Monday, February 27, 2017

A Kadir Jasin dan Zainuddin Maidin

Meminjam kata-kata Hishamuddin Rais – A Kadir Jasin dan Zainuddin Maidin sebenarnya merupakan penulis upahan UMNO. Walaubagaimanapun, A Kadir Jasin tidak lagi menjadi ahli Umno dan Zainuddin Maidin masih kekal menjadi ahli Umno walaupun parti itu sentiasa dilanda krisis rasuah yang kian meruncing. Parti ini sudah dijadikan oleh Najib dan gang-gangnya sebagai mesin ATM mereka dalam memperkayakan diri dan kaum kerabat mereka.

Sudah pasti kedua-dua ini menjadi penulis upahan Umno ketika zaman pemerintahan Dr. Mahathir.
Berbalik kepada A Kadir Jasin dan Zainuddin Maidin, tidak dinafikan bahawa kualiti penulisan dan tulisan mereka mempunyai kelasnya yang tersendiri. Zainuddin Maidin yang hanya bermula sebagai stinger Utusan Melayu tidak menyangka bahawa beliau akhirnya menjadi Ketua Pengarang Utusan Melayu suatu hari nanti dan mencapai hierarki dalam politik sebagai Menteri Penerangan. Namun, Zainuddin Maidin atau Zam menganggap Utusan Melayu sebagai universitinya kerana beliau sendiri tidak pernah menjejaki kaki ke university.
Bak kata Syed Qutb, “Satu peluru boleh menembus satu kepala manakala satu tulisan boleh menembusi jutaan manusia.”
Kedua-dua penulis ini memainkan peranan penting dalam mempengaruhi pendapat umum terhadap isu politik semasa. Sudah tentu dalam menyebarkan dakyah propaganda kerajaan peranan mereka ini tidak dapat diketepikan begitu sahaja.
Kedua-duanya yakni A Kadir Jasin dan Zam mempunyai kelebihan dan kekuatan penulisannya yang tersendiri. A Kadir Jasin mempunyai analisa yang mantap dalam menceritakan perkembangan dan naik turun ekonomi kepada masyarakat. Bacaan-bacaan akhbar antarabangsa mengenai iklim ekonomi dunia yang dianalisa dengan mendalam turut menambah kejituannya apabila membicarakan mengenai ekonomi semasa. Tambahan pula pengalaman bersama dengan orang-orang politik ternama negara sepanjang kerjaya kewartawanannya memberi kelebihan kepada beliau untuk menambah harta intelek dalam penulisan beliau.
Manakala Zam pula mempunyai caranya tersendiri apabila dalam menyusun bait-bait ayat-ayatnya dari setiap perenggan ke setiap perenggan yang lain. Bak kata Hamka, penulisan yang baik itu adalah menyalahi tatabahasa penulisan. Apabila terdapat kesalahan tatabahasa, sudah tentu sesuatu penulisan itu akan nampak daripada yang lain. Dalam hal ini, saya amat teruja dengan gaya penulisan Zam yang kadang-kadang menyalahi tatabahasa dalam penulisannya.
Mereka ini adalah penulis-penulis yang terkenal di zaman kegemilangan Umno dahulu. Apabila Umno sudah lemah sekarang kerana terpalit dengan skandal-skandal, tiada lagi penulis upahan Umno yang disifatkan oleh Hishamuddin Rais yang dilahirkan sekarang. Di pihak pembangkang, mereka pun tiada penulis yang berkualiti yang berkredibiliti seperti A Kadir Jasin dan Zainuddin Maidin. Yang mereka tahu di pihak pembangkang ialah duduk maki-hamun pemimpin-pemimpin kerajaan.
Wallhua’lam.

http://wankamarul701.blogspot.my

Friday, February 10, 2017

Statistik Pembaca Buku


 
 
Menurut bekas CEO Thomas Nelson Publisher. Statistik yang membaca buku adalah seperti berikut :

Hanya 60 peratus pembaca berjaya menghabiskan buku setebal 100 halaman.

Kemudian, 20 peratus berjaya membaca sehingga halaman akhir buku setebal 200 halaman.

Manakala 3 peratus sahaja berjaya habis membaca buku setebal melebihi 200 halaman.
Dimanakah diri anda?
http://wankamarul701.blogspot.my

Sunday, January 29, 2017

Dulu RM100 Sebulan dalam ASB, Sekarang Beratus Rumah Sewa


Kisah ini saya petik daripada buku Dato’ Aliff Syukri yang bertajuk Buku Duit Strategi Ajaib. Menarik juga kisah ini untuk kita hayati bersama.

“Saya mengenali seorang pembekal yang berjaya dalam perniagaannya. Kewangannya kukuh dan beliau adalah usahawan yang bergelar jutawan. Saya mengenalinya dari awal perniagaan malah dia merupakan salah seorang mentor dalam perniagaan saya.

Saya mempelajari dan memerhatikan bagaimana beliau membuat pelaburan hasil daripada perniagaan. Pernah saya bertanya kepadanya, bila dan berapakah pelaburan yang saya perlu buat setiap bulan?

Beliau memberitahu saya bahawa sesiapa sahaja layak membuat pelaburan. Tak kiralah sama ada anda usahawan atau tidak. Pelaburan bukan tertakluk kepada berapa banyak anda melabur tetapi disiplin dan perlu mengikut kemampuan.

Menurutnya, tabiat melabur yang ada padanya telah dipupuk sejak tahun pertama dia bergelar seorang guru. Waktu itu dia masih makan gaji dan jumlah gaji yang dibawa pulang pada hujung bulan tidaklah banyak tetapi tabiat menyimpan dan melabur telah disemai sejak awal lagi.

Berdikit-dikit beliau menyimpan sebahagian wang gajinya bermula dengan RM100 sebulan sebagai simpanan dan pelaburan ASB. Berkat kesabaran beliau meningkatkan pelaburan yang ada dari masa ke semasa selaras dengan kenaikan tangga gajinya dan mula menyimpan dari hasil jualan kecil-kecilan yang dilakukan selepas waktu bekerja.

Apabila sampai masa, beliau mengeluarkan simpanan tadi, bukanlah keseluruhan tetapi sebahagian daripadanya dan beliau melaburkan dalam stok barangan perniagaan. Ini kerana beliau yakin dapat melipat-gandakan wangnya dengan meningkatkan stok barangan yang dibeli.

“Kalau dilihat dari pendapatan bekerja dan berniaga secara sambilan saya memang boleh pakai kereta lebih selesa sepertimana guru-guru lain, tetapi pada ketika itu saya hanya mempunyai sebuah motor buruk yang membolehkan saya ulang-alik kerja.”

“Nak berduit dan berharta kenalah sabar, kena menyimpan dan melabur dengan baik. Duit bukan senang nak dapat.”

Sambung beliau lagi.

Hari ini tidak hairanlah jika saya lihat beliau hidup cukup senang dengan beratus rumah sewa, kilang dan perusahaan yang berjalan dengan lancar dan baik.”

Wallhua’lam.

http://wankamarul701.blogspot.my

Monday, January 16, 2017

Nasib Malang Tengku Mahmud Muhyidin




Tengku Mahmud Muhyidin merupakan pewaris takhta Kerajaan Patani. Ayahnya iaiu Tengku Abdul Kadir Kamarudin merupakan raja Patani terakhir setelah jawatan tersebut dimansuhkan oleh Siam.

Tengku Mahmud berjuang untuk membebaskan Patani daripada penguasaan Siam. Beliau bersama dengan ulama Patani yang terkenal iaitu Haji Sulung Haji Abdul Kadir yang menubuhkan Hai’ah al-Tanfiziyyah li Ahka al-Syariah (Lembaga Pelaksanaan Hukum Syariah) bagi membebaskan wilayah Patani dari cengkaman Siam.

Ketika Perang Dunia Kedua meletus, Siam bersama dengan Jepun untuk menentang British. Siam membenarkan tentera Jepun mendarat di pantainya untuk masuk ke Tanah Melayu untuk memerangi British.

Kesempatan ini diambil oleh Tengku Muhyidin untuk bekerjasama dengan British bagi memerangi Jepun. Rancangan Tengku Muhyidin ialah apabila Jepun menyerah kalah, maka Patani akan mendapat kemerdekaan dari Siam. Beliau juga berharap agar tentera British membantu beliau bagi mengalahkan Siam untuk memerdekakan Patani.

Oleh itu, Tengku Mahmud berjuang dengan tentera British sebagai sayap Force-136 yang berpangkalan di India dan beliau dilantik sebagai mejar.Pasukan ini disediakan untuk menggempur tentera Jepun di pantai timur Tanah Melayu.

Dalam pada itu, Tengku Muhyidin tidak sedar pihak Siam sebenarnya bekerjasama juga dengan British bagi memerangi Jepun walhal British jua berjanji kepada Tengku Muhyidin untuk melantiknya menjadi Raja Patani sekiranya berjaya mengalahkan Jepun. Dalam pada itu, Siam turut membekalkan 1.5 juta tan beras secara percuma kepada British.

Malangnya, setelah Jepun dikalahkan dalam Perang Dunia Kedua dengan pengeboman Hiroshima dan Nagasaki, pihak British telah melupakan khidmat Tengku Muhyidin dan hasratnya untuk menjadi Raja Patani dilupakan begitu sahaja oleh British.

Ikhtibar dari peristiwa ini, mengapa kita terlalu mudah percaya dengan penjajah British itu sendiri?

Thursday, January 12, 2017

Buku Duit Strategi Ajaib


Boleh dikatakan bahawa buku ini sangat mahal. Buku ini hanya setebal 201 mukasurat yang sepatutnya dijual antara harga RM20-RM30. Oleh kerana Dato’ Aliff Shukri, Pengasas D’Herbs yang menulis buku ini, harga buku ini menjadi RM59.90.

 Akan tetapi isi-isi kandungan buku ini bolehlah dikatakan ianya boleh dijual dengan harga sekitar RM20-RM30. Tambahan pula banyak kesilapan ejaan dalam buku ini dan menyebabkan pembacaan tidak lancar. Walaubagaimanapun, poin-poin dalam buku ini adalah tidak mengecewakan pembaca.

 Secara keseluruhannya, buku ini ingin membina minda kita bahawa setiap orang daripada kita boleh menjadi jutawan. Bahkan dalam masa 3 bulan, seseorang itu boleh menjadi jutawan. Bukannya apa, sebab buku ini turut menceritakan seorang usahawan yang berjaya mendapat 8 buah kontrak dalam masa 3 bulan bernilai RM1 juta.

 Berbeza saya membaca kisah Daim Zainuddin yang terpaksa meletakkan sasaran menjadi jutawan sebelum usia 34 tahun ketika masih belajar di London. Pada ketika itu, peluang ekonomi untuk masyarakat melayu sebelum DEB dilaksanakan adalah amat terbatas sekali. Tambahan pula dengan kemudahan internet atau laman-laman sosial masih belum ada lagi ketika itu.

 Berbanding dengan hari ini, kemudahan media-media sosial pada hari ini membolehkan seorang itu boleh sahaja iklan dari rumah untuk ditunjukkan kepada ratusan ribu orang lain di luar sana.

 Saya tertarik dengan buku ialah kita perlu mengemaskini status sosial kita dari semasa ke semasa. Kita tidak boleh kata malas untuk mengemaskini status sosial kita setiap hari jika ingin bergelar usahawan.

Tip yang dikongsikan oleh Dato’ Aliff ialah bagi permulaan ingin bergiat dalam laman sosial ialah mengemaskini 3 kali status pada setiap hari. Yakni waktu pagi, tengah hari, dan malam. Selepas 6 minggu, laman sosial ini perlu dikemaskini sebanyak 5 kali sehari.

 Ini adalah penting untuk membina produk kita di dalam minda orang lain. Konsepnya sama sahaja seperti iklan di televisyen. Sekiranya kita sentiasa melihat sesuatu iklan yang sering dimainkan dalam televisyen, dengan mudahnya kita akan mengingat produk tersebut dan ingin mencubanya bukan?

Jika dahulu ketika saya menghadiri bengkel yang diusahakan oleh Shamsuddin Kadir, beliau menyatakan bahawa keunikan penting dalam menjalankan bisnes supaya orang ramai tertarik dengan produk atau perkhidmatan kita. Begitu juga tip yang dikongsikan dengan Dato’ Aliff bahawa kita perlu mempunyai keunikan dalam menjalankan bisnes. Yang kadang-kadang jarang didengar dan boleh menarik perhatian orang. Inilah kunci utama untuk menarik perhatian orang untuk membeli.

Kita  juga perlu menangguhkan keinginan kita untuk untuk hidup mewah. Setidak-tidaknya kita hanya perlu menggunakan 30 peratus sahaja daripada keseluruhan harta kita jika ingin hidup mewah. Jika 30 peratus sahaja kita perlu gunakan daripada keseluruhan harta kita, berapakah agak-agaknya duit Dato’ Aliff apabila dia sedang membina rumah berharga RM30 juta sekarang?

Keistimewaan buku ini juga kadang-kadang mengaitkan teori dengan realiti sebenar. Tetapi teori-teori ini sebenarnya agak membosankan. Tidak ubah seperti dengan buku-buku teks bisnes di universiti.

Jika kita melihat Dato’ Aliff seperti lembut orang bahkan pernah diludah orang ketika beliau menjual barang-barang komestik orang lain pada mulanya di pejabat-pejabat, tetapi sebenarnya beliau mempunyai hati yang keras seperti batu. Jika tidak, masakan beliau boleh menjadi jutawan pada usia masih terlalu muda?

Wallhua’lam.


http://wankamarul701.blogspot.my 

Sunday, January 8, 2017

Malayonesia


Buku Dr. Mat Rofa Ismail yang bertajuk ‘Malayonesia: Kerdipan Bintang Melayu di Langit Melayu’ sebenarnya memperihalkan mengenai sejarah alam melayu atau nusantara. Buku ini sebenarnya adalah sambungan daripada buku beliau sebelum ini yang bertajuk ‘Kerdipan Bintang Melayu di Langit Turki’ yang mencetuskan kontroversi di tanah air kerana beliau menggunakan sumber primer hasil kajian beliau sendiri untuk menyanggah sejarah rasmi negara kita.

Buku ini adalah mengupas mengenai sejarah nusantara. ‘Malayonesia’ adalah merujuk kepada gugusan kepulauan melayu seperti Malaysia, Indonesia, Thailand, Filipina, dan sebagainya mengikut geografi moden pada hari ini.

Dr. Mat Rofa mengupas tulisan yang ditulis oleh Salih Affandi Jaudat yang bertajuk Ummat al-Malayu di mana buku ini telah diterbitkan pada tahun 1901. Buku ini sebenarnya ingin menceritakan mengenai masyarakat Islam yang tinggal di Timur jauh. Salih Affandi Jaudat sebenarnya merupakan kawan kepada anakanda Sultan Kedah yang belajar di Mesir ketika itu yang bernama Tunku Mansor ibn al-Marhum Sultan Abdul Hamid Halim Shah (1889-1932). Selain itu, Dr. Mat Rofa juga membedah buku yang ditulis oleh Alfred Rusell Wallace yang bertajuk The Malay Archipelago : The Lang of the Orang-Utan and the Bird of Paradise serta Tarikh Fathani yang ditulis oleh Syeikh Faqih Ali.

Antara kandungan menarik buku ini ialah :

a. Nama negara kita Malaysia pada hari ini telah digunakan pada tahun 1937 walhal negara Malaysia ditubuhkan pada tahun 1963. Malaysia yang dirujuk oleh Ruppert Emerson dalam bukunya bertajuk Malaysia: A Study in Direct and Indirect Rule yag ditulis pada tahun 1937 adalah merujuk kepada gugusan kepulauan melayu atau nusantara.

b. Jika hari ini Amerika Syarikat menguasai dunia, maka Belanda telah menguasai dunia pada kurun ke-16 dan 17. Apa yang lebih hebat lagi ialah Belanda telah dapat menguasai geografi kepulauan melayu iaitu 40 kali ganda lebih besar daripada geografinya sendiri!

c. Gunung Ledang di Tanah Melayu juga merujuk kepada Mount Ophir yang ditulis di dalam kitab Bible.

d. Wallace telah melakukan kajian geografi di Alam Melayu dari tahun 1854 sehingga 1862 lalu pulang ke England selepas itu. Dalam kajian beliau mengenai tabii alam melayu, beliau telah berjaya mengumpul 125,600 spesimen termasuk 310 haiwan mamalia, 100 reptilia, 8,050 burung dan unggas, 7,500 kulit kerang, 13,100 lepidoptera, dan 13,400 jenis serangga.

e. Jika fahaman Orientalisme merupakan fahaman pandangan Barat terhadap Timur, maka fahaman Timur terhadap Barat dikenali sebagai Oksidentalisme.

f. Teori Darwin yang menyatakan bahawa manusia ini berasal daripada beruk sebenarnya adalah mencuri teori yang telah diperkenalkan oleh Wallace.

Sekadar ini sahaja dahulu saya menulis poin-poin penting mengenai buku ini. Anda boleh mendapatkannya di pasaran untuk mengetahui lebih lanjut mengenai buku ini. Saya mengambil masa 2 bulan untuk memahami betul-betul dan menghabiskan pembacaan buku ini. Jika anda lebih cepat menghabiskan pembacaan buku ini dari saya, sudah tentu anda lebih laju daripada saya.
 
Wallhua’lam.

http://wankamarul701.blogspot.my