Wednesday, May 13, 2020

Memiliki Perniagaan tetapi Tidak Menjadi Peniaga, Memiliki Pelaburan tetapi Tidak Menjadi Pelabur

Agak menarik juga jika kita berfikir bait-bait ini, “Memiliki perniagaan tetapi tidak menjadi peniaga, memiliki pelaburan tetapi tidak menjadi pelabur.” Saya mula terfikir mengenai perkara ini apabila terbaca sebuah buku kewangan. Jika difikirkan semula, ada benarnya perkara ini jika kita membuat secara ‘joint venture atau jv bersama dengan orang lain. Dengan kata lain, kita menjadi ‘sleeping partner’ ataupun ‘rakan kongsi tidur’ sahaja.

Akan tetapi, kita sebenarnya tidaklah mendapat 100 peratus hasil daripada perniagaan ataupun pelaburan apabila menjalankan usaha-usaha ini bersama dengan orang lain. Ini bermakna orang yang menjalankan pelaburan ataupun bisnes yang mendapat bahagian yang lebih hasil keuntungan yang diperolehi. Mereka ini sebenarnya bertindak sebagai pengusaha sebenar yang berani menghadapi risiko untuk menjana pendapatan ataupun keuntungan daripada wang kita.

Sebagai pekerja makan gaji, kita sudah tentu terikat dengan waktu kerja dengan majikan. Adalah amat mustahil jika ingin menjadi peniaga sepenuh masa ketika ini dengan membuat dua kerja dalam satu masa. Oleh itu, jalan mudah jika ingin menjalankan perniagaan ialah membuat secara ‘partnership’ dengan orang lain. Modal yang digunakan adalah milik kita dan kita boleh mengupah orang untuk menjalankan bisnes kita.

Saya ada seorang rakan yang menjalankan bisnes pokok getah. Walaupun dia bekerja di Kuala Lumpur tetapi dia mempunyai ladang getah di kampungnya, Kelantan. Apa yang dilakukan oleh beliau untuk menjalankan bisnes getahnya? Caranya ialah beliau mengupah orang bagi menjaga ladang getah beliau. Hasil getah yang dijual dibahagi sama rata antara beliau dengan orang yang menjaga ladang getah beliau tersebut.

Sebenarnya, banyak lagi peluang pelaburan di luar sana selain daripada Amanah Saham Bumiputera (ASB) ataupun Tabung Haji (TH). Sebagai orang Melayu ataupun Bumiputera, kita tidak lari daripada membuat pelaburan bagi kedua-dua tabung ini. Namun begitu, kita boleh membuat lagi pelbagai pelaburan lain yang masih banyak lagi di luar sana. Tidak kira sama ada hartanah, emas, dan sebagainya.

Memiliki perniagaan dan pelaburan adalah penting sebagai sumber pendapatan pasif kita. Kita tidak perlu bekerja tetapi wang datang kepada kita. Kita hanya perlu mempunyai modal untuk menjalankan bisnes. Apa yang lebih penting lagi kita sudah membuat persediaan di hari tua nanti apabila telah pencen kelak.

Wallhua’lam.

No comments: