Sunday, December 18, 2022

Kontrak Sosial - Orang Bukan Melayu Memungkiri Janji

Dalam kalangan generasi ahli politik dan pemimpin Melayu Cina dan India ketika itu juga difahami umum bahawa menjadi sebahagian kontrak sosial bahawa bukan Melayu akan membantu dan mengajar orang Melayu bagaimana memasuki perniagaan dan perdagangan. Ringkasnya, bukan Melayu hendaklah memberi bantuan kepada orang Melayu yang lembap dan membimbing mereka bersama untuk mencapai kejayaan negara. Inilah sebahagian daripada perjanjian ikhlas yang dipercayai umum wujud antara mereka. 

Walau bagaimanapun, berdasarkan rekod-rekod sejarah dan perangkaan – dan walau apa pun usaha dan kemurahan hati individu yang harus dipuji – bukan Melayu secara kumpulan tidak tampil ke muka  dengan bantuan yang sebenarnya kepada orang Melayu di sektor swasta. Parti Tindakan Demokratik (DAP), Persatuan Cina Malaysia (MCA), Gerakan dan Persatuan serta Pertubuhan Cina yang lain, mahupun Kongres India Malaysia (MIC), tidak tampil dengan inisiatif atau rancangan usaha sama kenegarawan, program dan projek untuk membantu orang Melayu, supaya terbentuk satu identiti di kalangan kumpulan ras, meskipun inisiatif sedemikian adalah untuk kepentingan mereka sendiri, yang memberi keselamatan dan jaminan untuk masa depan. 

Sebenarnya, perkara sebaliknya berlaku. Bukan Melayu mendiskriminasi orang Melayu dalam perniagaan dari segi kontrak, dalam pekerjaan dan lain-lain, memihak kepada kaum mereka sendiri. Melayu dianggap rendah dan malas serta hanya mampu melakukan kerja-kerja yang kurang memerlukan daya fikiran dan daya fizikal. Mereka juga dianggap tidak responsif kepada motif keuntungan dan kurang berinisiatif, serta apabila diberi sesuatu kerja, orang Melayu dianggap tidak berkeupayaan melaksanakannya dengan serius dalam jangka panjang, berbanding dengan ras-ras lain. Orang Melayu hanya diberi jawatan hiasan untuk tujuan kosmetik dan perhubungan awam, khususnya jika syarikat berkenaan mempunyai urusan dengan jabatan-jabatan kerajaan yang majoritinya ditadbir oleh pegawai Melayu. Secara praktik, orang Melayu telah memberi bukan Melayu hak-hak tak terpisah di bawah Perlembagaan sebagai ganti untuk apa yang akhirnya hanya berupa tidak lebih daripada janji-janji samar dan kosong oleh bukan Melayu. Janji-janji ini pun kini dinafikan oleh sesetengah bahagian komuniti bukan Melayu. 

Sumber:

Just Faaland, Jack Parkinson, dan Rais Saniman, Dasar Ekonomi Baru: Pertumbuhan Negara dan Pencapaian Ekonomi Orang Melayu, Kuala Lumpur: Utusan Publications & Distributors Sdn. Bhd., 2005, hlm. 22-23.

 


No comments: