Zaman universiti memang penuh dengan pelbagai kenangan. Ada yang datang
untuk belajar, ada yang datang untuk mencari pengalaman hidup, dan ada juga
yang mula mengenali perasaan cinta. Kadang-kadang, hanya kerana seseorang itu
selalu tersenyum kepada kita di kampus, kita mula menyimpan harapan yang
tinggi. Namun, realitinya tidak semua perasaan akan dibalas seperti yang kita
impikan.
Ada ketika kita terlalu bersungguh
menghantar WhatsApp setiap hari, bertanya khabar, memberi perhatian dan cuba
mengambil hati seseorang. Namun, mesej hanya dibaca tanpa balasan atau dibalas
sekadar sepatah dua. Situasi ini memang boleh membuatkan hati terasa kecewa,
lebih-lebih lagi apabila kita benar-benar menaruh harapan. Tetapi kita perlu
belajar bahawa tidak semua orang mempunyai perasaan yang sama terhadap kita.
Kadang-kadang seseorang itu kelihatan
mesra apabila berjumpa. Dia senyum, tegur, dan bercakap dengan baik. Namun, itu
tidak semestinya tanda dia menyukai kita. Ada orang memang bersifat ramah
dengan semua orang. Kesilapan ramai lelaki atau perempuan di universiti ialah
terlalu cepat membuat andaian hanya kerana layanan yang baik.
Apabila cinta ditolak, jangan terus
merasakan diri tidak berguna. Penolakan bukan bermaksud kita ini buruk atau
tidak layak dicintai. Mungkin dia sudah mempunyai pilihan sendiri, mungkin dia
belum bersedia untuk bercinta, atau mungkin sekadar tiada keserasian. Dalam
kehidupan ini, kita tidak boleh memaksa hati orang lain untuk menerima kita.
Apa yang penting ialah belajar menjaga
maruah diri. Jika mesej tidak dibalas berkali-kali, jangan terlalu mengejar
sehingga hilang harga diri sendiri. Tidak perlu merayu-rayu cinta daripada
seseorang yang tidak menghargai kehadiran kita. Kadang-kadang langkah terbaik
ialah “cabut” secara perlahan dan meneruskan kehidupan seperti biasa.
Jangan terlalu lama bersedih kerana bunga
bukan sekuntum. Dunia ini luas dan manusia juga ramai. Hari ini mungkin kita
kecewa dengan seseorang, tetapi siapa tahu pada masa akan datang kita akan
bertemu insan yang jauh lebih baik dan lebih menghargai diri kita. Hidup tidak
berhenti hanya kerana satu penolakan cinta.
Di universiti, fokus utama sebenarnya
ialah membina masa depan. Ramai yang akhirnya menyesal kerana terlalu hanyut
mengejar cinta sehingga pelajaran terganggu. Ada yang sanggup habiskan duit
belanja semata-mata mahu memikat seseorang, sedangkan keputusan peperiksaan
mula merosot sedikit demi sedikit. Jangan sampai emosi cinta merosakkan masa
depan sendiri.
Penolakan cinta juga sebenarnya boleh
mematangkan seseorang. Kita belajar mengawal emosi, belajar menerima kenyataan,
dan belajar bahawa hidup ini bukan semuanya mengikut kehendak hati kita.
Pengalaman kecewa ketika muda kadang-kadang menjadikan seseorang lebih kuat
menghadapi kehidupan selepas alam universiti.
Kadang-kadang selepas beberapa tahun
berlalu, kita sendiri akan ketawa mengenangkan kisah lama di universiti. Orang
yang dahulu kita terlalu kejar mungkin akhirnya hanya menjadi kenangan biasa.
Sebab itu jangan terlalu tenggelam dalam kesedihan hanya kerana cinta tidak
menjadi. Masa akan mengubah banyak perkara.
Akhir sekali, jika cinta ditolak, terimalah dengan tenang dan matang. Tidak
perlu membenci, tidak perlu memalukan orang lain, dan tidak perlu merendahkan
diri sendiri. Teruskan hidup, perbaiki diri, fokus kepada masa depan dan
percaya bahawa setiap manusia ada jodohnya masing-masing. Kadang-kadang, orang
yang tidak memilih kita sebenarnya sedang membuka jalan untuk kita bertemu
seseorang yang lebih baik.
Wallhua’lam.
https://wankamarul701.blogspot.com

No comments:
Post a Comment