Sunday, April 4, 2021

Ilmu Sejarah Ilmu Tidak Berkembang?

Tun Dr. Mahathir (Tun M) pernah mengatakan bahawa, “Bidang Geografi dan Sejarah tidak berubah. Apa yang dicatatkan, yang kita belajar tidak berubah dari masa ke semasa kerana ianya tidak dinamik, tidak bergerak dengan kajian dan ilmu-ilmu baru.”

Sudah tentu kenyataan Tun Dr. Mahathir ini mungkin akan menimbulkan kemarahan orang-orang yang berlatarbelakangkan ilmu geografi dan sejarah kerana ilmu-ilmu ini menurut beliau secara tersiratnya menyatakan bahawa mereka tidak boleh bergerak atau maju ke hadapan.

Akan tetapi, apabila difikirkan semula ayat-ayar Tun M ini ada kebenarannya juga. Apabila saya menyambung pengajian di peringkat Ijazah Sarjana (Sejarah Malaysia) untuk membuat tesis, kita sebenarnya terpaksa bergantung kepada sumber-sumber primer khususnya yang terdapat di Arkib Negara sebagai contohnya.

Dan apabila sumber-sumber ini sudah digunakan dan telah terdapat para pengkaji telah menggunakannya, maka sumber ini tidak boleh lagi digunakan sebagai penemuan terbaru. Dengan kata lain, sumber ini sudah basi dan tidak boleh diguna pakai lagi.

Apabila kita ingin membuat penyelidikan dalam bidang sejarah, maka perkara utama sekali yang perlu dipertimbangkan ialah sumber-sumber primer bidang kajian kita dan barulah objektif kajian boleh ditentukan dalam penyelidikan atau research kita. Dengan kata lain, penyelidikan sejarah sebenarnya adalah amat bergantung kepada sumber primer ataupun yang lepas.

Berlainan sekali dengan bidang sains di mana kita perlu menentukan terlebih dahulu objektif kita. Kemudian, kita boleh tentukan hasil kajian kita selepas membuat eksperimen untuk menguji hipotesis kita. Contohnya, adakah A campur B akan menghasilkan keputusan C ataupun D selepas kita membuat ekperimen ataupun pengujian. Inilah yang dikatakan sebagai penemuan terbaru dalam bidang sains.

Pendek kata, ilmu sejarah ini boleh dikatakan tidak dinamik dan ianya boleh disifatkan dengan penemuan terbaru sekiranya terdapat sumber-sumber sejarah yang belum lagi dibongkar. Namun begitu, ini tidak bermakna kita perlu meninggalkan disiplin ilmu sejarah. Ini kerana ilmu sejarah dijadikan sebagai panduan untuk bergerak ke hadapan.

Wallhua’lam.

Wan Kamarul Ariffin bin Wan Ahmad (4/4/2021)

No comments: