Sunday, January 29, 2017

Dulu RM100 Sebulan dalam ASB, Sekarang Beratus Rumah Sewa


Kisah ini saya petik daripada buku Dato’ Aliff Syukri yang bertajuk Buku Duit Strategi Ajaib. Menarik juga kisah ini untuk kita hayati bersama.

“Saya mengenali seorang pembekal yang berjaya dalam perniagaannya. Kewangannya kukuh dan beliau adalah usahawan yang bergelar jutawan. Saya mengenalinya dari awal perniagaan malah dia merupakan salah seorang mentor dalam perniagaan saya.

Saya mempelajari dan memerhatikan bagaimana beliau membuat pelaburan hasil daripada perniagaan. Pernah saya bertanya kepadanya, bila dan berapakah pelaburan yang saya perlu buat setiap bulan?

Beliau memberitahu saya bahawa sesiapa sahaja layak membuat pelaburan. Tak kiralah sama ada anda usahawan atau tidak. Pelaburan bukan tertakluk kepada berapa banyak anda melabur tetapi disiplin dan perlu mengikut kemampuan.

Menurutnya, tabiat melabur yang ada padanya telah dipupuk sejak tahun pertama dia bergelar seorang guru. Waktu itu dia masih makan gaji dan jumlah gaji yang dibawa pulang pada hujung bulan tidaklah banyak tetapi tabiat menyimpan dan melabur telah disemai sejak awal lagi.

Berdikit-dikit beliau menyimpan sebahagian wang gajinya bermula dengan RM100 sebulan sebagai simpanan dan pelaburan ASB. Berkat kesabaran beliau meningkatkan pelaburan yang ada dari masa ke semasa selaras dengan kenaikan tangga gajinya dan mula menyimpan dari hasil jualan kecil-kecilan yang dilakukan selepas waktu bekerja.

Apabila sampai masa, beliau mengeluarkan simpanan tadi, bukanlah keseluruhan tetapi sebahagian daripadanya dan beliau melaburkan dalam stok barangan perniagaan. Ini kerana beliau yakin dapat melipat-gandakan wangnya dengan meningkatkan stok barangan yang dibeli.

“Kalau dilihat dari pendapatan bekerja dan berniaga secara sambilan saya memang boleh pakai kereta lebih selesa sepertimana guru-guru lain, tetapi pada ketika itu saya hanya mempunyai sebuah motor buruk yang membolehkan saya ulang-alik kerja.”

“Nak berduit dan berharta kenalah sabar, kena menyimpan dan melabur dengan baik. Duit bukan senang nak dapat.”

Sambung beliau lagi.

Hari ini tidak hairanlah jika saya lihat beliau hidup cukup senang dengan beratus rumah sewa, kilang dan perusahaan yang berjalan dengan lancar dan baik.”

Wallhua’lam.

http://wankamarul701.blogspot.my

1 comment:

Hafiz M aka Jebat Jr said...

Saya akan pastikan anak-anak saya celik kewangan sebaik mereka tahu erti tanggungjawab kepada diri sendiri.