Sunday, September 2, 2012

PRU 12 : Kuat Sama Kuat, BN yang Lemah atau PR yang Kuat?


PRU-12 pada tahun 2008 baru sahaja berlalu 4 tahun lepas dan seolah-olah ianya berlaku baru semalam sahaja. PRU-12 menyaksikan pembangkang berjaya menafikan majoriti dua pertiga dominasi BN dalam parlimen di Malaysia sejak Tanah Melayu mencapai kemerdekaan 1957 melainkan tahun 1969. Sudah menjadi tradisi dalam sesuatu pilihanraya umum bahawa parti lawan akan mengharapkan agar kelemahan parti lawannya dibelengu dengan sesuatu isu agar dapat menawan ke atas DUN, parlimen atau negeri.

Ini dapat dilihat pada tahun 1999 di mana PAS dapat menawan Terengganu kerana faktor Anwar Ibrahim. Namun begitu, PAS hanya dapat memerintah Terengganu hanya sepenggal sahaja. Menurut Lim Kit Siang, faktor utama kegagalan PAS mempertahankan Terengganu adalah disebabkan kerana merasa selesa setelah menawan negeri warisan Sultan Zainal Abidin III tersebut selepas PRU-10 (1999).

Manakala Kelantan pula dapat ditawan oleh PAS kerana isu pertelingkahan UMNO pada tahun 1987 yang menyebabkan Parti Semangat 46 dibawah pimpinan Ku Li bergabung dengan PAS bagi menawan Kelantan daripada BN pada pilihanraya pada tahun 1990. Namun, PAS terus dapat mempertahankan negeri Cik Siti Wan Kembang tersebut sehingga ke hari ini kerana faktor Nik Aziz walaupun terus dihimpit untuk menerima dana daripada persekutuan bagi memajukan negeri tersebut. Ini dapat dilihat sendiri melalui pada PRU-11 di mana PAS dapat mempertahankan negeri tersebut walaupun BN memperolehi mandat yang besar selepas peralihan kuasa Perdana Menteri daripada Dr. Mahathir (Tun) kepada Abdullah Ahmad Badawi (Tun). Ini adalah disebabkan faktor kesederhaan Nik aziz dalam memimpin Kelantan yang terus mendapat sokongan rakyat Kelantan sehingga Utusan Malaysia melaporkan “Ketokohan Nik Aziz Terus Sukar Digugat” selepas pasca PRU-11.

Melainkan PRU-9 di mana BN berada dalam kuat dan pembangkang berada dalam keadaan lemah menurut Zaid Ibrahim. Pada era pertengahan 1990-an ini, BN sedang mencapai zaman kegemilangannya ketika ini.

Namun, hidup adalah ibarat roda. Zaman kegemilangan BN mula menyusut sejak Abdullah mengambil kepimpinan negara dari Tun Dr. Mahathir pada tahun 2003. Rakyat memperlihatkan ketidakpuasan hati terhadap kepimpinan Abdullah pada tahun 2008 melalui peti undi apabila apabila Kerajaan Barisan Nasional menerima ‘renjatan elektrik’ pada malam 8 Mac 2008 selepas pengiraan undi dibuat. Angin bertukar menjadi badai dan badai bertukar menjadi tsunami. Akhirnya, BN kehilangan 5 buah negeri iaitu Kelantan, Kedah, Perak, Pulau Pinang, dan Selangor dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur. Ini adalah penentangan terhadap kepimpinan Abdullah Badawi yang melepasi sempadan agama dan kaum di mana corak pilihanraya pada kali ini adalah lebih Malaysian.

Saya tertarik dengan tulisan A Kadir Jasin dalam bukunya ‘Pilihan raya 2008 : Rakyat Sahut Cabaran’. Untuk pengetahuan anda, A Kadir Jasin baru-baru ini menerima anugerah Tokoh Wartawan Negara 20011. Berikut adalah analisis beliau mengenai punca-punca kegagalan BN dalam Pilihan Raya 2008 :

1. Keadaan Ekonomi yang Tidak Terkawal

Bermula awal tahun 2006, kenaikan besar harga bahan petroleum dan diikuti oleh kenaikan cukai taksiran, cukai rokok dan minuman keras, tarif elektrik dan air serta tol lebuh raya dan hasil menjejaskan kos sara hidup dan inflasi menyebabkan rakyat marah dan kewibawaan pemerintah dipertikaikan. Malangnya, Kerajaan ketika itu semakin hari semakin percaya kepada suara sendiri walaupun mereka tahu keadaan sebenar bukanlah seperti yang digambarkan.

2. Kadar Jenayah yang Semakin Meningkat

Peningkatan kadar jenayah juga meningkat di bawah kepimpinan Abdullah. Rakyat tersentak dan marah dengan peningkatan besar kadar jenayah dan kejadian tragik seperti pembunuhan Mongolia, Altantuya Shaariibu, penculikan dan pembunuhan kejam Nurin Jazlin serta kehilangan Sharlinie Mohd Nashar.

Rakyat juga marah terhadap Abdullah di mana beliau sendiri merupakan Menteri Keselamatan Dalam Negeri sehingga beliau berkata “Apa dah Jadi?” selepas dimaklumkan oleh Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan dalam satu taklimat pada akhir tahun 2007 mengenai kadar jenayah yang meningkat.

3. Bersih 1.0

Keadaan semakin bercelaru apabila rakyat dari pelbagai kaum bersatu di bawah panji-panji Bersih 1.0 (Semasa artikel ini ditulis perhimpunan Bersih 4.0 bertemakan Janji Demokrasi semasa sambutan kemerdekaan dibuat pada malam semalam tetapi gagal seperti dilaporkan) berhimpun di ibu negara dan mencatat sejarah dengan menyembahkan pertisyen kepada Yang di Pertuan Agong. Pada hari sama, Utusan Malaysia menyiarkan tajuk berita yang memetik Perdana Menteri sebagai berkata : “Saya Pantang Dicabar”. Cabaran Abdullah ini disambut dengan puluhan ribu penunjuk perasaan membanjiri Abdullah bafi menuntut pilihan raya bersih. Kemudian, ia diikuti dengan perhimpunan orang India yang bergabung di bawah Badan Bertindak Hak Asasi Hindu (Hindraf) mengadakan tunjuk perasaan di ibu negara pada 25 November 2007.

4. Tindak-tanduk Kabinet Dapur

Dengan mempamerkan gaya hidup elit yang keterlaluan dan keakraban dengan Perdana Menteri Abdullah oleh watak-watak yang didakwa berpengaruh ke atas beliau memburukkan lagi persepsi ke atas Abdullah.

5. Kesan Pakatan Pembangkang

Kesan pakatan longgar pihak pembangkang – Parti Keadilan Rakyat (PKR), Parti Tindakan Demokratik (DAP), dan Parti Islam Se Malaysia (Pas) – berjaya mengelak pertandingan sesama sendiri dan mencabar BN satu lawan satu. Malang bagi Abdullah, beliau hanya menyifatkan pakatan tersebut sebagai “Syok-syok sahaja”. Beliau tidak sedar bahawa pakatan ini berjaya mengurangkan tanpa bertanding BN daripada 17 kerusi Parlimen dan 12 kerusi Dewan Undangan Negeri pada tahun 2004 kepada 7 kerusi Parlimen dan 2 Dun. Selain itu, pertukaran kerusi pada saat-saat akhir bagi memenuhi tuntutan  parti-parti komponen atau untuk meletakkan calon-calon terpilih menimbulkan kemarahan kepimpinan dan ahli UMNO tempatan. Kesannya, ramai pemimpin-pemimpin UMNO yang tewas kepada calon pembangkang.

6. Sikap Cakap Lepas Pemimpin BN

Selain sikap Perdana Menteri yang sering mencabar rakyat, pemimpin-pemimpin utama BN seperti Presiden MIC merangkap Menteri Kerja Raya, Datuk Seri S. Sammy Vellu dan Menteri Penerangan, Datuk Seri Zainuddin Maidin turut melakukan kesilapan serupa. Natijahnya, kedua-kedua pemimpin ini kalah dalam pilihan raya.

7. Faktor Anwar Ibrahim

Keputusan PRU 2008 jelas menunjukkan faktor keberkesanan Dato’ Seri Anwar Ibrahim sebagai pengantara di PKR, PAS dan DAP. Anwar menggunakan kaedah rundingan dua peringkat yang ternyata berkesan. Pada peringkat pertama, beliau berunding dengan DAP kerana DAP dan PAS tidak boleh duduk bersama. Dalam rundingan itu, PKR dan DAP membahagikan kerusi Parlimen dan DUN kepada dua. Sebahagian kepada DAP dan sebahagian lagi kepada PKR. Pada pusingan kedua, Anwar berunding pula dengan PAS bagi membahagikan baki kerusi Parlimen dan DUN antara PKR dan PAS.

Hasil rundingan itu, PKR bertanding 97 kerusi Parlimen & 171 DUN, PAS 67 Parlimen & 232 DUN, dan DAP 47 Parlimen & 104 DUN. Kemantapan barisan pembangkang ini terbukti berkesan apabila PKR memnangi 31 Parlimen & 40 DUN, PAS memenangi 32 Parlimen & 83 DUN dan DAP 28 Parlimen dan 73 DUN.

Kesannya, Barisan Alternatif (dikenali sebagai Pakatan Rakyat pada hari ini) berjaya menghapuskan kelebihan dua pertiga BN di Dewan Rakyat di samping menawan Kedah, Pulau Pinang, Perak, Selangor serta Kedah dan 10 daripada 11 kerusi Parlimen Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

Kesan Pilihan Raya Umum 2008

Nampak jelas dalam pilihan raya umum pada kali ini berbanding pilihan raya sebelum ini iaitu perbezaan yang ketara di mana corak pengundian yang lebih “Malaysian” dalam erti kata semua kaum menolak BN dan memihak kepada pembangkang.  Mungkin inilah kali pertama dalam sejarah pilihan raya umum apabila pengundi Melayu mengundi calon-calon bukan Melayu yang mewakili DAP dan PKR. Sebelum ini, pengundi Melayu hanya mengundi calon PAS dan calon bukan Melayu daripada parti-parti komponen BN. Ini memberi gambaran bahawa penentangan terhadap BN di kepimpinan Abdullah Ahmad Badawi adalah menyeluruh dan melepasi garisan kaum dan agama.

Daripada analisa di atas, segala kelemahan BN memberi laba modal yang besar kepada barisan pembangkang untuk memenangi kerusi parlimen dan menguasai lima buah negeri dan satu Wilayah Persekutuan. Kita harus ingat walaupun pilihan raya ini lebih bersifat “Malaysian”, ia sebenarnya adalah disebabkan oleh kelemahan BN dan bukannya disebabkan oleh barisan pembangkang yang kuat.

 Menurut Tun Dr. Mahathir (TDM) dalam blog beliau, terdapat 300,000 undi rosak, satu angka yang mungkin terbesar dalam pilihan raya. Tidak mungkin setelah 50 tahun dan 11 Pilihan Raya Umum (PRU) pengundi masih lagi tidak tahu bagaimana hendak mengundi. Ini disebabkan sesetengah ahli UMNO masih tidak sanggup mengundi pembangkang. Oleh itu, mereka sengaja merosakkan undi mereka.Menurut beliau lagi dalam memoirnya, beliau menyifatkan PRU ke-12 tersebut sebagai undi protes. Beliau menyatakan demikian kerana Malaysia masih lagi sebuah sebuah negara yang bersifat perkauman. Hanya apabila orang Melayu cukup yakin yang mereka yang boleh bersaing dengan orang Cina dalam bidang ekonomi dan orang Cina pula bersedia menghentikan penekanan terhadap asal-usul mereka keturunan serta perbezaan mereka dengan kaum lain maka barulah politik berbilang kaum yang tulen akan lahir.

Pada Mac 2009, Datuk Seri Najib Tun Razak untuk mengambil alih jawatan Presiden UMNO dan menjadi Perdana Menteri yang keenam dari Tun Abdullah Ahmad Badawi. Tun Daim Zainuddin yang meramalkan Barisan Nasional (BN) akan menghadapi pilihan raya yang sukar pada tahun 2008 ditanya pula mengenai ramalan beliau mengenai PRU-13, beliau menjawab , “Mood raya sudah berubah. Terdapat tanda-tanda keyakinan pemulihan ekonomi dibawah kepimpinan Najib.”

Sekian, terima kasih.

http://wankamarul701.blogspot.com

No comments: