ambil mengambil ayat pertama sahaja, seseorang boleh menuntut ilmu untuk melakukan kejahatan. Contohnya, seseorang mepelajari santau untuk melakukan kejahatan ke atas orang lain. Apakah ini yang dituntut oleh Islam? Menurut Imam al-Ghazali, " Ilmu yang tidak bermanfaat adalah ilmu yang tidak membawa kebaikan di dunia dan di akhirat."

Inilah makanan minda yang perlu kita jaga untuk diri kita sendiri. Mungkin anda bertanya ilmu apa yang perlu saya perlu pelajari? Itu terpulang kepada masing-masing. Sekiranya anda ingin berniaga makanan, belajarlah cara membuat masakan yang enak dan lazat. Sekiranya, anda seorang akauntan, belajarlah ilmu mengenai ilmu mengenai perakaunan dalam bidang kewangan. Ilmu itu luas dan tiada batasnya Ilmu di dada kita ini perlulah ditambah dari semasa ke semasa. Peruntukan 1 atau 2 buah buku untuk dibaca setiap bulan.

"Iman bertambah dan berkurang." 
Maksud Hadis.

Seterusnya, makanan yang perlu kita jaga ialah makanan kepada roh kita. Makanan kepada roh kita adalah penting untuk meningkatkan iman kita kerana iman di dalam diri kita boleh bertambah dan berkurang setiap waktu. Di dalam diri kita juga terdapat 2 unsur iaitu fitrah dan nafsu. Fitrah di dalam diri kita ini sentiasa menyeru kepada kebaikan manakala nafsu pula sering menyuruh kita melakukan kejahatan. Oleh itu, kita perlu memberi makan kepada roh kita untuk menambah iman kita dengan melakukan amalan soleh. Solat merupakan makanan roh yang paling utama dalam diri kita. Oleh itu, perbanyakkan amalan soleh dalam hidup kita semoga kehidupan kita sentiasa mendapat keredhaan Allah.

2 perkara ini - makanan minda dan roh perlulah kita sajikan kepada diri kita sendiri supaya kita dapat menjalani kehidupan yang lebih baik sebagai hamba Allah. Tambahkan ilmu dari semasa ke semasa dalam apa jua bidang. Tingkatkan amalan soleh kita melalui ilmu ibadat dengan pergaulan dengan orang-orang soleh. Setakat ini sahaja dahulu ilmu yang boleh kita kongsi bersama. Semoga ia memberi manfaat kepada kita semua. InsyaAllah.

Sekian, terima kasih.