Saturday, January 6, 2018

Teori Dialektik Hegel dan Kaitan Politik Malaysia

Dalam falsafah pensejarahan ataupun penulisan sejarah, terdapat teori yang dikenali sebagai Hegel. Mengikut teori ini, sesebuah masyarakat yang sedia ada dalam sesebuah tempat dikenali sebagai sebagai thesis. Dalam keadaan masyarakat yang sedia ada ini, akan muncul golongan yang memberontak ke atas masyarakat ini yang dikenali sebagai anti-thesis. Seterusnya, pemberontakan yang dilakukan ini akan membawa pula kepada susunan baru dalam masyarakat ini yang dikenali sebagai sintesis. Sintesis ini pula akan menjadi thesis yang baru dan keadaan ini akan berlaku secara berulang-ulang dalam sesebuah masyarakat.

Mengikut Karl Marx, faktor yang membawa kepada pemberontakan ke atas masyarakat sedia ada ini adalah disebabkan oleh faktor kebendaan. Apabila golongan atasan membolot lebihan hasil sesebuah tempat, maka keadaan ini akan menimbulkan keadaan tidak puas hati bagi golongan kelas bawahan. Maka, golongan bawahan ini akan memberontak melancarkan pemberontakan ke atas golongan atasan ini. Dengan itu, wujud susunan baru dalam kelas sesebuah masyarakat. Bagi Karl Marx, teori ini akan terhenti apabila semua orang mempunyai status sosial dalam masyarakat. Dengan kata lain, sistem kelas tidak perlu wujud lagi supaya teori Hegel ini tidak akan berulang.

Dalam realitik politik Malaysia pada hari ini yang dibentuk melalui acuan demokrasi berparlimen ini tidak dapat lari daripada falsafah teori Hegel. Apabila golongan atasan membolot lebihan pendapatan negara yakni rasuah, maka akan timbul perasaan tidak puas hati golongan bawahan untuk menentang golongan atasan ini yakni pemimpin-pemimpin yang korup. Revolusi atau pemberontakan ini biasanya akan digerakkan oleh pemimpin-pemimpin pembangkang yang diterjemahkan melalui pilihan raya dengan membawa penyokong masing-masing supaya membelahi mereka. Maka, pasca pilihan raya memperlihatkan hierarki baru dalam struktur kepimpinan masyarakat. Menang atau tidak kerajaan yang memerintah sedikit-sebanyak akan membawa muka pemimpin-pemimpin baru dalam struktur masyarakat sama peringkat Dun, Negeri, ataupun Parlimen apatah Kerajaan sedia ada terus dapat ditumbangkan melalui pilihan raya yang akan membawa kepimpinan baru dalam negara.

Malah di negara-negara lain sekalipun seperti di Mesir dan Zimbabwe sekalipun, rakyat bangkit menentang dan menggulingkan pemimpin mereka yang lintah darat memakan hasil mahsul negara yang menjadi keperluan rakyat jelata. Sekalipun tidak menjatuhkan kerajaan melalui pilihan raya, revolusi merupakan jalan terakhir rakyat untuk menggulingkan pemimpin mereka yang korup. Keadaan ini sebenarnya telah pun berlaku apabila Revolusi Rusia tercetus pada tahun 1917 apabila Lenin mengajak para petani melancarkan revolusi untuk menggulingkan pemerintahan beraja Tsar di Rusia.

Keadaan ini akan terus berlaku dalam struktur masyarakat Malaysia walhal di zaman penjajahan sekalipun para pejuang kemerdekaan menentang penjajah British kerana membolot kekayaan hasil bumi Tanah Melayu untuk dihantar ke England. Bagi saya, mewujudkan susunan masyarakat tanpa kelas dalam masyarakat melayu seperti diutarakan oleh Karl Marx khususnya pada hari ini adalah sukar kerana masyarakat melayu masih menghormati dan memerlukan institusi kesultanan bagi negeri masing-masing. Namun, struktur kepimpinan masyarakat tetap akan berubah-ubah selagi mana pilihan raya umum diadakan di Malaysia.

Wallhua'lam.

No comments: