Wednesday, September 7, 2022

Ulasan: Kurang dari 10 Tahun Tinggal di Malaysia Memperolehi Kewarganegaraan?

Ahli Parlimen Klang Charles Santiago menggesa Kementerian Dalam Negeri (KDN) untuk menjelaskan proses di sebalik pemberian kewarganegaraan kepada pemain bola sepak kelahiran UK Lee Tuck.

Dalam surat yang dihantar kepada kementerian pagi ini, Charles meminta KDN menjelaskan proses yang digunakan dalam perkara itu, dan sama ada Tuck (gambar atas) memenuhi Perkara 19 Perlembagaan Persekutuan yang menetapkan bahawa pemohon mesti tinggal dalam negara untuk tempoh sekurang-kurangnya 10 tahun sebelum memohon kewarganegaraan.

"Berapa lama masa yang diambil untuk menyelesaikan proses naturalisasi untuk Tuck, dan bagaimana proses itu dipermudahkan untuknya?

"Selain itu, apakah yang menghalang KDN daripada mempercepatkan atau melonggarkan sekatan yang sama untuk rakyat Malaysia yang menghadapi masalah dokumentasi?" soal Charles.

Minggu lalu, Tuck, yang merupakan pemain tengah Sri Pahang FC, mengumumkan bahawa dia kini warganegara Malaysia.

Ahli sukan berusia 34 tahun itu berterima kasih kepada keluarga dan rakan-rakannya, serta pemilik Sri Pahang FC Tengku Abdul Rahman Sultan Ahmad Shah, kerana menyokongnya sepanjang proses berkenaan.

Tuck mula menyertai Negeri Sembilan dalam Liga Malaysia (Liga-M) pada 2017, sebelum berpindah ke Terengganu FC pada 2018. Dia menyertai Sri Pahang FC musim lalu.

Sumber: Malaysiakini.

Ulasan:

Isu pemorelahan kewarganegaraan secara naturalisasi oleh Lee Tuck menjadi tanda tanya kerana dia masih belum cukup 10 tahun tinggal di negara ini. Hal ini bertambah panas lagi kerana ramai kanak-kanak yang ibunya warga negara Malaysia tetapi ayahnya warga asing masih belum mendapat kerakyatan negara ini walaupun telah membuat permohonan selama bertahun-tahun. Ada baiknya kita tunggu penjelasan daripada Kementerian Dalam Negeri yang berkuasa untuk memberi kerakyatan atau kewarganegaraan kepada seseorang individu.

Wallhua’lam.

https://wankamarul701.blogspot.com

KJ Perlu Bertanding di Putrajaya Supaya UMNO Dilihat Lebih Universal

Apabila Tok Mat menyatakan bahawa beliau berhasrat untuk bertanding di parlimen Rembau pada PRU-15 nanti, ada macai PH yang mengatakan bahawa Tok Mat ini tamak kuasa kerana ingin bertanding di parlimen Rembau dan dalam masa yang sama ingin bertanding di Dun Rantau.

Tok Mat menyatakan hasrat beliau untuk bertanding di parlimen Rembau supaya dapat memberi khidmat yang lebih besar di peringkat kebangsaan. Jika melihat hierarki dalam UMNO sekarang, Tok Mat yang merupakan Timbalan Presiden UMNO tidak memegang apa-apa jawatan di dalam kabinet kerana beliau bukan merupakan ahli parlimen. Nasib menyebelahi Ismail Sabri untuk menduduki kerusi Perdana Menteri walaupun beliau merupakan Naib Presiden UMNO.

Kita harus ingat di zaman kejatuhan Umno pasca PRU-14 selepas Barisan Nasional kehilangan kuasa, panglima-panglima Umno yang bangkit ketika itu khususnya dalam siri-siri Pilihan Raya Kecil (PRK) adalah seperti Najib Razak walaupun telah dipenjarakan, Zahid Hamidi, Tok Mat, KJ sendiri, dan lain-lain lagi. Oleh itu, Tok Mat harus diberi kerusi parlimen tidak kira sama ada memenangi dalam PRU-15 akan datang.

Walaupun pada awalnya ada ura-ura yang menyatakan bahawa KJ akan bertanding di parlimen Seremban, cabaran itu disambut oleh Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke yang menyatakan bahawa beliau tidak akan gentar untuk menghadapi KJ dalam PRU akan datang. Akan tetapi, meletakkan KJ di parlimen Seremban adalah seolah-olah ingin membunuh karier KJ kerana Anthony Loke dalam PRU yang lepas memperolehi majoriti sebanyak 30,694 undi apatah lagi Negeri Sembilan kini berada di bawah pimpinan PH.

Jika ditakdirkan KJ menang parlimen Seremban dalam PRU akan datang, sudah tentu ini akan melonjakkan imej KJ kerana dapat menumpaskan orang besar DAP. Tetapi, ada baiknya jangan mengambil risiko yang tinggi bertanding di parlimen ini. Walaupun sehingga kini ada berita melaporkan KJ akan bertanding di parlimen Tampin kerana calon Amanah yang menyandang kerusi parlimen di sini hanya mendapat 1,002 undi sahaja. Langkah ini hanya akan langkah main selamat sahaja buat KJ.

Orang kata tidak ‘rare’ kalau menang di parlimen yang sudah pasti akan menang dengan selesa. 

Ada baiknya KJ bertanding di parlimen Putrajaya yang ketika disandang oleh Ku Nan. Parlimen Putrajaya merupakan pusat pentadbiran kerajaan persekutuan. Ia seperti ibu segala parlimen sepertimana pertandingan bola sepak dalam apa-apa acara sukan olahraga yang dianggap ibu segala pingat. Ku Nan perlu berundur dan perlu memberi kerusi parlimen ini kepada KJ untuk bertanding dalam PRU akan datang apatah lagi Ku Nan sudah dianggap sebagai warlord lama Umno. Ku Nan sudah tua dan perlu memberi parlimen ini kepada KJ yang dianggap sebagai ikon orang muda.

Walaupun beliau menantu Pak Lah dan menyatakan bahawa beliau ingin menjadi Perdana Menteri pada usia 40 tahun suatu ketika dahulu, namun mana-mana kementerian yang diterajui oleh KJ haruslah dipuji  contohnya ketika menerajui Kementerian Kesihatan ketika menangani pandemik Covid-19 suatu ketika dahulu. 

Begitu juga suatu ketika dahulu KJ yang berdebat dengan raja pendedahan negara, Rafizi Ramli yang berjaya memberi pukulan KO kepada Rafizi apabila PH berjanji untuk memberikan pendidikan universiti percuma tetapi dalam masa yang sama janji untuk memberi tadika percuma kepada kanak-kanak masih belum dapat dilaksanakan ketika itu. 

Kesimpulannya, KJ perlu ditolak untuk bertanding di kerusi-kerusi panas parlimen dalam PRU-15 walaupun saya fikir Tok Mat tidak berani untuk bertanding di kerusi parlimen yang lain kerana ingin menang secara selesa sahaja. Apa guna untuk bertanding di kawasan parlimen majoriti Melayu seperti Tampin ataupun Kuala Pilah buat KJ kerana ianya dianggap untuk menang mudah sahaja buat KJ dan tidak dapat mengangkatnya sebagai panglima perang Umno dalam PRU akan datang.

Wallhua’lam.

https://wankamarul701.blogspot.com

Sunday, September 4, 2022

Isu Memohon Hak Kewarganegaraan: Hormati Keluhuran Perlembagaan

Di samping isu-isu panas di mahkamah yang melibatkan golongan-golongan VVIP seperti Najib Abdul Razak, Rosmah Mansor, Bung Mokhtar Radin, dan sebagainya kita jangan lupa negara kita sekarang dihimpit isu untuk memohon hak kewarganegaraan. Jika kita tiada taraf warganegara, alamatnya kita tiada hak untuk memohon sesuatu seperti biasiswa, kemudahan kesihatan, kerja, dan sebagainya.

Isu hak kewarganegaraan muncul dalam iklim isu semasa tanah air pada kali ini apabila anak yang dilahirkan di luar negara di mana ibunya warganegara Malaysia manakala bapanya bukan warganegara Malaysia adalah tidak layak untuk memperolehi hak warganegara Malaysia secara automatik.

Pada 5 Ogos 2022 Mahkamah Rayuan Putrajaya memutuskan kanak-kanak yang dilahirkan di luar negara oleh ibu warganegara Malaysia yang berkahwin dengan warga asing tidak layak untuk mendapat kewarganegaraan secara automatik. Panel hakim terbabit turut memutuskan mana-mana anak plaintif yang telah mendapat kewarganegaraan selepas keputusan Mahkamah Tinggi sebelum ini perlu menunggu sehingga diputuskan oleh Mahkamah Persekutuan semula. Bagi permohonan-permohonan yang masih dalam proses, permohonan ini perlu dibekukan sehingga kes ini dimuktamadkan.

Banyak isu kewarganegaraan yang timbul kini seolah-olah golongan wanita didiskriminasikan untuk mendapatkan hak kewarganegaraan untuk anak mereka yang dilahirkan di luar negara dinafikan apabila suami mereka merupakan warga asing.

Contohnya, kisah dalam Utusan Malaysia yang menceritakan nasib Ummal Remiza Khaja Mohideen, 37 yang bekerja sebagai pramugari di Doha, Qatar mempertemukan beliau dengan warga asing sebagai suaminya. Beliau tidak dapat pulang untuk pulang ke tanah air untuk bersalin kerana ingin menjaga keselamatan anak kandungannya kerana jarak penerbangan yang amat jauh. Beliau terpaksa membuat permohonan untuk mendaftarkan anaknya di kedutaan dan perlu menunggu kelulusan Menteri Keselamatan Dalam Negeri.

Begitu juga dengan nasib Rachel Ng, 42 yang sudah 7 tahun menunggu proses untuk mendapatkan hak kewarganegaraan untuk anaknya kerana dia berkahwin dengan warga Ireland. Terdapat juga ibu-ibu warganegara Malaysia yang terpaksa melahirkan anak diluar negara akibat sekatan perjalanan ketika pandemik Covid-19. Mereka bagaikan dihukum kerana berkahwin dengan warga asing. Sejauh mana kebenarannya, hanya Tuhan sahaja yang tahu.

Undang-undang kewarganegaraan di Malaysia ini mengamalkan sistem patriarki. Patriarki adalah sebuah sistem di mana lelaki memegang tampuk kekuasan dan dominan dalam pentadbiran manakala wanita ialah orang bawahan. Sistem pemerintahan patriarki meletakkan lelaki sebagai jalur utama dalam mewarisi tampuk pemerintahan seperti sistem pemerintahan Korea Utara yang meletakkan anak lelaki pertama sebagai penguasa seterusnya setelah kematian pemerintah. Lelaki berkuasa bukan sahaja dari segi politik, tetapi juga moral, dan mempunyai hak keistimewaan dalam perundangan.

Berlainan pula dengan pemain bola Pahang yang berasal dari England iaitu Lee Tuck yang mendapat hak warganegara secara naturalisasi. Untuk rekod juga Malaysia sebelum ini sudah memiliki tiga pemain naturalisasi termasuk Mohamadou Sumareh, Liridon Krasniqi dan Guilherme De Paula yang pernah menyarung jersi Harimau Malaya. Berlainan pula dengan kes kanak-kanak yang terpaksa menunggu bertahun-tahun untuk mendapat status warganegara walhal ibu mereka sendiri merupakan warganegara Malaysia.

Pindaan undang-undang kewarganegeraan ini perlu dibuat bagi membela anak-anak yang tidak mendapat kerakyatan negara ini walhal ibu mereka merupakan rakyat tanah air ini. Pindaan ini memerlukan 2/3 majoriti parlimen dan juga perlu mendapat perkenan Majlis Raja-Raja.

Wallhua’lam.

https://wankamarul701.blogspot.com

Tuesday, August 30, 2022

Isu LCS: Ahhh.. Rakyat Sudah Meluat!

Isu-isu kewangan negara dibongkar satu demi satu oleh pembangkang khususnya setiap kali menjelang PRU. Ia diharapkan menjadi modal atau laba politik untuk memburuk-burukkan pentadbiran kerajaan semata-mata untuk meraih undi murahan daripada rakyat jelata.

Terkini, isu pembekalan kapal tempur pesisir (LCS) pula menjadi isu panas negara yang melibatkan kontrak bernilai RM9 bilion. Apa yang menjadi isu di sebalik kontrak ini ialah bagaimana RM6.083 bilion telah dibayar kepada syarikat perunding walaupun kapal-kapalnya berjumlah 5 buah sepatutnya diserah pada bulan Ogos 2022 masih belum siap apatah lagi untuk diserahkan.

Tidak kira apa pun isu, ini hanyalah sekadar sandiwara pembangkang semata-mata untuk meraih kredit politik di mata rakyat. Saya percaya bahawa isu-isu rasuah atau skandal kewangan negara ini hanyalah tidak lebih daripada mee segera yang sekejap sahaja panas dan kemudian sejuk begitu sahaja selepas 4-5 minit. Kemudian, isu ini hanya senyap membisu sahaja dan kemudian dilupakan.

Lihat sahaja isu Ketua SPRM suatu ketika dahulu (nama dirahsiakan) yang didakwa memiliki saham berjuta-juta di dalam syarikat tersenarai suatu ketika dahulu. Apa yang terjadi kepada Ketua SPRM tersebut? Adakah dia ditahan atau didakwa? Tidak sama sekali. Kemudian, isu tersebut senyap begitu sahaja.

Memburuk-burukkan kerajaan dengan isu rasuah sana-sini merupakan pencak silat politik pada tahun 1990-an sahaja. Tidak lebih gaya politik daripada sosok tubuh insan yang bernama Anwar Ibrahim. 

Rakyat mungkin ingin tahu isu-isu politik semasa walaupun pendedahan-pendedahan dibuat tetapi mereka lebih mementingkan apa yang ingin dimakan pada hari esok daripada dijamu dengan berita-berita rasuah setiap hari selain daripada menunaikan kewajiban fardhu ain pada setiap hari. 

Buat kerajaan yang memerintah, jagalah kuasa politik yang ada dengan sebaik-baiknya. Janganlah baru tersungkur baru terngadah teringatkan rakyat. 

Wallhua’lam.

https://wankamarul701.blogspot.com

Wednesday, August 24, 2022

Hukuman ke atas Najib: Implikasi ke atas Politik Semasa

Semalam, suka atau duka buat pertama kalinya dalam sejarah Malaysia, bekas seorang Perdana Menteri dijatuhkan hukuman penjara. Bicara Najib Razak berhubung dengan kes penyelewengan SRC International berjumlah RM42 juta menemui penghujungnya apabila beliau Najib Razak dijatuhkan hukuman penjara selama 12 tahun dan denda sebanyak RM210 juta. 

Semalam, suka atau duka buat pertama kalinya dalam sejarah Malaysia, bekas seorang Perdana Menteri dijatuhkan hukuman penjara. Bicara Najib Razak berhubung dengan kes penyelewengan SRC International berjumlah RM42 juta menemui penghujungnya apabila beliau Najib Razak dijatuhkan hukuman penjara selama 12 tahun dan denda sebanyak RM210 juta. 

Pertamanya, kita perlu syukuri dan rayakan ialah tiada pertumpahan darah yang berlaku di kalangan penyokong-penyokong Bossku apabila idola mereka dijatuhkan penjara. Menangislah dengan air mata darah sekalipun, ia sekali-sekali tidak dapat melepaskan Bossku dari hukuman penjara. 

Kita perlu ingat Najib merupakan bekas Perdana Menteri Malaysia pertama dihukum masuk penjara dan bukan Perdana Menteri Malaysia pertama dihukum masuk penjara kerana beliau dijatuhkan hukuman penjara setelah tidak lagi menjadi Perdana Menteri dan bukannya semasa menjadi Perdana Menteri. 

Dapat dilihat di sini bahawa kuasa eksekutif yang dikuasai oleh Umno tidak campur tangan dalam mempengaruhi keputusan para hakim yang sebulat suara menjatuhkan hukuman ke atas Najib. Ada yang berpendapat Najib akan terlepas daripada hukuman kerana cuba melengah-lengahkan perbicaraannya dengan menukar pasukan peguam belanya beberapa kali di saat-saat akhir supaya perbicaraannya dapat ditangguhkan sehingga menjelang PRU-15. Namun, sangkaan ini meleset sama sekali kerana para hakim menolak permohonan Najib ini dan beliau akhirnya dijatuhkan hukuman penjara. 

Yang mana satu kita ingin berpegang apabila para hakim mengadili kes Najib? Terdapat 2 ambiguiti (kemungkinan) di sini. Pertamanya, jika Najib dibebaskan mungkin kita sebagai rakyat biasa yang bergantung berita-berita kepada Malaysiakini mengatakan bahawa terdapat campur tangan politik dalam mengadili kes Najib apatah lagi Perdana Menteri sekarang ini iaitu Ismail Sabri adalah orang Umno. Kedua, apabila Najib didapati bersalah, adakah kita ingin mengatakan bahawa hakim tidak adil dalam menjatuhkan hukuman kepada Najib? 

Walaupun raja baling batu dan sembunyi tangan iaitu RPK mengatakan bahawa tindakan ke atas Najib ini adalah tindakan politik dan bukannya tindakan undang-undang tetapi saya percaya bahawa pada kali ini tiada campur tangan politik dalam pengadilan kepada Najib dan para hakim membuat pertimbangan yang secukupnya dalam menjatuhkan hukuman kepada Najib. Pakatan Harapan bukan lagi memerintah bahkan Umno sendiri yang menguasai kerajaan ketika ini mungkin tidak campur tangan dalam urusan mahkamah. 

Saya mengatakan RPK merupakan raja baling batu sembunyi tangan kerana beliau berani mengeluarkan kenyataan-kenyataan yang mengkritik kerajaan secara lantang dalam Youtube beliau mengenai isu-isu semasa di Malaysia. Malangnya, dia bukannya tinggal di Malaysia tetapi di luar negara. Jika berada di Malaysia, sudah tentu beliau sudah lama ditangkap oleh polis. 

Bagaimana pula dengan Parti Umno? Tidak dinafikan kemenangan bergaya Umno pasca PRU-14 adalah disebabkan oleh pengaruh Najib dengan aura “Bossku”. Begitu juga dengan kemenangan bergaya di Melaka dan Johor adalah disebabkan oleh pengaruh Najib yang berjaya meniup kebencian rakyat di atas kegagalan Pakatan Harapan memimpin negara di samping merangka dan berartikulasi mengenai dasar-dasar negara dalam menghadapi cabaran semasa dalam tampalan-tampalan beliau dalam akaun Facebooknya. 

Siapakah panglima Umno yang ingin menyambung aura “Bossku” sekarang? Adakah kita mengharapkan 2 Mat iaitu Mat Hassan atau Mat Maslan dalam mengemudi Umno selepas ini? Zahid Hamidi pun sedang naik turun mahkamah. Jika tiada posterboy dalam Umno untuk mengambil alih tempat Najib, lambat-laun Umno pula akan menjadi sayur kepada Pakatan Harapan apatah lagi Raja Pendedahan Negara iaitu Rafizi Ramli kini pulang semula ke dunia politik. Kini, raja pendedahan negara sedang sibuk membongkar mengenai isu kapal LCS yang tidak siap-siap sehingga sekarang. 

Buat Najib anda perlu ingat apa yang anda lakukan sepanjang anda menjadi Perdana Menteri. Saya bersimpati kepada Anwar Ibrahim yang dihumban ke dalam penjara buat kali kedua sewaktu Najib Abdul Razak menjadi Perdana Menteri. Saya percaya ini adalah satu fitnah kepada Anwar Ibrahim supaya dia tidak dapat berpolitik apabila dikurung ke dalam penjara. Dan apa yang terjadi sekarang kepada Najib merupakan hukum karma kepada beliau. 

Sudah tentu watak utama yang ingin menjatuhkan Najib Razak sewaktu beliau menjadi Perdana Menteri dan memastikan beliau masuk penjara ialah Tun Dr. Mahathir Mohamad biarpun beliau (Mahathir) kini tidak lagi berkuasa. 

Wallhua’lam.

https://wankamarul701.blogspot.com


Sunday, July 17, 2022

Bank Grameen dan Peranannya Mengurangkan Kemiskinan di Bangladesh


Penubuhan Bank Grameen adalah berkait rapat dengan usaha Profesor Muhammad Yunus, pemenang hadiah Nobel kerana ketokohannya yang merupakan profesor ekonomi di Universiti Chittagong. Pada asalnya, beliau (Prof Yunus) melancarkan program penyelidikan bagi membantu golongan miskin di Bangladesh yang mendiami kawasan luar bandar dan tidak bertanah. Sememangnya, golongan miskin ini adalah tidak layak untuk mendapatkan pinjaman bank bagi membantu meningkatkan pendapatan mereka melalui aktiviti-aktiviti ekonomi. 

Projek penyelidikan pertama ini dilancarkan pada tahun 1976. Program ini mempunyai lima objektif utama iaitu meluaskan kemudahan bank kepada orang miskin, membasmi penindasan oleh pemberi pinjaman kewangan, mewujudkan peluang bekerja sendiri, mengorganisasikan mereka yang tidak bernasib baik dalam kerangka untuk mempertingkatkan tahap ekonomi dan sosial mereka melalui sokongan sesama sendiri, dan mengeluarkan golongan miskin ini daripada putaran ganas kemiskinan. 

Projek rintis ini dijalankan di sebuah kampung bernama Jobra yang berhampiran dengan Universiti Chittagong termasuk kampung-kampung berdekatan. Alhamdulillah, projek rintis ini yang dijalankan selama tiga tahun antara tahun 1976 sehingga 1979 membuahkan hasilnya. Setelah kejayaan ini, projek ini diperluaskan ke daerah Tangail (berdekatan Dhaka). Projek ini dijalankan dengan bantuan Bank Pusat Bangladesh. Kejayaan di daerah Tangail ini pula menyebabkan projek ini diperluaskan ke beberapa buah daerah lain di Bangladesh. Pada Oktober 1983, Projek Bank Grameen diubah menjadi bank formal di bawah undang-undang khusus yang dikenali sebagai Bank Grameen. 

Struktur pengurusan Bank Grameen adalah mengikut penyeliaan berperingkat iaitu daripada tertinggi kepada terendah. Pejabat Pusat (1 unit), Pejabat Zon (39 unit), pejabat kawasan (247 unit), pejabat cawangan (2,422 unit), pusat (126,000 unit), kumpulan (1,128,000 unit) dan ahli adalah seramai 7.12 juta orang di mana 97 peratus daripada mereka ini adalah wanita. 

Perlu anda ketahui bahawa kredit mikro ini adalah pinjaman secara kecil-kecilan yang diberikan kepada golongan miskin untuk membiayai aktiviti-aktiviti ekonomi yang boleh meningkatkan pendapatan mereka. Perkara ini disebabkan mereka tidak dapat memenuhi syarat-syarat untuk mendapatkan pinjaman bank. Pinjaman ini adalah diberikan secara berkelompok di mana para peminjam ini akan berkumpul secara mingguan. Para peminjam perlu menubuhkan kumpulan (1 kumpulan seramai 5 orang) dan seterusnya membentuk Pusat. Kebiasaannya, pinjaman secara kredit mikro ini diberikan kepada kaum wanita.

Bank Grameen yang beroperasi di Bangladesh secara umumnya memberi pinjaman kepada kaum wanita bagi mengeluarkan mereka daripada putaran ganas kemiskinan. Secara politik, sosial dan ekonominya wanita ditindas dalam masyarakat Bangladesh. Dengan kata lain, peluang untuk keluar daripada kemiskinan adalah sukar. 

Dari sudut budaya di Bangladesh pula, golongan wanita secara umumnya adalah tidak selamat. Mereka juga boleh ditendang oleh suami mereka untuk keluar dari rumah pada bila-bila masa sahaja. Mereka juga tidak selamat berada bersama ibu bapa mereka kerana dianggap sebagai beban keluarga. Mereka mesti berkahwin dengan apa cara sekalipun. Jika bercerai dengan suami mereka setelah berkahwin, mereka dianggap memalukan ibu bapa mereka. Atas alasan ini, Bank Grameen ingin membantu golongan wanita yang malang ini di negara mereka.

Wanita yang telah berkahwin di Bangladesh juga tidak mendapat pembelaan yang sewajarnya daripada suami mereka. Mereka bila-bila masa sahaja boleh ditinggalkan oleh suami mereka apabila menghadapi kebuluran ataupun bencana alam dan terpaksa membesarkan anak-anak mereka sendirian. Suami yang tidak bertanggungjawab ini barangkali meninggalkan keluarga mereka dan menetap di tempat baru sambil mencari bini baru.

Kejayaan Bank Grameen menunjukkan 50 peratus peminjam wanita bank ini berjaya menambah pendapatan isi rumah mereka berbanding dengan kaum lelaki. Pendapatan yang diperoleh oleh kaum wanita ini digunakan untuk meningkatkan tahap kesejahteraan hidup isi rumah mereka berbanding kaum lelaki pendapatan yang diperoleh adalah digunakan untuk tujuan lain (mungkin untuk berfoya-foya) di Bangladesh. 

Antara ciri utama Bank Grameen ialah pinjaman dibayar balik setiap minggu, jadual pembayaran ditetapkan oleh melalui ahli-ahli yang terlibat, jadual bayaran balik adalah luwes bagi projek yang bermusim iaitu peminjam boleh membayar kurang sekiranya hasil belum dapat dituai dan boleh membayar lebih sekiranya hasil telah dapat dituai, tempoh pinjaman diberikan antara tempoh 3 bulan, 6 bulan, atau sehingga 1 tahun, pinjaman yang bertunggak dihapuskan untuk menjimatkan kos operasi, dan pembayaran bayar balik pinjaman dibuat di hadapan orang ramai.

Petunjuk Bank Grameen yang digunakan bagi menentukan seseorang itu telah berjaya keluar daripada kemiskinan ialah sebuah keluarga mendiami rumah bernilai Tk. 25,000 atau rumah beratapkan zin, dan setiap ahli keluarga tidur di atas katil dan tidak di atas lantai, ahli keluarga minum air bersih, semua anak dalam keluarga yang berumur lebih enam tahun bersekolah atau tamat sekolah, ansuran pinjaman mingguan sekurang-kurangnya Tk. 200, keluarga menggunakan tandas, baki simpanan peminjam adalah sekurang-kurangnya Tk. 5,000, keluarga dapat menyediakan makanan sebanyak 3 kali sehari dan tiada ahli keluarga yang lapar dalam tempoh setahun, dan keluarga boleh menjaga kesihatan.

Wallhua’alam.

Sumber: 

Laily Paim dan Sharifah Azizah Haron (editor), Kemiskinan di Malaysia: Isu Fundamental & Paparan Realiti, 2010, Penerbit Universiti Putra Malaysia, Serdang.

https://wankamarul701.blogspot.com