Tuesday, July 14, 2020

Hagia Sophia Kini Kembali Menjadi Masjid Semula


Kenangan ketika berada di Hagia Sophia.

ALLAH Maha Besar. Hari ini selepas 86 tahun dijadikan muzium oleh pemimpin Sekular, akhirnya tapak bersejarah Hagia Sophia di Turki kembali menjadi masjid.

Keputusan ini diisytiharkan mahkamah Turki semalam yang membenarkan permohonan badan tempatan untuk memansuhkan tindakan pemimpin sekular Republik Turki yang pertama iaitu Mustafa Kamal Attaturk yang mengubah status Hagia Sophia daripada masjid kepada muzium pada 1935.

Berikut terjemahan ringkas penghakiman Mahkamah Turki sebentar tadi:

“Mahkamah membatalkan keputusan Majlis Menteri bertarikh 24 November 1934 mengenai penukaran Hagia Sophia daripada sebuah masjid ke sebuah muzium. Keputusan beralasan mengenai Hagia Sophia juga diumumkan. Menurut maklumat wartawan CNN TURK Serhat Dal, Mahkamah menyatakan bahawa tidak boleh dihalang untuk digunakan oleh masyarakat dalam keputusan yang berhujah bahawa Hagia Sophia dimiliki oleh Yayasan Fatih Sultan Mehmet Khan dan dipersembahkan kepada masyarakat sebagai masjid.

“Penghakiman itu juga dinyatakan bahawa Hagia Sophia “Tidak boleh digunakan secara sah kecuali untuk sifat masjid dalam akta yayasan dan tidak mungkin untuk menghalalkannya untuk tujuan lain. Harta tanah tak alih yang telah dilindungi sejak zaman kuno tidak dapat dicegah dari digunakan oleh masyarakat di mana hak-haknya dibiarkan digunakan.”

Pencetus utama langkah ini tentulah Presiden Turki hari ini, iaitu Recep Tayyip Erdogan yang menyifatkan tindakan mengubah Hagia Sophia (atau Ayasofya dalam sebutan Turki) kepada sebuah muzium merupakan satu ‘kesilapan besar’. Katanya, sudah tiba masanya binaan yang menjadi mercu tanda Istanbul itu diubah semula menjadi sebuah masjid.

“Hagia Sophia tidak akan dijadikan muzium. Status itu akan ditukar dan kita akan mula mengenalinya sebagai Masjid Hagia Sophia. Sesiapa yang datang ke Hagia Sophia akan menziarahinya sebagai sebuah masjid,” katanya pada 2019.

Hagia Sophia ditukar menjadi masjid pada 1453 ketika Uthmaniah menawan Istanbul atau juga dikenali sebagai Constantinople.

Hagia Sophia berfungsi kira-kira 500 tahun sebagai tempat ibadat Islam, menjadi model kepada masjid lain di kota itu antaranya Masjid Sultan Ahmed (Masjid Biru), Masjid Suleymaniye dan Masjid Rustem Pasha.

Kebanggaan Kristian Ortodoks dengan kemegahan gereja itu berakhir dengan kejatuhan Constantinople ke tangan Empayar Uthmaniyyah apabila Sultan Mehmed II, menguasai tempat itu yang kemudian dinamakan Istanbul pada 1453.

Baginda mengetuai solat Jumaat di situ dan mengarahkan bangunan itu diubah suai menjadi masjid. Arkitek terkenal Mimar Sinan diberi tanggungjawab memulihara bangunan itu. Sinan mereka bentuk dan memasang menara lambang masjid di luar selain mihrab dan mimbar, di dalam.

Hagia Sophia kekal sebagai masjid hingga 1935 apabila fungsinya ditukar muzium oleh Pengasas Turki Moden dan presiden pertama negara itu Mustafa Kamal Ataturk, pemerintah Republik Turki (1923-1938).

Selepas Empayar Uthmaniah tumbang, negara moden dan Sekular Turki ditubuhkan sekali gus menyaksikan masjid itu dijadikan muzium pada 1935.

Keputusan Mahkamah Turki dengan sokongan Kerajaan AKP pimpinan Erdogan ini pastinya mengundang pelbagai reaksi kuasa Barat – apatah lagi dalam keadaan Turki berdepan cabaran geopolitik di Libya, Syria, dan Cyprus.

Namun begitu, Kerajaan Turki menegaskan bahawa kembalinya Hagia Sophia sebagai Masjid tidak bermakna lokasi berkenaan telah tertutup untuk dilawat oleh para pelancong dari seluruh dunia.

Keputusan ini pastinya bakal melonjakkan pengaruh kuasa lunak ‘soft power’ Turki dalam kalangan negara-negara Islam amnya dan pengukuhan pengaruh parti AKP pimpinan Erdogan dalam kalangan Islamis khususnya.

Apa yang pasti, dalam keadaan Kerajaan Turki pimpinan Erdogan hari ini berdepan cabaran politik dalaman dan geopolitik luaran, imbangan kuasa Turki sebagai kuasa pertengahan ‘Middle Power’ tidak lagi boleh dianggap sebagai ‘budak suruhan’ NATO-US mahu pun Rusia pro-Ortodoks.

ABDUL MUEIN ABADI

Penyelidik PhD di Faculty of Governance and Global Affairs, Leiden University, Belanda – HARAKAHDAILY 11/7/2020

Ulasan:

Setiap sesuatu ada awal dan akhirnya. Begitulah juga dengan bangunan ikonik Hagia Sophia yang menjadi simbol kepada agama Islam dan Kristian dari kurun ke kurun dan dari zaman ke zaman. Sememangnya langkah menjadikan Hagia Sophia menjadi masjid merupakan kemenangan baru pimpinan Erdogan khususnya dan umat Islam amnya. Semoga ia kekal menjadi masjid buat selama-lamanya selepas ini.

Thursday, July 9, 2020

Diari



Tajuk saya ringkas sahaja pada kali ini iaitu – diari. Diari merupakan catatan harian kita. Apatah lagi peristiwa-peristiwa penting yang berlaku dalam hidup kita. Ia mungkin menjadi kenang-kenangan kita ketika kita sudah mencapai usia tua nanti. Ataupun menjadi tatapan kepada ahli keluarga kita setelah kita meninggal dunia nanti.

Adakah anda mempunyai diari Saya mula terfikir atau mungkin berfikir untuk menulis diari sekarang ketika usia menjengah pertengahan 30-an. Niat ini mula terdetik apabila saya memikirkan semula peristiwa-peristiwa penting dalam hidup saya. Tidak kira peristiwa sama ada peristiwa manis atau pahit dalam hidup kita. Semuanya perlu dilakar dalam bentuk tulisan.

Contohnya, saya mula terfikir bilakah saya mula-mula mendaftar di Universiti Malaya untuk master, bilakah saya present tesis, dan sebagainya. Catatan-catatan ini penting untuk saya merujuknya di kemudian hari. Biarpun telah berasa lambat untuk bermula, tetapi ianya masih boleh lagi untuk dijalankan sekarang.

Sepanjang hidup saya, saya hanya menulis diari untuk kelas Bahasa Inggeris saya ketika berada di Tingkatan Lima di Koleh Islam Sultan Alam Shah, Klang. Guru Bahasa Inggeris saya ketika itu Miss Lin mewajibkan semua pelajar membuat catatan harian dalam Bahasa Inggeris. Bukan apa. Untuk membiasakan kami untuk menulis Bahasa Inggeris setiap hari. Buku catatan harian ini pula akan disemak pada setiap minggu. Tidak kurang juga ada rakan-rakan meluahkan perasaan dalam buku ini. Hahaha...

Bagaimana dengan anda? Adakah anda telah mempunyai diari. Kalau sudah bermula, Alhamdullilah.. dan sekiranya masih belum boleh bermula sekarang. Tiada istilah lambat untuk bermula bagi mencapai sesuatu kejayaan.

Wallhua’lam.