Sunday, September 4, 2022

Isu Memohon Hak Kewarganegaraan: Hormati Keluhuran Perlembagaan

Di samping isu-isu panas di mahkamah yang melibatkan golongan-golongan VVIP seperti Najib Abdul Razak, Rosmah Mansor, Bung Mokhtar Radin, dan sebagainya kita jangan lupa negara kita sekarang dihimpit isu untuk memohon hak kewarganegaraan. Jika kita tiada taraf warganegara, alamatnya kita tiada hak untuk memohon sesuatu seperti biasiswa, kemudahan kesihatan, kerja, dan sebagainya.

Isu hak kewarganegaraan muncul dalam iklim isu semasa tanah air pada kali ini apabila anak yang dilahirkan di luar negara di mana ibunya warganegara Malaysia manakala bapanya bukan warganegara Malaysia adalah tidak layak untuk memperolehi hak warganegara Malaysia secara automatik.

Pada 5 Ogos 2022 Mahkamah Rayuan Putrajaya memutuskan kanak-kanak yang dilahirkan di luar negara oleh ibu warganegara Malaysia yang berkahwin dengan warga asing tidak layak untuk mendapat kewarganegaraan secara automatik. Panel hakim terbabit turut memutuskan mana-mana anak plaintif yang telah mendapat kewarganegaraan selepas keputusan Mahkamah Tinggi sebelum ini perlu menunggu sehingga diputuskan oleh Mahkamah Persekutuan semula. Bagi permohonan-permohonan yang masih dalam proses, permohonan ini perlu dibekukan sehingga kes ini dimuktamadkan.

Banyak isu kewarganegaraan yang timbul kini seolah-olah golongan wanita didiskriminasikan untuk mendapatkan hak kewarganegaraan untuk anak mereka yang dilahirkan di luar negara dinafikan apabila suami mereka merupakan warga asing.

Contohnya, kisah dalam Utusan Malaysia yang menceritakan nasib Ummal Remiza Khaja Mohideen, 37 yang bekerja sebagai pramugari di Doha, Qatar mempertemukan beliau dengan warga asing sebagai suaminya. Beliau tidak dapat pulang untuk pulang ke tanah air untuk bersalin kerana ingin menjaga keselamatan anak kandungannya kerana jarak penerbangan yang amat jauh. Beliau terpaksa membuat permohonan untuk mendaftarkan anaknya di kedutaan dan perlu menunggu kelulusan Menteri Keselamatan Dalam Negeri.

Begitu juga dengan nasib Rachel Ng, 42 yang sudah 7 tahun menunggu proses untuk mendapatkan hak kewarganegaraan untuk anaknya kerana dia berkahwin dengan warga Ireland. Terdapat juga ibu-ibu warganegara Malaysia yang terpaksa melahirkan anak diluar negara akibat sekatan perjalanan ketika pandemik Covid-19. Mereka bagaikan dihukum kerana berkahwin dengan warga asing. Sejauh mana kebenarannya, hanya Tuhan sahaja yang tahu.

Undang-undang kewarganegaraan di Malaysia ini mengamalkan sistem patriarki. Patriarki adalah sebuah sistem di mana lelaki memegang tampuk kekuasan dan dominan dalam pentadbiran manakala wanita ialah orang bawahan. Sistem pemerintahan patriarki meletakkan lelaki sebagai jalur utama dalam mewarisi tampuk pemerintahan seperti sistem pemerintahan Korea Utara yang meletakkan anak lelaki pertama sebagai penguasa seterusnya setelah kematian pemerintah. Lelaki berkuasa bukan sahaja dari segi politik, tetapi juga moral, dan mempunyai hak keistimewaan dalam perundangan.

Berlainan pula dengan pemain bola Pahang yang berasal dari England iaitu Lee Tuck yang mendapat hak warganegara secara naturalisasi. Untuk rekod juga Malaysia sebelum ini sudah memiliki tiga pemain naturalisasi termasuk Mohamadou Sumareh, Liridon Krasniqi dan Guilherme De Paula yang pernah menyarung jersi Harimau Malaya. Berlainan pula dengan kes kanak-kanak yang terpaksa menunggu bertahun-tahun untuk mendapat status warganegara walhal ibu mereka sendiri merupakan warganegara Malaysia.

Pindaan undang-undang kewarganegeraan ini perlu dibuat bagi membela anak-anak yang tidak mendapat kerakyatan negara ini walhal ibu mereka merupakan rakyat tanah air ini. Pindaan ini memerlukan 2/3 majoriti parlimen dan juga perlu mendapat perkenan Majlis Raja-Raja.

Wallhua’lam.

https://wankamarul701.blogspot.com

No comments: