Sudah tentu setiap kali menjelang dan masuknya tahun baharu, kita akan berkira-kira dengan kewangan kita. Sama ada kita akan memperbaiki kewangan kita ataupun sebaliknya. Hendak menambah aset ataupun hutang.
Sudah tentu apabila masuknya tahun baharu,
saya akan menambah simpanan saya dalam mana-mana instrumen kewangan yang sukar
ataupun mungkin tidak boleh diambil secara tunai dengan mudah. Oleh itu, saya
menambah caruman koperasi dan membuka akaun SSPN-i.
Koperasi memberi dividen yang boleh
dikatakan secara tetap pada setiap tahun. Alangkah ruginya jika kita tidak
mencarum di tempat-tempat pelaburan yang memberi pulangan secara tetap kerana
kita tidak sanggup untuk berkorban pada hari ini untuk hari esok.
Walaupun SSPN-i ini dibuka untuk pelaburan
bagi kanak-kanak Ribena untuk memasuki universiti kelak, namun ianya turut
dibuka kepada semua orang awam. Saya berkira-kira baik juga sekiranya membuat
potongan gaji setiap bulan untuk membuat simpanan di SSPN-i ini.
Apa yang paling malang lagi ialah kita
mencari alasan untuk salahkan keadaan di sekeliling supaya tidak membayar
hutang walhal diri sendiri yang tiada duit untuk membayar hutang. Betul kata
orang biar papa asal bergaya. Biar tidak bayar hutang janji boleh naik kereta
Honda.
Apabila terlintas di hati untuk membuat
hutang, maka saya teringat dengan hadis Nabi Muhammad s.a.w. yang berbunyi,
“Berhati-hatilah kamu dalam berhutang kerana hutang itu mendatangkan kerisauan
di malam dan kehinaan di waktu siang.” Saya betul-betul memasak hadis ini dalam
jiwa dan fikiran saya supaya tidak berhutang. Hiduplah mengikut kemampuan dan
bukannya hidup mengikut keinginan. Jika tidak mampu untuk membeli sesuatu
secara tunai sesuatu barang, barang beli barang tersebut!
Alhamdulillah, berkat dan kesabaran saya
untuk mengelak daripada mengambil mana-mana pinjaman bank saya langsung tidak
berasa terkesan dan panik apabila pandemik Covid-19 melanda di seluruh dunia
bermula awal tahun lepas (2020). Tatkala rakan-rakan dalan group-group Whatsapp
sibuk berbincang moratorium untuk mendapat perlepasan daripada membayar
pinjaman bank, saya hanya memerhatikan sahaja sembang-sembang moratorium ini
kerana saya bebas daripada mana-mana pinjaman bank.
Teringat suatu ketika dahulu ada seorang penceramah
menceritakan mengenai kisah seorang peniaga yang berjaya membeli bangunan
berharga RM80 juta secara tunai. Apabila ditanya mengenai rahsia kisah kejayaan
beliau, beliau menjawab, “Saya tidak pernah membuat pinjaman bank sejak mula
berniaga kerana semua pinjaman bank adalah riba’.”
Pendek kata, pastikan kewangan pada tahun
ini adalah lebih baik daripada tahun lepas. Mungkin ada di kalangan kita
sekarang sedang ditimpa masalah kewangan dan ada yang rezekinya sedang
mencurah-curah sekarang di saat pandemik Covid-19 masih melanda di seluruh
negara. Insya-Allah apapun masalah yang sedang menimpa kita yakinlah bahawa di
celah-celah masalah itu pasti ada penyelesaiannya.
Wallhua’lam.
Wan Kamarul Ariffin bin Wan Ahmad (27 Januari 2021)