Wednesday, January 27, 2021

Matlamat Kewangan Tahun 2021

Sudah tentu setiap kali menjelang dan masuknya tahun baharu, kita akan berkira-kira dengan kewangan kita. Sama ada kita akan memperbaiki kewangan kita ataupun sebaliknya. Hendak menambah aset ataupun hutang.

Sudah tentu apabila masuknya tahun baharu, saya akan menambah simpanan saya dalam mana-mana instrumen kewangan yang sukar ataupun mungkin tidak boleh diambil secara tunai dengan mudah. Oleh itu, saya menambah caruman koperasi dan membuka akaun SSPN-i.

Koperasi memberi dividen yang boleh dikatakan secara tetap pada setiap tahun. Alangkah ruginya jika kita tidak mencarum di tempat-tempat pelaburan yang memberi pulangan secara tetap kerana kita tidak sanggup untuk berkorban pada hari ini untuk hari esok.

Walaupun SSPN-i ini dibuka untuk pelaburan bagi kanak-kanak Ribena untuk memasuki universiti kelak, namun ianya turut dibuka kepada semua orang awam. Saya berkira-kira baik juga sekiranya membuat potongan gaji setiap bulan untuk membuat simpanan di SSPN-i ini.

Apa yang paling malang lagi ialah kita mencari alasan untuk salahkan keadaan di sekeliling supaya tidak membayar hutang walhal diri sendiri yang tiada duit untuk membayar hutang. Betul kata orang biar papa asal bergaya. Biar tidak bayar hutang janji boleh naik kereta Honda.

Apabila terlintas di hati untuk membuat hutang, maka saya teringat dengan hadis Nabi Muhammad s.a.w. yang berbunyi, “Berhati-hatilah kamu dalam berhutang kerana hutang itu mendatangkan kerisauan di malam dan kehinaan di waktu siang.” Saya betul-betul memasak hadis ini dalam jiwa dan fikiran saya supaya tidak berhutang. Hiduplah mengikut kemampuan dan bukannya hidup mengikut keinginan. Jika tidak mampu untuk membeli sesuatu secara tunai sesuatu barang, barang beli barang tersebut!

Alhamdulillah, berkat dan kesabaran saya untuk mengelak daripada mengambil mana-mana pinjaman bank saya langsung tidak berasa terkesan dan panik apabila pandemik Covid-19 melanda di seluruh dunia bermula awal tahun lepas (2020). Tatkala rakan-rakan dalan group-group Whatsapp sibuk berbincang moratorium untuk mendapat perlepasan daripada membayar pinjaman bank, saya hanya memerhatikan sahaja sembang-sembang moratorium ini kerana saya bebas daripada mana-mana pinjaman bank.

Teringat suatu ketika dahulu ada seorang penceramah menceritakan mengenai kisah seorang peniaga yang berjaya membeli bangunan berharga RM80 juta secara tunai. Apabila ditanya mengenai rahsia kisah kejayaan beliau, beliau menjawab, “Saya tidak pernah membuat pinjaman bank sejak mula berniaga kerana semua pinjaman bank adalah riba’.”

Pendek kata, pastikan kewangan pada tahun ini adalah lebih baik daripada tahun lepas. Mungkin ada di kalangan kita sekarang sedang ditimpa masalah kewangan dan ada yang rezekinya sedang mencurah-curah sekarang di saat pandemik Covid-19 masih melanda di seluruh negara. Insya-Allah apapun masalah yang sedang menimpa kita yakinlah bahawa di celah-celah masalah itu pasti ada penyelesaiannya.

Wallhua’lam.

Wan Kamarul Ariffin bin Wan Ahmad (27 Januari 2021)

No comments: