Thursday, August 12, 2021

Kategori Pelacur Cina di Pulau Pinang


Pulau Pinang merupakan antara negeri yang giat melakukan kegiatan aktiviti pelacuran ketika zaman penjajahan British di Tanah Melayu. Pelacur imigran Cina di Pulau Pinang terbahagi kepada tiga kumpulan yang berlainan iaitu sold atau ‘terjual’, pawned atau ‘tergadai’ dan ‘pelacur bebas’.

Pelacur terjual merupakan mangsa penyeludupan wanita dan kanak-kanak antarabangsa. Pelacur ini ditipu oleh sindiket di China lalu diseludup ke sini untuk melacur. Pelbagai cara dan alasan digunakan oleh sindiket pelacuran untuk mencapai tujuan mereka. Pelacur dalam kalangan jenis terjual adalah mereka yang berasal daripada keluarga yang terdesak. Mereka dijadikan anak angkat ibu ayam atau pemilik rumah pelacuran yang kebanyakannya terdiri daripada bekas pelacur. Mereka dijual sejak kecil lagi dan dikenali sebagai pi pa chai, iaitu kanak-kanak perempuan yang dibeli oleh ibu ayam untuk dilatih menyanyi, bermain alat muzik, mendeklemasi sajak di pusat-pusat hiburan sewaktu kecil. Mereka akan melakukan aktiviti pelacuran apabila dewasa.

Pelacur kategori kedua ialah pawned atau tergadai. Pelacur ini melacur untuk membayar hutang keluarga. Pelacur jenis ini mendapat separuh pendapatan daripada aktiviti pelacuran manakala separuh lagi dimiliki pemilik rumah pelacuran. Oleh sebab kebanyakan pelacur ini buta huruf dan tidak dapat menyemak akaun (pendapatan) mereka, maka separuh daripada wang pendapatan itu sering kali diambil oleh pemilik rumah pelacuran. Hutang pelacur sukar ditebus kerana pemilik rumah pelacuran sentiasa mencari alan menegah mereka daripada berhenti melacur, contohnya mengenakan kadar faedah yang tinggi bagi pinjaman, memujuk pelacur membeli hiasan barang kemas dan perabot yang mahal melalui pinjaman daripada pemilik rumah pelacuran. Pelacur ini perlu membayar wang perlindungan kepada ahli kongsi gelap yang berpengaruh.

Pelacur kategori ketiga ialah pelacur bebas. Pelacur ini melacur atas kerelaan diri. Pelacur kategori ini akan menandatagani perjanjian dengan pemilik rumah pelacuran untuk mendapatakan tempat, makanan dan kemudahan lain. Mereka perlu membayar wang perlindungan, iaitu bayaran wajib kepada kongsi gelap untuk menjamin keselamatan mereka. Keuntungan yang didapati akan dibahagikan sama rata dengan pemilik rumah pelacuran. 

Kebanyakan Ah Ku (gelaran kepada pelacur di Singapura) kelas ketiga merupakan merupakan bekas Ah Ku kelas pertama dan kedua. Oleh sebab umur semakin meningkat, bekas Ah Ku kelas pertama ini tidak lagi popular, maka taraf mereka semakin menurun. Walaupun kebanyakan pelacur kelas ketiga ini sudah berusia, namun mereka masih digemari buruh-buruh kasar kerana harga perkhidmatannya yang murah. Pelacur kategori ini semakin berkurangan pada awal tahun 1900 kerana diancam oleh ahli kongsi gelap apabila enggan membayar wang naungan kepda mereka. Kebanaykan pelacur imigran Cina terdiri daripada gadis atau wanita berbangsa Kantonis.

Sumber: Tan Geck Choon, Pelacur Imigran Cina di Pulau Pinang, 2013.

Tuesday, August 10, 2021

Final Keirin Olimpik 2020: Jangkaan Saya Tepat

 



Jason Kenny dari Great Britain yang Memenangi Pingat Emas Acara Keirin

Apabila saya menonton televisyen mengenai harapan Azizul Hasni Awang, seolah-olah beliau menyatakan bahawa pingat emas acara keirin Olimpik 2020 akan menjadi milik Malaysia di samping membaca komen-komen netizen di Youtube bahawa Azizul atau Jijoe akan memenangi pingat emas acara ini hati saya berasa gusar.

Ini kerana pelumba keirin dari Great Britain Jason Kenny memasuki pusingan akhir acara ini dan saya menjangkakan beliau akan memenangi perlumbaan keirin ini kerana beliau telah memenangi pingat emas dalam acara ini dalam temasya olimpik yang lepas di Brazil dan telahan saya tepat apabila dia memecut awal selepas pacer meninggalkan trek perlumbaan meninggalkan pelumba-pelumba lain.

Ramai yang menyalahkan pelumba dari Australia iaitu Matthew Glaetzer yang menyebabkan Jijoe tertinggal atau gap terlalu jauh dari Jason Kenny. Mungkin itu strategi dari pelumba dari Australia ini tetapi taktik ini hanya makan diri sahaja kerana dia tidak memperolehi sebarang pingat.

Walau bagaiamanapun, peluang masih ada untuk memenangi emas dalam acara ini dalam temasya olimpik akan datang di Paris pada tahun 2024 nanti. Syabas kepada pasukan pelumba trek negara yang bermati-matian berjuang untuk memperolehi pingat untuk negara.

Monday, August 9, 2021

Bagaimana Proses Kasi (Castration) Dijalankan?

Seorang Ketua Sida yang Menjaga Istana Uthmaniyah pada Zaman Sultan Abdul Hameed II.

Proses kasi atau castration merupakan proses memotong kemaluan dan testis seseorang lelaki. Walaupun amalan kasi ini ditegah oleh Islam kerana menzalimi diri seseorang, namun amalan ini tetap dijalankan ke atas sida-sida yang menjaga istana sultan suatu ketika dahulu di seluruh dunia termasuk di Istana Utthmaniyah itu sendiri. Kaedahnya adalah dengan cara memotong zakar dan testis seseorang lelaki dan selepas itu adalah proses menghentikan pendarahan dan mengawal kesan bengkak selepas pembedahan.

Mulanya, bahagian bawah perut dan pangkal paha dibalut dengan ketat untuk mengelak daripada berlakunya pendarahan yang teruk. Bahagian yang akan dibedah disiram dengan air lada yang panas sebanyak tiga kali dengan keadaan sida itu berada dalam keadaan berbaring.

Kemudian, bahagian zakar dan testis dipotong rapat ke ari-ari dengan menggunakan pisau berbentuk sabit. Seterusnya, sebatang injap akan dimasukkan ke dalam rongga pangkal zakar yang telah dipotong tadi. Seterusnya, bahagian yang luka akan dijirus dengan air lada yang sejuk untuk meredakan keadaan pesakit. Pesakit tidak dibenarkan minum selama tiga hari berturut-turut dan terpaksa menahan dahaga selain menahan kesakitan yang tidak terperi sepanjang tempoh ini.

Selepas tempoh ini, balutan dan injap yang dipasang ini dibuka yang menyebabkan air kencing keluar dengan banyaknya. Jika keadaan ini berlaku, ini bermakna seseorang sida itu telah selamat menjalani proses kasi. Jika air kencing tidak keluar, maka seseorang sida itu akan mati akibat gelembung air dalam badan.

Seseorang sida menanggung risiko kehilangan nyawa di mana proses ini bergantung ekpada kemahiran ‘knifer’ itu sendiri yang menjalankan pembedahan itu.

Sumber: Wan Kamarul Ariffin bin Wan Ahmad, Peperangan Terakhir Uthmaniyah: Runtuhnya Sebuah Institusi & Tinggalannya di Alam Melayu, 2017.

Saturday, August 7, 2021

Perang Itali - Turki 1911 - 1912

Angkatan Tentera Itali di Tripoli.

Ketika pemerintahan Khilafah Uthmaniyah sedang kewalahan dalam mempertahankan wilayah mereka di Anatolia Timur, mereka menghadapi krisis baru di Laut Tengah. Wilayah Benghazi dan Tripoli di Libya adalah wilayah kekuasaan Khilafah Uthmaniyah di Afrika Utara setelah pendudukan Perancis di Algeria (1830) dan Tunisia (1881). Itali yang merupakan sebuah negara baharu yang ditubuhkan pada tahun 1871 di bawah pemerintahan Raja Victor Emmanuel III berhasrat untuk menguasai Libya bagi memenuhi cita-cita kuasa imperialnya.

Itali tahu bahawa tiada kuasa Eropah yang akan menghalang cita-citanya untuk menguasai Afrika Utara dengan tindakan ketentetaan setelah membuat perjanjian dengan neutral dengan British dan Perancis sebelumnya. Itali melancarkan serangan ke atas Libya pada 29 September 1911 di kota-kota pesisiran pantai.

Manakala angkatan tentera Uthmaniyah yang menjaga Libya hanyalah 4,200 orang dan tiada sokongan angkatan tentera laut bagi menghadapi ketumbukan tentera Itali yang berjumlah lebih daripada 34,000 orang. Menteri Perang Uthmaniyah ketika itu mengakui kepada tentera-tentetanya bahawa Libya tidak lagi dapat dipertahankan. Pada minggu pertama Oktober 1911, kota-kota pesisiran pantai Uthmaniyah di Tripoli (Libya Barat) dan Benghazi (Libya Timur atau dikenali sebagai Cyrenaica) telah jatuh ke tangan Itali.

Pada waktu yang sama, kepimpinan Khilafah Uthmaniyah berbelah bahagi terhadap serangan yang dilancarkan oleh Itali. Wazir dan pemerintah Uthmaniyah merasakan bahawa Libya tidak lagi dapat dipertahankan dan usaha untuk melancarkan serangan balas  ke atas Itali adalah sia-sia sahaja. Manakalan Gerakan Turki Muda berpendapat mereka tidak boleh menerima kehilangan wilayah Uthmaniyah tanpa peperangan.

Pada awal Oktober 1911, Mejar Enver yang merupakan pemimpin Parti CUP bertolak ke Salonica untuk berbincang dengan Jawatankuasa Pusat CUP. Dalam pertemuan ini, beliau mengajak rakan-rakannya untuk melancarkan perang gerila ke atas Libya di Itali. Pasukan berkuda terdiri daripada orang-orang Arab dan penduduk Libya yang akan dipimpin oleh tentera Uthmaniyah untuk melancarkan serangan hendap ke atas tentera dan angkatan kecil Itali. Jika musuh terlalu kuat, pasukan ini akan menarik diri ke daerag terbuka dan terus menggangu musuh pada setiap masa.

Para pejuang gerila ini menggelarkan diri mereka sebagai fedai iaitu pejuang yang rela mengorbankan diri mereka untuk misi mereka. Walaupun mereka dianggap sebagai petualang kerana mengingkari arahan pemerintah untuk mempertahankan Libya, namun kerajaan Uthmaniyah menghantar bayaran bulanan kepada para pejuang di Libya ini.

Enver menumpukan usaha untuk melancarkan perang gerila di wilayah timur Benghazi. Angkatan tentera Itali menumpukan penempatannya di tiga kota pelabuhan Cyrenaica iaitu Benghazi, Derna, dan Tobruk. Tentangan keras oleh suku kaum Libya berjaya mencegah tentera Itali daripada bergerak keluar daripada kota-kota pantai itu ke pedalaman Libya.

Setelah memantau kedudukan tentera Itali, Enver mendirikan perkhemahannya di dataran tinggi yang menghadap pelabuhan Derna. 10,000 penduduk di sini membenci kehadiran tentera penjajah Itali yang seramai 15,000 orang di sini. Tentera Itali di sini menjadi sasaran utama Enver Pasha. Beliau mengumpul tentera Uthmaniyah, merekrut pejuang tempatan, dan pengikut Sanussi bagi menentang tentera Itali. Ketika ini, beliau menubuhkan badan perisikan Uthmaniyah yang pertama yang dikenali sebagai Teskilat-i Mahsusa (Organisasi Khas).

Banyak suku Arab di Libya yang bergabung dengan tentera Uthmaniyah. Mereka menghargai Gerakan Turki Muda yang sanggup turun ke Libya bagi membela penduduk di sini dan mempertaruhkan nyawa mereka untuk kemerdekaan dari kekuasaan asing. Walaupun mereka tidak mempunyai bahasa yang sama, ikatan Islam terbukti sangat kuat antara perwira Turki Muda berbahasa Turki dan suku Libya berbahasa Arab. Sepanjang berada di Libya, Enver Pasha memperoleh keyakinan besar kemampuan Khilafah Uthmaniyah menggunakan sentimen agama dalam melawan musuh-musuhnya sama ada di dalam negeri ataupun di luar negeri.

Antara bulan Oktober 1911 dan November 1912, para perwira Turki Muda dan suku Arab melakukan perang gerila yang sangat berjaya melawan pasukan tentera Itali. Walaupun mempunyai bilangan anggotan tentera yang ramai di samping dilengkapi dengan senjata moden, pasukan Itali tidak mampu untuk keluar dari benteng pertahanan mereka untuk menduduki daerah pedalaman Libya.




Tentera Itali yang terkorban sepanjang tempoh ini ialah seramai 3,400 orang dan 4,000 orang tercedera dalam tempoh satu tahun ini. Peperangan ini memakan duit perbendaharaan yang besar di pihak Itali manakala pemerintah Uthmaniyah menghabiskan sekitar 25,000 Lira Turki sebulan untuk membiayai kegiatan perang Enver dalam usaha mengepung Derna. Untuk tempoh jangka masa pendek, usaha Gerakan Turki Muda akan berhasil dan tentera Itali didesak untuk berundur.

Oleh kerana terus gagal untuk menduduki Libya, Itali menyerang wilayah Khilafah Uthmaniyah di tempat-tempat yang lain. Pendudukan Itali di Libya akan berhasil melalui perjanjian damai yang rasmi dengan Khilafah Uthmaniyah.

Untuk menekan Istanbul agar menuntut perdamaian, angkatan laut menyerang wilayah Uthmaniyah di Laut Tengah Timur. Musuh Islam ini mengebom pelabuhan Lubnan di Beirut pada Mac 1912 dan tenteta Itali menduduki Dodecanese (kepulauan laut di Aegean yang didominasi Rhode dan sekarang merupakan wilayah Greek) pada Mei tahun yang sama. Pada Julai 1912, angkatan laut Itali mengirim kapal torpedo ke Itali.

Akhirnya, pasukan Itali memainkan isu di Balkan. Greek, Yunani, Serbia, Montenegro, dan Bulgaria telah menandatangani perjanjian persekutuan untuk menentang bekas penguasa mereka, Khilafah Uthmaniyah. Setiap negara ini bercita-cita untuk menguasai wilayah Khilafah Uthmaniyah yang masih berbaki di Balkan iaitu Albania, Macedonia, dan Thrace. Putera Mahkota Itali memiliki hubungan penikahan dengan Raja Nicholas I dari Montenegro dan pemerintah Itali mendorong Montenegro untuk menyatakan perang terhadap Khilafah Uthmaniyah pada 8 Oktober 1912 manakala negara-negara Balkan yang lain masih belum mengikut jejak Montenegro untuk berperang.

Taktik Itali pada kali ini berjaya. Ancaman perang di Balkan menimbulkan konflik di Istanbul dan Libya. Dengan berusaha untuk mempertahankan wilayah terpencil seperti Tripoli dan Benghazi, pemerintah Uthmaniyah secara tidak langsung telah melemahkan penguasaannya di wilayah Balkan.

Sepuluh hari selepas Montenegro mengisytiharkan perang, Khilafah Uthmaniyah menandatangani perjanjian damai dengan Itali di mana mereka terpaksa melepaskan wilayah Libya kepada kekuasaan Itali. Para perwira fedai meskipun berasa malu untuk meninggalkan rakan-rakan Libya mereka. Para pejuang Libya kini terpaksa melanjutkan perang gerila tanpa bantuan daripada Khilafah Uthmaniyah. Para pejuang fedai ini terpaksa kembali ke Istanbul untuk bergabung dalam perjuangan nasional untuk mempertahankan kedaulatan negaranya untuk terlibat dalam peperangan yang dikenali sebagai Perang Balkan Pertama.

Sumber: Eugene Rogan, The Fall of The Khilafah: Perang Besar yang Meruntukan Khilafah Uthmaniyah dan Mengubah Selamanya Wajah Timur Tengah, 2015.