Assalamualaikum
w.b.t. dan Selamat Sejahtera.
Nak
buat hutang RM300,000 ke atau nak solat tahajud 30 Minit sehari? Inilah tajuk
yang saya fikirkan sesuai untuk kali ini setelah habis membaca buku Mudahnya Menjemput Rezeki tulisan Ustaz
Fathuri Salleh. Bagi diri saya yang lemah ini, saya tidak mengira diri saya
habis membaca sesebuah buku sekiranya saya masih belum menulis sesuatu idea
yang menarik dari buku tersebut dalam catatan blog ini.
Buku
yang saya baru habis baca ini ialah Mudahnya
Menjemput Rezeki sudah merupakan cetakan yang ke-13 pada tahun 2013 di mana
cetakan pertama pada tahun 2012. Malah buku ini telah dicetak sebanyak 110,000
di mana sasaran penulis ialah buku ini ialah sebanyak 1,000,000 (Satu juta)
untuk dicetak supaya orang ramai dapat mengamalkan ilmu yang disampaikan.
Diharap agar catatan artikel di blog ini sedikit-sebanyak dapat membantu
penulis untuk mencapai hasrat tersebut.
Apa
yang menarik buku ini ialah ia
menekankan keseimbangan rohani dalam menarik rezeki. Penulis berjaya mengubah
pemikiran mengenai konsep rezeki. Rezeki perlu dijemput dan bukannya perlu
dicari. Rezeki ibarat magnet yang akan datang kepada kita. Ibarat kutub utara
dan kutub selatan. Jika rezeki itu kutub selatan maka kita perlu menjadi kutub
utara. Untuk menjadikan diri kita kutub utara, kita perlu mengamalkan
kerohanian. Amalan kerohanian ini meliputi, menunaikan solat-solat sunat selain
yang wajib, berzikir, membaca al-Quran, dan sebagainya untuk menjadikan rezeki
itu datang kepada kita. Untuk menjadikan rezeki itu tidak datang kepada kita
ialah kita perlu menjadi kutub selatan iaitu dengan melakukan larangan-larangan
Allah s.w.t. dan meninggalkan segala suruhannya.
Apa
yang saya tertarik isi kandungan buku ini ialah tentang kepentingan menunaikan
solat di awal waktu secara berjemaah dan menunaikan solat sunat tasbih selain
amalan-amalan lain sepertimana yang kita sedia maklum seperti mengamalkan solat
sunat dhuha, bersedekah, dan sebagainya.
Ini
merupakan pengalaman penulis buku itu sendiri apabila beliau menceritakan
sewaktu bekerja di kilang. Beliau hanya mendapat gaji RM3 sejam walaupun
sebelum itu beliau bekerja di pejabat. Sewaktu bekerja di kilang beliau
terpaksa berkongsi bilik dan kadang-kadang terpaksa tidur di masjid. Sejak
daripada itu, beliau bertekad untuk mengutamakan solat walaupun rakan-rakan
serumah dengannya tidak menunaikan solat.
Dalam
tempoh kurang daripada setahun penulis telah dipindahkan ke sebuah hostel yang
ala-ala hotel iaitu sebuah apartmen yang lengkap dengan kemudahan termasuk
kereta dan petrolnya sekali. Ketika itu, penulis diberi peranan untuk
menguruskan projek khas syarikat.
Berbanding
dengan rakannya walaupun setelah 3 tahun berlalu, keadaan rakannya masih belum
berubah bahkan semakin teruk keadaannya dari bekerja di dapur kilang hingga
bekerja di bawah panas terik matahari. Penulis turut tertanya-tanya adakah
rakannya itu tidak menunaikan solat kerana sewaktu masuk waktu solat Zohor
rakannya itu masih leka dengan kerjanya ketika berjumpa.
Begitu
juga seorang lagi kenalan penulis yang berhenti kerja dan menjadi penjual madu
yang tinggal berhampiran hostelnya. Beliau melihat perniagaan rakannya itu
terus berkembang dari semasa ke semasa. Dari bermula berniaga dari rumah
berkembang ke pasar malam. Bahkan rakannya itu kemudian memiliki van dan
perniagaan di pasar malam pula semakin besar.
Apa yang pasti menurut penulis ialah rakannya ini sering ke masjid.
Terdapat juga seorang hamba Allah yang diceritakan oleh penulis. Daripada hanya
tinggal di rumah setinggan kini menjadi pengusaha hartanah yang kaya-raya.
Jawapannya sahaja iaitu mengamalkan solat sunat tasbih. Sebenarnya apa yang
menghalang seseorang itu mendapat rezeki ialah kerana membuat dosa. Sudah tentu
tiada siapa di dunia ini yang bebas daripada membuat dosa hatta Nabi Muhammad
s.a.w. yang maksum sekalipun beristighfar sebanyak 70 kali sehari. Inikan pula
kita yang sering terdedah dan melakukan dosa setiap hari. Cara untuk mendapat
keampunan dosa secara berkesan daripada Allah s.w.t. ialah mengamalkan solat
tasbih kerana rezeki itu akan mudah datang kepada kita setelah dosa itu
diampunkan oleh Allah s.w.t.
Solat
tasbih ini perlu diamalkan sebanyak 4 rakaat tidak sampai
30 minit bagi satu-satu masa ia diaksanakan dengan 75 kali tasbih setiap rakaat.
Adakah anda sanggup ke hulu ke hilir semata-mata membuat pinjaman sebanyak
RM300,000 yang kononnya untuk membuat pelaburan atau mengamalkan solat sunat
tasbih yang mempunyai fadilat yang besar untuk diamalkan? Sesungguhnya
menjemput rezeki itu lebih mudah daripada mencari rezeki.
Tepuk
dada tanya selera. Wallahua’lam.
Sekian,
terima kasih.
http://wankamarul701.blogspot.com