Kerajaan Bani Umaiyyah mengambil alih
pemerintahan kerajaan Islam daripada tahun 41H sehingga 132H (661 – 750M).
Permulaan pemerintahan kerajaan ini bermula apabila Mu’awiyah bin Abu Sufyan
dilantik menjadi khalifah menggantikan al-Hasan pada tahun 41H. Peristiwa ini disebut
sebagai Tahun Perdamaian atau Am al-Jama’ah.
Sejak dari itu bermulalah zaman kerajaan Umaiyyah
dan mereka memilih Damsyik sebagai pusat pemerintahan kerajaan mereka. Mu’awiyah
bin Abu Sufyan dibaiah atau mendapat pengakuan sumpah setia daripada umat Islam
di Kufah. Mu’awiyah bin Abu Sufyan mendapat pengiktirafan daripada sahabat yang
masih hidup. Sebahagian besar umat Islam memberikan pengakuan sumpah setia
kepada beliau serta mengiktirafnya sebagai khalifah yang sah.
Mu’awiyah bin Abu Sufyan menamakan kerajaan
yang diasaskannya itu sempena nama
moyangnya iaitu Umaiyyah bin Abdu Shams. Ini merupakan strategi bagi menyatukan
semua anak cucu Umaiyyah supaya menyokongnya. Tempoh pemerintahan kerajaan
Umaiyyah muncul pada zaman yang dikenali sebagai sebaik-baik kurun kerana
meliputi merangkumi generasi sahabat, at-Tabi’in iaitu generasi selepas sahabat
dan ‘Atba’ at-Tabi’in iaitu selepas at-Tabi’in.
Keturunan Umaiyyah merupakan antara
kumpulan yang paling kuat menentang Rasullullah sebelum memeluk Islam berbanding
keluarga Bani Hashim. Keturunan Hashim ini menjadi penyokong kuat Nabi Muhammad.
Keturunan Umaiyyah adalah kelompok yang terakhir yang memeluk agama Islam.
Namun, setelah memeluk agama Islam mereka menunjukkan semangat kepahlawanan
yang cukup gemilang seolah-olah bagi menebus kembali penentangan mereka dahulu.
Keturunan Hashim dan keturunan Umaiyyah
berasal daripada keturunan Abdu Manaf yang cukup terkenal dengan ketokohan dan
kepimpinan mereka. Namun begitu, keturunan Umaiyyah sebenarnya memiliki lebih
banyak kekayaan, lebih banyak jalur keturunan dan mempunyai lebih ramai tokoh
pemimpin berbanding keturunan Hashim. Kemuliaan ketika ini dinilai dengan
berapa banyaknya keturunan. Tambahan pula keturunan Umaiyyah adalah antara
golongan korporat dan ahli perniagaan yang terkenal serta bangsa Arab Quraisy
yang paling kaya.
Bangsa Quraisy adalah bangsa paling mulia
di Hijaz. Di kalangan bangsa Quraisy ini keturunan Abdu Manaf adalah yang
paling kaya dan paling ramai jalur keturunan. Keturunan Abdu Manaf ini terbahagi
kepada dua buah keluarga terkenal iaitu keluarga Hashim dan keluarga Umaiyyah.
Sebelum kedatangan Islam, kemuliaan suku
bangsa ini dipegang oleh Harb bin Umaiyyah. Beliau merupakan bapa kepada Abu
Sufyan dan datuk kepada Mu’awiyah. Selepas peristiwa hijrah, ramai kelompok keturunan
Bani Hashim turut berhijrah mengikut Rasulullah dan yang tinggal di Mekah
adalah keturunan Bani Umaiyyah. Namun, selepas Perang Badar ramai pemimpin
Quraisy terkorban dan yang tinggal hanyalah Abu Sufyan. Beliau kemudian menjadi
pemimpin bangsa Quraisy bagi menentang Rasulullah sehinggalah beliau masuk
Islam ketika peristiwa pembukaan Mekah.
Keturunan Umaiyyah terkenal dengan kepimpinan
dan ketokohan mereka dalam berpolitik sejak zaman jahiliah lagi. Sebagai contoh
dalam Perang al-Fijar, bangsa Quraisy dipimpin oleh Harb bin Umayyah. Selepas
zaman Islam, ketua kafir Quraisy semasa Perang Uhud dan al-Ahzab adalah Abu Sufyan
bin Harb. Selepas keturunan Bani Umaiyyah memeluk Islam, mereka tidak menunggu
lama bagi menggilap bintang ketokohan dan kepimpinan mereka.
Pemerintahan kerajaan Bani Umaiyyah ini
berakhir pada 122H / 750M di bawah pimpinan Marwan bin Muhammad apabila beliau
gagal menghadapi kemaraan tentera Abbasiyah yang menuju ke Syam di bawah
pimpinan Abdullah bin Muhammad al-Abbasi yang terkenal dengan nama Abu al-Abbas
as-Saffah. Marwan bin Muhammad melarikan diri dari medan pertempuran. Namun
begitu, beliau diburu oleh tentera Abbasiyah hingga ke Mesir dan berjaya
dibunuh pada bulan Jamadil Awwal tahun 132H. Dengan kematian Marwan bin Muhhamd
maka berakhirlah zaman kegemilangan Kerajaan Umaiyyah yang berpusat di Kota
Damsyik.
Sumber: Sahrulazmi Sidek, Armada Laut
Umawiyyah, 2011.