Sunday, July 2, 2017

Politik Cara Muawiyah dan Realiti Politik Malaysia


Dalam sejarah politik pemerintahan Islam, berlakunya perubahan bentuk pemilihan Ketua Agama Islam daripada pemilihan secara syura kepada bentuk pemilihan secara monarki.

Perkara ini berlaku ketika pemerintahan Muawiyah bin Abu Sufyan setelah kematian Ali bin Abi Talib. Tidak kurang daripada itu, Muawiyah berjaya meletakkan sistem pewarisan takhta Ketua Agama Islam ini kepada keturunannya melalui kerajaan apa yang dikenali sebagai Kerajaan Bani Umaiyah yang bertahan selama lebih kurang 600 tahun.

Muawiyah seorang ahli politik yang bijak dan pandai mengambil peluang daripada suasana politik yang sedang berlaku. Beliau memahami situasi politik umat Islam ketika pemerintahan Usman dan Ali bin Abi Talib di Madinah di mana ketika ini kekacauan sedang berlaku ketika pemerintahan kedua-dua sahabat nabi ini. Ketika kekacauan sedang mula berlaku ini, beliau mula mempengaruhi orang ramai supaya mengikutinya.

Muawiyah mula naik menjadi Khalifah Islam setelah berakhirnya Perang Siffin.

Keunikan cara politik Muawiyah Abu Sufyan ialah beliau tidak segan silu untuk menabur wang kepada orang ramai supaya menyokongnya. Tambahan pula keturunan Muawiyah ini adalah keturunan saudagar arab yang kaya-raya. Oleh itu, beliau tidak segan-silu memohon jawatan khalifah ketika sahabat-sahabat nabi yang lebih layak untuk menjawat jawatan ini seperti Ali Abi Talib yang masih hidup, Abdullah bin Abbas, Abdullah bin Umar dan lain-lain.

Pengikut-pengikut Muawiyah pula tidak kurang hebatnya dalam bersiasah. Antaranya ialah Amru bin al-Ash, Abdullah bin Suraih, Dhahhak bin Qais dan lain-lain lagi sanggup menggunakan apa sahaja cara untuk mencapai maksud tujuan politik mereka.

Selain itu, Muawiyah juga mengangkat Ziyad Abu Sufyan yang merupakan anak luar nikah ayahnya sendiri sebelum memeluk agama Islam menjadi pembantunya sehinggakan Ziyad menjadi ahli politik yang terkenal.

Berlainan dengan Saidina Ali Abi Talib yang amat berhati-hati dengan penggunaan wang sehinggakan teman-teman rapat dengannya sekali pun melarikan diri daripadanya. Muawiyah pula sentiasa menabur wang supaya orang mengikutinya.

Saidina Ali terlalu keras dalam membuat sesuatu keputusan sehinggakan pengikut-pengikutnya yang tidak bersetuju dengannya bangkit memberontak menentangnya sendiri bahkan kadang-kadang Saidina Ali terpaksa mengikutnya pula lantaran mereka memberontak.

Berlainan pula dengan cara Muawiyah Abu Sufyan untuk menanangani dan berdepan dengan masalah yang timbul oleh orang-orang yang boleh mencabarnya. Apa yang dilakukan oleh beliau ialah menabur duit dengan sebanyak-banyaknya bahkan sanggup memberi negeri kepada sesiapa yang boleh mencabarnya kelak!

Pendekatan ini tidak digunakan oleh Saidina Ali Abi Talib dengan menggunakan harta umat Islam semata-mata untuk mengukuhkan kekuasaannya.

Sebenarnya, apa yang dilakukan oleh pemimpin politik Malaysia pada hari ini ialah menabur duit kepada pengikut-pengikutnya supaya mereka tidak ditentang untuk terus berkuasa walhal sehingga terpaksa menggunakan harta rakyat sekali pun. Pendekatan ini sebenarnya yang meranapkan sistem pemerintahan politik Malaysia sehinggakan rakyat terpaksa membayar harga yang tinggi dengan kenaikan kos dari semasa ke semasa lantaran pemimpin mereka sendiri merompak harta mereka untuk terus berkuasa.

http://wankamarul701.blogspot.my

Thursday, June 8, 2017

Peperangan Terakhir Uthmaniyah : Runtuhnya Sebuah Institusi dan Tinggalannya di Alam Melayu



Buku terbaru dari saya yang bertajuk 'Peperangan Terakhir Uthmaniyah: Runtuhnya Sebuah Institusi & Tinggalannya di Alam Melayu' kini telah diterbitkan. Buku ini adalah berkisar mengenai detik-detik kejatuhan Khilafah Uthmaniyah dan pasca kejatuhannya ketika Turki di bawah pentadbiran Ataturk.
 
Jika anda berminat untuk membeli dan memiliki buku ini, sila hubungi saya melalui e-mail (wan_kamarul@usa.com). Tempahan dibuka sekarang.

https://wankamarul701.blogspot.my

Wednesday, May 17, 2017

The Real Abang Long Fadhil : Pahit Sekarang, Manis Kemudian



Secara keseluruhannya, buku ini boleh dikatakan tidak menceritakan terus dari hati dari seorang manusia yang bernama Abang Long Fadhil. Mungkin agak hambar apabila membaca buku ini.

Saya pun tertarik membeli dan membaca buku ini kerana gambar kulitnya seorang yang berkopiah yang mempunyai tatu di mukanya. Dari minda kita sudah tentu kita menjustifikasikan buku ini menceritakan pengalaman seorang yang jahat berubah menjadi baik.

Ia tidak menceritakan sepertimana buku Rosyam Nor yang bertajuk Impian Jutawan Budak Setinggan yang bercerita secara terus terang dari hati seorang artis yang terkenal yang telah melalui pahit-getir tinggal di rumah setinggan sehingga menjadi artis yang popular di tanah air.

Penceritaan buku ini adalah secara simple-simple sahaja dan diperbanyakkan dengan gambar-gambar manakala tulisannya adalah begitu sedikit sahaja.

Tidak lebih seorang Abang Long Fadhil yang pernah minum arak, makan babi, pukul orang dan sebagainya. Detik-detik perubahannya apabila beliau mengikut jemaah tabligh sehingga ke Palembang. Di Palembang beliau cuba mengejar motor yang berjaya memintasnya yang bergerak secara beramai-ramai. Setelah itu, beliau sesat. Sejak itu beliau mula belajar untuk berserah kepada Allah s.w.t.

Pendek kata, anda boleh untuk membeli dan membaca buku ini sekadar untuk bersantai-santai kerana harganya pun cuma RM15.00.

http://wankamarul701.blogspot.my

Mutiara Kata




“Ketika saya di Inggeris, saya berjudi secara besar-besaran dan kalah. Itulah sebabnya saya gagal dalam ujian ketika saya dibiarkan sendiri ke London untuk melanjutkan studi saya. Pada saat saya seharusnya menghadiri ceramah undang-undang, saya mendatangi lumba kuda itu dan ketika saya kembali ke Malaya saya menyambungnya dengan perlumbaan kuda dengan sedikit perbezaan. Saya hanya mengikuti untuk bersantai dan menghibur diri dan bukan mudah untuk berjudi secara besar-besaran atau ingin kaya secara mudah.”

Tunku Abdul Rahman

Sunday, April 23, 2017

Harta Intelek dalam Penulisan Buku


Setiap buku sebenarnya mempunyai harta inteleknya sendiri. Namun begitu, dari sudut bisnes buku, buku yang menghasilkan banyak royalti sebenarnya dikatakan mempunyai harta intelek yang tinggi.

Kita sudah tentu biasa mendengar bayi yang baru lahir sebenarnya ibarat kain putih. Yang mencorakkannya ialah ibu bapa mereka. Baik atau tidak sebenarnya bayi tersebut apabila besar nanti sebenarnya dicorakkan oleh ibu bapa yang membesarkannya.

Begitulah dengan buku yang dihasilkan. Sebenarnya, semua buku dihasilkan oleh kertas-kertas putih yang masih suci bersih. Masih tidak diconteng atau tidak terconteng dengan apa-apa pun. Yang mencorakkannya ialah penulis-penulis buku itu sendiri.

Membina harta intelek sebenarnya boleh didapati dengan dua cara utama iaitu melalui sumber rujukan ataupun pengalaman peribadi. Ini menurut pemerhatian saya jenis-jenis buku yang berada di pasaran.

Sumber-sumber rujukan pula mestilah ditulis dengan bilangan jumlah yang banyak. Lagi banyak, lagi bagus. Ada buku kewangan yang ditulis dengan jumlah buku rujukan sebanyak 800 buah rujukan. Hebat bukan? Jika saudara ingin menulis buku, saudara perlu mempunyai bahan bacaan yang banyak. Bukan sekadar berbelas-belas buku rujukan sahaja apabila pembaca saudara melihat di bahagian bibliografi.

Kalau sekadar berbelas-belas buku rujukan sahaja, kemungkinan buku saudara itu tidak akan menjadi evergreen. Ini adalah level sekolah menengah sahaja. Orang yang membaca buku saudara pun tidak berminat untuk mempromosikan buku-buku saudara kepada kenalan mereka.

Pengalaman saya sendiri, apabila membaca buku dari luar negara mengenai genre sejarah, ada buku-buku ini yang telah diterbitkan pada tahun 1990-an. Apa yang lebih hebat bagi saya mengenai buku ini, bagaimana buku ini masih boleh bertahan sehingga hari ini bahkan sudah mencecah berbelas-belas tahun di pasaran? Tidak lain dan tidak bukan ialah kerana buku ini ditulis dengan sumber rujukan yang amat banyak sekali.

Sumber-sumber rujukan yang banyak lagi berkualiti kadang-kadang tiada dalam google. Bagi saya, inilah yang membezakan buku biasa dengan buku luar biasa. Apabila buku anda adalah merupakan buku biasa, kadang-kadang pembaca akan cuba untuk mengesan fakta yang saudara kemukakan dalam buku saudara sama ada ia sudah berada dalam internet ataupun tidak. Bagi saya apabila fakta yang saudara kemukakan sudah berada dalam internet, buku saudara itu adalah buku biasa-biasa sahaja.

Namun begitu, ini bukan bermakna kita perlu menolak penggunaan fakta dalam internet 100 peratus. Peratus penggunaan bahan internet yang dibenarkan dalam penulisan akademik ialah sebanyak 30 peratus.

Ini adalah yang cuba saya usahakan untuk penulisan buku pada masa sekarang dan masa akan datang dengan mengetengahkan fakta-fakta dalam penulisan buku yang belum berada dalam internet.

Begitu juga buku yang ditulis berdasarkan pengalaman peribadi, sudah tentu pengalaman ini tidak pernah diceritakan oleh sesiapa dalam google ataupun internet. Buku yang berkaitan dengan pengalaman ialah kebiasaannya adalah mengenai bisnes ataupun genre agama.

Dengan mengembara juga, kita boleh memuatkan gambar-gambar sepanjang pengembaraan kita dalam penulisan buku. Ini sudah tentu menghasilkan sesuatu yang menarik dalam bahan bacaan buku kita.

Saya biasa terdengar bahawa untuk menulis buku, sebenarnya seseorang penulis perlu menghasilkan atau menerbitkan buku 2 kali setahun. Terdetik juga di hati saya, jika kita menerbitkan buku 2 kali setahun, apa sebenarnya yang ditulis oleh penulis-penulis ini? Mungkin buku-buku ini kurang daripada 100 mukasurat ataupun bertaraf kanak-kanak Ribena sahaja. Nak evergreen di pasaran pun saya berasa sukar jika dihasilkan dengan begitu mudah sekali buku-buku seperti ini.

Bagi saya menghasilkan buku 2 tahun sekali merupakan sesuatu yang ideal bagi menghasilkan penulisan yang berkualiti. Kita perlu mengambil masa yang lama untuk memahami bahan bacaan yang banyak, mengolah semula fakta  dan kemudian ditulis semula dalam gaya bahasa kita sendiri.

Dengan kata lain, kita perlu mempunyai cara atau gaya tersendiri untuk menghasilkan suatu bacaan yang baik dan menarik kepada pembaca-pembaca di luar sana. Apa yang penting ialah kita perlu menghasilkan sesuatu yang buku yang evergreen yakni buku yang boleh bertahan lama di pasaran hatta selepas kita tiada di dunia sekalipun.

Subhanallah! Alhamdulillah! Allahuakbar!

http://wankamarul701.blogspot.my

Thursday, April 13, 2017

Jenis Judi yang Diizinkan oleh Kementerian Kewangan dari tahun 1980 hingga 1992


1. Izin judi Empat Nombor Ekor, terdapat di tiap-tiap negeri (kecuali Kelantan) mulai 1 Januari 1991.

2. Izin judi Sports Toto (kecuali Kelantan), mulai 1 Januari 1991.

3. Loteri Pelayanan Masyarakat dan Kebajikan – ditutup pada tahun 1990.

4. Izin judi Nombor Ramalan 3D, 1+3D dan loteri Sweepstakes, yang beroperasi di Semenanjung sahaja, mulai tahun 1989.

5. Izin pengendalian mesin slot kepada kelab-kelab syarikat dan kelab-kelab persatuan di Sabah, Kedah, Pulau Pinang, Perak, Selangor, Negeri Sembilan, dan Melaka sahaja.

6. Izin kasino di Genting Highlands.

7. Izin judi Nombor Ramalam 4D, 3D, dan Loto di Sabah.

8. Izin judi Nombor Kuda, yang dijalankan hanya di Kelab Lumba Kuda Pulau Pinang, Perak, dan Selangor.

Al-Quran sudah terang-terangan menyatakan haramnya judi. Tetapi, kerajaan kita menjadikan judi ini sebagai sebahagian pendapatan utama negara.

Pendapatan ini pula digunakan untuk membayar gaji pekerja-pekerja perkhidmatan awam. Bagaimana kita ingin menjadikan masyarakat dan negara kita diredhai Allah s.w.t. kerana kerajaan menjadikan benda-benda haram ini sebagai pendapatan rakyat?

Wallhua’lam.

http://wankamarul701.blogspot.my

Sunday, April 2, 2017

Ciri-ciri Seorang Penulis Hebat


Adakah anda ingin mahu menjadi seorang penulis? Jika anda mempunyai ciri-ciri ini, anda boleh melangkah jauh dalam bidang penulisan :

Suka Bahasa Berbunga

Bahasa berbunga bermaksud anda boleh menyampaikan sesuatu dengan cara anda sendiri. Contohnya, jika anda seorang penulis resensi buku, anda perlu pandai mengolah fakta untuk menyampaikan fakta buku tersebut kepada orang ramai. Anda tidak boleh menggunakan cara penulisan yang sama bagi semua buku dalam penulisan resensi anda.

Minat Membaca

Ini merupakan salah satu faktor sampingan sahaja. Dengan membaca datangnya ilmu, maka sudah tentu anda boleh menulis. Namun, tidak dinafikan bahawa ramai orang yang suka membaca tetapi masih juga tidak pandai menulis.

Kritis dan Kreatif

Kritis dan kreatif perlu bergerak seiringan dalam bidang penulisan. Dalam penulisan, anda perlu kreatif dalam menyampaikan fakta dan hujah anda. Dalam kerja-kerja suntingan, anda perlu kritis terhadap hasil kerja anda untuk menghasilkan sesuatu yang lain dari yang lain.

Banyak Termenung

Banyak termenung bukanlah bermaksud anda suka berkhayal. Banyak termenung di sini bermaksud anda bermenung untuk menghasilkan sesuatu. Jika orang lain melihat tasik sekadar untuk berseronok, anda pula termenung kerana berfikir.

Gemar menyendiri

Boleh dikatakan anda dikatakan sebagai seorang kera sumbang kerana tidak suka bergaul dengan orang lain. Anda perlu menyendiri bagi menghasilkan sesuatu tulisan yang segar dan tenaga dalam menyampaikan sesuatu fakta atau hujah kepada orang ramai.

Menjadi Pengkritik Tegar

Dalam banyak-banyak perkara, mengkritik isu politik adalah satu perkara yang saya minat. Anda harus menjadi pengkritik untuk menjadi seorang penulis yang hebat. Dengan menjadi pengkritik, anda sebenarnya peka sesuatu kelemahan bagi sesuatu isu yang terjadi.

Suka Berimiginasi

Suka berimiginasi sebenarnya baik dalam menghasilkan sesuatu penulisan yang mantap. Ini kerana daya imiginasi bagi seseorang adalah berbeza antara satu sama lain. Dengan memasukkan imiginasi anda contohnya dalam penulisan kreatif, ia sebenarnya menghasilkan sesuatu penulisan yang lain dari yang lain.

Fikiran Anda dari yang Lain

Anda dapat menghasilkan sesuatu idea yang hebat daripada orang lain. Dengan ini, penulisan anda secara automatiknya luar biasa.

Next

Dalam penulisan kreatif, anda boleh menghasilkan sesuatu yang tidak terjangkau oleh orang lain bagi babak-babak yang seterusnya. Ini membuatkan buku yang anda hasilkan lain daripada yang lain.

Wallhua’lam.

http://wankamarul701.blogspot.my