Monday, December 14, 2020

Ilmu Itu Cahaya dan Ianya Tidak Berada Di Dalam Hati yang Dicemari Maksiat

Ada suatu kisah mengenai Imam Shafie. Ketika berada di padang pasir beliau ternampak seorang wanita yang menutup aurat. Kebetulan ketika itu angin bertiup dan kain yang menutupi wanita itu lantas terselak dan Imam Shafie terlihat aurat wanita itu lantas berpaling.

Kemudian beliau cuba menghafal ilmu baru. Malangnya, beliau tidak dapat menghafal dengan baik ilmu tersebut. Lalu, beliau menemui gurunya dan menceritakan masalah yang dihadapinya itu. Guru beliau menjawab, “Ilmu itu cahaya Allah s.w.t. Sesungguhnya cahaya Allah s.w.t. itu tidak akan berada bersama dengan maksiat. Oleh itu, tinggalkanlah maksiat.”

Dalam zaman teknologi yang berkembang pesat ini, kita sudah tentu terdedah dengan pelbagai jenis maksiat khususnya dengan media sosial sama ada Instagram, Facebook, Twitter, Youtube, dan sebagainya. Maksiat-maksiat ini mempunyai bentuk yang pelbagai sama ada nyanyian oleh kaum wanita, wanita yang mendedahkan aurat atau bertelanjang dan sebagainya. Sesungguhnya perkara-perkara ini yang boleh melemahkan daya ingatan kita.

Apabila saya bersembang-sembang dengan pelajar maahad tahfiz yang sememangnya golongan yang menghafal al-quran, mereka menceritakan bahawa mereka dilarang untuk membaca surat khabar, mendengar radio, menonton televisyen, dan melayari internet. Sesungguhnya perkara-perkara ini yang membuka ruang kepada lubang maksiat. Jika tidak, masakan mereka boleh menghafal 30 juzuk al-Quran dengan baik?

Saya pun terfikir kadang-kadang kita juga perlu menolak kemajuan demi untuk menambah ilmu di dada. Pernahkah anda semua berasa ‘sakit mata’ melihat pelbagai posting atau tampalan di media sosial seperti di Facebook oleh manusia yang pelbagai aneka ragam? Ada yang meluahkan rasa sedih, rasa gembira, dan 1,001 perasaan lagi. Kadang-kadang perkara ini juga boleh menggelapkan hati kita. Jika hati sudah gelap, bagaimana ilmu boleh berada di dalam hati kita?

Kadang-kadang radio juga boleh menjadi sarang maksiat. Apabila kita membuka siaran radio, para DJ sudah tentu suka membuat lawak bodoh yang tidak berkesudahan dari pagi sehinggalah tengah malam sambil ketawa berdekah-dekah. Kadang-kadang kita yang mendengar radio ini pun rasa pening dengan karenah pada DJ ini. Bukankah banyak ketawa itu sebenarnya boleh menggelapkan hati kita?

Dalam zaman teknologi serba canggih ini, kita haruslah bijak untuk menilai yang mana permata dan kaca. Janganlah kerana terlalu asyik melayan media sosial kita menjadi manusia yang lalai daripada mengejar ilmu pengetahuan. Tiada orang lain yang boleh menjaga kebersihan hati kita melainkan diri kita sendiri. Wallhua’lam.

Wan Kamarul Ariffin Wan Ahmad (14/12/2020).

No comments: