Tertarik saya dengan kata-kata Ustaz Wadi Anuar Ayub, “Barangsiapa yang mendisiplinkan diri dengan agama, maka Allah s.w.t. akan memberikan kejayaan dan kecemerlangan kepadanya yang tidak akan dicapai oleh orang lain.” Beliau memberikan contoh seorang pelajar Azali Azlan yang berjaya mendapat kejayaan dalam peperiksaan SPM dengan 20 A1 dan 1 A2 suatu ketika dahulu. Pelajar ini sentiasa mendirikan solat malam dan menjaga pemakanannya dengan mengambil susu, madu, dan kismis.
Teringat saya sewaktu berada di zaman
persekolahan dahulu. Ayat al-Quran dalam Surah Muhammad ayat 7, “Wahai,
orang-orang yang beriman! Jika kamu menolong (agama) Allah, nescaya Dia akan menolongmu
dan meneguhkan kedudukanmu.” Ayat ini sungguh dan sangat popular di kalangan
pelajar ketika itu bahkan ianya boleh diamalkan sekarang walaupun kita telah
meninggalkan zaman persekolahan.
Ayat ini untuk mengaitkan tidak perlu kita
untuk menelaah pelajaran sehingga lewat malam semata-mata untuk mengejar kecemerlangan
keputusan peperiksaan. Apa yang lebih penting ketika itu ialah sibuk-sibukkan
diri dengan agama nescaya Allah s.w.t. akan menolong kita dalam kehidupan kita
apatah lagi dalam peperiksaan kita.
Teringat saya pada tahun 1999. Ketika itu
saya berada di tingkatan 2 dan saya menegur seorang senior tingkatan 5 yang
baru mendapat keputusan percubaan peperiksaan SPM dan dia hanya mendapat
keputusan agregat 13 sahaja ketika itu. Apabila saya bersahaja bertanya kepada
beliau mengapa result rendah sangat lantas dia menjawab, “Belajar 2 tahun tetapi
masuk peperiksaan hanya 1 jam sahaja.”
Namun, selepas beberapa waktu berlalu dan
selepas mendapat keputusan SPM yang sebenar, dia akhirnya mendapat result SPM
dengan agregat 6! Hebat bukan? Saya perhatikan senior saya ini sentiasa
melaungkan azan subuh pada setiap hari dan setiap pagi ketika itu. Bahkan dia
selalu berdamping dengan al-Quran untuk menghafal ayat-ayat al-Quran. Nah,
inilah kehebatan kita apabila mendisiplinkan diri kita dengan agama.
Ketika saya berada di sekolah SMKA Sheikh
Abdul Malek, Kuala Terengganu (1998-2001) cerita yang tidak pernah lekang ialah
ada pelajar yang mengaji al-Quran pada hari Jumaat selepas solat subuh sehingga
tengah hari apabila waktu solat Jumaat menjelang tiba di surau. Manakala ketika
saya berada di Kolej Islam Sultan Alam Shah, Klang (2001 – 2002) cerita yang
meniti di bibir dari satu generasi ke generasi yang lain ialah surau di asrama
ini tidak pernah lekang dari tiada orang selepas waktu Isyak sehingga waktu
Subuh sebelum tahun 1995. Maknanya surau di sini dipenuhi dengan pelajar-pelajar
yang mengimarahkan surau sepanjang malam.
Saya sendiri pun pernah mengalami perkara
ini. Ketika berada sewaktu musim peperiksaan semester keempat di universiti,
saya mengaji al-Quran selepas waktu subuh dan saya terlelap seketika.
Ditakdirkan (atau mungkin direzekikan) saya bermimpi pensyarah Kalkulus
Pembolehubah Kompleks saya memberitahu sebahagian soalan yang akan masuk dalam
peperiksaan. Apa yang lebih menakjubkan ialah soalan-soalan yang diberitahu
dalam mimpi saya itu akhirnya masuk dalam soalan peperiksaan sebenar! Hebat
bukan?
Inilah kehebatan apabila kita mendisiplinkan
diri kita dengan agama. Saya di sini hanya menyebutkannya secara praktikal
sahaja dan secara teknikalnya terpulanglah kepada anda semua bagaimana untuk
mendisiplinkan agama dalam kehidupan kita. Semoga kita diredhaiNya sentiasa.
Insya Allah.
Wan Kamarul Ariffin Wan Ahmad (19/12/2020).
No comments:
Post a Comment