Wednesday, April 21, 2021

Bulan Ramadhan - Peluang Mendirikan Solat Sehari Semalam Selama 40 Hari Berturut-Turut

Bulan ini bulan Ramadhan. Bulan yang penuh barakah.

Pada bulan ini, pada masa inilah untuk kita bermujahadah untuk melipat-gandakan amalan-amalan sunat kita. Sekurang-kurangnya untuk menampung amalan-amalan sunat yang kita kurang lakukan pada bulan-bulan sebelum ini.

Jika kita ingin mendidik diri kita agar tidak menunaikan solat fardhu, kita perlulah menunaikan solat fardhu sehari semalam selama 40 hari berturut-turut. Dan peluang yang terbaik untuk melatih diri kita ini ialah ketika kedatangan bulan Ramadhan khususnya solat subuh kerana solat ini boleh ditunaikan terus selepas kita bersahur. 

Cubalah untuk mendisiplinkan diri kita untuk menunaikan solat jika diri kita ini masih liat untuk menunaikan solat fardhu.

Selamat beramal!


Sunday, April 11, 2021

Menulis Itu Ibarat Membuat Roti Canai – Apinya Jangan Terlalu Besar dan Jangan Terlalu Kecil

Proses menulis buku-buku atau bahan-bahan akademik memerlukan masa yang panjang dan ketekunan yang tinggi bagi menghasilkan buku yang berkualiti.

Menulis buku-buku akademik bukanlah seperti menulis buku fiksyen yang boleh dalam tempoh satu hingga enam bulan. Tiada rujukan apa-apa bahan melainkan khayalan bermain-main di minda. Dan hasilnya dijual dengan meletup-letup kebommm...

Berlainan dengan buku akademik, sudahlah ambil masa untuk menulisnya dan susah pula untuk membacanya kerana rata-rata rakyat Malaysia suka membaca bahan-bahan ringan. Teringat pensyarah saya ketika saya berada Universiti Malaya (UM) yang menceritakan jangan ceburi bidang akademik jika ingin menjadi kaya.

Tetapi, jangan kita lupa pesanan Nabi Muhammad s.a.w. iaitu dua perkara yang tidak akan apabila dituntut iaitu dunia dan ilmu.


Andrew Mango: Penulis Buku 'Ataturk: The Biography of the Founder of Modern Turkey'.

Menulis buku sejarah umpamanya memang mengambil masa yang panjang. Andrew Mango umpamanya mengambil masa selama 5 tahun untuk menyiapkan buku ‘Ataturk: The Biography of the Founder of Modern Turkey’. Jika buku novel-novel atau fantasi biasa, sudah tentu boleh ditulis sebanyak 10 buah buku dalam tempoh yang sama.

Menulis buku-buku akademik ini sebenarnya ialah ibarat membuat roti canai. Apabila kita membuat roti canai, kita tidak boleh membuatnya dengan menggunakan api yang besar supaya ianya cepat masak. Apinya pula hendaklah sederhana sahaja dan tidak pula terlalu kecil supaya isinya masak dengan baik dan luarannya tidak pula hangus terbakar.

Begitu juga apabila kita menulis buku. Ia adalah sebuah proses yang perlahan-lahan tetapi perlu teliti dan penuh ketekunan. Proses menulis ini sebenarnya adalah proses yang memerlukan kesabaran, ketelitian, dan ketekunan. Ia adalah suatu proses yang tidak terlalu laju tidak terlalu perlahan.

Sedikit demi sedikit, patah demi patah perkataan, helaian demi helaian, bab demi bab, akhirnya sebuah manuksrip sesebuah buku itu dapat disiapkan dan diterbitkan untuk bacaan umum.

Wallhua’lam.

Wan Kamarul Ariffin bin Wan Ahmad (11/4/2021)

Sunday, April 4, 2021

Ilmu Sejarah Ilmu Tidak Berkembang?

Tun Dr. Mahathir (Tun M) pernah mengatakan bahawa, “Bidang Geografi dan Sejarah tidak berubah. Apa yang dicatatkan, yang kita belajar tidak berubah dari masa ke semasa kerana ianya tidak dinamik, tidak bergerak dengan kajian dan ilmu-ilmu baru.”

Sudah tentu kenyataan Tun Dr. Mahathir ini mungkin akan menimbulkan kemarahan orang-orang yang berlatarbelakangkan ilmu geografi dan sejarah kerana ilmu-ilmu ini menurut beliau secara tersiratnya menyatakan bahawa mereka tidak boleh bergerak atau maju ke hadapan.

Akan tetapi, apabila difikirkan semula ayat-ayar Tun M ini ada kebenarannya juga. Apabila saya menyambung pengajian di peringkat Ijazah Sarjana (Sejarah Malaysia) untuk membuat tesis, kita sebenarnya terpaksa bergantung kepada sumber-sumber primer khususnya yang terdapat di Arkib Negara sebagai contohnya.

Dan apabila sumber-sumber ini sudah digunakan dan telah terdapat para pengkaji telah menggunakannya, maka sumber ini tidak boleh lagi digunakan sebagai penemuan terbaru. Dengan kata lain, sumber ini sudah basi dan tidak boleh diguna pakai lagi.

Apabila kita ingin membuat penyelidikan dalam bidang sejarah, maka perkara utama sekali yang perlu dipertimbangkan ialah sumber-sumber primer bidang kajian kita dan barulah objektif kajian boleh ditentukan dalam penyelidikan atau research kita. Dengan kata lain, penyelidikan sejarah sebenarnya adalah amat bergantung kepada sumber primer ataupun yang lepas.

Berlainan sekali dengan bidang sains di mana kita perlu menentukan terlebih dahulu objektif kita. Kemudian, kita boleh tentukan hasil kajian kita selepas membuat eksperimen untuk menguji hipotesis kita. Contohnya, adakah A campur B akan menghasilkan keputusan C ataupun D selepas kita membuat ekperimen ataupun pengujian. Inilah yang dikatakan sebagai penemuan terbaru dalam bidang sains.

Pendek kata, ilmu sejarah ini boleh dikatakan tidak dinamik dan ianya boleh disifatkan dengan penemuan terbaru sekiranya terdapat sumber-sumber sejarah yang belum lagi dibongkar. Namun begitu, ini tidak bermakna kita perlu meninggalkan disiplin ilmu sejarah. Ini kerana ilmu sejarah dijadikan sebagai panduan untuk bergerak ke hadapan.

Wallhua’lam.

Wan Kamarul Ariffin bin Wan Ahmad (4/4/2021)

Saturday, April 3, 2021

Tip: Bagi Mainan Lego kepada Anak yang Suka Mengamuk!

 


Hahaha...Ini adalah satu tip kepada anda yang mempunyai anak yang suka mengamuk. Tip ini sebenarnya dikongsi oleh rakan isteri sendiri. Anaknya sendiri suka mengamuk dan penawarnya adalah dengan memberi anak ini bermain dengan Lego. Apabila dicuba kepada anak saya sendiri ternyata tip ini memang menjadi! Saya dapati anak ini begitu ralit sekali apabila main Lego sorang-sorang dan saya dapati sekarang anak saya sudah jarang mengamuk. Jika anda belum mencuba lagi tip ini, cubalah sekarang!