Thursday, September 26, 2013

Pemilihan Agung UMNO 2013 : Ada atau Tiada Sama Sahaja


Assalamualaikum w.b.t. dan Selamat Sejahtera.

Umno baru-baru ini telah sekali lagi gagal memenangi 2/3 majoriti parlimen walaupun telah membelanjakan berbilion-bilion ringgit sejak Najib mengambil pemerintahan negara daripada Pak Lah pada tahun 2009 nampaknya gagal untuk memenangi hati rakyat sehinggakan Shahbudin Hussin menulis buku bertaju ‘Najib Gagal’. Saya tidak pasti sama ada Dato’ Sri Najib membaca buku itu ataupun tidak. Sekiranya Najib membaca buku tersebut saya fikir YAB naik berang dengan kritikan yang diberikan oleh Shahbudin. 

Tidak cukup dengan kemenangan yang semakin merudum, rakyat pula dihimpit dengan kenaikan harga minyak sebanyak 20 sen pasca PRU-13. Sekiranya harga minyak naik sebelum PRU, sudah tentu bilangan kerusi parlimen makin teruk ‘diratah’ oleh pembangkang. Nampaknya UMNO ini tidak serik-serik untuk menindas rakyat.

Pemilihan Agung UMNO yang berlangsung pada Oktober 2013 depan saya fikir tidak berapa menarik kerana jawatan Presiden UMNO tidak dipertandingkan walaupun transformasi yang diuar-uarkan oleh Najib supaya pencalonan untuk jawatan Presiden tidak memerlukan kuota nampaknya tidak ke mana kerana ia masih tidak dipertandingkan.

Jika tidak dipertandingkan sekalipun, mengapa ahli-ahli UMNO masih menyokong Najib untuk mengemudi bahtera bagi menghadapi PRU-14 pada tahun 2018 nanti? Sejarah telah menunjukkan bahawa Presiden UMNO boleh ditukar tanpa pertandingan sekiranya dipaksa oleh ahli-ahlinya. Apa yang saya maksudkan ialah Pak Lah apabila beliau gagal meraih majoriti 2/3 parlimen dalam PRU-12 pada tahun 2008. Lalu beliau dipaksa turun daripada singgahsana Perdana Menteri pada tahun 2009 di atas sebab kelemahannya sendiri.

Berlainan dengan Najib, beliau bukan sahaja tidak dipaksa untuk turun menjadi Presiden UMNO bahkan tidak dicabar oleh mana-mana ahli UMNO. Mengapa seorang Presiden yang gagal mengemudi BN dalam PRU-13 yang lalu langsung tidak dicabar? Adakah ahli-ahli UMNO takut kehilangan jawatan serta keistimewaan-keistimewaan yang telah ada? Adakah terlalu ramai pembodek-pembodek Najib dalam UMNO? Atau mungkin ada sebab-sebab lain yang menyebabkan jawatan Presiden UMNO tidak dipertandingkan.

Di dalam Barisan Nasional (BN), sesiapa yang menjadi Presiden UMNO akan menjadi Perdana Menteri manakala sesiapa yang menjadi Timbalan Presiden UMNO akan menjadi Timbalan Perdana Menteri (TPM). Mengapa? Ini kerana UMNO adalah parti dominan di dalam Barisan Nasional. Lihat keputusan PRU-13, kekuatan UMNO menyamai kekuatan Pakatan Rakyat di mana kerusi parlimen dimenangi UMNO adalah berjumlah 88 kerusi manakala Pakatan Rakyat pula adalah berjumlah 89 kerusi yang terdiri daripada DAP-PKR-DAP.

Ke manakah hala tuju tahaluf siasi PAS kerana bilangan kerusi parlimen PAS dalam PR adalah paling sedikit di mana kerusi PAS adalah berjumlah 21 manakala PKR pula ialah 30 dan DAP pula adalah terbanyak iaitu sebanyak 38 kerusi. Siapa mempekudakan siapa sebenarnya dalam PR? Adakah PAS mempekudakan DAP atau DAP yang mempekudakan PAS? Sekiranya kita melihat syarat tahaluf siasi ialah sesuatu kerjasama dengan orang musyrikin adalah tidak menyebabkan penguasaan kaum musyrikin ke atas kaum muslim. Dalam konteks PR, jelas menunjukkan bahawa DAP adalah dominan dalam PR.

Andainya PR boleh membentuk Kerajaan Persekutuan selepas PRU-13, siapakah akan menjadi Perdana Menteri? Adakah Anwar Ibrahim kerana ia merupakan orang tengah menyatukan PAS dan DAP? Adakah Karpal Singh menjadi Perdana Menteri kerana DAP memenangi kerusi parlimen terbanyak dalam PR? Adakah Tok Guru Haji Hadi menjadi Perdana Menteri kerana dalam muktamar sebelum ini ahli PAS mencadangkan agar beliau menjadi Perdana Menteri dan Anwar mengatakan ia tiada masalah sesiapa boleh menjadi Perdana Menteri? Ada yang mengatakan bahawa Lim Kit Siang menjadi TPM kepada Anwar. Pendek kata, dalam Pakatan Rakyat, calon Perdana Menteri menjadi rebutan tiga penjuru. Tidak semestinya dari PAS, PKR ataupun DAP. Sesiapa sahaja boleh menjadi Perdana Menteri. Berlainan dengan BN, bahawa kerusi Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri tetap akan jatuh kepada UMNO dan bukannya parti-parti lain.

Kita harus ingat bahawa Britisih gagal dalam pusingan pertama dengan orang melayu apabila Malayan Union berjaya dibubarkan melalui UMNO pada tahun 1946. Orang melayu ketika itu amat lemah dari segi ekonomi dan sosial apatah lagi dari segi ketenteraan. Hanya perpaduan sahaja yang menyelamatkan orang melayu dari tertubuhnya Malayan Union. Akan tetapi, dalam pusingan kedua orang melayu kalah kepada British apabila dalam membentuk perlembagaan jawatan Perdana Menteri atau Timbalan Perdana Menteri tidak dikhususkan kepada orang melayu. Bangsa-bangsa lain boleh menjadi Perdana Menteri asalkan ianya adalah orang Malaysia. Nampaknya rancangan British berjaya selepas 50 tahun mereka meninggalkan kita. 

Semasa kursus Biro Tata Negara (BTN), ada yang menceritakan kepada saya bahawa terdapat peserta cina yang mengikuti kursus itu mengatakan bahawa orang –orang cina akan memastikan bahawa bangsa mereka boleh menduduki jawatan Perdana Menteri suatu hari nanti. Tanda-tanda ini semakin dekat apabila pembangkang yang dikuasai oleh DAP berjaya menambah kerusi parlimen mereka dari semasa ke semasa untuk menguasai politik Malaysia. Saya bukanlah ingin bersifat rasis tetapi kita harus berjaga-jaga dengan bangsa lain.

Sudah pasti sokongan UMNO sekarang adalah dari kawasan-kawasan luar bandar kerana mereka takut hilang kuasa politik kepada kaum cina. UMNO menang bukan kerana ianya kuat tetapi kerana tiada lagi pilihan orang melayu selain menyokong UMNO. Inilah realiti yang terjadi. Sekiranya menyokong PR, sudah tentu DAP naik dan sekaligus memberi modal politik kepada kaum cina.

Berbalik kepada pemilihan agung UMNO tadi, jawatan-jawatan yang dipertandingkan ialah Naib Presiden, Ketua Pemuda, dan Ketua Wanita. Saya fikir untuk jawatan Naib Presiden, Zahid Hamidi dan Mukhriz boleh memenangi jawatan ini disebabkan oleh sikap Zahid Hamidi yang tegas sejak mengambil tugas Kementerian Dalam Negeri (KDN) manakala Mukhriz pula boleh menang disebabkan oleh boleh merampas kembali Kedah dari PAS serta imej dan pengaruh ayahnya Tun Dr. Mahathir di dalam UMNO. Untuk Ketua Pemuda pula sudah tentu KJ mampu lagi mempertahankan jawatannya kerana beliau mampu bangkit semula sejak bapa mentuanya meletak jawatan sebagai Presiden parti. Manakala untuk Ketua Wanita saya doakan agar calon-calon yang bebas rasuah sahaja yang layak memegang jawatan tersebut.

Walauapapun, pada saya pemilihan pada kali ini hanya sama sahaja yang membezakan hanyalah muka calon-calon pemimpin tertinggi sahaja selepas keputusan pertandingan diumumkan. Sekiranya rasuah masih berleluasa dalam pemilihan, alamatnya UMNO tidak ke mana. Ada atau tidak pemilihan ianya tetap sama sahaja.

Sekian, terima kasih.

http://wankamarul701.blogspot.com

Friday, September 6, 2013

Bagaimanakah Cara Mendidik Diri Kita Menunaikan Solat Fardhu 5 Waktu Sehari Semalam Setiap Hari?

Assalamulaikum w.b.t. dan Selamat Sejahtera.

Selepas pembukaan Kota Konstantinopel oleh Sultan Muhammad al-Fateh, baginda ingin memilih imam untuk bagi mengetuai solat Jumaat di Masjid Aya Sophia yang telah ditukarkan daripada gereja kepada masjid. Sultan Muhammad al-Fateh mencadangkan agar Syeikh Syamsudin al-Wali menjadi imam lalu gurunya berkata, “Carilah orang yang lebih bertaqwa antara kamu untuk dijadikan imam." Sultan Muhammad al-Fateh keluar ke kawasan lapang di depan masjid itu. Kemudian baginda menyuruh semua tenteranya berdiri lalu berkata, “Siapakah antara kalian yang pernah meninggalkan sembahyang fardhu lima waktu, sila duduk!”

Didapati bahawa tiada seorang pun duduk menandakan bahawa semua tentera al-Fateh tidak pernah meninggalkan solat fardhu lima waktu.

Kemudian baginda berseru lagi, “Siapakah antara kalian yang pernah meninggalkan sembahyang sunat rawatib, sila duduk!”

Didapati bahawa separuh tentera baginda telah duduk selepas itu.

Kemudian baginda bertanya lagi, “Siapakah antara kalian yang pernah meninggalkan solat tahajud, sila duduk!”

Didapati semua yang berdiri telah duduk melainkan baginda seorang sahaja iaitu Sultan Muhammad al-Fateh sendiri. Semenjak akil baligh, baginda tidak pernah meninggalkan solat lima waktu, solat rawatib dan solat tahajud.

“Tuanku yang paling layak menjadi imam,” kata Syeikh Syamsudin al-Wali.

Inilah sebaik-baik raja yang digelar oleh Nabi Muhammad s.a.w. iaitu Sultan Muhammad al-Fateh yang bukan sahaja tidak pernah meninggalkan solat fardhu 5 waktu tetapi juga tidak pernah meninggalkan solat tahajud.

Sekiranya soalan pertama diajukan kepada kalangan kita pada hari ini, saya percaya rata-rata semua orang sudah pun duduk dan tidak layak menjadi imam di Masjid Aya Sofia ketika itu.

Persoalannya, bagaimanakah kita boleh membentuk diri kita agar mendirikan solat 5 waktu sehari semalam setiap hari? Solat merupakan perkara fardu bagi setiap muslim. Sekiranya solat tidak didirikan maka amalan-amalan yang lain adalah sia-sia sahaja sekiranya diamalkan. Contohnya, masyarakat hari ini memang ramai berpuasa akan tetapi masih gagal untuk menunaikan solat fardu 5 waktu sehari semalam. Bahkan lebih malang lagi ada orang yang boleh menunaikan solat terawih tetapi tidak menunaikan solat Isyak. Dimanakah silapnya pemahaman masyarakat pada hari ini? Boleh mengamalkan amalan-amalan sunat tetapi dalam masa yang sama meninggalkan solat fardhu. Tepuk dada tanya diri sendiri.

Baiklah, cara mendidik diri kita agar kita menunaikan solat fardu 5 waktu sehari semalam setiap hari ialah kita perlu memaksa diri kita supaya menunaikan solat 5 waktu setiap hari selama 40 hari berturut-turut. Inilah cara paling ampuh untuk kita mendidik atau mentarbiah diri kita untuk menunaikan solat fardu 5 waktu penuh setiap hari.

Bak kata Imam al-Ghazali, “Amalan yang dipaksa yang dilakukan secara berterusan akan menimbulkan keikhlasan di hari.” Oleh itu, cuba paksakan diri kita supaya menunaikan solat fardu 5 waktu setiap hari terutama sekali solat subuh. Petua untuk menunaikan solat subuh ialah satu sahaja iaitu tidur awal dan jangan sesekali tidur lewat malam kerana sekiranya kita tidur lewat alamatnya sukarlah kita untuk bangun menunaikan solat subuh.

Imam Hassan al-Banna juga berwasiat iaitu dirikan solat 5 waktu pada awal waktunya dengan cara apa sekalipun. Ini adalah kerana apabila kita mendirikan solat 5 waktu pada awal waktunya, kita telah membentuk disiplin diri kita supaya tidak melengah-lengahkan solat.

Cara mendidik diri kita agar menunaikan solat fardhu setiap hari ialah membiasakan diri dengan melakukan solat-solat sunat setiap hari seperti solar dhuha, solat rawatib dan sebagainya. Dengan ini apabila kita sudah terbiasa tidak meninggalkan solat sunat, maka kita akan menunaikan solat fardhu dengan cara apa sekalipun tidak kira sama ada diri kita sakit atau sesibuk keadaan mana sekalipun diri kita.

Mudah-mudahan tip-tip ini menjadi panduan kepada kita agar dapat menunaikan solat fardhu 5 waktu sehari semalam. Wallahua’lam.



            http://wankamarul701.blogspot.com