SUBANG JAYA – Kira-kira 400 pelabur berputih mata selepas
terpedaya dengan sindiket pelaburan mata wang asing (Forex) ditawarkan sebuah
syarikat mencecah kerugian sebanyak RM100 juta.
Sindiket tersebut dikesan menawarkan pulangan 2.5 peratus
setiap bulan kepada mangsa bagi setiap wang pelaburan yang didepositkan
terhadap syarikat yang berpangkalan di luar negara itu.
Seorang wakil mangsa pelaburan yang ingin dikenali
sebagai Lee, 32, berkata, dia menyertai pelaburan tersebut hasil pujukan
rakannya pada tahun 2016.
“Melihat pulangan yang konsisten, seterusnya saya bawa
keluarga untuk mengikuti melabur di dalam skim pelaburan ini sehingga tahun
2022.
“Awal tahun 2023 mula tak dapat duit, mereka mula beri
pelbagai alasan untuk berikan pulangan pelaburan, kerugian saya alami cecah RM1
juta,” katanya pada sidang akhbar di One City, di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Lee memaklumkan pelbagai alasan
diberikan termasuk memerlukan masa memindahkan akaun pelaburan mereka di
Indonesia kepada sebuah ‘broker’ di Emiriah Arab Bersatu (UAE).
Sementara itu, Ethan, 32, mangsa pelaburan yang sama juga
berkata, aktiviti penipuan yang dilakukan sindiket tersebut terbongkar selepas
salah seorang dalangnya menghantar satu dokumen penting di kumpulan WhatsApp
yang salah.
“Maklumat ini kami peroleh dari salah seorang pekerja di
syarikat itu. Dokumen itu memaparkan peratusan pembahagian wang antara tiga
dalang utama yang mengoperasi sindiket penipuan ini hasil wang pelaburan yang
kami berikan,” katanya.
Sementara itu, Setiausaha Agung Pertubuhan Kemanusiaan
Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO), Datuk Hishamuddin Hashim berkata, skim
pelaburan itu tidak sah dari segi undang-undang kerana syarikat tersebut gagal
mematuhi undang-undang di negara ini.
“Syarikat ini terang-terangan tidak berdaftar dengan Bank
Negara Malaysia (BNM) untuk melakukan pelaburan. Pembayaran wang pelaburan juga
melalui dua bank ternama di negara ini sebelum ke syarikat di luar negara itu.
“Justeru itu, saya meminta pihak berkuasa menyiasat
perkara ini di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan sindiket ini didakwa di
mahkamah atas kesalahan mereka,” ujarnya. - KOSMO! ONLINE.
Ulasan:
Banyak skim-skim Pak Man Telo pada masa
sekarang yang berselindung di sebalik nama pelaburan. Semakin canggih kita
sekarang, semakin banyak taktik penipuan sekarang. Kes kerugian sebanyak RM100
juta yang melibatkan 400 orang pelabur baru-baru ini memang menggemparkan
negara. Kononnya, dengan memberi wang dengan sejumlah tertentu daripada berita
ini, maka seorang pelabur itu akan mendapat 2.5 peratus pada setiap bulan.
Maka, jika seseorang pelabur itu melaburkan (atau lebih tepat “Meleburkan”)
duitnya sebanyak RM1,000,000, maka dia akan mendapat pada RM25,000 setiap
bulan, banyak tu!!!
Akan tetapi, biasalah kalau skim pelaburan maka
generasi yang terawal sahaja yang akan mendapat dividen untuk mengaburi mata
orang ramai. Tetapi, mengikut kes ini hasil dividen pelaburan memang lama juga
iaitu dari tahun 2016 – 2022 dan bermula tahun 2023 dividen mula tidak boleh
diberi. Maknanya, ramai yang telah tertipu selama 6 tahun dengan skim pelaburan
ini apatah lagi melabur dengan duit mencecah jutaan ringgit. Bersabar
sahajalah. Menyesal tidak berguna lagi.
Sebenarnya, tiada istilah bagi duit kepada
orang dan terus mendapat keuntungan. Jika kita menjadi ahli tidur sekalipun
dengan memberi modal kepada orang lain, apakah mereka akan membayar hasil
keuntungan kepada kita sekiranya jika berlaku kes luar jangka atau apa-apa
risiko ke atas orang menjalankan modal kita di atas nama untuk menjalankan
perniagaan, pelaburan, dan sebagainya? Jika mereka tidak dapat mahu membayar
balik modal kita, mereka tidak akan membayar juga.
Begitu juga dengan pembunuhan Cikgu Istiqomah
yang dibunuh dipercayai ada kaitan dengan FOREX. Apakah pembunuhan ini disebabkan
suspek tidak mendapat pulangan keuntungan hasil daripada pelaburannya? Sukar
untuk dikatakan kerana kes ini masih dalam siasatan.
Jika kita ingin mendapat keuntungan ataupun
dividen tanpa membuat kerja, ada baiknya kita meletakkan duit kita dalam
skim-skim pelaburan yang dijamin oleh kerajaan seperti ASB dan Tabung Haji.
Jika kita meletakkan modal kita sebanyak RM1,000,000 di dalam Tabung Haji, maka
kita akan mendapat pulangan RM36,000 setahun ataupun RM3,000 sebulan. Untuk
mendapatkan duit RM1,000,000 sudah tentu kita perlu berusaha sendiri.
Ingat, tiada istilah memberi duit kepada orang
lain untuk mendapat keuntungan. Kita perlu berusaha sendiri. Tiada orang boleh
menjaga duit kita melainkan diri kita sendiri.
Wallhua’lam.
https://wankamarul701.blogspot.com
No comments:
Post a Comment