Proses menulis buku-buku atau bahan-bahan akademik memerlukan masa yang panjang dan ketekunan yang tinggi bagi menghasilkan buku yang berkualiti.
Menulis buku-buku akademik bukanlah seperti menulis buku fiksyen yang boleh dalam tempoh satu hingga enam bulan. Tiada rujukan apa-apa bahan melainkan khayalan bermain-main di minda. Dan hasilnya dijual dengan meletup-letup kebommm...
Berlainan dengan buku akademik, sudahlah ambil masa untuk menulisnya dan susah pula untuk membacanya kerana rata-rata rakyat Malaysia suka membaca bahan-bahan ringan. Teringat pensyarah saya ketika saya berada Universiti Malaya (UM) yang menceritakan jangan ceburi bidang akademik jika ingin menjadi kaya.
Tetapi, jangan kita lupa pesanan Nabi Muhammad s.a.w. iaitu dua perkara yang tidak akan apabila dituntut iaitu dunia dan ilmu.
Andrew Mango: Penulis Buku 'Ataturk: The Biography of the Founder of Modern Turkey'. |
Menulis buku sejarah umpamanya memang mengambil masa yang panjang. Andrew Mango umpamanya mengambil masa selama 5 tahun untuk menyiapkan buku ‘Ataturk: The Biography of the Founder of Modern Turkey’. Jika buku novel-novel atau fantasi biasa, sudah tentu boleh ditulis sebanyak 10 buah buku dalam tempoh yang sama.
Menulis buku-buku akademik ini sebenarnya ialah ibarat membuat roti canai. Apabila kita membuat roti canai, kita tidak boleh membuatnya dengan menggunakan api yang besar supaya ianya cepat masak. Apinya pula hendaklah sederhana sahaja dan tidak pula terlalu kecil supaya isinya masak dengan baik dan luarannya tidak pula hangus terbakar.
Begitu juga apabila kita menulis buku. Ia adalah sebuah proses yang perlahan-lahan tetapi perlu teliti dan penuh ketekunan. Proses menulis ini sebenarnya adalah proses yang memerlukan kesabaran, ketelitian, dan ketekunan. Ia adalah suatu proses yang tidak terlalu laju tidak terlalu perlahan.
Sedikit demi sedikit, patah demi patah perkataan, helaian demi helaian, bab demi bab, akhirnya sebuah manuksrip sesebuah buku itu dapat disiapkan dan diterbitkan untuk bacaan umum.
Wallhua’lam.
Wan Kamarul Ariffin bin Wan Ahmad (11/4/2021)
No comments:
Post a Comment