Tuesday, October 25, 2011

Bersederhana Dalam Kehidupan

Assalamualaikum w.b.t. dan Salam Sejahtera.

Sekarang ini saya sedang mengikuti Bengkel Perundingan Bajet 2012 organisasi saya. Tempat bengkel pada kali ini amat menarik iaitu di Nilai Springs Hotel Resort. Saya amat berterima kasih kepada organisasi saya kerana menyediakan tempat yang terbaik untuk mengadakan bengkel untuk kami semua pada kali ini.

Apa yang menariknya di sini ialah saya amat tertarik dengan juadah yang disediakan dari makan pagi sehinggalah makan malam. Semuanya adalah enak-enak yang disediakan untuk penghuni hotel. Malahan semua hotel akan menyediakan makanan seperti itu. Saya mula terfikir, jika juadah tidak habis, mungkin ia dibuang begitu sahaja. Memang begitulah dalam proses penyediaan makanan, jika makanan tidak habis, ia akan dibuang dengan begitu sahaja selepas tempoh tertentu.

Saya teringat pula dengan kisah hidup Tun Daim Zainuddin yang amat sederhana dalam kehidupan beliau. Sekiranya beliau akan menerima rombongan tetamu yang datang dari luar, beliau akan menghantar menu kepada rombongan tersebut terlebih dahulu bagi memilih makanan yang ingin dimakan. Beliau berbuat demikian bagi mencegah pembaziran sekiranya makanan yang dihidang tidak dimakan oleh tetamunya.

Selain itu, sewaktu beliau menguruskan Paremba, Tun Daim ada menerima rombongan Bob Morton dari Singapura. Apa yang disediakan oleh Tun untuk rombongan tersebut? Ya, Tun hanya menyediakan BUBUR sahaja untuk rombongan tersebut untuk makan. Itulah sikap sederhana yang ditunjukkan oleh Daim Zainuddin dalam urusan kehidupan beliau. Beliau tidak suka bermewah-mewahan walaupun beliau telah bergelar jutawan. Bak kata Tan Sri Tajuddin Ramli," Seringkali kejayaan membuat orang lupa daratan tetapi Tun tetap makan rojak di tepi jalan."

Kederhanaan Daim dapat dilihat semasa mengurus Perbendaharaan Negara


Cuba lihat perbelanjaan kita dan barangan yang kita dalam menjalani kehidupan seharian:
Adakah pakaian kita dibeli dengan jenama yang mahal-mahal yang diluar kemampuan kita?

Apakah perabot di rumah kita dibeli dengan menggunakan talian hayat kita yakni pinjaman mudah atau kad kredit?

Apakah kita sering membeli pakaian setiap kali mendapat wang gaji sedangkan pakaian lama di dalam almari masih boleh dipakai?

Apakah kita sering menukar handphone apabila model baru keluar di pasaran sedangkan handphone lama masih boleh diguna pakai?

Apakah kita sanggup membeli barang-barang idaman kita sedangkan hutang-hutang dan bil-bil masih belum dibayar?

Sekiranya anda sekarang seorang kaki hutang, ubah gaya hidup anda sekarang. Apa yang lebih penting ialah amalkan kehidupan sederhana dalam berbelanja dan hidup dalam batas kemampuan kita. Usahlah bergaya dengan rakan-rakan ataupun dengan saudara-mara dengan menunjuk-nunjuk barangan berjenama anda walaupun hutang anda di sekeliling pinggang. Takziah diucapkan kepada anda sekiranya anda tergolong dalam golongan 'biar papa asal bergaya'.

Sekian, terima kasih.

No comments: